Pertemuan pertama antara Qaseh Hazwani dan Ikmal Hisham membibitkan rasa benci dan prasangka. Namun, dalam diam masing-masing menyimpan rasa hati. Sayangnya, rasa cinta itu dipendamkan kerana diracuni salah sangka.
Ikmal bukan mata keranjang biarpun Lydia tergila-gilakannya setengah mati. Hanya Qaseh yang tidak mengerti perasaannya. Lydia yang kecewa nekad mahu mengenakan Qaseh. Tindakan Lydia telah menghancurkan kepercayaan Qaseh terhadap Ikmal.
“Awak dah salah sangka pada saya. Saya bukannya nak kahwin dengan dia. Saya tahu awak bencikan saya kerana peristiwa tu. Bagi awak, saya ni lelaki yang tak bermaruah, lelaki yang suka berpoya-poya dan gatal. Itu yang awak fikir tentang saya, kan? Saya sayangkan awak dan nak awak jadi isteri saya.” Ikmal merayu.
Malangnya, Qaseh sudah nekad untuk pergi jauh. Ikmal semakin panasaran. Seorang pergi, seorang lagi menanti… Di manakah titik pertemuan mereka?
“Cinta datang sendiri dan kita tak perlukan sebab untuk jatuh cinta...”
Boleh la... untuk bacaan santai. Jalan cerita yang biasa-biasa, kebiasaan berlaku dalam kehidupan masa kini.
p/s: Kerap kali aku berdepan dengan hal ini, iaitu penggunaan kata perbualan dalam Bahasa Inggeris dalam novel Melayu. Tak salah menggunakannya kerana kekadang situasi dan jalan cerita itu memerlukannya tapi kalau boleh penulis perlu pastikan penggunaan nahu/tatabahasa yang betul, jika tidak lebih baik gunakan Bahasa Malaysia sepenuhnya supaya ianya tidak men'cacat'kan novel tersebut serta membuat pembaca merasa kurang enak ketika membacanya. Sekarang ni banyak online tools yang boleh kita guna untuk memastikan Bahasa Inggeris yang digunakan adalah betul. Editor juga memainkan peranan yang penting di sini. Maaflah kalau ada yang terasa tetapi itulah yang saya rasa.