Tahun demi tahun yang berlalu menghayutkan latar pada era tertentu. Kisah yang pernah ditatap di lembaran akhbar seperti al-Arqam dan Aisyah Bukhari tertinggal menjadi nostalgia. Di dalam merentasi kisah demi kisah insan lain, terkadang kita tidak dapat mengelak dari dikurung nasib yang sama. Menoleh ke belakang tidak memberi kita kemampuan untuk menyatukan kembali serpihan kaca yang berderai, dihempas takdir. Mengutip serpihan itu cuma akan menghiris jari. Namun, ku rapatkan serpihan itu sebagai mengimbas sebuah kecintaan pada persahabatan.
Surat-surat untuk Kaherah merupakan nota kehidupan beserta nilai persahabatan yang dirakam di dalam naskhah penulisan. Hanim mengutus warkah ke Kaherah sebagai tali untuk menarik Wafa kembali ke sisi Illahi. Calitan kenangan demi kenangan di bandar kecil, penempatan setinggan dan sekolah rendah bersatu dalam ingatannya terhadap Wafa Thahirah. Anak kecil yang dua puluh tahun dahulu dibuli kini bertukar posisi sebagai insan yang paling dikasihi. Wafa Thahirah semakin menghilang dan Hanim umpama mendakap bayang-bayang. Mampukah rasa kasih yang dikurniakan Allah membawa Wafa Thahirah mencari jalan pulang?
Surat-surat untuk kaherah. Pembelian di buat berdasarkan kulit buku yg sgt menarik, dan kedua, perkiraan tajuknya yang unik sebelum beralih sinopsis. Secara jujur, saya mengharapkan surat-surat untuk kaherah di tulis spt buku Dr Mahathir: Selected letters to world leaders atau sekurang-kurangnya spt format bersahaja When rainbows end karangan Cecelia Ahern, maksudnye ada di selitkan surat-surat itu. Tetapi sangkaan meleset, cuma satu cnth surat yg di selitkan. Itu pon di akhir kalam penulisan.
Bagaimanapun, membaca sinopsis menyebabkan seakan tidak sabar untuk mengetahui apa yg telah wafa lakukan, sebaliknya, penulis banyak melakukan flashback2 dan bercerita perihal kisah persahabtan mereka berdua. Jika di selit kan lebih banyak surat untuk wafa, di samping penceritaan kisah persahabatan mereka,ia bertetapan dgn tajuk saya kira.
Buku ini di rating atas dasar bahasa yang sungguh indah di karang dan tidak meleret-leret. Syabas buat penulis!Ini antra buku2/novel melayu yang ilmiah dan kaya bahasa.Tidak merapu, tidak terlalu menunjukkan bahasa urban spt terdapt di pasaran kini. lawak jenaka yg tidak keterlaluan dan bersahaja. Sekali lagi, Tahniah!
Sesungguhnya saya terperangkap dalam ekspektasi yang menggunung apabila mula membaca novel ini. Pertamanya, pujian melangit untuk kulitnya. Saya tidak tahu bagaimana anda boleh tidak jatuh hati dengan melihat buku sedemikian, dengan tajuk sedemikina, melambai-lambai dari almari toko buku anda. Kredit untuk Merpati Jingga demi sebuah kulit buku yang amat menarik perhatian dan berciri mid eastern pabila diadun dengan tajuknya yang indah.
Dari kulit ke isi. Maisarah Mansor peribadinya bagi saya adalah penulis pasif yang menggarapkan cerita nya dengan amat berhati-hati dalam buku ini. Bila anda membaca sebuah ceritera, anda sepatunya mahukan sesuatu yang mampu menjerut nadi anda, menjulang tubuh anda hingga ke tingkat 30 kondominium, dan melepaskan anda terkapai menjunam ke bawah. Dalam bahasa mudah, you need a sense of letting go when you are reading a story. Namun seperti yang saya katakan awal tadi, ekspektasi saya terlalu tinggi.
Umumnya jalan cerita novel ini tidak banyak lenggok, tidak kompleks, santai. Dan itu membuatkan ianya istimewa. Penulis mampu membelai imaginasi anda dengan suasana bayu pantai, dan tiba-tiba menyergah anda ke dalam ruang sekolah yang hingar. Pujian juga untuk tema murni yang dibawa Maisarah.. sebuah ukhwah persahabtan dua muslimah. Sedikit aroma Islami yang menyinggah, indah.
Secara totalnya, saya mengharapkan lebih dari kulit novel indah sebegitu, dengan tajuk Novel yang se-captivating ini.
BUKU PKP 3.0: Surat-Surat untuk Kaherah oleh Maisarah Mansor. (2013)
(PERHATIAN : Ulasan ini berkemungkinan besar mengandungi pengacau #spoileralert.)
Sinopsis : Novel yang mengisahkan seorang perempuan yang bernama Hanim sedang menunggu sahabat baiknya Wafa Thahirah untuk kembali dari perantauan. Di penantian itu, dia mengimbau kenangan-kenagan lama. Bermula detik pertemuan bersama teman-teman sekolah rendah sehinggalah peristiwa-peristiwa yang meninggalkan kesan manis dan pahit sewaktu menjalani kehidupan kanak-kanak. Terutamanya bersama Wafa. Di mana asalnya Hanim seorang yang suka membuli wafa. Akhirnya mereka menjadi sahabat sejati. Hanim begitu merindui Wafa yang menyambung pelajaran di bumi Mesir. Wafa diuji dengan ujian yang merisaukan Hanim. Hanim tidak putus menghantar surat-surat ke Kaherah supaya sahabatnya kembali ke landasan ilahi.
Luar Naratif : Novel ini bertemakan kehidupan dan persahabatan.
Pertamanya, nostalgia Hanim pastinya membawa kita sendiri ke zaman membina persahabatan sejati. Diselangi suka, duka, tangis dan tawa. Zaman kanak-kanak adalah laman membina karektor diri dan jalinan sosial terutamanya di sekolah. Belajar bersahabat, bersosial dan berguru. Saya kira inilah yang dibimbangi oleh para guru di era PDPR ini.
Agak kekok sebenarnya membaca kanak-kanak di usia sekolah rendah tutur bicara mereka perihal kenegaraan, undang-undang dan sosio kemasyarakatan. Wacananya signifikan namun tidak sepadan diletakkan di dalam watak kanak-kanak. Pada sangkaan baik saya penulis mengimpikan dan mengimani pepatah melentur buluh biar dari rebungnya. Saya kira itu lebih baik berbanding kita skeptikal dan memandang rendah kemampuan anak-anak kita.
Sebagai contoh kanak-kanak berborak wacana adakah Malaysia negara islam? Mengkritik kredibiliti dan tugas guru. Berbicara tentang tokoh dunia. Mengkaji statistik murtad di Malaysia. Berbahas tentang undang-undang sivil dan syariah. Semua ini hampir menghampiri logik sekiranya mereka sudah remaja sekurang-kurangnya. Namun, ini sekadar novel. Jadi, tiada masalah besar siapa pun wataknya.
Masih tetap karektor kanak-kanak itu ada. Seperti ejek mengejek nama. Thahirah menjadi thahi. kemudian Taik. Ejek-mengejek nama kawan atau bapa bukanlah budaya yang baik atau patut diteruskan. Bagi saya sendiri ianya kenangan.
Selepas menuju ke akhir cerita baru saya sedar bahawa di sebalik tema persahabatan, menarik sedikit isu keagamaan. Dibawakan wacana yang berlegar di zaman itu seputar isu murtad dan ajaran sesat seperti Aisyah Bukhari dan Al-Arqam. Wacana murtad yang disebabkan oleh kebutaan cinta.
Latar tempat cerita di Johor. Citra orang kampung johor juga menghiasi novel ini.
Kampung yang selalu dilanda bah. Orang kampung itu sudah lali dengan keadaan itu. Termasuklah kanak-kanak, ada yang mengambil peluang untuk bersuka ria. Masing-masing sudah makruf tatacara menghadapi banjir. Boleh dikatakan rutin tahunan mereka. Realitinya juga begitu, setiap tahun kita akan mendengar berita diuji banjir di beberapa kawasan negeri itu.
Kehidupan dan pekerjaan orang kampung ketika itu. Beberapa kepercayaan mitos orang kampung seperti buaya putih di sungai dan hantu jepun. Hal ini, mengingatkan saya akan zaman sekolah asrama dahulu. Pergilah di mana-mana sekolah pasti mereka mendakwa sekolah mereka merupakan adalah bekas kubur tentera jepun. Maka, kita dihidangkan kisah hantu yang sama iaitu tentera jepun berbasikal di atas bumbung dan berkawad di dataran.
Budaya dan amalan rokok daun serta kunyah sireh. Dikatakan petua kunyah sireh untuk mengelakkan dari dirogol pada zaman tentera Jepun kerana mereka tidak menggemari bauan dari sireh.
Saya selalu mendengar bahawasanya orang johor sangat kuat kemelayuan mereka. Dan kecenderungan orang Johor pastinya parti melayu Umno. Ini ada pada dialog bahawa Umno boleh dipercayai berkaitan kebajikan orang Johor.
Mesir ialah negara yang penuh dengan sejarah peradaban. Dari peradaban Nabi Musa dan Firaun sehinggalah perang Israel-Mesir merebut semenanjung sinai. Beberapa kawasan pelancongan di Mesir ditunjukkan dalam novel ini.
Pengakhiran yang tidak diduga. Surat-surat terakhir memberi bukti usaha atas hidayah. Janji baik dari Allah buat orang-orang bersabar.
Syair, puisi dan surat-surat di dalam kisah ini sangat indah untuk dibaca.
Buku ini ringkas sahaja, hanya mengandungi 141 muka surat. Namun, isinya tidak boleh dipandang sepi.
Buku ni menarik, mungkin sebab susunan bahasa yang beralun dan puitis. Hanya satu je boleh saya kompleinkan iaitu dialog antara kanak-kanak dalam pengimbauan yang dilakukan pengarang kurang realistik, membuatkan ia menjadi sedikit kaku dan dipaksa-paksakan. Budak-budak baru berdarjah 1 iaitu 7 tahun dan untuk menunjuk kematangan macam yang dibentangkan kurang masuk akal untuk berdialog begitu bernas. Sekurang-kurangnya adalah lawak budak kencing seluar ke...Contoh lain bila mereka masuk darjah 4, 10 tahun membincangkan artikel 4 undang-undang Perlembagaan Malaysia memang agak merapu!
Mungkin mood yang hendak disampaikan pengarang lebih menekankan seni kesusasteraan bahasa, so ada sedikit meleret2, sebagai contoh perbicangan Wafa seperti wikipedia ringkas Mesir...sesuatu yang janggal untuk dibaca dalam dialog harian terutamanya antara dua orang sahabat baik yang baru balik setelah berjauhan.
Terasa sedikit terkejar-kejar setelah habis putaran nostalgia untuk menunjukkan keresahan Hanim mengembalikan Wafa ke jalan yang benar semula so terasa pembacaan tersekat-sekat.*Banyak plak aku komplein ni.hahaha* Maka, kenapa saya bagi 4? Sebab penutup cerita tuh seperti penggulung bicara yang bernas dan kemas memenangi kes. Pada akhirnya, cerita ini lebih kepada pembaca dibawa mengembara dan bernostalgia keresahan makhluk Allah dalam meniti kehidupan, yang bagi saya berjaya disampaikan Maisarah Mansor. Buku yang refreshing daripada hidangan indie yang bergenre klise setelah diulang cetak, dan dikloroxkan konsumerima.
Aneh bagi aku, buku ini mendapat rating yang tak cukup tinggi. Adakah kerana ini cerita yang ringkas dan ringan, maka tidak layak diangkat? Bagi aku, walau seringkas atau ringan mana sekalipun, karya yang bagus harus diangkat. Pendapat peribadi aku, ini adalah karya yang bagus. Tahniah penulis.
Acap kali aku terlihat buku ini di rak-rak kedai buku terkenal. Tapi tak pernah sekali aku dan kawan-kawan membincangkan tentang buku ini. Tiada yang membacanya agaknya. Adakah isinya tidak sebagus kulit luarnya?
Permulaan cerita, bagi aku, sedikit kaku. Aku terus bosan pada bab pertama. Tetapi masuk ke bab kedua dan seterusnya, aku tersangkut. Cerita nostalgia yang ringan dan warna warni itu pastinya siapa saja yang membacanya dapat merasai apa yang diceritakan oleh penulis. Jenaka-jenaka ringan yang terselit di dalam cerita bagiku menceriakan lagi cerita.
Bahasanya yang mudah dan indah memudahkan lagi proses pembacaan. Tapi, aku rasa tidak realistik untuk watak budak-budak seawal umur 9 tahun boleh berbicara tentang hal-hal begitu. Fakta, ya, mungkin. Tapi untuk memiliki argumen yang memerlukan pemikiran yang matang, hampir membuatkan aku membuang satu lagi bintang dari rebiu ini. Pun begitu, ceritanya yang begitu teratur dan indah membuatkan aku memandang sebelah mata saja akan kelemahan tadi. Biarlah. Dah penulis nak buat cerita gitu, ye dak.
Di penghujung cerita, ah, aku tak sanggup nak menghabiskannya. Tak puas. Tahniah kerana berjaya menulis cerita yang mengesankan dalam buku yang kecil begini.
Buku ini pada mulanya mempunyai satu harapan yang tinggi pada aku untuk mulakan bacaan, kerana kulitnya dan tajuknya. Namun, ia sediki sebanyak menghampakanku dek kerana Kaherah yang menjadi perkataan tumpuan pada tajuk buku
Novel ini mengisahkan tentang perjalanan seorang Hanim dalam mengimbau semula nostalgia pada zaman sekolah. Elemen-elemen sosiobudaya, politik dan kenegeraan menjadi tema bualan pada zaman persekolahan mereka.
Malah dipengakhiran buku ini, disematkan tulisan-tulisan kiriman surat Hanim kepada Wafa Thahirah dalam perjalanan mereka mempelajari agama Islam. Perjuangan mereka dalam menghayati Islam sedari mereka menamatkan zaman persekolahan rendah itu tercapai saat masing-masing meneruskan pelajaran.
Bagi aku, elemen nilai yang menjadi tunjang buku ini dan tema yang ingin digarap penulis sebenarnya jelas. Namun, jalan penceritaan yang kaku agak membantutkan perasaan saat membaca. Turut banyak perkataan yang typo, semacam membantutkan proses pembacaan.
Buku ini mengisahkan kasihnya seorang gadis bernama Hanim kepada sahabat baiknya yang menuntut di Universiti Al-Azhar Cairo iaitu Wafa Thahirah. Garis masa ketika zaman kanak-kanak mereka agak menarik dengan pelbagai masalah agama yang muncul seperti murtad dan ajaran sesat.
"Aku tinggalkan cintaku kerana Allah" - Wafa Thahirah.