Travelog ini merakamkan catatan peribadi Aishah Ghani semasa mengejar cinta pertamanya, iaitu melanjutkan pelajaran di London pada tahun 1955. Dari atas kapal Canton sehingga tiba di pelabuhan Tilbury, London, beliau menulis dengan ringkas, tetapi padat tentang setiap tempat dan peristiwa yang dilalui semasa berlayar serta sepanjang beliau tinggal di sana sehingga tahun 1958. Dalam setiap tulisannya, ada suara berani dan bernas yang penuh semangat nasionalisme meskipun jauh di negara lain. Bukan itu sahaja, travelog ini mewakili pandangan seorang perempuan Melayu tahun 50-an yang tajam dan kritis.
Buku ini merupakan himpunan catatan peribadi Aishah Ghani sewaktu melanjutkan pelajaran di London pada tahun 1955. Bermula daripada detik perpisahan di pelabuhan Tanjung Pagar sehingga tiba di pelabuhan Tilbury, London, beliau merakamkan setiap peristiwa dan tempat dengan ringkas tetapi bernas. Saya dapat merasai hangat semangat nasionalisme dan patriotisme dalam setiap tulisan penulis. Keberanian Aishah Ghani mengeluarkan pandangan kritis dan tajam dilihat sebagai sesuatu yang mengkagumkan, lantaran rata-rata kaum wanita pada zaman itu masih dilihat sebagai terkongkong, pasrah, mudah mengalah dan kurang jiwa melawan. Keputusan untuk meninggalkan suami dan anak-anak demi mengejar cita-cita melanjutkan pelajaran di luar negara bukan sesuatu yang mudah. Di antara yang tinggal dan bakal pergi terentang sebuah pertanyaan agung, “Bilakah kita akan berjumpa lagi?”. Pembaca akan menjiwai gelodak rasa sedih dan pilu yang dihadapi oleh penulis pada bab-bab awal buku. Atas dasar kasih akan tanah air supaya kehidupan masyarakat, khususnya golongan wanita dapat ditingkatkan martabatnya maka keazaman dan kecekalan hati dikuatkan jua. Buku ini amat penting sebagai khazanah catatan kembara yang tidak ternilai. Jarang sekali, malah boleh dikatakan tiada langsung catatan kembara yang ditulis oleh wanita tempatan pada tahun-tahun sebelum merdeka. Pada waktu itu, kehidupan seorang wanita sudah dianggap lengkap apabila bersuami dan mempunyai anak-anak, hidup mereka diabadikan sekitar hal ehwal rumah tangga. Maka sudah pasti perbuatan meninggalkan kehidupan yang “lengkap” tersebut amat sukar diterima oleh masyarakat. Walaubagaimanapun, pengorbanan Aishah Ghani berbaloi apabila catatan beliau telah meninggalkan sebuah legasi berharga tentang kaedah memajukan pemikiran bangsa dan cara membina masyarakat yang bejiwa besar. Bukan sahaja catatan ini berfungsi sebagai khazanah ilmu bahkan Aishah Ghani pada zaman itu berniat untuk menjadikan sebahagian hasil daripada jualan buku ini sebagai dana untuk membantu pemuda dan pemudi yang berkebolehan melanjutkan pelajaran mereka. Tidak dapat disangkal lagi, buku yang beliau tulis ini adalah anugerah yang hebat buat Ibu Pertiwi. Buku ini dibahagikan kepada empat bahagian: Sepanjang Pelayaran Singapura ke London, Bandar London Bandar Cita-Cita, Kolej Malaya Kirkby College dan Sosiobudaya England. Ada beberapa bahagian yang ditulis telah menarik perhatian saya. Pertama Aishah Ghani tidak gentar untuk mengemukan hujah kritis sebagai jawapan balas kepada orang putih di negara mereka sendiri (fahami situasi di mana Inggeris masih menjajah Tanah Melayu tatkala itu). Ketika di Aden, beliau berhujah dengan seorang warga Irish, Gabriel P. Oholohan tentang Pelabuhan Aden. Olohan mengatakan bahawa orang-orang Inggeris berjasa besar atas pembinaan pelabuhan ini, jika tidak tentu masyarakat Aden akan mati kebuluran kerana mereka tiada hasil bumi sendiri. Aishah dengan lantang menjawab, “Orang-orang engkau tiada mahu rugi kalau tak ada untung, bukankah di Aden ini ada mengeluarkan minyak petrol yang akan dipunggah oleh Inggeris ke luar negeri.” Hanya orang yang berpendidikan dan berhati waja seperti beliau mampu memberi komentar sesinis itu. Seperkara lagi, saya mempelajari maklumat baru bahawa Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu pernah membuka kolej bagi melatih guru-guru sebelum menjadi guru di bumi Inggeris! Kolej yang diberi nama Kirkby College ini ialah hak Tanah Melayu di England, segala perbelanjaan yang bersangkutan dengan kolej ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Tanah Melayu. Seramai 300 orang murid belajar di sana. Tiap-tiap murid akan menjalani dua tahun kurusus. Murid-murid yang dihantar adalah atas pilihan Pejabat Pelajaran Tanah Melayu. Pada pandangan Aishah, inisiatif ini bagus untuk meluaskan pengaalaman anak tempatan memerhatikan kemajuan peradaban barat untuk diusahakan di tanah air kelak. Namun, penulis juga menyatakan beberapa kritikan terhadap usaha ini, antara yang lain berkenaan kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan Tanah Melayu dan pergaulan pelajar Tanah Melayu yang tidak berkembang kepada masyarakat Inggeris tempatan. Aishah juga telah menyampaikan beberapa pandangan bernas berkaitan seni, sastera, pembangunan dan budaya setelah melakukan perbandingan antara masyarakat di England dan rakyat di tanah air. Saranan-saranan yang beliau kemukan masih relevan dengan situasi yang kita hadapi kini. Saya teringat kepada sebuah travelog kembara yang menyerupai naskhah ini sewaktu membacanya. Buya Hamka beberapa tahun sebelum kembara Aishah Ghani sudah melakukan perjalanan ilmiah ke Amerika selama empat bulan. Catatan ini dirakamkan oleh Buya Hamka menerusi buku beliau, 4 Bulan di Amerika. Dan Aishah Ghani ada menyebut perihal kembara Hamka di dalam bukunya. Satu kebetulan yang indah. Jika disebut Melayu pertama mengelilingi dunia, sudah pasti kepala kita segera membayangkan sosok gagah Panglima Awang@Magellan. Maka, Aishah Ghani adalah wakil kaum wanita, sebagai wanita Melayu pertama mengelilingi dunia.
Tetap memuaskan, walaupun hasil tulisan bekas senator wanita pertama negara merangkap veteran wanita UMNO ini serba ringkas sahaja. Mungkin kerana signifikannya dari segi sejarah buat kaum ibu di Malaysia, mahupun kisah berkaitan lain yang tidak kurang pentingnya dalam catatan perjalanan Tanah Melayu ketika diambang kemerdekaan pada waktu itu.
Buku ini menjadi bukti kukuh bahawa kaum ibu di Malaysia, dari keluarga Melayu terutamanya, ketika zaman pra merdeka juga sudah mula berhijrah keluar negara demi menagih secebis ilmu. Tidak semua kaum ibu di Tanah Melayu dahulukala seperti yang kita biasa gambarkan, cuma terperuk di dapur atau di rumah sahaja menguruskan keluarga. Tidak lebih dari itu. Ternyata dari kisah buku ini, terdapat juga segelintir kaum ibu yang telah melawan arus ketika itu. Mereka cekal berhijrah meninggalkan suami, anak tercinta di tanah air demi secebis ilmu bagi menaikkan taraf diri, sekaligus memandaikan bangsa.
Kisah menarik dari catatan Tan Sri Dr Hajah ini yang pertamanya berkisarkan pengalamannya selama mengembara dengan kapal laut dari Singapura ke London dalam tempoh masa 26 hari. Catatan travelog masakini kita sudah biasa dengan cerita kapal terbang udaranya, namun tidak dengan kapal lautnya. Pasti lebih mengujakan untuk dibaca.
Dari setiap tempat yang disinggahi dan dilaluinya (Bombay, Pulau Ceylon, Terusan Suez, Port Said antaranya), membawa kepada gaya hidup penumpang sepanjang berada di atas kapalnya, kepada setiap individu yang beliau kenali sepanjang berada di atas sana, hinggalah kepada perincian kapal serta apa yang ditawarkannya kepada setiap pelanggan yang melayarinya. Sememangnya suatu pengalaman yang menarik dapat mengembara dengan medium pengangkutan cara lama ini.
Kisah lain yang tidak kurang menariknya adalah berkaitan usaha Tanah Melayu ketika sebelum merdeka itu yang telah pun menghantar anak bangsa ke England demi meneruskan agenda pendidikan negara. Setiap tahun, 150 pelajar dari pelbagai kaum dihantar untuk menuntut di Kirkby College di Liverpool, mahupun ke Brinsfold Lodge College di Wolverhampton, sebagai persediaan untuk menjadi guru Bahasa Inggeris di tanah air sejurus mereka kembali selepas 2 tahun menuntut ilmu disana. Secebis tanah & bangunan di tanah Eropah sana menjadi hakmilik Tanah Melayu sepenuhnya. Amat besar signifikannya dalam meneruskan agenda meningkatkan taraf hidup rakyat Tanah Melayu selepas merdeka di era itu.
Kisah menarik lainnya berkisar kepada kisah anak rantau kita yang telah lama bermastautin di Liverpool, yang kebanyakannya menjadi kelasi kapal sejak sekian lama. Mereka telah berkeluarga, beranak-pinak, serta telah berasimilasi sepenuhnya dengan cara hidup disana. Namun jauh di sudut hati mereka pastinya merindui kampung halaman serta sanak-saudara di Tanah Melayu. Teringat saya pada buku Pulang, kisah benar yang telah diadaptasi menjadi filem menceritakan kisah benar berkaitan ini. Dari catatan penulis lainnya terdapat juga anak Melayu yang tinggal di Cardiff, Wales ketika itu.
Kisah cukai pendapatan, nikah kahwin, cara bersosial, serta penghargaan orang sana terhadap tumbuh-tumbuhan serta bunga-bungaan juga antara topik lain yang dikupas menarik oleh penulis. Tidak kurang juga muzium dan tempat menarik yang dilawati beliau sepanjang berada di sana.
Walaupun masa sudah lama berlalu sejak catatan ini ditulis pada tahun 1955, negara kita juga telah banyak berubah menjadi lebih maju dari segala seginya kini sejurus selepas merdeka. Namun pasti ada perkara yang boleh kita perbaiki jika diamati sebetulnya. Banyak perkara yang telah berubah, namun sedihnya masih juga terdapat perkara yang masih di takuk yang lama.
Bagusnya buku sebegini jika dibaca dan dikaji boleh membuatkan kita sentiasa menimbang tara segala perkara. Adakah negara kita, bangsa kita, mahupun mentaliti kita sudah maju kini. Ataupun seperti waktu buku ini dihasilkan pada tahun 1950an, masih sama sahaja.
Selesai membaca buku ini terus saya teringatkan buku 4 Bulan Di Amerika Jilid 1 oleh Hamka dan Imam Di Kota Paris: Kembara Seorang Imam Di Kota Paris oleh Imam Rafi Al-Tahtawi. Walaupun dua buah buku tersebut lebih kaya dengan isi dan huraian pengarangnya (yang merupakan orang besar negara masing-masing) ketika berada di Amerika Syarikat dan Paris, Perancis ketika di zamannya, namun buku oleh Aishah Ghani ini tetap terasa lebih dekatnya.
Kerana beliau berasal dari sesama kita. Beliau membesar di tanah air yang sama, menghirup udara yang sama, makan makanan yang lebih kurang sama, malahan yang penting lagi bertutur dalam bahasa yang sama.
Kerana setiap yang diceritakan beliau itu melambangkan kita 😊
Semoga berkesempatan untuk menelaah buku-buku sebegini lagi nanti.
Buku Ibu Melayu ini diterbitkan semula oleh ITBM setelah kali pertama ia diterbitkan sendiri Tan Sri Aishah kira-kira 56 tahun lalu, menceritakan pengalamannya berkelana ke kota London pada tahun 1955 untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan kewartawanan. Dalam Memoir Shamsiah Fakeh yang saya baru baca, ada tersebut nama Aishah Ghani sebagai pernah menganggotai Angkatan Wanita Sedar (AWAS), sayap wanita Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Aishah kemudiannya keluar dari AWAS sebelum menyertai Umno pada tahun 1949. Nasib kedua-dua tokoh wanita ini kemudiannya menjadi sangat berbeza. Shamsiah terpaksa lari ke hutan menyabung nyawa akibat diburu penjajah Inggeris sebelum berlepas ke China manakala Aishah pula berkesempatan melawat tanah si penjajah di ibu kota London.
Bahagian awal buku ini mengisahkan kesukaran yang Aishah tempuhi terpaksa berpisah dengan anak-anak dan suaminya demi mengejar cita-cita melihat negara orang. Puisi yang dikarangnya, Aku dan Cita-cita ditujukan kepada suaminya yang tersayang sebagai tanda peritnya perpisahan yang dia sendiri minta itu. Pelayaran beliau ke London dari Singapura melalui Ceylon, Bombay, Aden, Suez dan Port Said. Sampai di London, beliau telah jatuh kagum dengan kota itu; kereta api bawah tanahnya, emansipasi wanitanya, penghargaan warganya terhadap seni dan lain-lain lagi. Daripada memuji kecantikan penghasilan patung-patung lilin secara berlebih-lebihan sehingga mewajarkan penghasilan gambar termasuk patung kayu manusia telanjang lantaran diiktiraf sebagai seni estetika, Aishah dilihat telah tenggelam dalam ketakjubannya sendiri. Malangnya, ketakjuban beliau terhadap budaya masyarakat di sana telah menjerumuskannya kepada mengkritik bangsanya sendiri secara tidak adil, seperti yang pernah dilakukan oleh Abdullah Munsyi dalam Kisah Pelayaran Abdullah dan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam The Malay Dilemma.
Dalam meluahkan rasa tidak senangnya terhadap seni tari Melayu yang dianggapnya tidak setanding dengan seni tari Barat, beliau menyebut “Kita sangat miskin dengan seni tari” dan “Boleh dikatakan orang Melayu tidak ada langsung mempunyai tarian yang harus dibanggakan sebagai kesenian bangsa”. Sudah tentu tuduhan ini agak keterlaluan keluar dari beliau yang dikatakan mempunyai latar belakang pejuang bangsa. Bidang sastera juga turut dipandang rendah oleh beliau apabila secara sinis beliau menulis “Saya yakin, suatu masa kelak akan tumbuh juga ahli sastera yang akan dapat memperkaya bahasanya, supaya jangan menjadi suatu bahasa yang mempunyai lorong yang amat sempit dan sangat terhad penggunaannya”. Aduh, Aishah Ghani barangkali terlalu melulu dalam melemparkan pandangannya. Pada zaman itu Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS 50) sudah tertubuh dengan sederetan nama besar dalam bidang kesusasteraan seperti Keris Mas, Masuri SN, Awamil Sarkam dan lain-lain. Malah dua puluh tahun sebelum itu, Pak Sako telah pun menulis Putera Gunung Tahan pada tahun 1937. Apakah ini pun tidak meyakinkan Aishah? Atau beliau telah memakai pemikiran penjajah yang memandang rendah kepada semua pelakuan bangsanya?
Selebihnya, buku ini memuatkan suasana sosiobudaya di England termasuk bagaimana mereka membayar cukai pendapatan, keadaan di studio perfilemannya di mana Aishah turut berpeluang melakonkan watak tambahan dalam filem A Town Like Alice, cara orang Inggeris berkahwin dan sebagainya. Membaca cerita-cerita sebegini, saya seperti membaca karya kolonial; memuji-muji bangsa orang putih dan memandang orang Melayu sebagai bangsa mundur yang perlu dikasihani. Amat malang tulisan ini lahir dari seorang tokoh wanita Melayu yang disanjung tinggi seperti beliau. Saya tidak dapat nampak kebenaran penyataan pada kulit belakang buku ini yang menyatakan bahawa “dalam setiap tulisannya, ada suara berani dan bernas yang penuh semangat nasionalisme meskipun jauh di negara lain.” Sebaliknya, ia penuh wacana kolonial atau sekurang-kurangnya berpemikiran terjajah.
Saya memang mencari salinan buku ini apabila membaca reviu penulis, kak Nisah Haron. Bukan mudah untuk berjumpa dengan buku ini, kerana salinan asal hanya ada di 2 tempat: 1. Perpustakaan Universiti Malaya, Malaysia dan 2. British Library, London.
Terima kasih kepada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) kerana mengambil inisiatif untuk menerbitkan buku ini semula.
Alhamdulillah, dalam masa 6 jam, saya selesai membaca buku autobiografi Ibu Melayu ini. Saya bersetuju dengan kak Nisah Haron yang menyatakan buku ini dinobatkan sebagai buku autobiografi pertama oleh seorang wanita Melayu.
Buku yang ditulis pada era 1950-an ini masih mempunyai banyak buah fikiran yang sehingga kini relevan. Tan Sri Dr. Hajah Aishah Ghani menulis dengan ringkas tetapi padat. Isinya terus ke mata hati. Penulisannya kritis dan tajam.
Dan saya kagum dengan seorang Ibu Melayu yang ingin mengejar cita-citanya untuk menyambung pelajaran, pada umur 30-an. Antara keluarga dan cita-cita, kental semangatnya. Begitu juga kasih seorang suami kepadanya, yang memahami cita-citanya dah menjaga anak mereka selama 3 tahun.
Ibu Melayu ini banyak berpandangan jauh ke hadapan melampaui zamannya. Malahan melontarkan beberapa ide dan pendapat mengenai hak keistimewaan seorang wanita di Britain tika itu. Pada zaman 50-an, hanya England telah memberikan hak mengundi untuk wanita, tetapi Switzerland masih belum meluluskan rang undang-undang mengenai hak mengundi untuk wanita.
Dalam masa sama, walaupun beliau memuji beberapa hak di Britain, tetapi beliau juga tidak ragu mencela pergaulan bebas tanpa batas anak muda mudi di sana.
Dan harapannya untuk Tanah Melayu. Ya, anda harus ingat, beliau ke England pada ketika itu ketika Tanah Melayu masih dijajah oleh British.
Tan Sri Aishah juga sempat melawat Kolej Malaya: Kirkby College dan Brinsford Lodge College, kedua-dua kolej perguruan untuk guru-guru dari Tanah Melayu. Pada masa yang sama beliau melontarkan, bahawa ruginya ekonomi Tanah Melayu apabila wang mengalir keluar, walhal guru-guru ini yang 100% dari Tanah Melayu boleh sahaja dididik di Kirkby College cawangan Tanah Melayu.
Begitu juga kita melihat kritis pemikiran seorang ibu muda. Apabila beliau menyatakan betapa sastera di Tanah Melayu masih dipandang rendah. Dan nilainya semakin hilang.
Walau bagaimanapun, buku ini seperti tergantung dan saya kira tidak akan ada sambungan lagi apabila penulis baru sahaja meninggal dunia.
Saya lebih suka sekiranya penulisan ini dikekalkan dalam bahasa Melayu lama dengan ejaan lama, nampak keindahan bahasa Malaysia yang berubah mengikut aliran zaman. Umpama buku-buku tulisan Shakespeare atau JRR Tolkein, masih dikekalkan penulisan menggunakan bahasa lama Inggeris untuk mengekalkan rasa aslinya.
Teruja membaca dan membandingkan kehidupan UK sekarang dan pada tahun 1955. Juga ada beberapa isu yang diangkat penulis dan boleh dijadikan pedoman. Meskipun ada yang merasakan isu yang diangkat itu mengagungkan England, tapi saya melihat dari aspek positif untuk bermuhasabah diri.
Ada banyak fakta-fakta menarik yang baru bagi saya di samping menghadami corak pemikiran masyarakat Melayu pada zaman itu.
Nanti teringin juga nak mencari Kirby College di Liverpool!
Walaupun buku ini ditulis sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, namun buah fikiran serta kritikan penulis di dalam buku ini masih segar dan boleh diambil pedoman buat kita pencinta Tanah Air yang ingin negara kita terus maju dan bebas daripada jajahan pelbagai pihak.
Sungguh cekal hati seorang ibu dan isteri yang sanggup meninggalkan ahli keluarganya demi mengejar cita-cita di Kota London kerana dia tahu ada sesuatu “mutiara” yang dia akan perolehi sepanjang pengembaraannya di sana.
Antara pengalaman yang sangat sukar untuk dirasai pada zaman sekarang ialah mengembara di atas kapal kerana zaman ini sudah disediakan perkhidmatan kapal terbang yang akan mempercepatkan lagi perjalanan yang sebelum ini memakan masa berpuluh-puluh hari untuk merentas benua. Namun, catatan Tan Sri (Dr) Hajah Aishah Ghani sediki sebanyak memberi gambaran kasar kepada saya keadaan sebenar pengembaraan di atas kapal. Apa yang dialami dan apa yang dirasai sehinggalah kapalnya berlabuh di England.
Benarlah kata penulis bahawa kita akan mempelajari banyak perkara apabila mengembara. Lihat sahaja tingkah laku rakyat British yang bijak membahagikan masa di atas kapal. Ada masa berehat. Ada pula masa membaca buku. Tabiat yang sebeginilah yang membentuk masyarakatnya menjadi sebuah negara yang maju dan bebas. Ya. Disiplin dan kesedaran di dalam menuntut ilmu.
Penulis juga ada menceritakan kaum ibu dan wanita di sana sudah lama memperjuangkan hak mereka selama bertahun-tahun dan akhirnya mereka memperoleh hak yang sama dengan lelaki. Berbeza sekali dengan kaum ibu di Tanah Melayu pada waktu itu. Tidak diberi hak yang sama seperti kaum lelaki terutama sekali dalam bidang pendidikan. Kata mereka cukuplah berada di rumah mempersiapkan makanan buat suami dan juga anak-anak. Sedangkan kaum ibu lah madrasah pertama anak-anak yang perlu diberikan pendidikan yang sempurna agar anak-anak yang lahir mempunyai kesedaran untuk membebaskan tanah air kita.
Penulis juga ada mengkritik rakyat di negara kita kurang menitikberatkan soal seni sedangkan senilah yang memaparkan keindahan sesuatu perkara. Melalui senilah, kita boleh pelajari sesuatu dengan susunan warna dan kata. Namun, sayang sekali rakyat ketika itu tidak sebebas fikirannya seperti rakyat British yang sanggup menghabiskan wang untuk memartabatkan seni.
Walaupun terlalu banyak perkara yang dikritik oleh penulis terhadap tanah melayu dan terlalu banyak perkara yang dipuji oleh penulis terhadap Kota London. Namun, penulis sangat berharap agar rakyat di Tanah Melayu tidak terlalu bebas seperti rakyat British agar dapat mengekalkan kesopanan dan adat orang Melayu.
Kritikan-kritikan penulis terhadap Tanah Melayu, tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menyedarkan rakyat kita agar bebaskan diri daripada dijajah sama ada secara fizikal mahupun fikiran. Siapkan diri dengan ilmu kerana pemuda pemudi yang cerdik pandai sahajalah yang dapat memajukan negara kita.
Terlalu banyak jasa dan pengorbanan orang terdahulu untuk memastikan negara kita mencapai kemerdekaan. Bermula daripada mencetuskan kesedaran hinggalah bersama-sama memajukan negara. Kini, giliran kita pula untuk mengekalkan keamanan dan kamajuan negara kita.
Golongan perempuan tidak dapat tidak lari daripada pandangan bahawa tempat mereka hanyalah di dapur sahaja. Seiring dengan kemajuan dan berfikiran terbuka, lama kelamaan golongan perempuan juga perlu kehadapan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dari segala aspek termasuklah pendidikan, kerjaya, dan sebagainya.
Situasi inilah yang dihadapi oleh Tan Sri Dr. Hajah Aishah Ghani yang berat hati mengambil keputusan meninggalkan keluarganya untuk mendapatkan pendidikan lebih tinggi di London, England sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan (1955-1958). Keberangkatan penulis merentasi lautan selama 26 hari bertitik tolak daripada kemahuannya yang mahu mengangkat taraf perempuan yang lebih tinggi di samping menjadi tauladan kepada orang lain bahawa pengorbanannya meninggalkan tanah air bukanlah satu pekerjaan sia-sia.
Penulis mencoret pelbagai peristiwa dan kenangan untuk kita ambil panduan dan pengajaran, antaranya kewujudan Kirkby College dan Brinsford College di England yang dimiliki oleh kerajaan Tanah Melayu bertujuan melatih guru-guru sebelum mengajar di tanah air. Penulis mengkritik keberadaan kolej tersebut yang mana kos belanja ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Tanah Melayu yang sepatutnya boleh dibina di negara sendiri.
Antara lain penulis menceritakan perjuangan kaum perempuan Britain menuntut peluang mengundi pilihan raya, sikap mereka terhadap golongan berkulit hitam, keprihatinan terhadap khazanah lama yang ditempatkan di muzium, kemajuan dalam industri perfileman; penulis turut menyebut perjalanan Hamka sebelumnya ke Amerika (bukunya 4 Bulan di Amerika), dan pelbagai lagi kisah yang dimuatkan dalam travelog ini.
Sesungguhnya kita boleh berbangga bahawa wanita Melayu juga mempunyai kemampuan yang tinggi dalam memastikan mereka ini punya watak yang penting dan tidak boleh dipandang enteng.
Mengambil kira tahun pengembaraan Tan Sri Dr Aishah Ghani ke bumi Inggeris, tidaklah saya berasa beliau terlalu mengagungkan bangsa dan negara tersebut. Beliau juga adil dalam memberi pandangan, tidak kira yang baik dan buruk itu di tempat sendiri atau tempat orang.
Walaupun ditulis pada tahun 50-an, sesetengah masalah yang diutarakan masih wujud hingga hari ini. Antaranya adalah sikap masyarakat yang sanggup berhutang untuk majlis perkahwinan kerana takut dikata orang, dan terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan dalam hal pendidikan.
Melihat masalah sosial dan pergaulan bebas di kota London, beliau dapat menjangka bahawa penyakit ini akan menyusup juga ke tanah air sendiri suatu hari nanti. Dan itulah yang sedang terjadi.
Tidak puas rasanya membaca travelog wanita yang masih mengekalkan identiti ketimuran walaupun di negara orang ini. Semoga ada diterbitkan sambungannya nanti.
Ringan sahaja. Namun penuh berseni dan punya info tersendiri.
Kenapa saya katakan buku ini punya info tersendiri? Kerana buku ini merupakan suatu catatan peribadi Almarhum Tan Sri Aishah Ghani menuju Kota London, menaiki kapal laut untuk menyambung pelajaran di London sebelum kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1955.
Sebagai generasi pasca merdeka, malah millennials, kita mungkin sudah tidak terdengar lagi catatan-catatan orang-orang lama menaiki kapal laut dan jalan-jalan yang ditempuhi mereka. Jika menaiki kapal terbang, memang kita tidak akan berjumpa kembara pengalaman seperti ini.
Setiap persinggahan, beliau menulis dengan penuh terperinci apa yang dilihat, malah beliau juga sempat singgah membuat pertemuan dengan masyarakat Melayu semasa transit di Colombo.
Antara jalan yang dilalui bermula dari :
Pelabuhan Singapura --> Pulau Pinang --> Teluk Benggali --> Colombo, Ceylon (Sri Lanka) --> Bombay --> Laut Arab --> Aden (عدن), Yemen --> Laut Merah --> Pelabuhan Suez --> Terusan Suez --> Port Said --> Laut Mediterranean --> Selat Gibraltar (ha, betul..yang Thariq bin Ziyad tu.. hehe) --> Laut Atlantik --> Teluk Biscay --> English Canal --> Pelabuhan Tilbury, London.
Jarak waktu perjalanan dari Malaysia ialah 26 hari.
Diceritakan sebelum terbinanya Terusan Suez, mereka yang mahu ke negara Eropah terpaksa melalui Laut Atlantik di sebelah benua Afrika yang merbahaya dengan ombak yang garang. Mereka yang berkelana biasanya akan berhenti dan berdoa di satu tempat yang dipanggil "The Cape of Good Hope" atau "Tanjung Harapan" di Afrika Selatan. Tidak sedikit korban laut pada zaman dahulu untuk ke negara-negara Eropah dan juga sebaliknya. Terusan Suez juga boleh by pass atau memendekkan jarak perjalanan sebanyak lebih kurang 9000 km jika melalui Lautan Atlantik.
Banyak cerita-cerita sedih, malah keperwiraan yang dikaitkan dengan pembinaan Terusan Suez sejauh 190.3 km ini. Apapun, Terusan ini akan terus memahat sejarah yang besar dalam tamadun peradaban manusia terutamanya sebagai penghubung dua dunia yang berbeza, timur dan barat.
Di satu sudut lain, buku ini mengajarkan kita bahawa emansipasi wanita itu bukanlah perjuangan seorang diri dan meliputi diri wanita sahaja. Tan Sri Aishah Ghani telah meninggalkan 3 orang anak beliau yang masih kecil dalam jagaan suaminya bertahun-tahun lamanya sebelum kembali. Suaminya menjadi tulang belakang kepada perjuangan beliau. Tidak mudah untuk kita melihat suasana seorang lelaki berjiwa besar terutamanya pada zaman sebelum merdeka. Sehingga beliau mencoretkan tulisan khusus untuk suaminya atas pengorbanan yang tidak sedikit.
Buku ini telah dicetak dan dikeluarkan oleh Institut Terjemahan Buku Negara (ITBM) dan saya mendapatkannya dari kedai buku terpakai dengan harga RM 10.
Sangat menarik dan sesuai untuk menjadi teman santai pembangun jiwa sementara tempoh PKP ini.
P/s : Sekarang terasa mahu mencari catatan-catatan perjalanan daripada ulama-ulama pula. Sahabat-sahabat boleh cadangkan. ☺️
Buku ini harus diukur pada masa ianya ditulis dan diterbitkan, sekitar tahun 50-an. Dalam era itu, memang ternyata buku ini mengagumkan, pengalaman yang ditulis oleh seorang wanita yang mengembara kerana cita-cita. Wanita itu pula bukanlah wanita bujang sepertimana kebanyakkan wanita-wanita muda kita kini yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, tetapi sebaliknya wanita itu sudah berusia 30-an, sudah bersuami dan mempunyai tiga orang anak yang terpaksa ditinggalkan demi mengejar sebuah cita-cita. Puisi yang dinukilkan oleh penulis di awal buku ini sangat meruntun jiwa mana-mana isteri dan ibu yang membacanya.
Ya, ternyata saya bersetuju dengan pandangan penulis tersohor, Nisah Haron yang mengatakan buku ini ialah travelog wanita Melayu secara solo yang pertama di dunia! Travelog pengembaraan beliau melalui jalan air dari tanah Melayu hinggalah ke kota London. Tak mungkin kita akan berjumpa lagi dengan travelog jalan air begini di masa kini. Penulis walaupun menceritakan secara ringkas dengan menggunakan gaya bahasa yang mudah tentang pengalaman beliau, tetapi ternyata beliau berjaya menyentuh beberapa aspek penting perbandingan antara perkembangan dan budaya Barat pada masa itu dengan keadaan dan suasana di Tanah Melayu.
Yang paling mengagumkan ialah beberapa komentar kritikan yang telah dinukilkan penulis tentang bangsa dan negara kita yang ternyata sangat kritis dan kritikal yang relevan hingga kini. Contohnya seperti kritikan beliau dalam aspek seni tari dan muzik kita yang tidak dimajukan dengan baik, sedangkan kita kaya dengan kesenian. Beliau juga ada mengkritik bagaimana agamawan yang terlalu cepat menghukum apabila berkaitan dengan seni dan sikap bangsa Melayu yang memandang rendah dalam aspek kesenian.
Yang paling menarik perhatian saya adalah dalam bab tentang perjuangan kaum ibu di Britain yang dinukilkan oleh beliau. Ternyata, beliau punya semangat emansipasi wanita yang tinggi, beliau membaca, melihat dan mengkaji tentang perjuangan wanita di Britain. Peluang berada di Kota London itu digunakan sebaiknya untuk melihat sendiri tentang perjuangan ini. Beliau juga menyertai Labour Party Summer School untuk mengetahui lebih lanjut tentang politik di Britain ini. Beliau melawat Kirkby College untuk meninjau aspek pendidikan Melayu di sana.
Ibu Melayu ini sangat tinggi semangat nasionalisnya, cintakan bangsa dan negara, sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan menyumbang kepada tanah airmya walaupjn berada jauh di negara orang pada ketika itu.
Ternyata, membaca buku ini memberikan saya semangat untuk terus menuntut ilmu, untuk terus menulis dan mencatat pelbagai pengalaman yang saya dapat.
Travelog ini walaupun bukannya memberikan gambaran menyeluruh tentang kehidupan penulis di London mahupun tempat-tempat persinggahan penulis ketika berlayar ke London, tetap memberikan gambaran yang menarik tentang pandangan atau gagasan idea penulis. Saya suka pada pendapat penulis yang pelbagai, contoh, 1. Perihal penulis menentang orang Inggeris yang menyebut mereka datang ke Aden dan memajukan Aden walhal hakikat sebenar, mereka sibuk berebut menggali perigi minyak untuk dibawa pulang ke negara sendiri. 2. Perspektif penulis perihal kehidupan orang Inggeris yang sangat bebas hingga hilang sifat malu. 3. Kirkby College untuk bakal-bakal guru Malaysia mempelajari sistem pendidikan yang diserap dari Tanah Ratu ini, begitu jua pandangan penulis tentang aliran tunai kerajaan Malaysia menanggung kolej ini 4. Kehidupan orang Melayu yang sangat susah. 5. Aliran seni yang sehingga kini masih belum dimajukan atau diajar secara formal. Begitu juga aliran sastera, di mana pernah disebut sebagai harapan penulis agar menjadi lebih bagus dari sedia ada (namun polisi pendidikan kebangsaan, kadang-kala menyebabkan Bahasa Melayu semakin dipinggirkan)
Banyak yang penulis kupas, yang saya kira masih relevan hingga kini. Sayangnya buku ini sepatutnya bersambung, namun dinoktahkan sebegitu sahaja. Benar asyik saya membacanya lewat malam tadi. Sebuah kisah hidup, kisah perjuangan, yang mencerminkan gagasan dan pandangan penulis yang melangkaui zaman.
Selesai membaca Kembara Sastera Nisah Haron: United Kingdom dan Dublin (KSNH), dipadankan pula dengan buku ini; Ibu Melayu Mengelilingi Dunia(IMMD): Dari Rumah Ke Landon. Tidak dapat tidak, kedua-duanya dibanding-bandingkan. Pun begitu, latar masanya berlaku pada zaman 1950-an, dan KSNH pula pada tahun 2011.
Penulis IMMD menghurai dengan panjang lebar tentang tempat yang disinggahi. Memang jelas, penulis sangat kritis mindanya dan selalu membanding-bezakan pula Malaya dengan Tanah Inggeris (sesuai dengan judulnya). Lebih-lebih lagi tentang sosio-budaya masyarakat dan terselit perjuangan mencapai kemerdekaan. Bahasa penulis sangat indah dan lancar; tidak terasa gugup dalam mengadun fakta.
Pembaca mengembara London pada zaman 1950-an...dan dapat pula mengiakan dan memikir (keadaan pada zaman sekarang) akan harapan penulis yang kadang-kadang bertebaran di beberapa bab seperti: "Di negara ini sebegini banyak tempat pelesiran dan tempat hiburan, tentulah mereka lebih tertarik kepada kesenangan. Keadaan ini tidaklah patut menjadi contoh kepada pemuda-pemudi kita di Malaya. Malaya yang sedang bergerak menuju kemerdekaan menyandarkan nasibnya kepada pemuda-pemudinya- pemuda-pemudi yang kecerdasan dan kekuatan mereka lebih daripada orang tua."
Naskhah ini secara peribadi dirasakan tergantung..dan perlukan susulannya lagi...
"Saya bersyukur kepada Tuhan kerana pada saat saya menempuh kepahitan hidup yang laksana hempedu ini, saya masih dapat berdiri dengan kepala ke atas. Di atas tumpukan hati yang penuh di genangan air mata derita ini, tumbuhlah pohon keinsafan menjalar di jiwa saya. Saya insaf, kebahagiaan hanya dapat dibeli dengan penderitaan, dan demi segala kesakitan dan kepahitan dalam hidup ini ialah batu ujian daripada keimanan belaka."
Buku ini telah diterbitkan kali pertama kira-kira 60 tahun yang lalu. Ia boleh dikatakan sebagai travelog wanita Melayu pertama di dunia. Puan Aishah melakukan pengembaraan secara solo sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Pengalaman beliau adalah mahal kerana kebanyakannya tidak akan dapat dirasai lagi pada hari ini. Contoh menaiki kapal dari Singapura selama 26 hari sebelum berlabuh di London. Ketika itu, laluan air adalah laluan utama.
Keluar mengembara pada tahun 50an secara solo pastinya mencabar. Apatah lagi beliau meninggalkan tiga orang anak, yang paling kecil berumur 1 tahun 8 bulan. Sedangkan pada waktu itu kebanyakan wanita berkahwin dan menjaga anak namun beliau membuat keputusan untuk mengembara dan meninggalkan ahli keluarga. Di awal buku ini dicatatkan segala kesedihan yang perlu ditanggung dan dapat dilihat kecekalan penulis dalam mencapai impiannya.
Perjalanan bermula dari Singapura ke Tanjung Tilbury, London melalui Ceylon, Bombay, Aden, Suez dan Port Said digambarkan secara ringkas dan segala pemerhatian beliau dicatatkan di dalam kembara ini.
Tentang perbezaan yang diceritakan antara Tanah Melayu dan British, ada sebahagiannya sudah tidak ketara lagi pada hari ini. Banyak sistem pendidikan, kesihatan, perundangan yang digunakan pada hari ini dengan mengambil contoh dari sana. Namun, masih ada beberapa kritikan sosial yang masih boleh diambil perhatian dan pelajaran darinya.
Kritikan yang diberikan kepada Kirkby College yang dianggap membazir kerana gaji pengetua sehingga tukang kebun dibayar oleh Tanah Melayu, sedangkan boleh sahaja latihan sebegitu dilakukan di Tanah Melayu sahaja tanpa mengeluarkan perbelanjaan yang besar. Apatah lagi apabila wang itu masuk ke kantung British sendiri.
Saya teringin membaca pengalaman beliau berada di London ketika pengumuman kemerdekaan dibuat. Namun, ia tidak dicatatkan di dalam buku ini. Penulis ini telah pun meninggal dunia pada tahun 2013.
The name Aishah Ghani is familiar to most of us. She was one of the first female leaders in the country. The book is a collection of her journal entries written when she was a student in England in the 1950s. Back then, she was a successful journalist who had to leave her husband and three children behind to pursue her ambition. ~ Reading her book, one can easily see that her mind was very sharp. She was observant and critical. She was political. She had vision. She had worries for her country. And she did not want to remain idle. She wanted to be part of the solution. Society was of the thinking that a woman should settle down after a comfortable marriage. Aishah Ghani, instead, chose progress. What a great woman!
Tarikan utama buku ni ialah latar masa perjalanan dan pengalaman penulis di rantau luar negara, London antara sebelum perang dan selepas perang.
Corak bahasanya selain mudah difahami, indah tersusun. Mungkin dipengaruhi latar pendidikannya yang mengambil jurusan kewartawanan atau ini ayat kebiasaan orang kita gunakan dalam tulisan (mengambil kira latar masa 1950an).
Paling gemarkan penekanan dan pendapat penulis tentang pentingnya nilai seni dan pengaruhnya dalam kehidupan pada akhir-akhir bab.
'Makin halus perasaan manusia makin insaflah dia akan kebesaran Yang Maha Suci.'
Satu nostalgia klasik travelog untuk perbandingan dan perenungan masa kini.
Membaca buku ini setelah selesai membaca buku Kembara Nisah Haron dan juga Ulu Yam di Liverpool, agak kurang adil untuk memberi pandangan. Kerana, apa yang ada dalam 2 buku terdahulu, diharapnya ada dalam buku ini. Kerana ianya kisah kembara. Tetapi tidak ada. Berbeza.
Namun, kisah ibu Aishah ini tetap ada keistimewaannya tersendiri. Pada tahun 1955, ketika berumur 32 tahun, sudah ada 3 anak dan bersuami, tetapi ibu ini cekal untuk merantau demi ilmu.
Ke London.
1955! Bukan 1995! Apalah kemudahan yang ada pada masa itu. Sedangkan untuk ke Eropah pun masih menggunakan kapal. Itu pun 26 hari! Hebat! Sekiranya ibu ini nenek saya (ya, umur beliau sebaya dengan nenek saya!), tentu ini akan jadi inspirasi saya yang paling utama.
Saya sukakan bahagian pertama buku ini. Bahagian selebihnya lebih kepada analisa ibu Aishah berkaitan bumi UK. Apalah agaknya pandangan ibu Aishah tentang perbandingan yang beliau buat dahulu dengan keadaan sekarang?
Kelainan paling istimewa dalam travelog ini ialah perjalanannya melalui jalan air. Pada ketika itu, pengembaraan jarak jauh belum lagi dimonopoli oleh pengangkutan udara seperti hari ini. Antara lain yang menarik, Tan Sri (Dr.) Hajah Aishah Ghani turut mencatat dengan ringkas mengenai tempat-tempat di sekitar pelabuhan yang disinggahi sepanjang tempoh pelayarannya. Beliau juga sangat tegas dan berani dalam menyuarakan pandangan tentang perbezaan antara budaya orang Inggeris dengan orang di Tanah Melayu. Segala yang baik dilihatnya sebagai harapan agar suatu hari nanti akan turut menjadi amalan di tanah air manakala yang buruk dijadikan pula teladan supaya tidak melampaui batas dalam menongkah arus pembangunan.
Catatan pendek saya mengenai travelog ini: pendek tetapi tidaklah padat sebagaimana kata sinopsis. Saya membacanya bersama anak kecil yang berusia 4 tahun. Dia begitu menggemarinya. Saya terhibur juga membacanya meskipun sebagai pengembara veteran saya inginkan huraian yang lebih dalam dan persembahan bahasa yang lebih kemas. Betul ada pembaca yang menonjolkan kekuatan naskhah ini pada idea yang terlontar disana- sini tetapi saya rasa komen-komen itu lebih bersifat mengangkat dan cenderung kerana feminisme pembaca.
Buku ini sederhana sifatnya jika digunakan kayu ukur hari ini. Namun bagi sebuah catatan yang ditulis tahun 1955, dua tahun sebelum Tanah Melayu merdeka, buku ini sangat hebat. Penulis mengembara seorang diri meninggalkan suami dan anak-anak di tanahair demi menuntut ilmu di bumi Inggeris.
travelog yg sarat nostalgia.. menaikkan semangat patriotik ketika membacanya.. penuh kesedaran.. tapi ending tergantung.. hanya diceritakan beberapa bab peristiwa semasa di london dan berakhir begitu sahaja
Membaca buku ini, membuatkan saya teringat kisah-kisah yang pernah diceritakan oleh Tok Yan semasa beliau dan Tok Ali menetap di London sekitar zaman yang sama.
Memandangkan saya hanya dapat membaca naskah ini dalam masa yang singkat, kerana naskah ini merupakan naskah yang dipelihara di arkib universiti dan tidak boleh dipinjam, maka saya hanya memilih beberapa bab yang saya rasa penting dan membaca sepintas lalu perjalanan penulis melalui jalan laut ke London. (Ya, di sini saya rugi kerana tidak dapat menyelami bagaimana keadaan perjalanan penulis ketika itu).
Saya tertarik dengan kritikan beliau terhadap sikap bangsa kita yang tidak mahu melabur kepada pendidikan (pada zaman tersebut). Sama seperti kritikan Za'ba dalam Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri. Seakan-akan hujah tokoh UMNO pada zaman tersebut senada (ini hanya anggapan saya sendiri).
Tidak dinafikan, banyak perbandingan yang dibuat antara masyarakat London dan Malaya. Tidak kurang juga beliau turut menyentuh isu 'color bar' di Britain tidaklah seteruk di Amerika Syarikat pada waktu itu. Tapi masih ada sikap prejudis.
Saya lebih memfokuskan bahagian hujung catatan ini kerana ingin tahu bagaimana keadaan London pada zaman tersebut (perkahwinan, cukai, pilihanraya, sistem kebajikan rakyat dsb). Nampaknya, ada yang tidak berubah dengan zaman sekarang. Dan menarik kerana inisiatif kerajaan mereka sudah bermula lebih awal daripada apa yang saya jangkakan. Tapi, kalau diimbas kembali, sudah tentu negara penjajah seperti Britain lebih mudah untuk maju kerana mereka menjajah, bukan dijajah seperti negara-negara lain yang memerlukan masa untuk memulihkan keadaan selepas perang dunia.
Saya tidak fikir penulis pro penjajah, terlalu mengkagumi. Kritikannya ada pada kedua-dua pihak, baik bangsa sendiri mahupun budaya barat. Dan agak ironi juga sebenarnya, apabila perkahwinan orang London jauh lebih sederhana dan realistik berbanding masyarakat melayu pada waktu itu.