Nabi Muhammad (SAW) pernah berkata, “Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawahnya ialah sebaik-baik pasukan.” (Hadis Riwayat Ahmad bin Hanbal, dalam al-Musnad)
Konstantinopel sebuah kota yang menjadi rebutan. Sebuah kota bersejarah yang dibina kembali dari puing-puing tinggalan kaloni Greek yang membinanya dalam abad ke-7 Sebelum Masihi. Nama asalnya ialah Byzantium. Pelbagai pihak inginkannya. Ia dimasyhurkan sebagai pusat kerajaan baharu Rom pada tahun 330 Masihi oleh maharaja Rom bernama Constantine Agung. Kota ini berfungsi sebagai pusat Empayar Byzantine untuk berabad-abad lamanya. Ia juga dikenali sebagai Rom Baharu atau Rom Timur.
Sejak dari itu, pelbagai pihak mencemburui kemajuan kota kemegahan ini, termasuk dari pihak di Rom, Itali dan suku kaum yang memerintah kerajaan-kerajaan Eropah. Lokasinya amat strategik. Semenjak Rasulullah (SAW) berkata dalam hadis di atas semasa Perang Khandak, pemimpin dan pejuang jihad Islam selepasnya berhasrat memenuhi ramalan kenabian itu.
Misi menawan kota Konstantinopel mempunyai rentetan kisah perjuangan yang tidak kurang menariknya untuk direnungi. Seorang sahabat Nabi yang bernama Abu Ayub al-Ansari turut melakar namanya pada lembaran sejarah Islam. Beliau masyhur sebagai seorang pejuang Islam sejati. Apabila mengetahui ajalnya bakal tiba, beliau meminta agar dikebumikan berhampiran dengan kota Konstantinopel yang cuba ditaklukinya. Wasiat beliau ditunaikan.
Ini sebuah novel sejarah, perkisahan berkaitan kota Konstantinopel atau kemudiannya dikenali sebagai Istanbul sehingga sekarang. Saya persembahkan dengan cara yang berlainan dari pendekatan novel-novel sejarah lain yang sudah diterbitkan dalam bahasa Melayu, insya-Allah.
Saya bahagikan plot novel ini dalam beberapa era; Khulafa al-Rasyidin, Khalifah Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah, Kesultanan Saljuk dan Khalifah Uthmaniah.
Sengaja saya perincikan sedemikian rupa justeru ianya selari dengan pendekatan pengkajian sejarah oleh penakluk dan pembebas Konstantinopel, Sultan Muhammad al-Fateh. Beliau dalam merancang strategi perang mengepung kota Konstantinopel - selain kekuatan jiwa, munajat malam, nasihat penakluk rohani Syeikh Aaq Syamsuddin dan mengikuti tatacara Rasulullah (SAW) – dengan mengkaji geografi dan usaha kepungan di semua zaman termasuk semasa hayat Nabi Allah yang mulia itu.
Semua usaha yang menjurus kepada banyak peperangan itu adalah jejak-jejak perintis jihad dalam misi menakluk Konstantinopel bagi memenuhi ramalan kenabian Rasulullah (SAW). Faktor kejayaan, kegagalan dan mehnah yang dihadapkan ke muka setiap Khalifah dan pemerintah kerajaan Islam dalam memimpin angkatan kepungan menjadi iktibar yang ditelaah dan ditaakul hebat oleh Sultan Muhammad II, Al-Fateh bagi semua dunia dan umat Islam.
Penulis menggunakan nama pena Web Sutera. Nama sebenar ialah Hizamnuddin bin Awang. Sebelum menceburi dalam bisnes katering sepenuh masa, beliau pernah menjawat jawatan Editor bagi subjek matematik dan komputer di salah sebuah syarikat penerbitan. Selepas itu selama 11 tahun bekerja di MIMOS Berhad dan Jaring Communications Sdn. Bhd. sebagai Penyelidik dan Pegawai Pemasaran yang fokus tugasnya kepada penulisan bahan-bahan pemasaran, pendidikan ICT / Internet dan branding.
Semasa bekerja di Jaring Communications Sdn. Bhd., Web Sutera melaksanakan tugas-tugas sebagai penulis, editor bersekutu (associate editor) dan editor online bagi majalah Jaring Internet Magazine. Dalam waktu yang sama beliau banyak menyumbangkan hasil penulisan kepada beberapa majalah berbahasa Melayu tempatan dan juga bagi tugas rasmi untuk sisipan Komputer, Berita Harian. Kesemua subjek penulisan Web Sutera ialah dalam bidang sains dan teknologi, ICT dan internet. Jawatan terakhir beliau ialah Ketua Unit bagi salah satu unit dalam jabatan Komunikasi Korporat dan Branding syarikat Jaring Communications Sdn. Bhd.
Seterusnya bergiat aktif dalam bidang penulisan makalah ICT, sains, teknologi dan peradaban manusia sejak tahun 1995 dalam sedozen majalah bahasa Melayu di Malaysia.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Komputer dari USM,1992. Kini menjalankan perniagaan sendiri iaitu LUSIANA CATERING sebagai managing partner, setelah bekerja makan gaji hampir 15 tahun.
Alhamdulillah! Akhirnya saya berjaya menghabiskan pembacaan saya terhadap novel yang ditulis oleh Tuan Web Sutera.
Sebenarnya,memang niat saya untuk memulakan pembacaan novel yang bertajuk Konstantinopel : Kibaran Panji-panji AL-FATEH ini pada tahun 2014,sebagai sebahagian Cabaran Membaca 55 Buku Tiga Lima. Namun demikian,saya mengubah niat tersebut. Saya membuat keputusan untuk membacanya sebagai penutup tirai tahun 2013 yang akan tiba tidak lama lagi.
Baiklah. Secara peribadi,saya merasakan novel ini lebih baik daripada Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain,yang juga merupakan karya penulis yang sama. Hal ini kerana subjek/latar yang dipilih lebih asli dan tidak berdasarkan kepada sebuah buku yang ditulis oleh penulis lain. Sepanjang pembacaan saya juga,saya merasakan penulisnya,Tuan Web Sutera,memberikan perhatian yang khusus dan teliti di dalam penulisan novelnya pada kali ini. Umpama,ditatang minyak yang penuh.
Tambah menarik,seperti novel Hijab Zulkarnain,wujud watak-watak rekaan yang dicipta untuk memberikan sudut-sudut pandang yang tersendiri. Watak-watak tersebut adalah pelbagai sifatnya. Antara watak yang wujud adalah seperti Gale Grisham,Muhammad Nabil dan Sarah Mirza. Malah,wujud juga watak dari alam yang lain! Watak-watak ini tidak selaras zaman masing-masing. Namun,memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya di dalam menerangkan usaha-usaha penaklukan Konstantinopel oleh para pemerintah Islam dari era pemerintahan Khalifah Umayyah sehingga Uthmaniyyah.
Novel ini juga banyak menggunakan teknik imbas semula di dalam penceritaan. Mungkin agak memeningkan sesetengah pembaca. Namun,masih boleh difahami jika memberikan tumpuan yang baik sepanjang pembacaan. Bahasa Melayu yang digunakan adalah standard dan boleh difahami oleh sesiapa sahaja yang menguasai bahasa Melayu dengan baik. Terdapat juga unsur cinta antara watak di dalam novel Konstantinopel ini. Tetapi,bukanlah sebuah kisah cinta yang melalaikan. Cinta yang berteraskan kesucian Islam dan ilmu pengetahuan yang murni.
Setiap orang mungkin mempunyai pendapat masing-masing usai membaca novel sejarah Islam ini. Pada saya,pengajaran utama yang saya peroleh hasil bacaan saya adalah betapa perlunya kesabaran (yang diiringi doa,usaha dan tawakal yang cekal dan berterusan) yang tinggi diperlukan untuk mencapai sesuatu. Usaha menakluk Konstantinopel umpamanya,memakan masa beratus-ratus tahun. Ditakdirkan,seperti di dalam hadis Rasullullah S.A.W.,kota tersebut akan jatuh ke tangan pemimpin,tentera dan rakyat yang terbaik. Proses untuk mencapainya memakan masa yang amat panjang. Namun demikian,keteguhan kepercayaan terhadap hadis baginda itu membuatkan ramai pemimpin Islam berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan apa yang dikatakan baginda itu menjadi kenyataan pada zaman pemerintahan masing-masing,walaupun banyak kegagalan dan ujian terpaksa ditempuhi dan post-mortem dikaji untuk mengesan kelemahan-kelemahan yang wujud dan mengatasinya. Oleh itu,doa,usaha,tawakal dan istiqamah kepada Allah S.W.T. yang berterusan tanpa mengenal erti lelah dan putus asa diperlukan untuk mencapai kejayaan,khususnya kepada umat Islam pada hari ini supaya dihormati dan berjaya. Perlu saya katakan di sini,ini sesuatu yang mudah diucapkan,tetapi,perlaksanaannya bukanlah sesuatu yang mudah!
Secara keseluruhannya,saya amat menyukai dan berpuas hati dengan novel ini. Sekalung tahniah kepada Tuan Web Sutera yang berjaya menghasilkan sebuah novel yang bukan sahaja sarat dengan info sejarah,tetapi juga pengisian dakwah dan tarbiahnya. Sesuai dibaca oleh semua orang Islam dan bukan Islam,tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur. Satu cadangan yang saya ingin utarakan kepada Tuan Web Sutera untuk dipertimbangkan. Saya fikir,molek juga ditulis sebuah buku ilmiah yang berdasarkan kerangka perbincangan novel Konstantinopel. Saya fikir,berdasarkan apa yang saya tahu,masih belum ada penulis lagi yang menulis sebuah buku ilmiah yang membincangkan usaha-usaha penaklukan Kota Konstantinopel,dari suatu era pemerintahan ke era pemerintahan yang lain,seperti yang telah dibincangkan di dalam novel ini.
Dari buku inilah aku mula mengenali Sultan Muhammad Al-Fateh, aku mencari dan memcari kisah-kisah sejarah turkey.. sampai sekarang, masih membaca dan mengikuti perjalanan kerajaan turkey.Terima kasih pak web.👍🏻
Novel ini, sebenarnya sudah lama saya beli, iaitu pada PBAKL'13 yang lalu. Melihat ketebalannya membuatkan saya sering menangguh untuk membacanya. Tambahan pula, novel sejarah bukan seperti novel cintan cintun yang boleh dibaca 'lompat si katak lompat' (langkau).. Novel jenis ini perlu dibaca satu persatu dan adakalanya perlu diulang baca untuk difahami.
Dalam konstantinopel; kibaran panji-panji Al-Fateh, penulis banyak menggunakan teknik 'flash back', namun begitu ia masih boleh difahami dengan jelas, malah saya dapat membayangkan seolah-olah berada di zaman tersebut. Selain itu, watak-watak tambahan juga ditambah..seperti Grisham Gale, Mavi Mirza, Sarah Mirza, Muhammad Nabil..juga dua makluk alam lain, Abd Kudus dan Sultan Gunung.
Penulis juga membahagikannya dalam beberapa zaman. Zaman Khalifah-khalifah Islam berusaha menakluk Konstantinopel...Zaman Konstantinopel berjaya ditakluki..Zaman kejatuhan Empayar Uthmaniyah dan Zaman sekarang, dimana kisah penaklukan Konstantinopel diceritakan.
Penaklukan Konstantinopel bukan untuk berperang semata, tetapi untuk membebaskannya dari penghambaan sesama manusia dan menyebarkan ajaran Islam.
Selepas Nabi Muhammad saw bersabda, bahawa suatu hari nanti, Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan pemimpin Islam, satu persatu Khalifah Islam berusaha membenarkan kata-kata Nabi itu..dan Kota Konstantinopel berjaya dikepung oleh tentera Khalifah Muawiyah b Abu Sufyan, sehinggalah di zaman Sultan Murad II..tetapi tetap tidak berjaya menakluk kota tersebut. Apabila seorang wali Allah, Syeikh Bayram berfirasat bahawa anakanda Sultan Murad II yang akan membebaskan Kota Konstantinopel dari cengkaman Empayar Bizantine..Sultan Murad II mempersiapkan putera bongsunya, Muhammad. Muhammad dididik dengan sempurna, baik dari segi ilmu agama, ilmu duniawi dan seni mempertahankan diri. Pada usia 15 tahun, Sultan Muhammad sudah diberi mandat untuk memerintah Empayar Uthmaniyah dan pada usia 21 tahun, Sultan Muhammad sudah memegang tampuk pemerintahan setelah kematian ayahandanya. Kematian Sultan Murad II memberi berita gembira kepada Empayar-empayar di Eropah, tetapi tidak bagi Empayar Bizantine,mereka percaya kata-kata paderi mereka, kemangkatan itu adalah petanda kejatuhan Empayar Bizantine.
Sultan Muhammad II berusaha membebaskan Konstantinopel dengan mempersiapkan tentera-tenteranya dengan ilmu agama yang tinggi, tentera-tenteranya berjuang di siang hari dan menghambakan diri pada Allah pada malam hari. Malah tentera-tenteranya juga impikan syahid.
Dua kali cubaan untuk menembusi tembok kota gagal, namun tidak mematahkan semangat juang mereka, sehingga Sultan Muhammad mendapat pertolongan daripada Allah, baginda bermimpi melayarkan kapal perangnya di darat. Maka, Kota konstantinopel berjaya ditakluki oleh Sultan Muhammad Al-Fateh.
Seterusnya, juga diceritakan sedikit kisah kejatuhan Empayar Uthmaniyah, di mana Istanbul diperintah oleh Sultan Abdul Hamid II. Baginda di khianati. Gerakkan Turki Muda, yang digerakkan oleh Mustafa Kemal Pasha menggulingkan Sultan tersebut dan mengusir semua ahli keluarga Uthmaniyah dengan bantuan Yahudi. Seterusnya menukarkan namanya kepada Mustafa Kemal Ataturk dan memerintah Turki.
"Tiada daya upaya, melainkan dengan izin Allah jua"
Tahniah kepada penulis.
**Sedikit tentang Mustafa Kemal Artaturk, daripada tulisan Abd Latip Talib (buku tersebut masih belum khatam lagi, kerana dipinjam Mak cik). Beliau sebenarnya merupakan anak luar nikah, bapa kandungnya berbangsa yahudi. Ibunya bangsa turki ditiduri rakan baik ayahnya.
Alhamdulillah berjaya menamatkan kisah panjang Kota Konstantinopel melalui novel yang tebal ini sebagai pembuka bacaan untuk tahun 2015.Saya yakin ramai yang tahu dan mengenali Istanbul tetapi tidak Konstantinopel.Apa@dimana Konstantinopel? Bila,berapa,bagaimana,siapa dan kenapa? Saya sendiri pun hanya ada sedikit pengetahuan sahaja untuk menjawab persoalan 5 W 1 H berkenaan Konstantinopel.InsyaAllah melalui pembacaan novel sejarah ini pada saya ianya padat dengan info baru yang dapat diketahui dan mengukuhkan lagi maklumat yang sedia ada.Disamping itu sememangnya mengandungi ibrah dan hayatilah semangat Al-Fateh.Tahniah kepada tuan penulis dan sejujurnya saya lebih menyukai novel ini berbanding novel sejarah pertama Macedonia.
Novel ini dipersembahkan dengan teknik yang berlainan pendekatannya melalui naratif,perincian medan perang,dialog dan ada tiga kumpulan yang berdiskusi(berlainan latar masa).Plot-plot disusun mengikut era Khulafa al Rasyidin sehingga Khalifah Uthmaniyah.Saya tertarik dengan jasa Muawiyah bin Abu Sufyan melalui sumbangan beliau mewujudkan armada laut pertama Islam.Klimaks novel ini pastinya dengan kemunculan Sultan Muhammad Fateh pada lebih kurang 30% penghujung kisah.Subhanallah taktikal peperangannya sangat bijak dan belum pernah dibuat pada masa itu.
Novel ini mengandungi lakaran peta-peta yang membantu kita menjelaskan lagi gambaran kawasan dan empayar.Saya tertanya-tanya dimana Asia kecil? Berhenti membaca,google dulu.Boleh rujuk m/s 594 ada petanya.Penutup kisah ini tergantung,terserah kepada pembaca dan penulis juga membuka pengenalan kepada Perang Armageddon.
Alhamdulillah selamat selesai bukunya. Bermula dari Disember tahun lepas lagi, saya memang niatkan nak mulakan cabaran membaca 2021 dengan buku ini, Kibaran Panji-panji Al-Fateh.
Tidak menyesal. Walaupun lama dah simpan buku ini, sejak dibeli siap dapat autograph Tuan Penulis yang buka booth buku di Pusanika UKM bertarikh 12 April 2019. Asalnya saya fikir buku ini mostly menceritakan kisah Sultan AL Fateh. Rupanya tidak ya. Buku ini beri pencerahan apa yang berlaku sekitar Empayar Bizantine dan Kekhalifahan Uthmaniah dulu, berpuluh tahun sebelum lahirnya Al-Fateh. Di selang-seli dengan kisah Sultan Murad II khalifah terakhir Uthmaniah sekitar 1429-1532 Masihi, Mavi Mirza, adiknya Sarah dan Gale sekitar tahun 1908 Masihi di Istanbul, makhluk dimensi lain Abdul Kudus dan anaknya Sutan Gunung dalam tahun 1445 Masihi, kisah Muhammad Nabil di sekitar Masjid Nurul Hidayah pada 2012,cerita Khalifa Harun Al Rashid dari Daulah Abbasiyah pada tahun 806 juga ada sedikit.. Rasanya banyak lagi. Saya tulis mana yang saya ingat dan selak semula mukasurat untuk catat.
Bab tentang peperangan menakluki Konstantinopel mulai kalau tak silap Januari 1453 hingga penaklukan mutlak pada 29 Mei 1453 Masihi oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, memang saya nantikan. Mula dengan page 721, Tak cukup panjang bab-bab ini bagi saya. Rasanya saya perlu cari buku yang khusus menulis cerita perang penaklukan saja. Dua puluh satu tahun umur Al - Fateh sewaktu penaklukan Konstantinopel. Mengkagumkan.
Saya ingat pabila ada kesempatan dan sekiranya berjumpa lagi, nak tanya penulis, bagaimana beliau mampu membukukan kisah-kisah hebat ini. Agaknya berapa banyak sumber rujukannya. Epilog buku ini pun thrilling juga. Mencetus keinginan untuk selidik lagi.
OH ya, saya tanda kan mukasurat 389. Mimpi Gale. Bermula dengan ayat "Malaikat Israfil meniup sangkakala yang bentuk nya seperti tanduk besar." Berakhir dengan perenggan "Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya. Lalu tinggallah mereka dalam kegelapan. Berlakulah huru-hara yang amat dasyat."