selepas membaca kumpulan puisi ini saya bayangkan Ramzah Dambul seorang lelaki yang suka bersunyi-sunyi sambil merenung hujan sambil terkenangkan seorang sumandak* sambil berdoodle sambil juga menulis sajak.
Saya yakin dia lelaki yang sukakan hujan (sekurang-kurangnya 5-6 buah puisi beliau mempunyai imej hujan, salah sebuah puisinya malah bertajuk Hujan).
Seperti hujan, yang dalam keadaan biasa, sangat menenangkan jiwa, begitu juga puisi-puisi Ramzah. Bahasa Melayunya lembut, mengelus-ngelus rasa pembaca puisi-puisi beliau. Beliau menyatakan bahawa Bahasa Melayu bukan bahasa Ibunda beliau, dia anak Dusun Bunduliwan totok, tetapi nyata penguasaan bahasa Melayu beliau menawan.
Kumpulan puisi ini penuh dengan puisi-puisi cinta (sesuai dengan tajuknya). Ramzah nyata sangat menghargai cinta. Puisi ini sebagai contohnya sangat tebal dengan pemaknaan dan konsekuensi cinta dari sudut pandang Ramzah:
Cinta Nan Pergi
i
Cinta pertama
seperti warkah lama
berulang-ulang dibaca
manis masih serupa
Cinta tertangguh
seperti warkah baru
berhari-hari menunggu
rindu enggan berlalu
Cinta nan pergi
seperti warkah hilang
kiriman sudah terhenti
luka tak pernah mati
ii
Cintaku masa silam
seperti warkah kusam
tersisih di sudut kamar
lusuh dengan rahsia.
Tapi cinta Rahmzah tidak terhenti pada sekadar cinta lelaki wanita. Ada yang lebih dalam dari itu. Ramzah kelihatan cuba mencari realiti lain daripada makna cinta yang biasa. Beberapa puisinya cuba mengamati cinta secara lebih dalam, cuba mencari keanehannya dan sesekali memberi tafsiran baru kepada cinta itu.
Ramzah cuba juga menyentuh tema yang lain daripada cinta, dan dalam puisi Hujan ini dia melakukan dengan penuh bergaya
Hujan
Di hujung desa itu
anak-anak yang sama
masih bermain debu
di jalan tanah merah
yang belum berturap
(selepas sepuluh tahun)
Bila hujan datang
sesekali mereka jatuh
tersadung debur lumpur
ditikam batu-batu pejal
lalu dilukakan lagi
buat kesekian kali.
Percayalah,
secubit parut tertinggal
tak akan hilang, bertahun-tahun
Selainnya, kedekatan Ramzah kepada gaya perpuisian yang lembut dan berimbang diperkukuhkan lagi dengan adanya puisi-puisi berbentuk pantun. Puisi berbentuk pantun ini mengekalkan langgam pantun tradisi yang istimewa. Contohnya puisi ini
Dalam ribut laut bergenang,
Itulah tanda kunjungan badai;
Pantang disebut hati terkenang,
Itulah tanda cinta dah sampai.
Malah yang lebih istimewa saya kira, jika kita sudi menjengah keluar teks, beberapa buah puisi berbentuk pantun/puisi tradisional ini ditulis ketika beliau diluar negara (norwich, jeddah). Biasanya penyair yang berada di luar negara akan lebih terdedah dengan hawa kepenyairan lingkungannya itu (jepun dengan haiku, barat dengan puisi bebas dan eksperimen, timur tengah dengan rubaiyyat, ghazal, masnawi etc itu) Mungkinkah beliau rindukan tanah air sehingga mendorongnya berpuisi dengan puisi2 berbentuk puisi melayu tradisi itu?
Saya mengatakan Ramzah Dambul berkemungkinan lelaki yang sukakan hujan (dan lain-lain unsur alam yang banyak dalam puisi-puisi beliau), tetapi ini tidak bermakna puisi-puisi beliau bernada melankolik (seperti kebiasaan puisi-puisi yang menggunakan imej dan simbol alam sebegitu), sesetengah puisi beliau bernada humor dan ada pula yang penuh sindiran.
Bagi saya kumpulan puisi Ramzah Dambul yang memenangi hadiah sastera perdana malaysia 2012 ini menarik di baca, terutama ketika kita agak lelah membaca sajak-sajak melayu yang tebal didaktik atau sajak penuh protes atau sajak terlalu intelek atau sajak cinta anak muda yang mendayu-dayu atau sajak-sajak kerohanian yang dikatakan sajak-sajak sufi itu. Sajak-sajak Ramzah memberikan alternatif yang manis.
*Sumandak - perempuan muda (yang belum berkahwin) dalam bahasa Dusun Bunduliwan - buku ini punya glosari kata -