[ Falsafah Hidup ]
[ H. AbdulMalik K.A ~ HAMKA ]
Satu perkara yang menarik perhatian aku apabila mula-mula membaca karya ini ialah pilihan dua bab pertama Buya Hamka untuk memulakan celotehnya.
Bab satu mengenai akal.
Bab kedua mengenai ilmu dan akal.
Seakan-akan ada kesamaan dengan karangan kitab Ihya' Ulumuddin Imam Ghazali yang memulakan kitabnya dengan topik ilmu pengetahuan.
Dan memang benar, dalam 7 bab seterusnya, selalu dirujuk kembali kepada penggunaan akal dalam mengharungi cabaran dan erti hidup.
Dalam pendefinisian akal, pengarang merujuk kepada Amin bin Abdul Kudus:-
"Pada istilah,...., 'pengetahuan akan perkara yang mesti diketahui',. Ia terbahagi kepada dua, pertama didapat dengan pancaindera, yang kedua permulaannya dalam diri sendiri."
Dan beliau terus berceloth lagi mengenai akal, tentang ilmu, amal dan iman.
Dua statemen ini rasanya sudah padu sebagai ringkasan kaitan keempat-empat perkara di atas:-
" Akal itu terbahagi kepada tiga bahagian, sebahagian untuk mengenal Allah S.W.T, sebahagian untuk taat kepada Allah S.W.T, dan sebahagian lagi untuk sabar(menahan hati) daripada maksiat akan Allah S.W.T"
"Iman itu masih bertelanjang, pakaiannya ialah taqwa, perhiasannya ialah malu, hartanya ialah iffah, buahnya ialah ilmu".
Satu perkara lain yang menarik perhatian aku ialah penekanan beliau kepada konsep kesederhanaan. Dari sudut sederhana niat dan tujuan, sederhana berfikir hinggalah sederhana mencari nama/pangkat/harta etc2.
Sederhana di sini bukanlah bermaksud buat kerja sambil lewa atau tidak memberikan sepenuh tenaga dalam sesuatu perkara. Tidak.
Sederhana yang dimaksudkan di sini adalah dari segi tidak berlebih-lebihan, adil dan sopan pada melakukan sesuatu perkara itu.
Memetik kata-kata pengarang,
"Yang akan disederhanakan ialah niat dan tunjuan, bukan bekas keluar."
"Tujuan sederhana tidak terletak pada bentuk lahir."
"Warna sederhana berlainan dan berbagai ragam, menurut kesanggupan tiap-tiap orang. Tetapi haruslah niat tempatnya tegak, diperbaiki."
Pengarang ada juga menyentuh beberapa perkara mengenai isu geopolitik, isu nasional dan politik. Walaupun ada pendapat beliau yang aku tak bersetuju, contohnya mengenai Negara Islam dan isu kepelbagaian parti.
Mengenai hal pentadbiran, pandangan beliau mengenai pemisahan administrasi agama dan administrasi negara mungkin agak kontroversi buat setengah pihak.(baca: bukan pemisahan agama dan negara). Konsep ini pada bacaan pertama kali mungkin nampak janggal kerana bunyinya seperti pengarang ingin mengasingkan agama dan negara.
Sejujurnya beliau tidak terlalu menghuraikan perkara ini jadi aku tidak berniat untuk memanjangkan diskusi mengenai ini.
Apapun, pada hemat aku, buku ini bagus untuk dibawa di mana-mana untuk dibaca saat murung atau perlukan pencerahan. Benar, tidak boleh lawan bacanya Al-Qur'an. Tetapi sempit pandangan kita jika kita berasakan hanya satu sumber makrifat, panduan dan keterangan.
Wallahu'alam.
--
4/5