"Ritma suka duka dunia medik" "Garapan pengalaman berharga renungan bersama"
Jarang dapat kita nikmati karya kreatif hasil para doktor dan ahli-ahli kesihatan Malaysia. Pengalaman dalam bidang tugasan mereka memberikan perspektif berbeza dalam setiap penceritaan.
Antalogi Seharum Kasturi Putih diterbitkan dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) ini bakal membawa pembaca merasai pengalaman baru dan melihat isu-isu yang diketengahkan para penulis yang menceritakan kehidupan seharian berlatar belakang sosial yang pelbagai.
Buku ini terbit lebih awal sebelum Diagnosis, Prognosis, Biohazard dan buku-buku antologi cerpen lain yang bertemakan sains kesihatan. Penulis-penulis juga terdiri daripada mereka yang berkhidmat dalam pengkhususan yang pelbagai.
Setelah membaca buku ini, saya mendapati hasil-hasil penulisan orang yang lebih 'veteran' dalam dunia sains kesihatan ini lain sentuhannya jika dibandingkan dengan penulisan orang-orang muda. Walaupun susunan bahasa tidaklah terlalu 'bombastik' tetapi maksudnya sampai.
Pembaca dihidangkan dengan cerpen pertama yang mempunyai judul yang sama dengan buku (Seharum Kasturi Putih) tulisan Dr Harmy Yusof, seorang pakar perubatan keluarga. Pengalaman yang dikongsikan membuktikan kepentingan hubungan antara pesakit dan doktor yang tidak terbatas di hospital sahaja.
Isu anak luar nikah diketengahkan dalam kebanyakan cerpen yang ada membuktikan realiti masyarakat zaman kini yang sedang mengalami keruntuhan akhlak. Menjadi tanggungjawab seorang pengamal perubatan untuk mendidik masyarakat kerana mereka bukan sahaja berperanan merawat fizikal, malah rohani pesakit juga tidak harus diabaikan.
'Pisang Tidak Berkulit Lagi' tulisan Prof Madya Dr Zakuan Zainy Deris membuatkan diri ini tertanya-tanya mengapa cerpen ini dijudulkan sebegitu. Setelah selesai membaca barulah diri ini tersenyum ketawa.
Penulisan Dr Awisul Islah Ghazali berjudul 'Kuntum-kuntum Bunga Berguguran' adalah cerpen kegemaran saya dalam antologi yang diterbitkan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) ini. Penulis berjaya menggambarkan dengan baik situasi seorang pesakit yang menghadapi komplikasi semasa bersalin (placenta praevia) dan perjuangan para staf perubatan demi menyelamatkan ibu dan anak.
Semoga usaha-usaha memberikan penerangan tentang sains kesihatan kepada masyarakat diteruskan dengan penerbitan-penerbitan sebegini.
Pengalaman orang lain amatlah bermakna. Apatah lagi apabila seharian berhadapan dan berhubungan dengan pelbagai ragam jenis manusia. Pengalaman para pengamal perubatan yang termuat dalam buku kecil ini, sedikit sebanyak membuka seribu satu persoalan minda buat masyarakat kita di Malaysia. Meski tema berkaitan dengan isu kesihatan, namun selitan isu penting kita sering lupa antaranya isu ketentuan Ilahi, isu kemanusiaan dan cabarannya, isu kenegaraan dan kedaulatannya.
Tak dinafikan, wujud juga ramai orang jahil ilmu keduniaan, apatah lagi ilmu agamanya sendiri. Apabila wujud sikap bodoh sombong, makin banyak kesilapan berulang. Akhirnya masyarakat 'jahiliah' kembali semula dengan isu moral dan aqidah.
Moga coretan penulis ini difahami dan diselami dalam jiwa pembaca dalam usaha meningkatkan peribadi dan pemikiran rasional masyarakat kita di Malaysia ini, khasnya buat para Muslimin.
Walaupun dalam kata pengantar penyusun menganggap buku ini sebagai cerpen / karya kreatif saya lebih menganggap ianya sebagai coretan pengalaman yang mungkin diolah sedikit daripada kisah benar. Semoga pengalaman yang dicurahkan akan mampu menjadi pembimbing masa depan. Semoga penulisan seterusnya akan lebih kreatif dan bukan secara terus sahaja serta diselitkan sedikit plot bukan mendatar sahaja.