Membaca novel ini bagaikan memasuki sebuah terowong waktu (time Tunnel) yang membawa kita berada dalam suatu zaman penjajahan British di Pulau Pinang pada abad ke-19. Kita sama-sama melihat bagaimana 'pulau mutiara itu tergadai ke tangan bangsa asing. Bagaimana licik kaum penjajah dan bagaimana terleka kaum peribumi. Protagonis Patmabi bagaikan wirawati yang cuba menyelamatkan Pulau Pinang dan nasib segugus peribumi penghuninya.
AZMI ISKANDAR MERICAN menulis tentang masa kini tetapi dilapik dengan latar zaman pendudukan British di Pulau Pinang. Pertama kali saya membaca cerita begini. Cerpen“The Day the Weather Broke” karya Win Pe adalah sebuah alegori berkisar kucing dan burung sebagai simbol opresi kerajaan Burma kepada rakyat. “Aci Patmabi” pula menjadikan kisah zaman dahulu sebagai refleksi terhadap apa yang terjadi sekarang.
Jika dikaji dan diteliti, ada mesej halus yang dibisikkan penulis kepada pembaca khususnya bangsa Melayu Pulau Pinang. Bagaimana mereka menjadi lemah dan akhirnya tergadai semua tanah mereka kepada pihak lain. Akhirnya merempat di tanah sendiri dan dihalau keluar oleh bangsa yang menjadi pekerja bawahan mereka satu ketika dahulu. (Simbolik rumah Patmabi dibeli oleh bekas orang gaji bapanya dan dia terpaksa merempat ke Seberang Perai kerana habis hartanya tergadai....)
Jikalau John Steinback dalam “The Pearl” menekankan perwatakan melalui “binary opposition” sikap dan cara bercakap, Azmi memberinya melalui deskriptif pakaian dan perhiasan cara Gopal Baratham dalam cerpen “Welcome.” Gaya penulisan Azmi dengan ayat-ayat pendek dan tidak berbelit ala Hemingway menjadikan pembacaan mudah dan tidak memerlukan lebih konsentrasi seperti membaca karya penulis-penulis ‘aneh’ yang lain.
Azmi membuat kajian dan penyelidikan yang mendalam tentang latar dan perwatakan. Ini tidak sia-sia kerana berjaya membawa pembaca ‘masuk’ ke zaman pendudukan British di Pulau Pinang. Perwatakan dibantu oleh faktor Azmi juga dari keturunan Jawi Peranakan. Pemakaian, perhiasan, tabiat, cara percakapan dibuat dengan baik sekali. Dialek khas ‘mamak’pula amat membantu. Naskah ini berjaya menyampaikan mesej yang penting dan besar melalui cerita yang ditulis dengan lancar dan menarik. Ia bukan sembarangan cerita anak mami. Aci Patmabi adalah peringatan keras kepada anak-anak Melayu Pulau Pinang yang sedang digula-gulakan oleh anasir yang sedang merampas tanah di bawah kaki mereka.
Selepas membaca novel ini, dada saya terasa sungguh sakit. Saya tidak tahu mahu marahkan siapa dan saya tertanya kalau saya dalam situasi Aci Patmabi, apa yang akan dan boleh saya lakukan?
Saya menyukai Azmi Iskandar Merican melalui novel pertamanya Gelegak (dibaca waktu sekolah menengah). Aci Patmabi hadir walaupun tidak sama gayanya dengan Gelegak, tetapi tidak menghilangkan rasa suka saya terhadap penulisan Azmi Iskandar Merican. Novel merakam Pulau Pinang zaman awal 1920, dari zaman kegemilangan Melayu Pulau Pinang, yang mana ada orang kaya Melayu-Mamak sehinggalah jatuh kepada anak-anak mereka yang seterusnya menjual banyaknya tanah kepada orang asing sehingga mengungsi ke daratan (seberang prai).
Ia membuatkan hati saya bertambah perit kerana Saya sukakan Pulau Pinang dan boleh dikatakan Pulau Pinang adalah tempat wajib pergi setiap tahun. Saya suka duduk di Georgetown dan berjalan antara bangunan-bangunan lama yang masih rapi di sana. Tetapi selepas membaca novel ini, membuatkan saya fikir, saya berjalan di atas tapak-tapak bangunan yang mana pernah menjadi milik orang Melayu dan tergadai, kedua: jika betul pun pemilik asal orang Melayu memiliki tanah ini sehingga kini, apakah tanah Pulau Pinang akan terjaga atau pun ia tetap akan dijual juga ataupun dianggap sebagai tidak bernilai?
Seterusnya Patmabi, seorang perempuan yang walaupun pendidikannya hanya sekolah Darjah Tiga tetapi cita-citanya luas setinggi langit. Sayang sekali perempuan zaman itu tidak dapat menlanjutkan pelajaran tinggi dan akhirnya terpaksa berkahwin. Sungguhpun begitu, saya antara suka dan tidak suka watak ini. Saya tidak suka apabila Patmabi tidak boleh bertindak lebih dan hanya dapat melihat lelakinya bermain perempuan yang mana punca segala harta kekayaan itu hilang dan tiada. Bukan sekali, tetapi dua kali. Bayangkan sahaja pisang berbuah dua kali, dan Patmabi tidaklah dapat bertindak apa-apa.
Tetapi perempuan, sekuat mana dia cuba menyanggah, dayanya pada tahun 1920-an tidaklah besar memberi kesan :( :( :(
Novel ni sangat bagus dari segi latar masa, masyarakat & tempatnya.Tapi sayangnya, kenapa novel ni tak popular? Cari di perpustakaan pon tak jumpa.
Baiklah, novel ini sedikit berlainan dgn novel perjuangan wanita yang lain, Aci Patmabi tidak berjaya merubah masyarakat Melayu Pulau Pinang pada awal abad ke 20.
Ketika itu, sangat berleluasa orang melayu menjual tanah, hatta tempat tinggal satu2nya! Sampaikan masjid pon sanggup dibakar semata2 nak jual tanah berdirinya masjid tersebut!
Mungkin sekadar fiksyen, tapi kalau kita pernah terfikir kenapa tanah pulau ini tidak lagi didominasi orang melayu, puncanya adalah daripada kemiskinan sikap & ketamakan pada kekayaan sementara.
Sekarang baru aku mengerti mengapa Pendita Za'ba mengkritik pedas bangsanya dalam 'Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri'. Kata Za'ba, "tidak ada yang boleh menggaru kudismu melainkan dirimu sendiri!"
Saya beli novel ini di Koperasi DBP MITC, Melaka. Tajuknya unik. Rupanya nama watak utama. Novel mengisahkan kehidupan, budaya dan sejarah bangsa Melayu berketurunan Jawi Peranakan pada hujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 berkisar pada latar waktu antara tahun 1895 dengan tahun 1930-an. Menceritakan asal usul Jawi Peranakan ialah dari India, beragama Islam dan terkenal sebagai pedagang-pedagang yang kaya dan berjaya di Pulau Pinang pada abad ke-19. Kaum Jawi Peranakan ini telah terserap dalam budaya Melayu dan dikenali sebagai orang Melayu, kerana mempunyai persamaan yang akrab sebagai penganut agama Islam dan budayanya sebagai budaya bangsa Melayu. Baca novel ini sejujurnya kita dibawa pada zaman itu. Penceritaannya detail dan rapi. Saya terbayangkan kehidupan dan gaya hidup Aci Patmabi. Novel ini menggunakan bahasa dan ayat yang mudah difahami. Permulaan novel ini menggambarkan suasana, latar, perbualan dan pakaian pada zaman itu. Menariknya novel ini sudah pasti mengangkat budaya dan adat di Pulau Pinang.
Satu karya yang dapat menunjukkan kepada kita keadaan Pulau Pinang pada abad ke 19 dan awal abad ke 20. Keadaan bandar yang menggunakan pelita minyak tanah yang ada orang menjaganya kalau terpadam, kereta kuda dan kereta lembu kemudian motokar dan lori yang melambang status seseorang. Gambaran bagaimana cara orang Melayu mengamalkan Islam dengan menyambut perayaan-perayaan khurafat dan tidak disyariatkan pun. Budaya boria dan bangsawan sebagai alat hiburan dan punca masalah sosial juga sebenarnya. Kisah Patnabi seorang wanita dari kalangan orang-orang kaya hingga menjadi papa kedana kerana sikap orang Melayu yang tidak pandai menjaga harta warisan tinggalan nenek moyang mereka. Perjuangan Patmabi yang menyahut seruan Syeikh Al Hadi melalui Al Imam supaya mementingkan pelajaran, hak wanita dan pentingnya memahami al quran dengan cara yang sebenarnya. Sayang perjuangan beliau hanya tinggal perjuangan.
Kisah masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang pada abad ke-19 hingga awal abad ke-20. Aci Patmabi, watak protagonis dalam novel ini ialah seorang wanita yg cekal mempertahankan kesucian Islam, maruah bangsa, adat budaya dan warisan tanah air. Terasa sayu ketika membayangkan jerih payah Patmabi berjuang menyelamatkan Pulau Mutiara dan nasib segugus peribuminya. Novel ini seharusnya dibaca bersekali dgn Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri, Za'ba. Pulau Pinang lautnya biru Kapten Light menjadi raja; Bila terkenang zaman dahulu Rasa menitik si air mata.
Aci Patmabi. Sewaktu aku mula mendengar tajuk novel ini, aku terfikir apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan aci patmabi. Rupa-rupanya ia nama watak utama dalam novel ini. Walaupun melalui banyak kepayahan dan rintangan dalam hidup, dia mempertahankan yang benar. Meskipun menjadi minoriti dan ditentang oleh banyak pihak termasuk dicurangi suami sendiri. Kekuatannya terbina hasil kepayahan yang terpaksa dilaluinya.
love this book; loved it when first read it. the feeling does not budge even a bit after a reread. love it; love it. this is such an important read. please, read this.