Bacaan santai di PNM e-Reader.
Borrow from Perpustakaan Negara Malaysia Digital Library
Dialog/nukilan yang menarik...
Andai diri mengambil keputusan yang betul, pasti sahaja diri akan tenang. Jika apa yang kita lakukan itu salah, kita juga akan turut rasa bersalah. Begitulah dia menilai situasi yang dialaminya kini.
Kita sememangnya jauh daripada kesempurnaan, namun kekurangan itulah yang mengajar kita untuk menghargai apa yang kita ada. Saling memahami, saling mempercayai dan memberi sokongan adalah kunci kehidupan.
“Kalau kau beri sayang, kasihlah yang kau dapat. Kalau kau beri layang-layang, wau ajelah yang kau dapat. Sudahnya semuanya diterbangkan angin. Apa pun kau tak dapat!”
“Dian… kemaafan akan mengubah pandangan dan pendirian kita. Janganlah kau ikutkan perasaan sangat,” pujuk Asmidar.
“Kemaafan memang mudah diberikan, tetapi tetap tidak dapat mengubat luka yang tercalar,” ujarnya. Apa yang berlaku benar-benar buat dia terluka.
Sesungguhnya, tiada siapa yang mengerti hati dan perasaan seorang ayah. Kadang-kadang ketegasan seorang ayah disalahertikan oleh si anak. Padahal demi untuk memberi yang terbaik kepada si anak, seorang ayah terpaksa mengenepikan keinginan sendiri. Seorang ayah tidak kisah pun andai terpaksa mengorbankan kepentingan diri.
Kadang-kadang bukan mudah untuk mencari kebenaran kerana dalam terang ia tersembunyi. Dalam gelap apatah lagi.
“Adakalanya sesuatu perkara itu tidak perlu diucap pun sudah dapat difahami.”
Sesungguhnya kebahagiaan tidak datang sendirian dalam hidup ini. Ia pasti bertandang bersama kesedihan dan dugaan. Cabaran pasti mengunjungi hidup ini untuk menjadikan kita insan yang lebih tabah menempuh gelora kehidupan.
Benarlah bak kata pujangga, bahasa yang paling indah adalah bahasa yang dapat menyatakan maksud yang sebenarnya walau adakala tanpa suara.
Sesungguhnya, bunga yang cantik tidak sentiasa mekar. Ia berputik kemudian berkembang dan akhirnya layu jua. Tidaklah dinamakan kehidupan andai tidak merasai kegembiraan dan kedukaan yang saling berganti tempat.
Ujian dan cabaran sentiasa menduga diri, namun tetap terselit keindahan yang tidak boleh dibeli di mana-mana. Kadang-kadang, menyusuri jalan yang berliku lebih mudah daripada teraba-raba dalam kegelapan di kawasan yang lapang. Namun, apabila sentiasa bersabar dan reda dengan apa yang berlaku, kebahagiaan pasti akan datang juga akhirnya.