Antara Emir Nazreen dan Chempaka Harlina bezanya bagai langit dengan bumi. Tetapi bila jodoh sudah tertulis, tiada apa yang mampu menghalangnya. Bagi Emir, alangkah bahagianya jika dapat memiliki isteri sehebat Saidatina Khadijah atau sebijak Saidatina Siti Aisyah.
Bagi Harlina pula, hidup hanya sekali. Kehidupannya mesti dipenuhi keseronokan dan hiburan. Perkahwinan merupakan penghalang untuk dia mengecapi syurga dunia yang tiada penghujung itu. Lalu, pelbagai helah dicari untuk menggagalkan niat murni Emir. Tetapi, kesabaran lelaki itu memusnahkan usahanya.
Entah kenapa, sebaik tangan digoncang tok kadi, bahu Emir terasa berat mahu menggalas tanggungjawab. Menikahi Harlina bukannya seperti jinak-jinak si burung merpati, tetapi bagaikan jinak-jinak si kucing Parsi... makan di tangan. Bila ditangkap, dicakar.
"Ya ALLAH… andai aku dijadikan daripada tulang rusuk kirinya... ENGKAU panjangkanlah jodoh kami hingga ke Firdausi...”
Mampukah Emir bertahan dalam pelayaran yang penuh cabaran itu sedangkan kehidupan Harlina sudah jauh tersasar daripada landasan Islam? Adakah kesabaran Emir menjadi titik perubahan dalam hidup Harlina? Hanya DIA yang tahu.
Mengenai Penulis Gandingan minat dan pendidikan formal dalam bidang penulisan telah mencipta identiti AYU EMELDA.
Ayu Emelda merupakan puteri tunggal daripada lima adik-beradik. Hobi membaca akhirnya mencetuskan naluri untuk berkarya. Ijazah Komunikasi Massa (UiTM) juga banyak membantu. Walaupun sebelum ini pernah menghasilkan beberapa artikel, secara peribadi masih ada sesuatu yang dicari.
Keinginan begitu mendalam untuk mengutip pengalaman yang lebih luas, terutamanya menghasilkan sebuah penulisan yang mempunyai nilai sentimental. Kerana desakan keinginan, lahirlah Lagu Rindu. Namun, menjadi seorang novelis bukannya mudah seperti yang diduga.
Apalagi sebagai isteri dan ibu kepada dua orang anak yang masih kecil. Ia menuntut kesungguhan dan pengorbanan masa yang besar. Menulis memerlukan jiwa, perasaan dan penghayatan selain akal serta fikiran.
Watak Puteri Adalea dan Tengku Iman Aqmal tampil dengan kesempurnaan dan kekurangan. Kedua-duanya punya personaliti menarik, baik, penyabar dan punya aura tersendiri. Namun lumrah kehidupan, manusia tidak terlepas dari sifat cemburu, marah dan dendam dalam mencari kebahagiaan.
Lagu Rindu adalah langkah pertama untuk mendekati dunia penulisan kreatif secara lebih dekat. Ternyata masih banyak yang perlu dipelajari. Betapa kekurangan diri telah mencetuskan kesedaran, selagi bumi ini berputar selagi itulah ilmu terus berlegar. Kita hanya perlu berusaha mencari.
Semoga para pembaca sudi untuk menghayati bersama karya ini. Sesungguhnya yang baik itu diilhamkan daripada ALLAH, dan segala kekurangan adalah hakikat kelemahan seorang insan.
Kisah tentang kahwin paksa? Oh, mungkin paksaan tu hanya daripada sudut padangan Chempaka Harlina (Harlina). Tapi bukannya pada Emir Nazreen (Emir). Walaupun ramai yang menentang hasrat Emir untuk memperisterikan Harlina, Emir tekad dengan keputusannya itu. Yelah, bandingkan Harlina yang 'rebellious' tu dengan Emir yang hampir sempurna sebagai lelaki yang didambakan. Memang umpama langit dan bumi jadinya. Pada Harlina, Emir bersetuju memperisterikannya hanya kerana mahu membalas budi baik keluarga terutamanya Tan Sri Kamarul, ayah Harlina. Bagi Emir pula, perkahwinan mereka bukan kerana membalas budi, tapi lebih kepada ingin memperbaiki cara hidup Harlina.
Memang cabaran buat Emir lepas berkahwin dengan Harlina bila si isteri masih tetap dengan perangai dan cara hidupnya sebelum berkahwin. Ditambah pula dengan perangai kasar yang ditunjukkan Harlina lepas mereka berkahwin. Memang tabiklah dengan Emir ni. Alhamdulillah cahaya keinsafan tu timbul juga selepas kawan-kawan Harlina ni ditimpa musibah. Kehadiran anak dalam kandungan Harlina juga membantu mereka memperbaiki hubungan.
Namun, bahagia yang mereka kecapi berkecai juga. Keluarga Emir yang datang bertandang membawa kedukaan bila Harlina asyik makan hati je dengan kelancangan mulut adik iparnya, Zetty. Jadi bila Harlina terlampau tertekan, dia bertindak menghalau ibu mertua dan adik-adik iparnya dari rumahnya semasa ketiadaan Emir. Emir sangat kesal dengan tindakan Harlina sebab dia rasa dia gagal mendidik Harlina untuk jadi lebih baik. Jadi dia bertindak menjauhkan diri sebab tak dapat memaafkan kesalahan yang dah dilakukan oleh Harlina tu.
Sikap dingin Emir selepas kemalangan yang hampir meragut nyawanya juga hampir-hampir menyebabkan Harlina berputus asa. Namun, sokongan dari keluarga dan anak dalam kandungannya membuatkan Harlina kuat menghadapi kerenah Emir. Lalu bagaimana penyudahnya hubungan mereka ini?
Pengakhiran yang simple, tapi macam masih ada persoalan yang tergantung di situ.
Komen saya: Kisah yang simple, banyak pengajaran untuk suami / isteri atau bakal suami / bakal isteri. Menariknya di setiap halaman pertama bab, ada petikan daripada Al-Quran dan Hadith yang boleh kita jadikan panduan. Cuma cetakan pertama yang saya beli ni banyak sangat typo dan kelemahan dari sudut editing. Mungkin boleh diperbaiki untuk cetakan akan datang. :)
Tajuk mahar setulus hati ni saya rasa lebih terjurus kepada Emir, watak hero dalam cerita ni, dimana dia memberi hatinya dengan tulus untuk menyayangi dan cuba untuk merubah peribadi Harlina yang semakin hari semakin liar akibat dari perselisihan faham dengan ayahnya. Terdapat banyak pengajaran yang boleh diperolehi dari cerita ini dan pengolahan ayat pon ok. Cuma agak bosan sedikit pada bahagian akhir, kerana seolah-olah penulis cuba mengulang kembali konsep bila terhantuk baru terngadah dan bila kehilangan baru menghargai.