Aku terserempak dengan nama penulis ini ketika mencari-cari novel Bahasa Melayu yang berkualiti untuk dibaca. Aku fikir untuk mencari novel-novel terbaik, maka aku perlu melihat novel-novel yang memenangi pertandingan dan sayembara terutama yang dianjurkan oleh kumpulan Utusan. Nama Sri Rahayu kerap muncul memenangi tempat tiga teratas. Jadi aku bercadang untuk cuba-cuba baca salah satu dari karyanya.
Dalam banyak-banyak karya penulis ini, aku memilih karya berjudul Equilibria ini kerana genrenya fiksyen sains. Fiksyen sains adalah genre yang sukar kerana memerlukan pengetahuan sains dan kemudian akan digarap menjadi sebuah cerita. Lagipun aku sememangnya cenderung kepada genre ini.
Secara jujurnya aku berpuas hati dengan plot cerita ini. Plotnya mudah. Tema utama novel ini ialah kepentingan menjaga keseimbangan alam sekitar, bagaimana kita seharusnya menyumbang kembali kepada alam, bukan sekadar menjarah sumber alam yang ada demi kelangsungan hidup dan mengumpul kekayaan tanpa memulangkan kembali kepada alam sekitar. Penulis berpendapat penjarahan tanpa kawalan oleh ketamakan manusia bakal memusnahkan keseimbangan alam (sekurang-kurangnya begitulah yang aku dapat rumuskan).
Namun aku agak terganggu sedikitlah dengan bahasa yang digunakan. Boleh dikatakan aku kerap terhenti ketika membaca kerana ada masa-masa ayat yang ‘lebih sesuai’ terbit dalam benak aku bagi menggantikan ayat-ayat yang digunakan penulis. Tak tahulah, mungkin pada penulis biasa saja. Aku pun tak rasa bahasa melayu aku sangat bagus tahap penyunting, namun aku rasa hampir tujuh puluh peratus ayat dalam buku ini, aku telah cipta versi aku sendiri dalam kepala. Versi yang lebih sedap dibaca pada akulah. Aku fikir untuk bahasa, aku boleh bagi tiga bintang dari lima. Aku tak tahulah penulis dah sunting atau belum sebelum novel ini diterbitkan. Sebab ayat-ayat dia hampir semua bila aku baca, aku rasa semacam.
Turut diselitkan perdebatan-perdebatan dalam novel ini. Kebanyakan perdebatan berkisar antara golongan yang mahu terus-menerus menjarah sumber alam seperti petroleum dan kemudiannya galian aneh di pulau Equilibria, dengan satu lagi golongan yang mempertahankan penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar. Selepas bumi dilanda krisis bekalan bahan bakar galian, golongan pertama bercadang berpindah ke planet lain dengan kapal yang akan menggunakan bahan bakar aneh dari pulau Equilibria. Golongan kedua pula berpendapat bahawa golongan pertama akan mengulangi isu sama di planet baru itu, iaitu krisis bekalan bahan bakar galian. Golongan kedua berpendapat bahawa manusia patut mengawal penggunaan bahan galian dan mereka mengesyorkan penggunakan tenaga boleh diperbaharui, serta menekankan kelestarian alam dengan manusia harus menjaga keseimbangan alam dari penjarahan berlebihan sumbernya akibat sikap tamak haloba. Begitulah yang aku faham. Boleh dikatakan aku rasa seperti diceramahkan oleh watak-watak dari golongan kedua disebabkan terlalu panjang penerangan mereka.
Sepanjang pembacaan, aku juga mendapati ada babak-babak tertentu yang aku kurang faham. Sebagai contoh, bila Morgan Archer tinggalkan anak dia Kaylen? Sejak kecil ke? Dan aku tak faham mengapa Kaylen macam biasa-biasa saja lepas jumpa semula mak dia? Takkan tak ada rasa marah dengan mak dia, atau sekurang-kurangnya dia akan tanya mak dia kenapa tinggalkan dia di pulau itu? Selain itu, sewaktu Ziarah Pertama dah habis, mengapa Morgan beritahu Kaylen yang Norac akan hapuskan pulau Equilibria bersama penduduknya, kemudian tidak mati-mati menahan Kaylen dari pulang ke Equilibria? Memang sah-sahlah Kaylen akan bocorkan rancangan Norac itu pada kawan-kawan dia demi selamatkan nyawa mereka. Bukankah dengan itu maka Morgan telah menggagalkan rancangan Norac sendiri yang juga bos dia? Entah, aku pening bahagian ni.
Tentang pembangunan watak tu tak adalah sampai mengikat aku dengan watak dia. Novel ini lebih kepada sekadar medium untuk penulis utarakan idea dia melalui perbualan watak-watak berbanding fokus pada kisah watak itu sendiri. Aku nampak cerita dalam novel ini hanya bermula selepas separuh kedua buku. Konflik mula muncul pada saat-saat akhir novel di mana golongan pertama cuba memulakan rancangan menjarah galian aneh di Equilibria dan menghapuskan penduduknya yang terdiri dari golongan kedua agar berita berkenaan galian aneh tidak dibocorkan kepada pihak lain. Rancangan mereka digagalkan oleh gabungan kerajaan hemisfera selatan dan malapetaka yang tidak disangka-sangka (nak tahu bacalah novel ini). Plot diatur dengan cantik, Chekov’s gun seperti orang aneh yang beri alat telekom, kemudian lelaki misteri yang tanya Kaylen lokasi galian aneh di Equilbria, digunakan kemudian bagi melengkapkan cerita.
Kesimpulannya, idea besar iaitu berkenaan kelestarian dan keseimbangan alam sekitar, plot cantik, namun bahasa ada sedikit kekurangan dari segi susunan ayat dan penggunaan kosa kata meskipun hampir sifar kesalahan tatabahasa dan ejaan. Empat bintang dari lima untuk keseluruhan.