SEORANG pengarang novel cuba menulis naskhah terbaharu. Malangnya, gejala writer’s block melanda. Suatu masa... dalam keadaan separa sedar ketika terlena, dia terlihat ‘seseorang’ menggunakan komputer ribanya. Namun kelibat orang itu samar-samar. Sebuah cerita yang siap ditaip terpamer pada skrin. Sebuah kisah yang mengujakan, tetapi bukan dia penulisnya. Teorinya – mungkin dia ada berkarya tanpa disedari, tetapi minda logiknya ragu-ragu.
Satu demi satu cerita baharu ditemui lagi dalam komputer ribanya. Dia semakin galak mencuri idea-idea tersebut. Gaya dan teknik penceritaan memang menyerupai cara dia berkarya. Dia semakin seronok mengakui semua cerita itu adalah miliknya. Kemudian... semakin banyak kejadian pelik yang mengitari kehidupannya. Dia diburu sesuatu yang meremangkan bulu roma. Ada bahana muncul bertubi-tubi. Siapa suspek yang bertanggungjawab menghuru-harakan kehidupannya?
RAMLEE AWANG MURSHID ada sebuah rahsia yang lama dipendamkan. Rahsia dirinya sendiri sejak bergelar seorang penulis novel. Lama-kelamaan... andai belenggu misteri yang menggelisahkan ini tidak dirungkaikan segera, maka berakhirlah kariernya...
Ramlee Awang Murshid (lahir 4 November 1967) ialah seorang novelis dan juga penulis Malaysia untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) sejak 1986. RAMLEE Awang Murshid dilahirkan di Papar, Sabah, pada 4 November 1967 dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bertugas sebagai wartawan penyiaran di RTM Angkasapuri Kuala Lumpur.
Dalam dunia penulisan, Ramlee terkenal sebagai novelis thriller dan sudah empat kali memenangi sayembara penulisan yang antaranya melalui kejayaan novel Pei Pan yang diiktiraf pemenang kedua Hadiah Sako bagi Novel Nasional 2002.
Pelajar Terbaik Komunikasi Massa 2000 UKM ini menyifatkan kejayaan Pei Pan meninggalkan kenangan paling manis kepada Ramlee kerana beliau penulis pertama dari Sabah yang meraih kemenangan bagi hadiah terbabit.
Beliau yang menerima Watikah Penghargaan Khas daripada UKM pada 2001 dan Pelajar Terbaik Keseluruhan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi (2002) sudah menghasilkan 13 novel dan antaranya ialah Tombiruo, Ranggau, Mandatori, Satu Janji, A.D.A.M, Semangat Hutan dan Rahsia Perindu.
Novel terbarunya, Bagaikan Puteri, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Sastera Negeri Sabah dan sambutan daripada peminat menyebabkan dia teruja menyambung novel terbabit sehingga lahir trilogi Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta.
Dilahirkan di daerah Papar, Sabah, genre novel beliau pada umumnya berbentuk "thriller" dan seram.
Ramlee juga telah memegang tugas sebagai Penerbit Filem. Filem pertama beliau ialah TOMBIRUO: Penunggu Rimba yang diadaptasi dari novel beliau dengan judul yang sama. Tombiruo adalah Filem Kedua Terlaris pada tahun 2017.
Setelah lebih 20 tahun menjadi penulis, beliau akhirnya memberanikan diri menerbitkan novel beliau sendiri di beri tajuk KASYAF AIN. Di bawah syarikat RAM Typewriter, beliau akan hadir dengan Novel ke-3 beliau tidak lama lagi.
Latar belakang pendidikan Sekolah Rendah Kapayan Kota Kinabalu (1974-1979) Sekolah Menengah Maktab Sabah (Dikenali juga dengan nama Sabah College) (1980-1984) Sijil Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (1999-2000) Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian dalam Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia Anugerah Pemenang tempat kedua untuk novel Igauan Maut (1995) dalam Pertandingan Menulis Novel Dewasa, anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka, cawangan Kota Kinabalu. Pemenang tempat kedua untuk novel Pei Pan, anjuran Hadiah Sako Novel Nasional 2002. Pemenang Novelis Thriller Terbaik dari Anugerah Buku Negara 2019.
Untuk mendapat info terbaru Ramlee Awang Murshid, ikuti beliau di:
Lama juga aku ambil masa nak habiskan karya terbaru RAM ini. Bukannya tak best tetapi aku tak mampu fokus. Mungkin kerana ianya berbentuk kompilasi lima buah cerita pendek yang mana aku boleh baca sikit-sikit, jadi aku boleh baca dua tiga buah buku serentak *wink*
Ini kisah ‘Aku’; seorang penulis yang mengalami writer’s block. Aku kira memang watak RAM. Apatah lagi dengan adanya bayangan watak-watak dalam novelnya sebelum ini. Manakan tahu RAM sebenarnya bermain dengan twist yang agak mengejutkan. Walaupun aku sudah dapat meneka bila di tengah-tengah cerita, tetapi penipuannya masih mendebarkan. Hati masih mahu tahu siapa gerangan ‘Aku’ sebenarnya.
Dalam mengembalikan rentak menulisnya, ‘Aku’ bercuti ke Pulau Pinang. Di sini dia bagaikan terperangkap bila mana ada ‘orang’ lain yang menyatakan dia itu pencuri karya. Dan karya-karya itu adalah lima buah cerita pendek yang ada dalam notebook miliknya sendiri.
Secara peribadi, aku hanya meminati kisah Bunian dan Sang Kancil. Padaku Bunian melihatkan siapa RAM yang aku kenal. Kisah dua alam, bermain dengan hijab, tempat dan laras waktu. Beliau memang cukup cemerlang dalam hal ini. Sepertimana imaginasiku membaca Sunan, RAM berjaya buat aku percaya dengan hanya menggunakan nama watak-wataknya.
Sang Kancil pula walaupun sudah boleh meneka hubungan antara Ahmad dan Jasmir, aku suka kerana ianya bukan hanya cerita si kancil itu. Perjalanan ceritanya yang buat aku tertarik. Malah sampai menutup buku ini, aku masih terkenangkan kata-kata si kancil iaitu:-
Dalam dunia manusia ada binatang tapi di dunia binatang tak ada manusia [page 408]
Tiga lagi:-
Culik Cerita biasa-biasa saja. Kisah pembalasan dendam Faizal dan Johan. Ada sedikit twist yang menjadi.
Cinta Matiku Agak tragis. Ini bukan kisah cinta uda dan dara saja. Membacanya menimbulkan rasa patriotisme dalam diri. Aku rasa kalau dibuat salah satu cerpen untuk subjek Komsas memang sesuai. Pelajar mesti tak bosan.
Cut Percubaan berani daripada RAM kerana ia sebuah cerita cinta kahwin paksa. Tetapi aku tak suka ending kih5 Dan aku sedikit terasa kot dengan kata-kata di hujungnya – Malaysia ni banyak sangat novel cinta! [page 590]. Sinis. Kenapa banyak? Sebab permintaannya tinggi. Kenapa tinggi? Ha, tanya-tanya diri sendiri *wink*
Aku kira novel ini sesuai dijadikan pengenalan buat mereka yang baru pertama kali mahu mencuba tulisan RAM. Tetapi pada yang dah biasa dengan karya penulis akan rasa, “Aku pernah baca yang lagi ummph daripada ini.”
Nampaknya novel RAM yang satu ini kurang nikmat bagi saya. Hanya Bunian sahaja yang benar-benar saya sukai, sementara empat kisah pendek yang lain saya rasakan biasa-biasa sahaja. Saya perasan RAM gemar amat menggunakan perkataan 'selajur' dan 'terpunduk'; dan melihat kosa kata yang digunakan ulang-berulang itu ternyata merimaskan saya. Saltik dan kesilapan tatabahasa masih ada di sini sana.
Novel yang bertajuk 'Aku Bercerita' (AB) ini merupakan sebuah lagi karya terbaharu penulis 'thriller' terkenal di Malaysia,iaitu Ramlee Awang Murshid (RAM). Kali ini,RAM menampilkan sebuah karya yang berbeza formatnya berbanding dengan karya-karyanya yang lalu. AB sebenarnya merupakan sebuah buku yang menghimpunkan lima (5) buah cerita pendek (short stories). Namun demikian,uniknya,bagaimana ianya dipersembahkan adalah lain daripada yang lain. Umpama cerita di dalam cerita,kelima-lima cerita pendek yang terkandung di dalam novel ini diceritakan melalui perspektif seorang watak penulis yang bercuti di Pulau Pinang. Dia yang mengalami 'writer's block' berada di Pulau Mutiara tersebut untuk mendapatkan idea-idea baharu penulisannya. Namun begitu,dia mengalami beberapa peristiwa pelik ketika berada di sana. Tambah aneh,dia mendapati terdapat lima buah cerita pendek di dalam komputer bimbitnya (Bunian,Culik,Cinta Matiku,Sang Kancil dan Cut). Dia menganggap kelima-lima cerita pendek tersebut ditulis olehnya dalam keadaan tidak sedar. Malangnya,dia dihantui dengan khayalan yang mendebarkan dan mimpi ngeri yang menakutkannya. Lebih teruk,dia dituduh sebagai seorang pencuri karya! Apakah yang sebenarnya berlaku padanya? Sebagai menghormati rakan-rakan pembaca di Goodreads dan Buku Tiga Lima,saya hanya akan memberikan ulasan yang ringkas sahaja dan tidak mengandungi 'spoiler'. Ulasan atau komen ringkas saya itu akan saya susuli dengan penilaian atau 'rating' sistem 5 bintang. Hal ini saya lakukan untuk tidak melakukan 'spoiler' yang berlebihan kepada mereka yang masih belum membaca AB ini. Berikut merupakan ulasan saya untuk kelima-lima cerita pendek:
a) Bunian - RAM berjaya membuatkan saya rasa tertipu di dalam cerita pendek ini! Bagaimanakah beliau melakukannya? Hanya semudah melalui nama-nama watak yang terdapat di dalamnya! (4/5 bintang)
b) Culik - 'Tertipu 2.0'! Itulah apa yang saya alami ketika selesai membaca cerita pendek ini. Tema dan jalan ceritanya memang tipikal dan mudah,iaitu mengenai pembalasan dendam. Namun,RAM berjaya melakukan 'twist' di dalam plot dan perjalanan ceritanya. Saya juga beranggapan terdapat unsur satira kepada mereka yang suka menyebut 'Oh My God' (OMG) secara berlebihan dan mengada-ngada! (Ya,Tuan RAM. Saya pun berasa 'getik' (meluat) dengan orang yang sebegini!) (3/5 bintang)
c) Cinta Matiku - Cerita pendek yang ketiga ini merupakan cerita pendek yang paling saya gemari! Pada permulaannya (dan berdasarkan tajuk),mungkin kita akan menganggap cerita pendek ini hanya mengisahkan kisah percintaan yang disaluti tragedi sahaja semata-mata. Tetapi,sebenarnya,ia lebih daripada itu. Saya agak kurang berpuas hati dengan penamatnya. Namun,cerita pendek ini tetap berjaya menambat hati saya. (5/5 bintang)
d) Sang Kancil - Ini merupakan cerita pendek yang agak unik. Jika kita beranggapan ia hanya kisah mengenai kancil semata-mata,ternyata kita tersilap! Bacalah novel AB ini untuk mendapatkan jawapannya! (5/5 bintang) (Nota: Cerita pendek ini juga sesuai,pada pandangan saya,jika diolah semula ke dalam bentuk novel. Terdapat beberapa perkara di dalam cerita pendek ini yang boleh dikembang dan dijelaskan dengan lebih terperinci)
e) Cut - Seperti Sang Kancil,cerita pendek ini juga unik sifatnya. Kenapa saya nyatakan begitu? Inilah satu-satunya cerita pendek yang tidak mengandungi unsur-unsur 'thriller' yang lazimnya kita jumpai di dalam setiap novel RAM. Lebih tepat,cerita pendek ini bertemakan cinta dan kahwin paksa. Tetapi,cerita ini mempunyai penamat yang akan mengejutkan para pembaca! (3/5 bintang)
Secara peribadi,saya menganggap novel AB ini merupakan salah satu karya terbaik RAM yang unik dan tidak mengecewakan. Melaluinya juga,kita dapat menyaksikan keupayaan RAM menulis sebuah cabang penulisan yang agak berlainan daripada novel biasa. AB ini juga unik kerana buat pertama kalinya,RAM menggunakan sistem 'nota hujung' (end notes) yang lazimnya kita temui di dalam buku-buku berbentuk ilmiah. Jika anda peminat RAM,buku ini saya syorkan kepada anda untuk memiliki dan membacanya!
Seorang penulis yang mengalami gejala writer block secara tiba-tiba mengalami beberapa peristiwa aneh. Di laptopnya muncul karya yang mirip dengan penulisannya namun dia tak ingat bila dia menulisnya. Dan tiba-tiba dia dituduh pencuri karya orang dan diburu.
Naskah RAM kali ini agak perlahan penceritaannya. Tapi masih menarik untuk SH meneruskan pembacaan. Ada unsur-unsur yang membangkitkan naluri ingin tahu.
Tapi ending dia memang plot twist yang tak disangka. Wow betul plot twist dia. Puas hati dengan ending dia. Bagi SH ending dia bagi lebih kepuasan berbanding keseluruhan cerita.
Bab Bunian mengingatkan SH pada sebuah cerita filem atau drama. Atau mungkin telefilem. Tajuk dia Amukan Azazil kalau tak silap. Jalan cerita tak sama tapi ada bahagian yang mengingatkan SH dengan cerita itu.
Suka dengan build up watak si penulis ni. Segala kekacauan dan kekeliruan yang dialaminya akhirnya terlerai di akhir cerita. Dan SH suka bila RAM berikan sedikit suntikan watak-watak lain dalam novel beliau sebagai cameo. Jadi rasa nak baca balik naskah yang lain.
Saya benar jatuh cinta dengan karya RAM kali ini. Lain dari yang lain. Sangat menarik kompilasi cerita yang ada di dalam buku Aku Bercerita ini. Tak tahu nak cakap apa lagi, memang mantap!
Secara peribadi, RAM sedikit tergelincir dari landasan reputasi yang diciptanya sendiri. Himpunan beberapa cerita pendek, hanya beberapa cerpen sahaja yang puaskan dahaga aku..selebihnya, bertindak sebagai mekanisme pemenuh cawan tanpa creamer, gula dan kopi yang cukup...tawar... perantara 'aku' antara cerpen ke cerpen kurang smooth walaupun criminal -pencuri karya..takde pun takpe.. sebab tak smooth criiminal pun.. aku paling suka BUNIAN.. hurm..idea bijak untuk mempertaruhkan Bunian di awal pembacaan... terasa diperkenalkan kepada saudara bau-bau bacang Sunan lah.. ! kalau bab-bab lontaran masa, redah2 hijab, part2 firasat tinggi, RAM memang jarang menghampakan.. skill, lenggok bahasa dan semangat anti-cliche superb.. atau sebenarnya RAM memang sinonim dengan pattern novel pahlawan melayu atau apa sahaja yang berjiwa klasik dan tradisional? Aku taktahu... aku cuma lebih sukakan begitu.. rindu Sunan.. and wait for his apperance in MAGIS, as promised by RAM~
Bukan karya terbaik Ramlee Awang Murshid. Saya pernah membaca beberapa novel RAM yang jauh lebih baik daripada ini. Menghimpunkan beberapa cerita pendek di dalam sebuah novel yang disambungkan dengan beberapa babak yang berlaku pada penulis sendiri. Benar atau tidak perlu ditanya pada RAM sendiri.
Setiap cerita pendek tersebut pula berdiri dengan sendiri dan tidak berkait sedikit pun antara satu sama lain. Cerita pertama Bunian saya kira bagus dan unik tetapi mudah ditelah jalan ceritanya. Malah cerita yang seterusnya pun sudah saya jangka apa yang akan berlaku di akhir cerita. Lain benar dengan karya RAM seperti MIKHAIL yang memang saya dibiarkan terus tertanya-tanya sehingga bab terakhir novel.
Namun percubaan yang sangat baik, cantik dan boleh dibanggakan. Pada saya bagus untuk pembaca baru yang ingin mengenali RAM dengan lebih mendalam melalui karyanya.
Bila nak komen karya RAM, kalau boleh aku tak nak bias walaupun aku meletakkan beliau sebagai antara penulis feveret aku.
Aku tak tau kenapa aku rasa macam aku kurang berkenan dengan novel ni. Mungkin sebab RAM bikin cerita dalam cerita. Tapi ada juga yang menarik hati aku.
Aku suka dengan twist dalam cerita 'Bunian'. Dari awal dok pikir, siapa yang bunian sebenarnya ni? Lama gak dok tanya dalam kepala ni. Baca baca baca. Cis, dia rupanya! Gitu la perasaannya lepas dapat tahu kisah sebenarnya.
Lepas tu, aku suka cerita 'Sang Kancil'. Mungkin aku ni otak kartun, jadi aku suka membayangkan fantasi-fantasi yang berlaku sepanjang cerita tu.
Karya RAM yang lain dari biasa. 5 novel dalam 1. Puas membacanya. Jalan cerita berlainan. Banyak jangkaan saya meleset. Bermula dari kisah Bunian, Cinta Matiku dan akhirnya watak Aku sendiri. Penamatnya tak seperti yang dijangka. Menarik. Pada awalnya saya fikir novel ini mengesahkan yang RAM punya 'ghostwriter'. Ternyata tanggapan itu salah. RAM tetap RAM. Tidak lupa menyelitkan unsur ketuhanan dalam setiap karyanya. Mustahil rasanya RAM menggunakan 'kuasa' lain.
love this book..cuma tak ada masa nak baca laju-laju...dalam buku ni cerita yang paling tersemat di hatiku ni cinta matiku...wow sunggung menikam hati ku..mungkin kerana aku suka cerita sejarah dan kepelbagaian bangsa yang ada dalam ceritanyer..
Kedua aku suka sang kancil..walaupun telah ku jangka Ahmad dan (lupa namanyer) adalah org yang sama..cara pembawakan watak ke alam dimana haiwan boleh berkata-kata, membuatkan aku takjub.
Ketiga aku suka CUT ....tgh jiwang ..tetiba jer CUT..CUT.. geram nyer la..tapi jatuh cinta pada HERMAN...
lama juga ambil masa utk habiskan buku ni sbb kena fokus betul2 utk faham jalan cerita. sakit juga otak nak baca bagi habis.haha
buku ni nak kata 5 bintang x jugak sbb aku x faham apa kaitan cerita sang kancil dgn cerita realiti yg ditulis tp cerita2 lain best.5 bintang utk kreativiti penulis.aku suka novel yg lari dari cerita cintan cintun yg x sudah2 bohsan!!
buku ni jugak buat aku x boleh tidur malam kalau dok sorang2.gile saikooooo!!
Ini buku kedua RAM yang hamba miliki setelah Cintaku di Harajuku. Ini selangkah lagi dalam cubaan hamba meyakinkan diri untuk mencuba baca naskhah RAM yang lain. Hmm... RAM sudah menulis 22 buah buku (betulkan jika salah) dan kebanyakannya mendapat resensi bagus tetapi hamba baru masuk fasa mencuba-cuba. Ah, jauh benar hamba ketinggalan kereta api. Mungkin hamba perlu mengejar dengan Suzuki Hayabusa agaknya. (Hiperbola! Untuk orang yang menunggang basikal pun ‘tak mahir’, perumpamaan melibatkan superbike jelasnya tak masuk akal :-P)
Baiklah, berbalik dengan Aku Bercerita. Buku ini memuatkan lima buah cerpen berlainan serta sebuah lagi kisah (kisah penulis) yang menjadi perantara kelima-lima cerpen tersebut. Buku ini membawa pembaca untuk tertanya-tanya tentang kisah penulis yang mendapati satu demi satu cerpen tidak diketahui (bukan tulisannya), tiba-tiba wujud dalam komputer miliknya.
Bunian Kisah tentang dua kehidupan – alam bunian dan alam manusia. Sejujurnya hamba kurang gemar dengan apa-apa cerita yang mengisahkan tentang bunian. Mungkin kerana hamba belum punya pendirian tetap tentangnya. Hendak percaya terasa salah. Hendak menafikan, hamba sangatlah kekurangan ilmu untuk menidakkan apa-apa. Namun, hamba suka cara RAM mengarap kisah Jailani sehingga hamba merasa tidak kekok untuk membayangkan kehidupan di Mukim Lembah Jawi. Dan, cerpen ini berakhir dengan satu teguran dan peringatan yang bermakna.
Culik Mungkin dari dulu lagi hamba patut menerima saranan seorang teman agar membaca Mandatori kerana hamba paling menyukai tulisan RAM yang ini. Culik mengisahkan tentang Faizal, seorang pee chai (abang besar) dalam kumpulan gangster di Bangkok. Bertahun-tahun dia bergelumang dengan dunia jenayah malah tertangkap dan dipenjara sebelum dia akhirnya kembali ke Malaysia. Namun, dia pulang bukan untuk sebuah kehidupan baru melainkan sebuah dendam lama yang menyala-nyala. Dua manusia itu perlu musnah seperti mereka memusnahkan hidupnya.
Cinta Matiku Kisah yang sangat menarik dan sekali lagi ini juga adalah cerpen kegemaran hamba. Cinta Matiku adalah kisah cinta, rahsia dan dusta antara Tahir dan Rukiah yang berlatar belakang tahun 60 hingga 70-an iaitu ketika Malaysia di ambang duka peristiwa 13 Mei. Hamba menyukai cerpen ini kerana input sejarahnya serta cetusan tanda tanya yang berkesan untuk membuat hamba salah telahan.
Sang Kancil Kisah yang tidak kurang menariknya. Ibarat donggeng / kisah rakyat lama yang diberi nyawa di abad ke-21. Mungkin boleh dibacakan kepada anak-anak zaman ini. Dan, tulisan RAM sememangnya tidak kosong. Pesanan dan nasihatnya membuahkan semangat. Belajarlah dari bijak sang kancil, kuat sang belang dan sabar si panda. :)
Cut Alamak, kenapa hamba tidak berkenan dengan cerpen ini sedangkan kisah kahwin paksa begini hamba selalu baca lewat novel-novel lain? Mungkin hamba merasa janggal sedikit kerana empat cerpen sebelumnya punya kelainan yang tersendiri. Walaupun begitu, hamba suka pada sang heronya, Herman. Dia memiliki ciri-ciri hero kesukaan hamba (amboi!) - tidak terlalu menunjukkan cinta sayang atau kelakuan romatis yang boleh membuat pembaca perempuan (macam hamba) meletakkan sasaran terlalu tertinggi tentang bagaimana seorang lelaki sepatutnya lakukan. Tetapi ya, berharap sedikit tetap tidak salah. Hehe.
Tajuk: Aku Bercerita Penulis: Ramlee Awang Murshid Penerbit: Alaf 21 Genre: Thriller Bilangan muka surat: 601 muka surat Cetakan: 2013 ISBN: 978-983-124-836-2
Sinopsis: Berbeza dengan karya-karya sebelumnya, novel terbaru Ramlee Awang Murshid kali ini mengisahkan lima cerita yang tidak berkaitan antara satu sama lain. Kisah dimulakan dengan percutian seorang penulis ke Pulau Pinang untuk mencari idea penulisan bagi novelnya yang seterusnya. Namun penulis tersebut mengalami writer’s block yang pasti akan dialami setiap penulis buku. Dia pun mula menenangkan fikiran dengan berehat dan tidur seketika. Bangun sahaja dari tidur dia terkejut melihat sebuah karya berjudul ‘Bunian’ sudah siap ditulis dan tertera pada laptop miliknya. Dia pun membaca cerita tersebut. Gaya penulisan cerita tersebut tak jauh malah sebiji seperti penulisan biasanya. Tanpa berfikir panjang dia menganggap karya tersebut adalah milik dia yang dikarang dalam keadaan separuh sedar dan tiada orang lain yang menggunakan computer ribanya itu. Hari-hari seterusnya, dia masih dibelenggu writer’s block dan hari-hari itu juga dia didatangi pelbagai peristiwa pelik. Antaranya, didatangi watak-watak yang pernah beliau cipta dalam novel-novel sebelum ini. Contohnya, Tombiruo, Bangsa Polip dan lain-lain. Selain itu, empat lagi karya berjudul ‘Culik’, ‘Cinta Matiku’, ‘Sang Kancil’ dan ‘Cut’. Di hujung novel ini, satu kebenaran yang mengejutkan terbongkar tentang penulis tersebut. Ingin tahu kisah setiap karya tersebut? Ingin tahu kebenaran tentang penulis tersebut? Kenalah baca novel ini.
Komen: Secara keseluruhannya, lima bintang daripada lima bintang saya berikan kepada buku ini. Saya memang minat dengan karya novelis thriller No. 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid. Memang tidak mengecewakan. Kelima-lima cerita yang merupakan asas buku ‘Aku Bercerita’ ini masing-masing ada keistimewaannya. Tapi, saya paling suka dengan cerita ‘Cinta Matiku’. Bukan kisah cinta sembarangan tapi “Cinta matiku... hanya kepada bangsa, agama dan Negara.”
Menghimpunkan lima nopen yang berlainan genre tetapi terkait dlm satu cerita...tentang 'Aku' yg pergi ke Pulau Mutiara seorang diri untuk mencari ilham bagi menyiapkan penulisannya. 'Aku' merasa cemas apabila merasakan seperti ada 'sesuatu' yang menghuni bersamanya di bilik hotel. Dimana 'Aku' dapat melihat 'sesuatu' itu menggunakan komputer ribanya...apabila 'sesuatu' itu hilang..pasti ada novel pendek yang sudah terkarang...
Cerita 1... Bunian Kisah percintaan terlarang antara mahluk dua alam yang berbeza. Cerita 2...Culik Kisah penculikkan kerana dendam. Cerita 3...Cinta Matiku Kisah tentang cinta Tahir dan Rukiah ketika peristiwa 13 Mei. Cerita 4... Sang Kancil Kisah sang kancil yang pintar tetapi sadis bersama perompak bank. Cerita 5..Cut Kisah Cut Asmidar dan Herman yang terpaksa berkahwin.
Pada awal cerita Nisa sangka 'Aku' adalah RAM tetapi tekaan Nisa meleset...Jadi, siapa 'Aku'?... (n_n)
sampai sekarang aku tertanya; apa dosa tuan ramlee sampai aku selalu letakkan harapan dan ekspektasi yang tinggi dalam setiap karya karya dia yang baru? itu sebab kenapa pada mulanya aku rasa Aku Bercerita hanyalah gabungan 5 cerita pendek yang mana kalau ditulis oleh penulis lain pasti aku takjub, tapi disebabkan ianya ditulis tuan ramlee aku jadi kecewa, ya, aku harapkan ianya lebih baik.
tapi kesudahan buku berjaya menjadi air penawar yang mengubat sekali. tema minda bawah sedar, kekuatan akal bagi aku sangat menarik dan misteri. terima kasih tuan, dan minta maaf untuk kesekian kalinya.
cuma ya, aku masih tak dapat singkirkan pendapat aku yang kalau dari tuan ramlee seharusnya HARUS lebih baik. mungkin kita (aku) perlu belajar untuk menerima yang penulis adalah manusia biasa yang mana segala ilham itu datang dari Rabb, dan pembaca pun adalah manusia biasa yang nikmat membaca itu juga sendiri datang dari Rabb.
Buku nie memang superb sangat... marvalleous.. Sangat-sangat mencabar minda.. Pening gak memikirkan siapakah 'Aku' dalam citer nie.. Terdapat cerita dalam cerita.. Memang sangat best dapat baca buku En. RAM nie.. X rugi beli sebab x menghampakan.. Penuh dengan suspen, Fakta sejarah, pengajaran dan juga perasaan..
DNF aaaa dah sebulan cuba untuk habiskan tapi masih tak sangkut jalan penceritaan buku ni di jiwa. saya akan cuba baca karya lain dari Ramlee Awang Murshid. mungkin buku ni sahaja yang tak kena dengan jiwa saya
Peh lama betul nak menghabiskan. In between, dua buah buku nipis berjaya khatam terlebih dahulu :)
Sejujurnya, aku masih bersangka baik. Masih bertanggapan bahawa aku telah salah memilih karya Pak RAM. Atau akhirnya memang kami ini tidak pernah secocok, lantas tiada jodohnya dalam hubungan penulis dan pembaca.
Kegemaran Pak RAM mengulang kosa kata, terlebih-lebih lagi di dalam cerita akhir, Cut sedikit sebanyak membuatkan diri ini berasa menyampah dan laju sahaja ingin membaling buku tersebut jauh-jauh tetapi akal waras menidakkan perbuatan pra-matang tersebut. Untuk apa lagi dibaling sebuah buku yang sememangnya sudah renyuk bagai dilenyek lori gayanya? Cukup-cukuplah naskhah Aku Bercerita milikku itu menanggung derita :P
Akhir kata, novel berkonsep begini tidak harus diketengahkan lagi kerana ianya mengelirukan, memeningkan juga tidak memberi kepuasan. Semoga Pak RAM, andai anda terbaca reviu saya ini, mohon jangan disimpan dalam hati. Mana yang jernih diambil, mana yang keruh dibuang saja :)
Sekian, terima kasih.
P.S: ini reviu buku berdasarkan perasaan pembaca setelah tamat menghabiskan advencer Aku Bercerita. Malas nak mengulas berkenaan struktur ayat dan sebagainya.
Novel terbaru RAM ini mengingatkan aku kepada filem lakonan Johnny Depp yang kurang popular bertajuk 'secret window' berkenaan seorang penulis yang mengalami writer's block dan mengalami pengalaman hampir sama seperti 'aku'. Filem tersebut juga bertema thriller apabila penulis tersebut dituduh mencuri karya orang lain. Tetapi garapannya jauh lebih baik daripada 'aku bercerita' ini.
Strategi menggabungkan lima cerita boleh diterima. Pada pendapat saya, daripada 5 cerita pendek yang ditampilkan, hanya 3 cerita sahaja yang menarik dan berwajah RAM iaitu Bunian, Culik dan Sang Kancil. Manakala dua lagi cerita iaitu Cinta Matiku dan Cut agak bosan kerana bertema ayat-ayat cinta.
Rasanya RAM boleh buat lebih baik daripada ini. Bermula dengan 9 Nyawa saya dapati karya RAM semakin menurun daya tarikannya. Bukanlah tidak menarik langsung.. tetapi seolah pudar umph nya.
Sebagai peminat setia yang telah membaca dan memiliki 23 novel RAM (2 lagi sangat sukar didapati di pasaran), saya berharap semoga RAM terus diberi kesihatan yang baik dan dicurahkan ilham untuk menulis lebih banyak novel thriller yang lebih baik daripada ini.
terdapat lima buah cerita dalam novel ini, dan saya amat menyukai (setelah tertipu dan ia lain dr yang lain) cerita bunian, culik dan cinta matiku. Membaca sang kancil, ia seakan terlalu simple dan saya seakan tidak mahu menyambung pembacaan lagi. Di akhir cerita yang mengkonklusikan kesemua cerita ini sebagai RAM yang sedang mengalami writers block akhirnya membuat saya terus menutup buku.
Permulaan yang baik sebenarnya. Dan utk membuat review sebenarnya adalah tidak adil kerana saya tidak membaca karya terakhir berkenaan dengan cut.
dua bintang gugur, satu kerana cut yang tidak saya baca, dan satu kerana ia karya hanya separa hebat RAM.
Saya kira, saya tidak taksub dengan karya RAM. Tapi itulah, saya harus jujur memuji (dan tidak terlalu berlebih) bahawa karyanya sangat bijak. Tidak mengarut dan homework dan kajian yg sangat meyakinkan
Plot penceritaannya tak mengecewakan. Lagipula untuk yg berangan-angan ini menulis macam saya, kisah writers block ini atau apa sahaja yg berkaitan dgn penulis (drama Castle contohnya) sudah cukup untuk menarik minat saya.
Enam jalinan cerita dalam satu novel. Bunian, Culik, Cinta matiku, Sang kancil, Cut dan Aku yang mana Aku merupakan tunjang dalam keseluruhan novel ini. Koleksi 6 cerita ini yang bijak RAM rangkumkan dalam satu kisah yg jarang penulis fokuskan iaitu writer's block.
Buku ni, lain dari yang lain buku RAM. Watak Aku dalam novel ni sesuatu yang rahsia. Tak tahu siapa, tapi dia adalah watak utama dalam buku ni. Kena banyak fokus baca buku ni, nak tau siapa Aku tu. Dalam buku ni, ada 5 cerita yang Aku sendiri tak tahu siapa yang buat.
1. Bunian Aku rasa cerita bunian ni, salah satu cerita terbaik dalam buku ni. Dia macam ala-ala Tetamu Siang, tapi takda la sampai horror thriller pun. Jalan cerita tersusun. Flashback-masa kini-flashback-masa kini. Kalau tak berapa kenal watak, satu masalah nak faham jalan cerita ni.
2. Culik Culik pun satu cerita thriller. Penculikan & dendam. Kenapa culik? Sebab watak utama adalah watak yang kena culik, lepas tu, dia pulak culik anak orang yang culik dia dulu. Mudah faham cerita ni. Cuma, ending je tak seperti yang diharapkan. Totally different ending.
3. Cinta Matiku Cerita ni juga luar dari kotak. Sesi penyamaran seorang wanita kerana mahukan kemerdekaan sendiri. Nak kate komunis pun bukan, tapi kisahnya bermula pada 13 Mei 1969. Thriller juga. Jalan cerita mudah, tapi penuh dengan penyiasatan.
4. Kancil Cerita ni memang lain dari yang lain. Pasal manusia masuk ke alam haiwan yang boleh bercakap. Last sekali dia menjadi hero selepas belajar di dunia haiwan. Aku suka cerita ni.
5. Cut Aku ingatkan kisah potong badan orang ke ape. Tapi bukan. Pasal berlakon. Tapi realitinya aku ingat kisah benar la konon-kononnya. Ending masa berlakon tu sedih.
Kesimpulan, watak Aku diakhir cerita telah dipadamkan. Tapi jangan lupa dalam pendrive penulis masih ada cerita keenam walaupun dalam laptop dah dipadamkan. So, adakah ada sambungannya?
Buku ini punya cara penulisan yang lain dari trilogi Tombiruo, ADAM mahupun siri epik Laksmana Sunan. Dah kalau yang menulisnya RAM, tak banyak, sikit, pasti ada yang luar biasa. Saya ingin sungguh bayangkan celoteh penulis sejak dalam kapal terbang hingga dah masuk bilik 9011 Hotel Vistana, hingga diganggu macam-macam termasuk jelmaan Tombiruo dan pahlawan Polips... betul berlaku kepada Ramlee Awang Murshid. Penulis ini dah tahap legend, pas5i saya antara berpuluh ribu yang teringin nak baca diary beliau haha.
Apapun, bagi saya, twists dalam cerita-cerita yang ditulis oleh penulis misteri itu, agak menarik. Cerita paling awesome tentulah Bunian. Tertipu.... saya ingatkan Jailani manusia yang merempuh masuk ke dunia bunian, rupa-rupanya.... sila baca untuk tahu kisahnya.
Saya beri 3 bintang sebab terasa akgir cerita macam tergantung. Saya nak tahu apa jadi kepada penulis yang menginap di bilik 9011 Hotel Vistana. Saya nak tahu siapa sebenarnya yang menulis cerita-cerita Bunian, Culik dan Cinta Matiku.
Aku memang tak baca novel melayu, sebab setahu aku jalan cerita semua sama. Sampailah kawan aku cadangkan RAM pada aku. Awal tu aku skeptikal. Tapi aku layankan jugak sebab ramai orang sekeliling aku bagitau yang penulisan RAM ni lain dari yang lain. Dan memang betul, tanggapan aku terus berubah 360. Bagi aku, novel ni bagus untuk jadikan pengenalan pada newbie sebelum terjebak dengan karya-karya RAM yang lain sebab ianya gabungan 5 kisah pendek dan mudah untuk dibaca. Kau tak perlukan masa yang lama untuk baca dan takde sekuel yang kau perlu tunggu. Bagi aku, antara 5 kisah pendek yang terkandung dalam buku ni, Bunian jadi kegemaran. Dengan berlandaskan garis masa zaman lama, digabungkan dengan unsur mistik, cinta dua alam, dan plot-twist, betul-betul buat masuk dalam penceritaan RAM sendiri. Kisah lain yang jadi kegemaran aku adalah Cinta Mati. Unsur sama yang RAM gunakan cumanya berbeza dari garis masa yang berlandaskan sejarah sebenar yang terjadi di Malaysia pada era 60-an dulu. Kisah cinta tragis ni betul betul suntik semangat patriotisme dalam diri aku.
Untuk cetakan yang ke 7 tahun 2019, banyak kesalahan ejaan yang aku jumpa. Takde pula kod QR kat hujung buku untuk aku tinggalkan feedback. Aku harap cetakan baru nanti takde cacat cela.