'Reda hanya akan berlaku apabila kita memahami bahawa semua hal mempunyai hikmah.'
'...setiap manusia diberikan beban yang sama beratnya. Yang membuatkan beban itu nampak berbeza ialah cara masing-masing menguruskannya.'
'Apa sahaja dalam dunia ni yang melibatkan harapan, pasti mempunyai risiko kekecewaan.'
____
Hidup yang selama ini baik-baik sahaja, yang normal, yang berjalan pada paksi sedang senang, sedang selesa dan paling utama sedang bahagia -- boleh bertukar serta-merta dalam waktu satu malam sahaja. Kejadian-kejadian yang mengambil tempat dalam tempoh singkat itu telah meninggalkan Fidel, Zara dan Helmi dengan trauma yang memakan tahun untuk mereka belajar hidup dengannya, kerana untuk mengatakan mereka sudah sembuh daripada trauma masing-masing, itu adalah jauh sama sekali.
Tempoh tiga tahun yang berlalu mengajar setiap daripada mereka untuk bangkit menjalani semula hidup, mencari kehidupan, dan berasa kembali hidup. Dan dalam Senaskhah Hidup mereka ini pada akhirnya dapat merungkai semua perkara yang telah 'mematikan' mereka tiga tahun yang lalu itu.
____
Senaskhah Hidup; sebuah karya yang sangat informatif dalam memberikan gambaran di belakang tabir dunia penerbitan buku secara ringkas dan tidak rumit, sementelah penulis buku ini juga tidak asing dengan latar belakang beliau dalam bidang ini, justeru memang sesuatu yang dapat dijangka dan diharapkan daripada karya penulis. Buku yang memang pantas akan memenangkan tempat dalam senarai buku yang saya suka apabila perjalanan ceritanya melibatkan soal kerjaya dan fakta, di samping aspek lain yang buku ini bawakan juga -- tentang jenayah, penyelewengan, dan fitnah pada agama.
Rangka plot yang disusun, sangat engaging dari sebermula pembacaan lagi -- persoalan-persoalan dan konflik untuk setiap watak utamanya dicipta dari seawal bab dengan cukup jelas memang berjaya memasak bacaan saya untuk jadi berterusan. Boleh cakap tiada titik datar masa saya membaca buku ini dan rasa ingin tahu jadi sentiasa menaik, rentak bacaan pun terasa pantas dan tidak meleret-leret, yakni tidak ada rasa bosan di mana-mana. Olahan dan susun atur babak buku ini persis menonton drama, peralihan daripada satu babak ke satu babak meski tidak berhubungkait masih cukup kemas dan tidak menjatuhkan graf bacaan untuk seseorang seperti saya yang tidak suka kalau babak beralih secara tidak berkaitan, buku ini memang mengubah pandangan saya untuk gaya penulisan yang seperti ini.
Buku ini pada saya konfliknya adalah sentiasa berterusan sepanjang jalan cerita. Walaupun begitu, penyelesaian konflik-konflik tersebut pula tidaklah dengan cara yang terlalu rumit -- sementelah kita memang sudah disajikan dengan cabaran yang banyak untuk watak-watak -- menjadikan bacaan terasa ringan sikit di akhirnya. Watak-wataknya pula ramai, di samping watak-watak utama, tapi pada saya setiap seorang dalam jalan cerita ini ada signifikan mereka sendiri pada babak-babak tertentu, yang tepat.
Saya suka bila mana kita dapat melihat bagaimana watak-watak yang sudah melalui cabaran dan konflik hidup mereka, akhirnya bangun daripada kejatuhan lalu menjalani semula hidup dengan kekuatan baharu -- kisah yang menginspirasi untuk sentiasa buat kita ingat, yang hidup akan baik-baik sahaja akhirnya. Watak utama Fidel, Zara dan Helmi ada kelebihan mereka tersendiri yang sangat menarik dan 'wow'. Tapi sejujurnya disamping tiga watak utama yang menjadi penggerak plot dalam buku ni, (sebab konflik utama buku adalah tentang cabaran yang dihadapi tiga watak ini; Fidel, Zara dan Helmi) saya juga sangat tertarik dengan watak Ji ah, mungkin sebab watak Ji ah ni lebih berkaitrapat kepada saya secara emosi.
Sejujurnya, dari aspek sentuhan emosi saja untuk buku ini yang agak kurang buat saya. Secara peribadi untuk saya dari segi emosi, saya cuma cukup sebatas faham sahaja akan perasaan watak-watak pada cabaran yang mereka kena hadap -- kerana memang digambarkan bagaimana mereka menghadapi tekanan daripada peristiwa yang sudah terjadi -- tetapi entah kenapa tidaklah sehingga mengganggu emosi saya sendiri. Berbeza pula pada kisah Ji-ah, yang memang buat meleleh air mata bila baca sampai bahagian Ji ah dengan mak dia. Tetapi untuk pencucuh perasaan amarah barangkali lain pula ceritanya, sebab buku ini sajikan kita dengan perbuatan-perbuatan dan watak-watak antagonis yang memang boleh menghidupkan emosi yang satu ini.
Senaskhah Hidup bawakan banyak pengajaran dalam dunia buku serta penerbitan, tentang kekeluargaan, dan juga agama. Dan terselit juga tema cinta dan romantik dalam jalan ceritanya, walaupun dalam kadar minimal sahaja -- tapi cukup rasalah pada saya sendiri. Pada pandangan saya juga buku ini kalau tanpa konflik kisah tentang perbuatan ayah Fidel dan hanya cerita bekisarkan konflik dalam dunia penerbitan dan penulisan buku pun pasti sudah cukup menarik juga. Mungkin untuk karya pada masa depan nanti penulis boleh bawakan lagi banyak kisah disebalik penerbitan dan penulisan buku, kisah realiti dalam bentuk fiksi, sebab saya lihat ini memang adalah kepakaran dan pengetahuan penulis. Akhir sekali, Senaskhah Hidup ialah satu buku yang semestinya mudah untuk saya rekomendasi kepada semua golongan pembaca.