1515 Melanggar Melaka? Portugis menempah maut! 1515 tarikh keramat bagi bangsa Melayu, bukannya untuk benggali putih. Alfonso de Albuquerque, wizurai perkasa yang telah menumpahkan darah puluhan ribu manusia di Ormuz dan Goa, akhirnya bertemu ajal di hujung pedang srikandi Melaka.
Nyemah, Tun Nyemah Mulya, perawan usia 15 panglima laksamana Melaka---luar biasa handal, licik, penuh makar, berbudi, tegar---memimpin armada Nusantara dengan kekuatan 100 bahtera perang berisi lebih 60,000 tentera, membelah laut segera dengan 2 misi: Pertama, mengotakan janji kepada Albuquerque mengebumikan jasadnya di Lisbon; dan kedua, menakluk Portugal. 1515 tarikh yang digelapkan oleh sejarawan Barat---tumbangnya kerajaan Portugal dan tegaklah kesultanan Melayu di Eropah, dekad demi dekad!
1515---kisah sejarawan mencari hakikat sejarah, menjejak keagungan bangsa yang dipadam secara terancang; mengungkap getir gemuruhnya medan tempur; melukis filsafat cinta aneh, bahagia cinta sehala; menjulang luhur pengorbanan perempuan srikandi, perempuan isteri.
Dr Mohd Faizal Musa adalah penerima Anugerah Seni Negara 2006 oleh kerajaan Malaysia dan Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka 2009 oleh Kerajaan Negeri Melaka. Beliau dikenali sebagai Faisal Tehrani.
Faisal Tehrani adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah-Politik dari Universiti Malaya (1998), Ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Sains Malaysia (2000), Doktor Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (2010). Dr Faisal bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau adalah bekas penyelaras Kursus Intensif Keterampilan Bahasa Melayu (KIKBM) di ATMA, UKM sejak tahun 2013. Juga merupakan felo penyelidik bersekutu di Faculty of Regional Studies at the Al-Mustafa International Research Institute, Iran sejak Mac 2011. Beliau turut menjadi penasihat kepada Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB) bagi rantau Asia Tenggara. Sebagai Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu bidang kajian beliau ialah mengenai Minoriti Syiah di alam Melayu. Penyelidikan beliau tersebut berdaftar dengan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (CRIM) UKM dengan kod GGPM-2011-062. Kepakaran beliau diiktiraf oleh Front Line Defenders (FLD), sebuah badan dengan status khas di United Nation iaitu Consultative Status with Economic and Social Council of the United Nations. FLD diketuai oleh sebuah kounsel yang dianggotai oleh Archbishop Desmond Tutu, Mr Robert Badinter, Dr Hanan Ashrawi, Bono, Indai Lourdes Sajor, Mr Adolfo Perez Esquivel, dan His Holiness the Dalai Lama. Beliau juga adalah felo World Public Forum: Rhodes Forum yang dianggotai oleh sarjana besar dari seluruh dunia. Badan ini adalah sebuah badan keanggotaan yang menggalakkan kepada dialog antara peradaban. Anggota lain dari Malaysia ialah Dr Chandra Muzaffar dan Profesor Dr Syed Farid Alatas. Dalam tahun 2013, Dr Mohd Faizal Musa menerima geran penyelidikan FRGS Fasa 2/2013 untuk mengkaji mengenai hak asasi manusia yang terkandung dalam sastera Melayu. Kod kajian beliau adalah FRGS/2/2013/SS03/UKM/03/2.
Dalam bidang penulisan, antara novel beliau yang telah diterbitkan adalah Cinta Hari-hari Rusuhan terbitan Creative Enterprise (2000), ia dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001. Juga Perempuan Politikus Melayu oleh Penerbitan Pemuda (2000). Ia dicalonkan ke peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000-2001. Selain itu 1515 oleh diterbitkan Utusan Publications and Distributor (2003). Ia memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2002. Novel ini juga menerima Anugerah Buku Negara tahun 2005 (untuk kategori Buku Umum Fiksyen Bahasa Melayu). 1515 turut dijadikan teks bacaan mahasiswa pengajian Melayu di Universiti Cologne, Jerman. Pada tahun 2011, 1515 diterjemah dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara. Karya lain termasuklah Maaf Dari Sorga, novel pertama dalam pembikinan tetapi hanya diterbitkan pada tahun 2003 oleh Zebra Publications; Rahsia Ummi yang diterbitkan oleh Zebra Publications 2003. Dalam pada itu terdapat juga Tunggu Teduh Dulu yang disirikan di ruangan agama Utusan Malaysia dan tamat pada Disember 2003. Novel ini diterbitkan oleh Penerbitan Se-lain (2004) dan Ameen Publishing (2008). Sebuah lagi novel beliau yang terkenal adalah 1511H Kombat oleh Utusan Publications and Distributor (2004). Ia memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2003; dan Advencer Si Peniup Ney oleh Utusan Publications and Distributor (2004). Ia memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2004. Sebuah novel remaja awal yang turut digemari ramai adalah Detektif Indigo oleh Utusan Publications and Distributor (2004). Ia memenangi tempat kedua Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Exxon Mobil tahun 2004. Dalam pada itu sebuah novel sejarah turut dikarang tahun berikutnya, iaitu Surat-surat Perempuan Johor oleh Yayasan Warisan Johor (2005). Ia memenangi Sayembara Novel Sejarah dan Tradisi Johor 1. Turut dihasilkan Ikan Fugu, Lukisan & Jimson oleh Utusan P
Epik! Epik! Epik! Seronok gila baca buku ni! Aku dibawa Encik Faisal Tehrani merentasi zaman-zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka yang sangat menakjubkan! Walaupun novel ini adalah fiksyen sejarah, Encik Faisal Tehrani begitu teliti dalam melakukan segala kajian berkenaan zaman tersebut hingga aku merasakan segala yang berlaku adalah kisah benar belaka! Adakah Nyemah Mulya benar2 wujud? Adakah benar sejarah Melaka telah digelapkan? Adakah benar wujudnya kerajaan Melayu di Portugal? Memang salah satu novel Melayu yang kalian wajib baca! Memang kena baca!
p/s: kalau Encik Faisal tiada kontroversi, sudah layak jadi sasterawan negara.
Sejujurnya aku kurang faham timeline dan storyline buku ini, sebab timeline dia berbeza satu, pastu storyline dia berubah rubah. Kejap gini kejap gitu. Adakah penulis karang dua pengakhiran yang berlainan?
Tapi aku seronok betul baca buku ni, banyak peribahsa baru yang aku belajar. Dan juga, aku seakan menyaksikan kejatuhan melaka di hadapan mata aku. Penulis telah berjaya membuatkan aku masuk dan tenggelam di dalam buku.
1515 adalah sebuah karya sastera sejarah alternatif yang berani dan menggugat. Tuan Faisal Tehrani membayangkan satu dunia di mana Melaka tak tumbang kepada Portugis pada tahun 1511, tapi bangkit semula menawan Lisbon. Dalam naratif ini, sejarah ditulis semula dari sudut pandang Melayu - Islam, menolak dominasi Barat dan mengangkat wacana perlawanan budaya serta epistemologi.
Watak utama, Tun Nyemah Mulya, ni adalah seorang srikandi Melaka yang luar biasa hebat. Dia seorang panglima laksamana yang licik, berani, dan penuh semangat juang dan mengetuai armada Nusantara dalam misi menawan Lisbon. Dia dalah simbol kebangkitan tamadun Melayu - Islam dalam novel ini. Di sisi lain, Dr. Adi Famiyun pula, seorang sejarawan Melayu yang westernised, menjadi penghubung antara dunia realiti dan naratif sejarah alternatif yang dibawa oleh Tun Nyemah Mulya.
Tun Nyemah Mulya ni 1 watak yang kompleks dan berlapis. Selain sebagai simbol feminisme Melayu - Islam, dia juga agen perubahan yang menolak pasrah terhadap takdir sejarah. Keberanian dan kecerdasannya menjadikan dia penggerak naratif dengan penuh karisma dan ketegasan ideologi.
Dr. Adi Famiyun pula mewakili dilema intelektual Melayu moden - berbelah bahagi antara warisan dan pengaruh Barat. Wataknya menjadi medan perdebatan tentang identiti, sejarah, dan keilmuan.
Tuan menulis dengan gaya yang berani, sarat dengan intertekstualiti dan penuh sindiran intelektual. Bahasa yang digunakan indah dan tajam dalam mengkritik, menyindir, dan menggugat. Dia mengaplikasikan bahasa klasik Melayu, istilah Arab-Islam, dan gaya naratif moden dalam penulisan novel ini menjadikan pembacaan novel ini suatu pengalaman yang kaya, mencabar tapi menyakinkan.
Dialog dalam novel ni kadang - kadang bersifat teatrikal, tapi aku rasa itu sebahagian daripada strategi retorik tuan FT untuk menekankan ideologi dan falsafah yang dibawa.
Aku kagum dengan tuan FT. Ini novel pertama aku baca yang menolak sejarah sebagai fakta mutlak, dan mengangkatnya sebagai naratif yang boleh dipersoal dan ditulis semula. Aku nampak usaha jelas Tuan FTuntuk menolak dominasi ilmu Barat dan mengangkat wacana Islam sebagai alternatif yang sah dan berwibawa, sehingga aku hampir "ditipu", dan mula berbelah bahagi sama ada ini adalah cebisan sejarah yang dihidupkan semula usai bacaan.
Itulah kehebatan novel ni - ia membuka ruang untuk aku berfikir semula - tentang sejarah dan siapa yang menulisnya. Adakah Tun Nyemah Mulya itu wujud? Tuan FT ternyata berjaya menggabungkan naratif dengan wacana falsafah dan ideologi secara berkesan
Cumanya, gaya naratif Tuan FT dalam 1515 amat berat, sarat dan akademik, adakalanya aku terpaksa baca berulang kali untuk memahami konteks yang hendak disampaikan. Dunia alternatif yang dibina bagi aku - terlalu sempurna dan tak cukup konflik dalaman apabila fokus yang terlalu kuat diberikan kepada Tun Nyemah Mulya menyebabkan watak lain kelihatan 1 dimensi - datang dan pergi.
Pun begitu, aku puas. Ini sebuah karya provokasi intelektual yang mencabar aku untuk berfikir sefikir - fikirnya semula tentang sejarah, kuasa, dan identiti. Dalam dunia yang semakin tunduk kepada naratif dominan, karya seperti ini penting sebagai suara yang menuntut kita untuk bertanya - dan dalam pertanyaan itulah sastera menjadi hidup.
Nota: Aku mula menjadi pembaca taksub kepada Tuan FT menerusi novel ini.
Bagi aku, orang yang baru nak bertatih dalam membaca karya2 sastera, anggap ini buku yang terbaik pernah aku baca dan buku ini punya auranya yang tersendiri.
Bahasa penceritaan yang sungguh mantap, klasik dengan peribahasa2 dan bidalan2 yang pertama kali aku dengar.
Dr Faisal Tehrani memaksa aku berfikir dengan mendalam dan secara kritis melalui cerita yang ala2 'zig-zag', sambil membuatkan kita menjelajah ke zaman kegemilangan Melaka (menimbulkan persoalan apakah penulis telah pinjam mesin masa mana2 saintis dan berada sendiri di zaman itu sehingga beliau dapat menceritakan secara terperinci keadaan di sana)
Novel ini perlu dibaca, walaupun payah untuk memahaminya dan ada kalanya janggal. Novel ini indah, jika kita akhirnya mampu memahami perutusan atau mesej yang ingin disampaikan oleh Faisal kepada pembaca-pembacanya... percintaan Maude, Fimiyun
Karya terbaik Faisal Tehrani, pada hemat saya. Dan salah satu karya sastera terbaik yang pernah saya baca. Harus dialih bahasa. Dunia harus kenal dan tahu bakat dan keginiusan penulis hebat ini.
Beberapa jam sebelum berangkat ke Batu Pahat sempena lebaran, saya berkenan mengulas novel yang provokatif ini.
1. Penceritaan
Penulis bijak menggunakan ketiga-tiga sudut pandang dalam satu cerita. Nama-nama yang sama untuk watak yang berbeza memang menyusahkan kalau pembaca malas berfikir. Plot juga sangat menarik dan memaksa saya menyelak kembali halaman yang sudah dibaca. Saya tahu penulis memang suka 'membebankan' minda pembacanya.
Saya juga kagum dengan kemahiran penulis memaparkan latar tempat. Nampak seperti benar-benar berlaku di depan mata. Saya tak tahu kalau penulis memang pernah ke Portugal, tetapi saya yakin beliau tak ada mesin masa untuk merantau ke tahun 1511. Ah! Cuma saya tak faham latar masa bagi penceritaan Adi Fimiyun dan Maude. Mungkin saya kena baca balik semula.
2. Pengajaran
Dua sisi sejarah diceritakan seperti benar-benar berlaku. Padahal sejarah yang benar itu tentulah hanya satu versi. Begitulah hakikatnya sejarah. Ini baru cerita Nyemah Mulya. Belum lagi sejarah Nabi Muhammad dan para sahabat baginda. Jangan terkejut kalau saya kata sejarah nabi pun banyak tak betul sekarang ini.
Andai kota A Famosa tidak wujud, tentulah saya percaya kerajaan Melaka pernah tertegak di Portugal. Pun saya ambil fiksyen ini sebagai satu bentuk muhasabah. Kalaulah memang rakyat Melaka seperti itu keadaannya, termasuk jugalah rajanya, saya pasti Melaka tak dapat ditawan Portugis. Malahan kitalah yang lebih layak menawan negara atas angin.
(Ah, karya ini sudah diterbitkan sejak tahun 2003 lagi, kini sudah tahun 2015 baru aku berkesempatan membacanya!)
Jujur, sepanjang aku membaca novel ini, aku merasakan Nyemah Mulya ni macam betul-betul wujud je. Ini pertama kali aku membaca dengan kepercayaan yang si watak benar-benar wujud dalam kehidupan sebenar. Tapi Nyemah Mulya ni cuma fiksyen, bukan? Tidak dinafikan ada juga sebenarnya blog-blog yang mengkaji kewujudan Nyemah Mulya ni. Cuma aku terlalu ingin menghabiskan novel ini, maka tidak lah pula aku baca perihal kajian Nyemah Mulya di blog-blog tu.
Dan kali ini juga aku membaca tanpa perlu 'memegang pen merah', haha. Seronoknya membaca apabila tiada kesalahan ejaan. Aku sendiri tidak perasan sama ada wujud sebarang typo atau tidak. Inilah hikmahnya sesekali lari dari karya indie.
Dari segi bahasa, ah, ini karya Faisal Tehrani kot. Tak perlu aku ulas tentang bahasanya. Banyak peribahasa yang 'cantik' aku jumpa sepanjang pembacaan. Terasa rendah diri pula kerana kebanyakan (baca: hampir semua) peribahasa yang diselitkan dalam novel ini tidak pernah aku tahu kewujudannya, alahai! Mujur ada nota kaki, tidak perlu lah aku bertanya kepada pakar bahasa Google.
Ceritanya berlatarkan masa lampau dan masa kini. Apa yang aku perhatikan, tidak kiralah di zaman apa sekalipun, secara kasarnya kita masih mempunyai 'masalah negara' yang sama. Sindiran-sindiran yang disandarkan kepada 'kelekaan' Kesultanan Melayu Melaka sebenarnya masih lagi relevan jika disandarkan kepada kerajaan yang ada pada zaman kini, tidak kiralah negara mana sekalipun, ehem!
"Harapan hamba sejarah akan dibaca. Sejarah akan mengajar. Dan anak muda akan belajar."
Waktu belajar dulu, aku tak berkesempatan untuk membaca naskhah ini. Harganya tak mampu aku beli. Aku cari di perpustakaan juga tak ada. Lama-kelamaan buku ini terpadam dalam ingatanku. Sehinggalah ia diterbitkan semula selepas lebih dua dekad bersekali dengan sepuluh badihiyat.
Aku tak tahu apa perasaan pembaca lain usai membaca naskhah ini, tapi Nyemah Mulya kembali membuat aku tanyakan diri sendiri, apa matlamat dan tujuan hidupku. Apa sumbanganku kepada agama dan tanah air? Apa kemahiran yang aku ada untuk menyumbang kepada masyarakat?
Walau sekecil-kecil sumbangan, ia tetap bermakna.
Aku bersyukur membaca naskhah ini pada waktu yang tepat dan usia yang tepat.
Antara buku yang terbaik FT yang saya baca. Rima jalan cerita pada awalnya agak perlahan dan teringat ada seorang kawan yang putus asa untuk meghabiskan buku ini walaupun belum sampai 100 ms pun lagi. Rugi.. rugi.
Fiksyen sejarah 1515 membawa pembaca mengembara ke dimensi masa dari ketika Portugis yang dijuarai Alburqueque menyerang Melaka dan mengangkat latar masa, masyarakat dan lokasi sehinggalah London dan Portugal dalam siri perjalanan masa yang disajikan dalam novel ini. Nyemah Mulya dalam sosok nama yang berbeza membawa peranan sebagai wanita berjuang, terasa 'hidup' dan pengalaman pembacaan dalam mengikuti watak ini berkembang sangatlah mengujakan.
Buku ini membuka banyak pintu agar sejarah terus diteroka, walaupun beberapa citation di bawah kadangnya tak dapat diakses hanya dengan dengan menggunakan internet. Cukuplah review asal jadi ini; dah tak perlu ragu-ragu, mula sahaja baca buku ini memang tak rugi!
pengajarannya, kita perlu mengetahui sejarah. sejarawan menulis sejarah dan kita mempercayainya. bagaimana kalau sejarah itu digelapkan, disorok dalam lipatan sejarah, maka sejarah telah pun diubah.
mungkin itulah yang dimaksudkan mengubah sejarah pada awal 1515.
saya mati-mati percaya, melaka pernah menakluk lisbon.
:)
bayangkan, 400 tahun akan datang, segala catatan sejarah malaysia telah lesap. kemudian seorang sejarawan muncul dan berkata dahulunya kerajaan malaysia merupakan salah satu kuasa koloni. matahari tidak pernah terbenam di empayar malaysia!!
Tun Nyemah Mulya yang memimpin armada tentera Melaka dan menawan Portugal. Sosok dara yang mentaati agama dan licik dengan makar dalam peperangan dilahirkan pada saat lailatul qadar. 1515 kisah rakyat mempertahan tanah dan air, kisah Islam yang terkandung di dalamnya kepatuhan kepada Tuhan, patriotisme, demokrasi, saksama, pelajari sirah dan selidik setiap perkhabaran yang datang. Barangkali, sejarah yang disuguhkan adalah 'tabir' yang menghijab hakikat dan kebenaran. Sejarah telah digelapkan!
Untuk sebuah karya fiksyen-sejarah yang menggunakan latar zaman Kesultanan Melayu Melaka, idea asalnya bagi aku antara yang terbaik pernah aku baca. Siapa pernah terfikir, di sebalik kekalahan memalukan Melaka kepada Portugis pada 1511, penulis terfikir untuk twist Melaka menyerang balas dengan menakluk Portugal pada tahun 1515. Lebih mengagumkan apabila ekspedisi ini dipimpin oleh seorang gadis muda berumur 15 tahun. Mind-blown.
Perbendaharaan kata dan pengetahuan peribahasa penulis sangatlah tinggi. Ini mungkin buku paling banyak yang aku selang-selikan dengan buka kamus. Terlalu banyak peribahasa baru yang aku belajar daripada buku ini.
Lenggok bahasa dan gaya penulisan sangat mengasyikkan untuk dibaca. Terutamanya bagaimana penulis gambarkan perang Melaka-Portugis 1511. Terasa seperti menonton sebuah filem perang bertaraf Hollywood.
Walau bagaimanapun, aku ada masalah besar dengan penyusunan timeline yang sangat mengelirukan. Sehinggalah aku habis baca, aku masih bingung macam mana ada 2 versi perjalanan dan pengakhiran hidup Nyemah Mulya. Mungkin pembacaan aku tidak cukup mahir dalam memahami apa sebenarnya yang berlaku.
Aku pasti kesilapan aku dalam membaca buku ini ialah tidak mengambil endah setiap tarikh apabila memulakan setiap babak baru. Apabila aku tersedar yang setiap tarikh itu tersangatlah penting, ia dah terlambat. Aku malas nak ulang semula mukasurat itu.
Kalau ada yang sudi beri penjelasan dekat aku tentang mengapa ada 2 timeline berbeza Nyemah Mulya, tolonglah jelaskan dekat ruangan komen.
Di samping itu, plot yang aku kurang puas hati ialah motif Melaka untuk menyerang negeri Portugal. Walaupun ia satu kempen perang yang sangat cool, tapi aku rasa tak cukup kuat untuk dijadikan plot.
Pandangan aku, dari persekitaran, suasana politik zaman itu, dan peristiwa berlaku yang dihamparkan oleh penulis tidak cukup motif untuk menggerakkan plot angkatan perang Melaka untuk menakluk negeri Portugal yang sejauh itu. Tak cukup believable.
Apa-apa pun ia satu bacaan yang sangat menyeronokkan.
"Sejarah ditulis oleh pemenang". Ungkapan tersebut merupakan ungkapan daripada Winston Churchill bekas Perdana Menteri Britain yang sering kali disebut-sebut oleh orang ramai. Ternyata 1515 cuba membawa kepada satu persoalan sama ada sejarah mampu ditulis daripada sudut yang lain iaitu versi yang sedia ada ataupun tidak.
Tiga garis masa diketengahkan dalam 1515. Pertamanya Tun Nyemah Mulya bersama tentera Melaka menawan Portugal di Eropah. Keduanya Tun Nyemah Mulya tewas dalam peperangan di Melaka dan dibawa ke Portugal. Dan ketiganya, Profesor Nyemah Mulya pada abad ke 20 yang bersama Fimiyun dalam mengulas sudut pandang punca kedatangan Alfonso de Albuquerque ke Melaka.
Bagi saya garis masa yang ada ini memerlukan sedikit penumpuan memandangkan ia akan membawa pembaca ke hadapan, ke belakang, ke hadapan semula dan garis masa yang berbeza. Agak memeningkan dan bila terlalu banyak garis masa, fokus pada sesuatu watak itu tidak dikembangkan dan tidak diketahui lebih lebih lagi pada watak Fimiyun.
Menariknya, watak Tun Nyemah Mulya yang dijadikan fiksyen ini juga baru saya ketahui, dikatakan bahawa Srikandi ini juga disebut sebagai pahlawan yang pernah wujud dalam sejarah Melaka. Kehebatannya dalam mengatur angkatan tentera dalam peperangan dan memiliki ilmu persilatan yang luar biasa. Selebihnya Tuhan sahaja yang mengetahui.
Kau pernah baca buku setebal 312 muka surat; tapi kau baru baca muka surat 10, kau akan cakap "whaaaaatttt???!!!!". Cubalah Faisal Tehrani. Ini buku ke 6 dia aku baca. Next; 1511H [Kombat].
Aku telah dipesongkan sejarah oleh Faisal Tehrani melalui novel 1515 ini.
Betul kata Dr. Muhaimin Sulam masa aku jumpa beliau "novel Faisal Tehrani sangat memberi kesan".
No wonder la 1515 ni menjadi bahan teks komponen sastera di German.
Dalam talk ITBM Sofa Putih: Resensi Buku Perempuan Nan Bercinta; Dr. Faisal ada menyebut menengai novelnya 1515 ini. Boleh dengar di youtube.
Kalau tak kerana keindahan bahasa dan penceritaan saya bagi 2 bintang saja. Tidak pelik novel ini begitu ramai peminat dan dicetak ulang. Namun dek pekatnya elemen oksidentialisme dan lain2 itu, yang bukan secawan teh saya, sedikit mengganggu pembacaan.
Wow! Saya benar-benar terkesima dengan perjalanan cerita ini. Patutlah ia menjadi buah mulut orang ramai, ternyata isinya bukan alur cerita biasa-biasa. Benarlah, untuk membaca karya ini, tiada istilah santai. Pembaca perlu berfikir secara kritis saat membaca karya ini.
Faisal Tehrani membawa kisah fiksi sejarah seorang pahlawan wanita bernama, Nyemah Mulya yang menentang kerakusan penjajah Portugis saat menawan Melaka pada tahun 1515. Cerita ini sebenarnya fiksi namun penulis menggabungkan dengan sejarah asal membuatkan karya ini serasa seperti menelaah karya sejarah yang asli, namun sebenarnya diolah mengikut idea luar biasa penulis.
Sejujurnya, 1515 merupakan sebuah karya agung bagi saya. Atur cerita, perwatakan watak, permainan emosi, patriotisma semuanya dipersembahkan dengan penuh gaya dalam buku ini. Walaupun ia bertema fiksi sejarah, namun jangan risau ia tidak langsung membosankan, malah membuatkan pembaca makin ingin tahu dapatkah Nyemah menghancurkan tentera Portugis dan menjadikan Melaka terus kekal bebas dari anasir luar.
"Kerana setiap cerita, peristiwa, khabar berita atau sejarah yang disampaikan kepada kita ada dua wajah. Atau mungkin lebih."
🔸🔸🔸
Ini kali kedua saya membaca novel ini selepas membelinya pada tahun 2008. Apa yg boleh saya katakan tentang novel ini? EPIK! Walaupun novel ini sekadar fiksyen sejarah, namun penulis sangat teliti dalam menyusun cerita. Jelas, segala kajian yg dilakukan sangat terperinci. Gambaran tentang zaman Melayu Melaka yg ditulis serta segala yg berlaku ketika itu seolah-olah benar belaka.
Penulis berjaya meletakkan nilai perjuangan terhadap agama, bangsa & tanah air di tempat yg cukup tinggi. Pengajaran yg diulang-ulang itu cukup berkesan. Sikap lalai, leka, khianat mampu menjatuhkan sesebuah empayar yg dibina selain asakan dari kuasa luar.
Selain mengagumi keperibadian watak Nyemah Mulya yg ditonjolkan, saya juga kagum dgn penggunaan bahasa yg indah. Seringkali penulis menyelitkan bidalan² & peribahasa yg tdk pernah/jarang digunakan. Setiap maklumat penting juga disertakan dgn nota kaki untuk rujukan lanjut. Walaupun latar masa ceritanya tidak sezaman & mungkin agak mengelirukan, ia masih boleh difahami dgn baik.
Menjadi persoalan sama ada benar/tidak wujudnya seorang srikandi Tun Nyemah Mulya. Tetapi, tak kisahlah. Kerana mesej yg mahu disampaikan, saya terima. Wujud atau tidak Nyemah Mulya, apa yg penting, keberanian, kebijaksanaan & ketaatan figura ini menjadi wakil kepada pejuang² terdahulu yg disepikan sejarahnya.
Pembacaan kali kedua. Masa baca buat kali pertama tu tak faham. Yelah masa tu sekolah menengah lagi. Konfius dengan plot cerita. Huhu. Bacaan kali kedua ni barulah jelas dsn faham.
Novel genre historical-fiction ni sangat kurang diterbitkan. Bukan tak ada langsung. Adlah macam novel Pak Latib tu. Tapi penulisan dia tak seperti FT yang bijak mencipta watak dan plot.
Saya sedang mencari novel-novel dan buku-buku seperti ini. Boleh bagi cadangan di ruangan komen. Hihi!
Semangat oksidentalisme tercurah sepenuhnya di sini. Genggam bara seorang wanita Muslimah Melayu, Nyemah Mulya mengapungkan cita-cita betapa Melayu bukan bangsa mundur yang patut dinyahkan. Imperialislah yang wajar dihapuskan. Begitu pasak dan makar seorang wanita. Dan Nyemah Mulya, ya, berapa orang Nyemah Mulya dalam novel ini? Benarkah figuranya wujud di alam nyata?
As an English teacher, reading good Malay novels is my my way to unwind and this piece has definitely helped- like all Faisal Tehrani's. A must-read for all Malay history lovers. A point to ponder- "What if the Portuguese did not come to Malacca?"
sebuah karya yang mampu membuatkan aku tergamam dan terfikir bahawa bangsa ini bukan calang-calang bangsa tapi ianya telah hilang ditutup oleh sejarahnya sendiri.
1515 adalah buku dari genre sejarah fiksyen tempatan yang pertama pernah saya baca. Saya kira plot yang menarik, berkisarkan 3 slot masa berlainan, iaitu ketika Portugis menjajah Melaka sekitar 1511, 199x ketika watak Adi Fimiyun melakukan penyelidikan terhadap peristiwa tahun 1511 dan 200x apabila dia hilang ingatan.
Penceritaan yang baik walaupun babak-babak yang tidak mengikut turutan kadang-kadang boleh mengelirukan pembaca. Saya gemar membaca peribahasa-peribahasa Melayu yang digunakan oleh penulis.
Membaca kisah Nyemah Mulia dan rakyat mempertahankan Melaka menentang penjajahan, ketika Sultan Mahmud dan anaknya Sultan Ahmad menyelamatkan diri meninggalkan Melaka, mengingatkan saya akan keadaan semasa. Barisan hadapan dan rakyat kebanyakan melawan musuh yang tidak kelihatan (Covid-19) manakala pemerintahnya menyelamatkan diri meninggalkan medan perang.
‘jika raja menganiyai rakyat maka kerajaan hancurlah.’
Plot yang saya gemari, sehingga saya dapat mengabaikan kesalahan-kesalahan typo dalam cetakan ini.
1. Buku lama, tapi baru berkenan untuk membacanya.
2. Buku yang antaranya menceritakan betapa kejamnya peperangan, betapa jahatnya sang penjajah (Portugis) - namun yang peliknya setiap kali bulan kemerdekaan, hanya kekejaman komunis jer yang kita ingati dan selalu diulang-ulang. Bagaimana pula dengan bangsa penjajah yang lain? Bukan untuk dimanifestasikan kebencian itu terhadap keturunan mereka yang tak bersalah sekarang, tetapi sebagai peringatan akan ketamakan orang luar yang sanggup berbuat apa sahaja demi memenuhi nafsu busuk mereka.
3. Ada 2 versi Nyemah Mulya, - versi sejarah yang digelapkan: Nyemah Mulya ditawan sebagai hamba oleh Albuquerque. - versi sejarah yang berjaya disingkap oleh watak utama: Nyemah Mulya menjadi srikandi muda yang berjaya mencipta sejarah dengan menawan tanah Portugal bersama Angkatan Tentera Nusantara.
4. Namun yang menyedihkan sebenarnya adalah nasib Nyemah Mulya dalam versi kedua tadi. Dihukum oleh sang pemerintah berhati iblis yang menyimpan dendam dan iri hati, berisi penuh dengan syak wasangka. Semuanya hanya kerana kuasa...
This entire review has been hidden because of spoilers.
1515 adalah tentang Nyemah Mulya, yang merupakan seorang pejuang Melaka, di mana Feringgi yang diketuai oleh Albuquerque menyerang tanah Melaka untuk menjajah hasil mahsul dan juga mahu menjadikannya pusat penyebaran agama.
Malangnya, sejarah telah dipalsukan dan bukan menceritakan hal yang sebenar. Oleh itu, Adi Fimiyun mulai menyelongkar dan mengkaji semula kisah Srikandi Nyemah Mulya.
Pada awal saya baca buku ni, saya rasakan seperti ia kisah benar kerana nama dan latar belakang itu diceritakan secara terperinci, sehinggakan saya mencari nama Adi Fimiyun ini di Google.
Tetapi walaupun ianya fiksyen, ia menceritakan tentang makna sebenar sejarah. Terlalu banyak hal-hal yang muluk diceritakan tetapi yang pahit, langsung tidak diendahkan. Sejarah ni adalah pengajaran untuk kita cedok dan perbaiki, agar yang buruk itu jangan diulang dan yang baik itu kita ikuti.
Ibn Khaldun berpesan kita, manusia dalam merancang masa depan perlu mempelajari sejarah.
'Bangsa yang lupa sejarah, bangsa yang tidak melihat sejarah dalam mencipta apa-apa wawasan pada masa hadapan adalah bangsa yang bodoh'
Adi Fimiyun, sejarawan yang terperangkap antara dunia sebenar dan realiti. Bahkan identiti isteri sendiri juga tidak diingati dek kepala berpinar penangan kemalangan.
Bisikan Nyemah Mulya, Srikandi Perang Melaka 1511 meminta pertolongan Adi Fimiyun "menumpaskan" Portugis dari masa hadapan. Mahunya semua dibetulkan. Keaiban menjadi kegemilangan. - "𝙃𝙖𝙣𝙮𝙖 𝙠𝙖𝙣𝙙𝙖 𝙨𝙚𝙗𝙖𝙜𝙖𝙞 𝙨𝙚𝙟𝙖𝙧𝙖𝙬𝙖𝙣 𝙙𝙖𝙥𝙖𝙩 𝙢𝙚𝙢𝙗𝙖𝙣𝙩𝙪 𝙝𝙖𝙢𝙗𝙖 𝙪𝙣𝙩𝙪𝙠 𝙢𝙚𝙢𝙗𝙚𝙩𝙪𝙡𝙠𝙖𝙣 𝙨𝙚𝙢𝙪𝙡𝙖 𝙟𝙪𝙧𝙪𝙨𝙖𝙣 𝙨𝙚𝙟𝙖𝙧𝙖𝙝 𝙮𝙖𝙣𝙜 𝙢𝙚𝙢𝙖𝙣𝙜 𝙨𝙖𝙡𝙖𝙝 𝙞𝙣𝙞."
Lantas, apakah perkaitannya dengan judul 1515 itu? Temukanlah jawapannya di dalam buku ini.
𝐑𝐄𝐒𝐄𝐍𝐒𝐈 Sekiranya anda mengalami kesulitan mengharungi mukadimah buku ini yang penuh petikan judul-judul buku sejarah serta nama-nama asing, yang anda sendiri kurang pasti kenapa penulis Faisal Tehrani sumbatkan di situ, saya sarankan teruskan saja pembacaan🔥🔥🔥 DUNIA INI MEMANG SULIT DAN BEGITU JUGA DENGAN BUKU INI. Mengikut jejak Nyemah Mulya ini memerlukan keasyikan yang tinggi jadi tak usah tumpukan pada mengingati nama, selak saja halaman yang sebelumnya sekiranya perlu, kerana kelak akan dihidangkan dengan babak yang menggoncang imaginasi yang memaksa anda untuk berhenti seketika kerana tanpa sedia, jantung terikut sama berdetak laju mengikut irama dentuman bedil istinggar soldadu Melaka😭❤️ 𝘗𝘩𝘦𝘸!
Membaca buku ini juga lantas membuatkan saya ingin menerjah A Famosa yang selama ini sudah berkali-kali saya berkunjung ke sana namun sayangnya, lebih kepada sekadar bersiar-siar sahaja. Tidak dilupakan olahan saudara penulis yang begitu mengasyikkan lantas mempengaruhi emosi sang pembaca, ditikam penuh sinis 𝘢𝘥𝘶𝘩! Terasa ditusuk sembilu😩
Sumpah seranah terhadap penjajah secara tidak langsung membuak-buakkan lagi perasaan anti-penjajah dalam sanubari Melayu ini. Sesungguhnya 1511 sememangnya tahun Melaka jatuh ke tangan Portugis, runtun jiwaku ini mengenangnya. Oleh yang demikian, selagi Melayu itu Melayulah! Silap yang lalu itu sebagai peringatan, maka kekal waspadalah kita yang di hari ini❤️🔥
Perasaan bercampur-baur setelah selesai membaca buku ini.
Setelah membaca buku ini, baru kini saya faham komentar-komentar ramai yang kata sukar untuk membezakan mana cerita rekaan dan mana sejarah yang sebenar.
Faisal Tehrani ternyata hebat dalam penulisannya ini kerana mampu memberi perasaan seolah-olah watak Nyemah Mulya ini wujud dalam sejarah dan apa yang diceritakan seperti benar-benar berlaku.
Walaupun cerita ini sekejap ke belakang, sekejap ke depan (dari segi garis masa), tapi ia berjalan dengan lancar.
Dalam cerita ini ada dua alternatif; satu Melaka jatuh di tangan Portugis pada 1511 (seperti dalam lipatan sejarah), dan satu lagi Alfonso de Albuquerque dan tenteranya kalah, malahan tentera Nusantara berjaya menakluk Portugal pula!
Apa yang saya dapat lihat, penulis mengambil kisah sejarah yang benar berlaku dan menyulamkamnya dengan fiksyen yang sangat menarik (yang kononnya tidak disebut dalam sejarah).
Antara tema yang diangkat dalam novel ini; tentang wanita dan juga anak muda sebagai pemimpin, kritik sosial kepada pemegang kuasa yang menyalahgunakan kuasa zaman-berzaman, kronisme, serta bagaimana sikap pemimpin Melayu itu sendiri yang membawa kehancuran kepada bangsa dan negara.
Satu perkara yang membuat saya rasa sedih ketika membaca kisah Nyemah Mulya (kerana ia sesuatu yang masih berlaku kini), bagaimana orang-orang berbakat besar dalam masyarakat selalu didiamkan/dicantas kerana sifat dengki pihak gila kuasa.
Seperti Nyemah Mulya, kerana kebijaksanaannya, dia dianggap sebagai ancaman kepada pihak berkuasa. Walaupun kewujudannya banyak mendatangkan kebaikan, pihak yang berasa terancam berasa dia perlu dihapuskan - biarpun dengan cara menabur fitnah dan propaganda.
Selain itu, kisah Nyemah Mulya menawan Portugal (walaupun ianya fiksyen) telah menjentik satu kesedaran dan mengembalikan keyakinan dalam diri bahawa bangsa ini sebenarnya bangsa berpotensi untuk melakukan perkara yang hebat-hebat di peringkat dunia - andai kita tidak dilekakan dengan perkara yang sia-sia.
My first Faisal Tehrani's. Rasa sangat teruja untuk baca dan terus baca sebaik saja bermula. Perlu segera tahu apa yang akan terjadi. Bait kata yang digunakan jitu dan menakjubkan. Perumpamaan, peribahasa, ungkapan tahap giga sastera bagi saya yang terasa lebih dengkel tahap kemahiran menulis apalagi memahami Bahasa Melayu. Semua terpaksa diterjah dengan sekali-sekala rujuk juga footnote yang tersedia. Mahu laju membaca untuk tahu apa akan jadi.
Adegan kombat perang si Benggali putih ke atas Melaka begitu mencengkam perhatian. Terasa macam saya pun turut berada di sana. Suspens sungguh tatkala melalui detik-detik cemas yang digambarkan terutama sebelum Alburqurque tewas di tangan Nyemah. Sempat juga saya cuba untuk kaitkan penceritaan pencerobohan si Alburqurque oleh FT dengan pengkisahan waktu yang sama oleh RAM dalam cerita Cinta Sufi. Laksamana Sunan kalau berganding dengan Nyemah Mulya, kalau betul lah terjadi...
Cerita 1515 ini bagi saya kompleks sebenarnya. Watak utama, contohnya melalui surat "back from the past to the future".... melalui beberapa zaman yang berlainan. Pening juga. Paling saya harap untuk rungkai adalah apa relevennya Fumiyan amnesia. Imam di masjid tu pula ada beritahu Fumiyun untuk "jauhi air" kerana beliau bermimpi cara kematian Fumiyun sama dengan Nyemah. Satu lagi, tak pasti mana yang ingin di fokus oleh FT, versi Melaka kalah atau versi Melaka menang. Rasanya penulis lebih bermatlamat buat pembaca memerah otak....
Mungkin saya perlu baca sekali lagi nanti. Ada sedikit nada cinta juga, cinta tiga segi (ye ke?) Adi Fumiyun-Frida-Maude. Entah, saya sebenarnya tidak pasti definisi cinta tiga segi. Apapun, buku ini sangat awesome dan tinggi nilai sasteranya bagi saya dan pasti akan terus cari dan baca lagi karya FT yang lain. Mungkin nanti saya dapat menjiwai complexity yang disorongkan dengan lebih berlapang dada.