Buku lebar berwarna kuning mustard (edisi yang hamba miliki) ini membawa hamba untuk melihat warna-warni ketika masih kecil/belasan tahun. Abaikan kelabu kerisauan tentang kerja sekolah mahupun keputusan peperiksaan. Nikmatilah warna-warna pastel nostalgia yang anda akan lihat di setiap setiap strip komik yang hakikatnya berwarna hitam putih.
Sejujurnya cuma itu dan sejujurnya lagi hamba menyukainya kerana itu. Nostalgia yang LAT goreskan dalam setiap stroke lukisan memberi rasa yang sama biarpun merentas zaman yang berbeza. Objek dan latarnya mungkin tidak serupa tetapi perasaan nostalgia itu mampu memanjat mana-mana hati yang pernah merangkak, menapak dan berlari di atas tanah yang bernama Malaysia ini.
Sekali dibaca sahaja tidak cukup kerana hamba mendapati yang hamba menyukai buku ini lebih banyak selepas bacaan kali kedua. Dan, mungkin akan menjadi lebih lagi jika diulang baca kali ketiga apabila kerajinan itu tiba nanti.
p.s Konsistensi perasaan Mamat pada Yati sangat manis dan Epit boleh jadi lucu juga kadang-kadang kerana adakalanya hamba merasa dia sedikit menjengkelkan. Tetapi ya, sudah tentulah bukan kerana dia tidak suka berpakaian ya. Hahaha.
Seronok bila aku dapat bayangkan zaman 80-an dahulu bagaimana. Aku lebih suka baca dalam bahasa ibunda berbanding bahasa inggeris. Watak osmang menambah keseronokan.