Kitab ini adalah ilmu peninggalan Arwah Tok' Kenali dan peninggalan ilmu Arwah Tok' Selehong Kelantan, yang dipelajari dari Syeikh Daud Al-Fatani, yang ditinggalkan pula kepada satu-satunya murid beliau iaitu, Tuan Guru Haji Mohd Yusuf Cik Wook, Banggol Chica Pasir Mas, Kelantan. Kemudian diturunkan pula kepada anakandanya Haji Shaari Haji Mohd Yusof.
Kitab Tok Kenali ini mengajak kita menyeberangi sempadan lautan hairan dan melewati batasan akal. Membicara rahsia ilmu yang tersembunyi di sebalik huruf dan ilmu yang terkandung di sebalik penghujung rasa. Menyingkap tabir rahsia Allah yang tenggelam di lautan ghaib.
Kitab Makrifat adalah pengembaraan ilmu kalam, menuju binasa, fana, baqa, zuk dan pengembaraan kalam menuju ilmu rasa. Ilmu rasa adalah ilmu penamat segala pencarian. Ilmu rasa adalah ilmu penyuluh kalbu, yang membawa makrifat kepada Allah Ta'ala.
Makrifat adalah ilmu penyuluh di dalam terang, seumpama mata mencari kening, api mencari cahaya, masin mencari garam dan ilmu pencarian barang yang tidak hilang. Sungguhpun tidak hilang, dikejar makin jauh, dipanggil makin sayup, digali semakin dalam, dilihat semakin ghaib yang akhirnya lemah akal dari berkata-kata.
Peninggalan Tok' Kenali ini, adalah ilmu yang mudah difaham oleh semua golongan masyarakat dan semua peringkat umur. Ilmu Makrifat Tok' Kenali ini adalah, ilmu yang tidak perlu kepada guru, sebenar guru itu adalah rohani diri sendiri. Segala jawapan kitab ini telah terkandung dengan jelas dan muktamad.