SIMBOLISME dan parodi politik dalam kumpulan cerpen ini sangat menyengat. Sehingga kita dalam diam membanding-bandingkan latar sosio-politik Thailand dengan apa yang kita ada kini.
Dalam An Ordinary Story, ia tampil dalam gaya tragedi komedi yang adakalanya menempelak pembaca kerana tanpa sedar kita mengharapkan anak ‘Granny’ sembuh daripada barah payudaranya dengan penuh keajaiban. ‘Granny’ barangkali boleh ditafsirkan sebagai ‘old guard’ - agak ragu untuk meletakkannya sebagai metafora kepada istana, politikus atau tentera -, manakala anak gadisnya boleh saja menjadi harapan atau masa depan. Sebagai narator, ia mewakili segenap rakyat yang semakin dijarah oleh individualisme.
Dalam The Enemy Within, Chart Korbjitti terus memparodikan tentera apabila His Excellency the Commander in Chief terpaksa berhempas-pulas menahan ‘penderitaan’ dalam acara perbarisan dan memeriksa perbarisan. Cerpen ini merentap pemimpin tentera pada kedudukan yang sama dengan orang awam melalui jenaka yang selalu dikaitkan dengan senda-gurau rakyat bawahan.
Dalam October, golongan opurtunis yang sering mengambil kesempatan daripada perjuangan menuntut sesuatu hak pula menjadi mangsa Chart. Latarnya adalah demonstrasi mahasiswa yang mendesak bekas diktator tentera, Marshal Thanom Kittikachorn dihalau dari Thailand pada 1976 dan watak utamanya adalah bekas pejuang yang memanfaatkan demonstrasi untuk kepentingan ‘bawah perutnya’.
Dalam An Old Friend, Chart barangkali memunggah daripada senario yang sering berlaku di negara komunis atau sosialis atau punya elemen ideologi itu - apabila golongan ‘pejuang’ ideologi berkenaan menjadi manusia yang paling korup sehingga mereka yang masih setia tidak lebih seperti orang gila.
Dalam Shamgri-La lebih melucukan, golongan politikus dibantai dengan cambuk jenaka. ‘Granpa’ yang hilang dalam perjalanan daripada kuil ketika pulang ke rumah, tersesat ke dunia orang mati yang dikuasai oleh pemimpin politik yang punya banyak mulut. Mereka memiliki banyak mulut kerana mereka menyelesaikan masalah dengan anggota lisan itu. Malah, pemimpin yang sering muncul di kaca televisyen mempunyai lebih banyak mulut kerana mereka banyak ‘menyelesaikan’ masalah rakyat sehingga tangan dan kaki mereka lama-kelamaan menjadi semakin kecil, lalu hilang daripada tubuh! Malah, perbandingan yang dibuat oleh anak ‘Granpa’ antara dunia orang mati dengan dunia mereka lebih melucukan: “Eh? It’s quite unlike here. Here the high-ups solve problems in earnest.”
Jika kita Shamgri-La sebagai puncak sarkastik Chart kepada politikus, ia adalah satu kesilapan kerana Facial Footwork adalah cambuk berduri kepada golongan itu. Timbalan Menteri Phithakthai Bamrung-rart beroleh ‘nasihat’ politik daripada mentornya, Timbalan Perdana Menteri Phichit alias Daddy Chit - untuk mendapatkan rawatan urutan kaki di muka oleh Wizard Tow yang berkepala dan berkaki besar tetapi mempunyai kuasa magis terhadap memulih dan menambah kuasa politik mereka. Dalam cerpen ini, politikus sudah diletakkan pada kedudukan paling hina hingga bukan saja menjadi budak suruhan bahkan membiarkan muka mereka dipijak-pijak semata-mata untuk mengekalkan kuasa.
Golongan elit turut menjadi mangsa sebatan Chart seperti dalam The Personal Knife apabila tampil sebagai cerpen kanibal. Daripada langgam bahasa yang menunjukkan golongan atasan yang sangat menjaga etiket, kita didedahkan dengan golongan itu juga mempunyai keistimewaan boleh memiliki pisau tersendiri kepada gaya bahasa yang memperlihatkan kerakusan mereka menjadi manusia kanibal yang memotong dan melapah manusia lain.
Tidak semua cerpen dalam An Ordinary Story (And Other Less So) ini tampil dengan gaya satira dan parodi terhadap kelompok politikus dan elitis, bahkan ada beberapa cerpen yang menyelami hati budi dan kehidupan masyarakat bawahan. Bagaimanapun, cerpen dengan gaya menyindir ternyata sangat menonjol sehingga menenggelamkan beberapa cerpen yang tidak kurang hebatnya seperti The Reward yang mengingatkan kita Thailand bukan semata-mata kuasa dan seksual (atau urutan jika anda mahu), bahkan juga tentang manusia dan hati budinya.