Angkara nilai hantaran yang tidak dipersetujui, Shahrul bertindak memperdayakan Fiya, kekasih yang kini menjadi tunangannya.
"Fiya awak tahu tak abah awak letak 10K".- Shahrul
"Ya, saya tahu. Okeylah tu... Bukannya tinggi mana pun."- Fiya
"Itu kata awak, yang cari duitnya saya. Lainlah kalau awak sudi hulur seribu dua, bolehlah ringankan beban saya."- Shahrul
Terpedaya lalu kecewa, itu perasaan Fiya tatkala jatuh terkulai dalam genggaman Shahrul. Masa depan Fiya seolah-olah musnah akibat perbuatan lelaki yang sangat dipercayai.
Ternyata agenda Shahrul membuahkan hasil.
Waktu berlalu, menjalani hidup berdua dengan lelaki yang dicintai, tidak menjamin kebahagiaan itu berpihak kepada Fiya.
Shahrul seperti orang asing. Benarlah kata orang, selagi tidak tidur sebantal, selagi itu tidak kenal hati budi seseorang.
Hari berlalu, perkahwinan Fiya semakin membosankan. Dicemburui biras, diabaikan suami dan diasingkan oleh ipar, membuatkan Mak Cik Ani, ibu mentua jatuh simpati kepada Fiya.
Fiya masih bertahan mengenangkan kebaikan ibu mentuanya. Namun, satu kejadian merentap perasaan dan memberi kejutan yang maha dahsyat.
Segalanya tersingkap satu persatu ketika Fiya pulang menyambut hari raya di kampung Shahrul.
Fiya mula dihambat syak wasangka dan diasak perasaan curiga. Asbab tercetusnya pertelingkahan dua beradik, sikap keji Shahrul terbongkar dengan sendirinya.
Hakikat pahit itu membuatkan perasaan Fiya bercampur-baur. Antara marah, lega dan kecewa, kesemuanya bersatu membadai jiwa.
Fiya memilih untuk berpisah lalu membawa diri, namun Shahrul tak henti mengejar sedang ketika itu ada seorang jejaka menghulur tangan, mahu membawa Fiya menghuni mahligai cinta yang pernah diimpikan bersama.
"Awak banyak kali kahwin dengan saya tau. Tapi sampai waktu tengah hari je terpaksa berpisah. Mak panggil balik, makan tengah hari."- Kasyaf
Kasyaf tidak menjanjikan kebahagiaan namun lelaki itu berjanji akan menjadi suami yang bertanggungjawab. Bahkan, Kasyaf sanggup mengakui perbuatan silam agar Fiya sudi memaafkan lalu menerima dia seadanya.
Apakah pengakuan Kasyaf bakal mengubah persepsi Fiya? Adakah Fiya sudi memaafkan 'suami' pada zaman kanak-kanaknya? Atau Fiya memilih untuk terus menyendiri atau memberi peluang kedua buat bekas suami yang pernah melukakan?
baik sangat fiya ni. dari awal lagi sebenar dah nampak belang shahrul. sikap penting diri sendiri, berkira ... belum lagi nampak dia tu panas baran. cumanya fiya tak dapat lari bila shahrul buat sesuatu yang buruk pada dia dan membuatkan dia dibuang keluarga.
tiga tahun berkahwin, menyerlahkan sikap buruk shahrul. tapi fiya bertahan. sebab sayang pun ya juga. dia tetap mahu bertahan dalam rumah tangga yang dibina. sayangnya, hanya fiya begitu. shahrul makin ego, makin sombong.
kemuncak sewaktu mereka berhari raya dengan keluarga shahrul. macam-macam rahsia terbongkar.
akak tertarik dengan watak emak shahrul. semangat juang dia luar biasa. betul la apa kata mak shahrul, anak-anak akan belajar daripada ibu bapa. sikap shahrul diwarisi daripada ayah dia yang sama masa muda.
yang penting hati perlu jujur. kalau dah kehidupan bermula dengan kepalsuan, ingat ia boleh bertahan? nehii ... bertahan dalam angan sajalah.