Aku dah cuba baca Dialogues with Chin Peng, Chin Peng: My side of History, dll, tapi belum habis-habis. Mungkin buku-buku tu agak tebal, ditulis dalam bahasa Inggeris atau aku yang malas. Tapi aku dapat habiskan buku ni dalam masa dua hari. Mat Indera mati muda. Digantung dalam usia 33 tahun oleh kolonial Inggeris. Diperangkap oleh rakan sendiri yang bubuh daun kecubung dalam minuman. Setelah baca buku ni, aku jatuh kagum pada Mat Indera dengan semangat anti-kolonialnya. Walhal dia boleh hidup selesa mengajar di sekolah agama sebagai ustaz dan bina rumah tangga dengan anak perempuan gurunya, Tuan Haji Yassin yang dihormati. Tapi dia buang itu semua; kesenangan hidup, perempuan yang dicintai, usia muda, kawan-kawan, keluarga, penghormatan dari orang, hanya untuk satu prinsip yang dia junjung atas kepala - anti penjajah. Dan dia telah memilih wadah PKM untuk itu.
Persepsi, propaganda, agenda penjajah telah meletakkan PKM dan pejuang golongan kiri lain seperti PKMM, Hizbul Muslimin (yang berusia empat bulan) dll di kandang orang salah dan meletakkan golongan yang rapat dengan kolonial iaitu Umno sebagai pendukung kebenaran. Sejarah boleh digunakan sebagai alat untuk berkuasa dan memanipulasi pemikiran orang lain untuk kepentingan puak sendiri. Tokoh yang kita pelajari dalam sejarah sebagai pernah berjasa kepada negara tidak mustahil akan dijadikan tokoh pengkhianat pula dalam mata pelajaran sejarah pada masa akan datang. Begitu juga sebaliknya. Melainkan ada usaha jujur untuk merakamkan sejarah bukan dari sisi penghakiman atau pertimbangan menang-kalah dan betul-salah, sebaliknya untuk menumbuhkan kemanusiaan dan mencari kebenaran hakiki, usaha membaca sejarah perlu dibantu dengan kaca mata kewarasan dan kesedaran untuk menapis sebarang niat jahat atau agenda tertentu sang penyedia teks sejarah tersebut.