Johan pejamkan mata. Mengubah persepsi masyarakat harus bermula dengan dirinya sendiri. Islamofobia memungkinkan dia disumbat ke dalam penjara. Jika tidak kerana pengaruh datuknya, disitulah dia berada sekarang.
Dia membayangkan wajah emaknya dan wajah ayahnya yang tidak mampu dibayangkan. Sebuah perjuangan yang panjang menantinya. Dan perjuangan itu harus bermula dengan mencari dan mengenal susur galurnya.
________________________________ Novel ini telah memenangi tempat PERTAMA Pertandingan Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (ExxonMobil) 2011 Pertama Deru AnginHafizah Iszahanid Kedua Waris PejuangRuhaini Matdarin Ketiga Rimba JiwaSri Rahayu Mohd Yusop
Berasal dari Chemor, Perak. Lulusan sarjana muda Seni Gunaan dari Universiti Malaysia Sarawak.
Pembabitan dalam penulisan bermula sejak belasan tahun dan pernah mengikuti Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1994.
Antara novel yang dihasilkan; Noktah di Hujung Rindu (2005), Kala Hujan Menitis (2007), Andainya kukembali (2009), Sehiris Bulan (2011), Deru Angin (2012), Lelaki Januari (2014), Nan Yang (2014) dan antologi cerpen Ayam Patah Kepak (2013).
Antara pencapaian dalam penulisan termasuklah Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1993 dan 1995, Hadiah Karyanet 2004, Hadiah Sastera Berunsur Islam 2005 dan 2011, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2009, 2011 dan 2013, Sayembara Fiksyen Sains UTM-Utusan 2011, Anugerah Buku RTM-PNM 2012.
Hafizah Iszahanid pernah mewakili Malaysia untuk mengikuti Bengkel Mastera (Novel) pada 2011 di Bogor, Indonesia.
Saya tidak dapat begitu mendalami rencah perasaan watak utama, Johan yang mengalami krisis identiti. Bapanya Melayu dan ibunya Inggeris kulit putih, lahirnya dia pada penghujung 1970-an dan menghadapi diskriminasi sejak kecil kerana rupanya yang kacuk Asia-Britain. Pada saya, kembara dalam mencari krisis itu agak baik, tetapi konflik perasaan yang dirasakannya antara Tiffany dan Hiza seakan tidak natural. Perasaan yang dilahirkan pada Hiza dan Tiffany semacam bercanggah pada tempat-tempat tertentu menjadikannya sedikit pelik.
Malah, rupanya yang dikatakan nampak 'keAsiaan' itu bercanggah pula ketika Hiza meneka Johan orang Malaysia sewaktu mereka bertemu pada kali pertama. Kata Johan, orang ramai menyangkanya orang Inggeris jika pertama kali berjumpa. Tetapi wataknya digambarkan penulis mendapat diskriminasi kerana rupanya sepanjang hidupnya di Tanah Barat.
Pembinaan latar masyarakat yang ditonjolkan untuk membantu Johan mencari identiti, asal-usul dan agama dirinya adalah sesuatu yang sangat realistik. Meskipun tidak ada satu watak yang benar-benar boleh dijadikan contoh atau panduan untuk menyampaikan penyelesaian terhadap masalah Johan dalam agama terutamanya, tetapi ini jelas menggambarkan realiti yang berlaku sekarang. Dunia sudah tidak nampak putih dan hitamnya seperti pada zaman Rasulullah yang jelas Islam dan jahiliahnya. Sedangkan sekarang tidak ramai Muslim yang benar-benar berkualiti dan cemerlang dari sudut pelaksanaan cara hidup Islamnya, baik dari sudut ibadah khusus ataupun cara hidup seharian.
Inilah yang berlaku pada Johan, dan kepelbagaian watak Muslim yang celaru dan tidak dalam novel ini memperihalkan kesukaran masyarakat untuk memahami essence sebenar yang membuatkan Islam sebagai agama yang suci. Saya fikir, pembaca harus sedar akan hakikat ini, juga sepatutnya setelah membaca faham bahawa watak-watak dalam novel ini juga tidak sempurna dan itu menjadikan pembaca harus juga mengembara dalam menyelesaikan apa juga krisis diri masing-masing sebagai Muslim.
Ini pertama kali saya membaca novel penulis, saya tertarik untuk membacanya setelah membaca cerpen Istimewa beliau (yang sangat menarik minat saya), juga pemenang tempat pertama dalam kategori cerpen untuk HSKU tahun ini. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendapat saya, tetapi jika hendak dibandingkan dengan novel Waris Pejuang, saya rasa ceritanya lebih mudah dihadam. Tetapi saya tidak nafikan, isu yang dibawa dan pengkahiran yang dihidang dalam Deru Angin sangat penting dalam dunia hari ini. Saya suka sekali prolog cerita ini, kerana bab tersebut begitu lunak dan menarik perhatian dan sangat menjanjikan. Isu Islamofobia yang sebenarnya tidak pernah lapuk dibawa dengan lancar oleh watak-watak dan perbincangan mereka mudah untuk difahami.
Saya beri 3 bintang sahaja - mungkin saya terlalu meletakkan harapan yang tinggi kepada novel ini sehingga ada bahagian yang mungkin tidak menepati expectation tersebut. Tetapi saya akan cuba membaca ulang novel ini untuk memberi resensi yang lebih baik. :)
Selalunya jika novel yang menceritakan perihal islamofobia, kebanyakan penulis akan menulis dari sudut pandang orang Islam yang ditindas dan diskriminasi, tetapi berlainan pula dengan novel ini.
Novel ini menggunakan watak dari sudut pandang seseorang yang mengalami islamofobia. Bagi aku, keberanian penulis menulis POV ini perlu dipuji. Benar, salah satu punca islamofobia berlaku adalah kerana orang Barat tidak pandai membezakan agama dengan budaya. Sepanjang keburukan (seperti membunuh anak perempuan dll) yang mereka lihat adalah budaya sesetengah negara, sedangkan agama Islam pada dasarnya adalah agama yang sangat mudah dianuti.
Aku agak tersentuh apabila Scarlet (yang telah mengahwini Ahmad yang berasal dari Perlis) menjadi mangsa tekanan adat dan budaya dari keluarga Ahmad. Ibu Ahmad ibu tipikal orang Melayu. Dia menggunakan kekerasan, mulut lantang, mementingkan adat berpantang dan lebih percayakan ada menjemur bayi berbanding percayakan hospital. Ibunya sangat bertindak kasar terhadap Scarlet hingga menyebabkan Scarlet berfikir bahawa agama Islam itu agama yang sangat menyusahkan. Apa yang menyayat hati, dek kerana banyaknya pantang-larang adat, seorang daripada anak kembar Scarlet mati akibat kekuningan.
Sumpah, agak sakit hati dengan watak ibu Ahmad ini. Sah-sah perwatakannya tidak mencerminkan orang Islam, tetapi kerana dialah, Scarlet menjadi semakin takut dan trauma dengan agama Islam. Hanya tinggal anaknya Johan sahaja yang masih hidup. Dia bertekad untuk balik ke negara asalnya kerana bimbang Johan bakal menjadi mangsa adat juga.
Konflik tidak terhenti di situ sahaja. Ia bersambung kepada Johan yang sudah menjadi mahasiswa di UK. Sedari kecil, Johan disisihkan dan menjadi mangsa diskriminasi ekoran orang-orang di sana sangat prejudis akan orang Asia. Mereka menganggap orang Asia adalah kelas kedua, biarpun ia kacukan sekalipun. Bayangkan wajah Johan memang orang Inggeris, tetapi dia tetap dibuli dan dipulaukan hanya kerana dia kacukan Malaysia. Lagi bertambah tertekan apabila dia tidak diajarkan agama Islam dengan baik sejak ayahnya Ahmad meninggal dunia. Ibunya Scarlet tidak pernah ajarkan ekoran rasa traumanya masih berbekas terhadap ibu mertuanya. Oleh kerana itu, Johan seperti hilang identiti dirinya sendiri. Dia terumbang-ambing di antara darah Perancis dengan darah Melayu.
Agak kasihan melihat situasi Johan sedari awal hingga ke akhir novel kerana dia dimomokkan keburukan tentang Islam dan orang Asia, tetapi apa yang bagusnya watak ini, dia berusaha untuk cuba memahami betul-betul agama Islam dan orang Asia itu terlebih dahulu sebelum dia terus bersangka buruk. Semakin dia cuba memahami, semakin dia dapat mengenali dirinya. Dan dia semakin bijak membezakan budaya dengan agama.
Pokok pangkalnya, novel ini lebih mengajak kita untuk menjadi manusia yang bijak dalam membezakan hal budaya dengan hal agama. Kita terlalu taksub mencampurkan kedua-duanya hingga tidak tersedar bahawa tindakan itu menimbulkan ketakutan kepada orang bukan Islam. Bagi mereka yang mungkin ada mengalami trauma terhadap orang Islam, aku sarankan kalian membaca novel ini. Novel ini sudah menjelaskan segala-galanya dan sudah berjaya menerangkan makna sebenar agama Islam.
" Aku temui Islam dengan cara yang payah. Aku hanya lahir sebagai Islam tetapi tidak membesar di dalamnya. Aku tahu aku punya perjuangan yang panjang untuk diri aku sendiri."
Islamofobia.
Di saat Scarlet jauh tenggelam, Johan (anaknya) sedang berusaha meneruskan perjuangan mencari siapa dirinya. Agamanya. Keturunannya. Tidak mudah meyakinkan diri di saat semua yang ada di sekelilingnya seakan tidak menyebelahi. Sehinggalah muncul Hiza. Naskah ini sangat menarik. Syukur sempat beli. Soal jawab agama, pertikaian, konflik dan segala isu sangat menarik untuk dihadam.
Hadiah pertama sastera kot. Memang worth reading. Walau pun isu yang diketengahkan nampak klise tapi garapan watak dan jalan cerita menarik. Cuma ada beberapa colateral damage kata orang kampung. Tapi dimaafkan.