Abdul Samad bin Muhammad Said atau lebih dikenali sebagai A. Samad Said ialah Sasterawan Negara 1986. Beliau juga pernah dianugerahkan dengan "Anugerah-anugerah Menulis Asia Tenggara" (SEA Write Awards).
Dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, A. Samad mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-1946) dan Institusi Victoria, Singapura (1956). Seorang yang berminat dalam penulisan sejak di bangku sekolah, beliau telah menulis banyak karya yang terkenal, termasuknya novel-novel berikut:
* Salina * Langit Petang * Sungai Mengalir Lesu * Hujan Pagi * Bulan Tak Bermadu di FatehpurSikri. * Adik Datang * Cinta Fansuri
Antara antologi puisinya ialah Suara Dari Dinding Dewan (2003), Dirgahayu Dr. Mahathir dan Rindu Ibu (2004).
Antologi Esei terbaru adalah Ilham Di Tepi Tasik (2006).
Datuk A.Samad Said pernah juga menggunakan nama pena Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir.
Menginsankan manusia celik namun mahu terus buta. Masih juga menolak keras kebenaran, lalu enggan percaya akan ketempangan sebenar yang diwarisi sekian dekad. Kuasawan rakus membuntal kantung kroni sedang marhaen dibiar memagut sisa. Itu pun masih dilaungkan dengan bangga konon jasa tak terhingga yang harus dibalas dengan mandat. Bebas apa kalau lidah dicantas, tindak dihalang birokrasi setebal ego. Maka di atas padang sejarah, kita saksikan siapa kawan, siapa lawan dan siapa sebenarnya tuan.
Puisi memerli pemimpin kuku besi yang membolot keuntungan buat kepentingan sendiri. Rakyat sejati dianaktirikan, warga asing diberi bermacam-macam faedah.
Puisi di dalam buku ini tentu sekali ditujukan ketika zaman porak peranda dan rakyat jelata sedang bersusah-susahan tetapi kepala negara sedang bersuka ria dengan kemewahan warganya. Walaupun bukan dengan cerpen panjang berjela, Pak Samad memberikan gambaran penuh situasi tahun itu dan bagaimana bencinya beliau pada mereka yang menggunakan kuasa dan wang ringgit untuk poket sendiri.
Kesukaan saya kepada karya Pak Samad antaranya kerana bahasa yang segar. Kenal perkataan baru yang perlu dibelek Kamus Dewan, dan susun tertib ayat yang selalu tidak sama dengan yang biasa diguna orang.
“Kita tenaga jati gah berjuang demi keadilan; kita terbang sederas sinar julang panji kebenaran”
Mungkin saya sedikit skeptikal tetapi ketika pembacaan, saya merasakan ada sesetengah puisi ini “doesn’t age well”(for lack of better words) oleh kerana Pak Samad sendiri adalah partisan dalam perjuangan politiknya dan itu mungkin mempengaruhi penilaian saya yang melihat lanskap politik kini. Namun, tidak saya biar perkara tersebut terus mengelabui minda dalam pertimbangan untuk menilaikan buku ini secara objektif.
Pak Samad, melalui himpunan ini - saya lihat sangat segar dan unik dalam penggunaan kosa katanya yang membuat saya seringkali harus merujuk kepada kamus dalam talian Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mencari apa yang dimaksudkan. Walau mungkin dikira jargon dan agak menyekat keberkesanan apa yang cuba disampaikan, sebaliknya saya menjadi kagum dengan kesungguhan Pak Samad dalam penggunaan dan permartabatan sastera dalam penciptaan puisinya. Memang tidak langsung boleh disangkal mengapa beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negara mahupun Nusantara.
Kumpulan puisi ini mungkin bukan untuk saya tetapi saya pasti ramai yang sebenarnya menghargai dan akan menghargai karya ini bukan sahaja kerana nilai sasteranya tetapi juga semangat juang yang ditinta oleh Pak Samad.
"Di dataran sejarah suara kita sesubur rumput, bisik kalbu bergaung garang tanpa resah tanpa takut. Lagu kita rindu demokrasi darjat awan tertinggi mengindah ufuk senja merai kemerdekaan diri."
--- Di Atas Padang Sejarah, hlmn. 70
Di malam gusar dibahangi bara amarah enam dekad dendam di Gaza masih menyala. Air mata yang mengalir ke gelisah petang tetap terus bersumpah untuk bangkit menentang
Tiada tangga jatuh dibiarkan di Gaza. Anak-anak tetap dewasa menjadi wira. Tidak akan ada terowong seharum ini di mana satu terkorban, bangkit dua lagi.
--- Sumpah Gazawan, hlmn. 64
Kita hanya duduk pepura atas sejadah paling indah konon sangat beria-ia khusyuk mengucap keinsafan. Kita sedang sebenarnya menggandakan kemungkaran.
--- Mengganda Mungkar, hlmn. 36
Bismillah. Buku hasil dari buruan KLAB Jun 2013 lalu hampir ronyok kulitnya terkena tumpahan air akibat disimpan terlalu lama dalam tas sandang, kerana aku perlukan masa yang lebih lama untuk menghadam bahasa Pak Samad yang dalam. Yang menarik, pada penghujung buku dilampirkan susunan karya asal yang dicoret Pak Samad.
Saya suka sekali melihat proses Sasterawan Negara menukangi puisi-puisinya. Puisi Di atas Padang Sejarah..
Di dataran sejarah suara kita sesubur rumput, bisik kalbu bergaung garang tanpa resah tanpa takut. Lagu kita rindu demokrasi darjat awan tertinggi mengindah ufuk senja merai kemerdekaan diri.
Rumput di kaki, awan di kepala, gah iringi murba, seramainya, sederapnya, setulusnya, kita bersama menjulang panji negara, bangga dicium angin jati di tengah gelora kita, sebangsa dan sejiwa murni.
Di atas padang sejarah pantang kita mungkiri janji setiap tapak dan langkah mengisi rindu demokrasi. Diri kita amat padu maruah senandung setulus hati melunturkan wewarna zalim, menyuburkan kuning berseri.
Kita tenaga jati, Gah berjuang demi keadilan; kita terbang sederas sinar julang panji kebenaran.
bacaan santai saat meluangkan masa menikmati cuti persekolahan. naskhah puisi dan naskhah grafik. bahasa yang penuh makna. gambaran cerita yang sarat rasa