Buku ketiga Pak Sako yang berjaya dihabiskan dalam masa terdekat. Merupakan antara tulisan awal Pak Sako selepas Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila. Kali pertama diterbitkan pada bulan Ogos 1957, tahun dan bulan yang sama Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Atas inisiatif penerbit ITBM, maka diterbitkan kembali untuk dinikmati oleh generasi baru pada tahun 2012 yang mempunyai sebanyak 199 halaman.
Budak Beca secara dasarnya mengisahkan tentang kehidupan seorang bekas mata-mata yang dikenali sebagai Mamat Merdeka yang tidak punya pekerjaan setelah pihak komunis berjaya dihapuskan. Malangnya Mamat gagal dalam menggunakan wang ganjaran sebaik mungkin setelah tamat tempoh perkhidmatannya sebagai mata-mata menyebabkan dia akhirnya membawa beca bagi meneruskan kelangsungan hidup. Pertemuan Mamat dengan Mustapha, seorang pegawai yang berkhidmat dalam pertubuhan rahsia di Kuala Lumpur, menjadi titik perubahan kepada Mamat dalam usaha memajukan diri dalam semua aspek. Kedatangan Mustapha ke Terengganu adalah meninjau keadaan nasib rakyat di sana dalam aspek ekonomi, politik, cara berfikir, adat resam dan kepercayaan. Dalam masa yang sama juga, Mustapha juga membantu rakan barunya iaitu Mamat dalam memajukan diri seperti mengajarnya membaca, menulis, cara menyimpan duit dengan lebih baik, dan lain-lain.
Pak Sako melontarkan kerisauannya dalam terhadap masyarakat bangsa Melayu terutamanya yang ketika itu sedang dalam persiapan menyambut kemerdekaan, tetapi sikap yang ada tidak menunjukkan mereka bersedia untuk menempuhi fasa pasca merdeka. Masyarakat ketika itu seolah-olah tidak tahu mengisi sambutan kemerdekaan, yang hanya mereka tahu adalah sekadar bersuka ria, berarak dan bersorak. Yang mereka tahu, apabila sudah mencapai kemerdekaan, mereka boleh bersenang lenang dengan mudah. Sebaliknya kemerdekaan yang dicapai pada waktu tersebut bukan hanya sekadar dipertahankan, malah perlu diisi dengan perkara-perkara yang menguntungkan. Seperti yang dinyatakan oleh watak Mustapha dalam halaman 89, “kita hanya baru dapat, ibarat kita dapat sebiji kelapa jikalau kita tidak kupas, kukur isinya, keluarkan santannya, maka apakah ertinya kelapa itu kepada kita? Ataupun misalnya kita dapat ikan, kalau tidak disiang, dimasak, maka ikan itu akan busuk.”
Bertambah buruk lagi apabila ‘orang atasan’ sendiri yang menunjukkan tauladan yang tidak baik untuk diikuti. Antaranya adalah budaya politik dalam pekerjaan masih diamalkan yang sehingga kini (tahun 2017) budaya tersebut seolah-olah menjadi perkara biasa dalam kehidupan. Pak Sako menyingkap sikap tidak baik itu pada halaman 11, “Awak bukan tidak tahu, Mamat. Keadilan dalam negeri ini memandang bulu. Yang miskin dan tidak banyak kenal orang yang berpengaruh dan ‘berhormat’ akan kena denda banyak tetapi yang pandai ‘memainkan jarum’atau memintas ikut jalan belakang akan kena hukuman ringan sahaja ataupun lepas terus.”
Belum lagi sikap yang suka menabur janji-janji manis ketika saat mereka mahu diangkat menjadi orang besar. Apabila sudah selesa berada di atas, orang bawah juga yang menanggung seksa. Malangnya kadang-kadang masyarakat sendiri yang tidak sedar atas ketirisan yang berlaku disebabkan mata mereka sudah dikaburi dan ‘dididik’ dari awal lagi seperti digambarkan pada halaman 23, “Orang-orang yang buta kayu, rakyat jelata yang buta huruf seperti kita ini, sudah selalu benar dipengaruhi oleh mereka itu. Mata kita mereka abui. Keputusan hati dan fikiran kita dibentuk. Dicorakwarnakan oleh mereka itu dengan kata-kata yang lemak manis dan janji-janji yang bagus-bagus. Tetapi apabila mereka itu sudah naik ke atas, sudah dapat pangkat, sudah bergelar Yang Berhormat, maka apakah bantuan yang sudah diberikannya kepada kita!”
Masyarakat juga seolah-olah ditanam dengan ketakutan apabila mereka tidak berupaya untuk menyatakan ketidakpuashatian pada pemimpin atasan walaupun terang bersuluh kesalahan pemimpin tersebut. Dalam satu majlis membaca sajak, Mustapha menjelaskan kepada rakannya iaitu Mamat pada halaman 93, “Yang dikatakan mimpi siang itu adalah kiasan. Banyak kejadian-kejadian sumbang yang berlaku hari-hari dalam masyarakat kita sekarang. Kita nampak, tetapi tidak berani menempelaknya, sebab orang-orang yang berlaku sumbang itu ada pangkat, harta dan ada pengaruh.”
Satu lagi sikap yang tidak dipersetujui oleh Pak Sako adalah berkenaan bangsa Melayu yang berlagak kaya, gaya dan lawa tetapi hakikatnya sebenarnya adalah miskin. Bukan setakat miskin harta, bahkan budi bahasa tidak ada, kasih sayang antara satu sama lain tidak ada, amanah tidak ada, ilmu kepandaian tidak ada, dan cita-cita mulia tidak ada. Menunjukkan bahawa kemerdekaan yang dicapai itu sia-sia sahaja jika sikap begini dikekalkan. Inilah generasi baru yang telah ditinggalkan oleh bangsa penjajah.
Walaupun banyak kritikan yang dilontarkan oleh Pak Sako di dalam novel Budak Beca ini, bukan bermakna bangsa Melayu terutamanya tidak punya satu kebaikan dalam diri mereka. Watak Mustapha sebagai contoh yang menjadikan Mamat sebagai rakan baiknya dengan membantunya sehabis mungkin. Budak Beca tampak seperti tulisan yang berat untuk dibaca, tetapi hakikatnya hanya ‘berat’ bagi yang terasa. Sepertinya Budak Beca adalah novel yang tak lekang dek hujan, tak lekang di panas.