BUMI Kenyalang, bukit bukaunya tinggi mencuar, lurahnya berselirat dengan sungai, hutannya kaya dengan flora dan fauna. Di sini banyak menyimpan kisah suka duka ragam kehidupan manusia.
Kedatangan Syafiq membawa amanat serta tanggungjawab yang tersemat di hati. Bertugas di kawasan pedalaman Sarawak dianggap sebagai peluang menimba ilmu di rantau orang. Bergaul dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik seperti Melanau, Iban, Bidayuh, Kenyah, Kelabit, Kayan dan lain-lain adalah sesuatu yang amat berharga. Namun lumrahnya ada yang kasih ada yang benci. Dia yakin bahawa rezeki, ajal maut dan jodoh pertemuan telah tersurat. Berbekalkan semangat yang kental, dihiasi budi pekerti yang luhur, anak muda yang sabar dan berjiwa besar ini berusaha memajukan tanah di Bumi Kenyalang dan mengharap bertemu jodoh dengan gadis pilihannya.
Novel yang memenangi Hadiah Pertama Peraduan Menulis Sastera Kreatif Budaya Sarawak ini dapat dikategorikan sebagai sastera kembara ( Travelog ) hasil daripada pengalaman pengarang yang pernah bertugas sebagai pemaju tanah FELCRA di Sarawak.
Abdul Latip Talib, penulis kelahiran Negeri Sembilan ini sedang mengukir nama di persada sastera tanah air. Dilahirkan di Kg. Ulu Seperi, Rembau, Negeri Sembilan mula menceburkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 1990 dalam pelbagai genre; skrip drama TV, cerpen, puisi, dan novel. Sejak itu karyanya banyak meraih hadiah seperti Sayembara Cerpen Berunsur Islam, Hadiah Sastera Utusan, Sayembara Cerpen Perpaduan, dan Anugerah Sastera Negeri Sembilan.
Novel Randau Ruai memenangi hadiah pertama Peraduan Menulis Sastera dan Budaya Sarawak manakala novel remaja Beraraklah Awan Pilu memenangi Hadiah Sastera Utusan 2005.
Penulis ini telah menghasilkan novel pahlawan Islam Salahudin Ayubi, Khalid Walid, Ikramah Abu Jahal, dan Tariq Ziyad. Kesemuanya diterbitkan oleh PTS.
Macam ada yang tak kena. Bukan sebab kegagalan Felcra gagal dalam membangunkan kawasan pertanian di Sarawak tapi lebih kepada dalaman flow cerita ni. Budaya masyarakat Iban diceritakan secara general. Perkara yang orang dah tahu. Signifikan orang tua Akik dalam cerita ni. Cuma sekadar nasihat biasa. Agatha digambarkan seorang graduan baru tapi banyak pulak duit dia berulang alik ke semenanjung untuk bertemu dengan keluarga angkat. Shafiq tiada komen pun tentang pengislaman Agatha. Secara kasarnya hanya bercerita tentang Kuching bukan Sibu.