Suhaimi Haji Muhammad @ As-Suhaimi merupakan penyair surelis dan mistik Melayu akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21 yang tersohor dan prolifik. Semenjak tahun 1950 hingga kini, beliau telah menghasilkan 28 kumpulan puisi perseorangan, dengan sejumlah 1,900 buah puisi. Cintamu Umi merupakan kumpulan puisi beliau yang ke-29. Puisi yang terungkap dalam kumpulan ini memperlihatkan betapa setianya Suhaimi Haji Muhammad terhadap aliran dan ciri-ciri surealisme yang dianutinya, walaupun sebelum ini belau lebih cenderung mengungkapkan dan manfaatkan elemen kesufian Islam dalam karyanya, iaitu Wujud, At-Tariq, An-Nur, As-Salam dan Asyik. Suhaimi sering dianggap sebagai penyair yang kontroversial oleh para sarjana dan pengkritik sastera. Justeru, telah ditemui lebih 110 esei atau kritik sastera oleh sarjana dan pengkritik sastera membicarakan Suhaimi Haji Muhammad dan karyanya.
Suhaimi Haji Muhammad menerima pendidikan Melayu dan Inggeris hingga lulus Sijil Senior Cambridge dan menyambung pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim bermula 1951 hingga 1954. Dilahirkan di Kuala Kangsar pada 8 Februari 1934.
Setelah mengajar di pelbagai sekolah rendah dan menengah lebih 20 tahun, iaitu sehingga 1975, beliau berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur sehingga 1989.
Beliau terkenal sebagai penyair surealis dan mistik Melayu akhir abad ke-20 dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden. Mulai 1960 hingga 1980, beliau memberikan dedikasinya terhadap penulisan puisi surealis dan mulai 1980, belia memberikan dedikasi terhadap penulisan puisi mistik hingga ke hari ini.