Yahya Samah dilahirkan di Ulu Klang, Selangor, pada 1932. Pada 1948 hingga 1952, beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Idris, Tanjung Malim, Perak. Pada 1961, beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Menjadi guru hingga tahun 1967. Kemudian menjawat jawatan Pegawai Kebudayaan, Belia dan Sukan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan hingga 1983 sebelum bersara.
Yahya Samah mula bergiat di dalam penulisan karya kreatif pada dekad 60-an. Novelnya yang pertama, Layang-layang Putus Tali telah mendapat hadiah saguhati di dalam peraduan mengarang novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Novelnya yang bertajuk Dahaga, Perahu Kecil Belayar Malam, Anak Muda, Kalkatu dan Sofia sangat diminati oleh pembaca dari golongan anak muda.
Kebolehan Yahya Samah melukiskan babak-babak romantis secara simbolik dan menggunakan perkataan-perkataan yang membawa makna berlapis, menjadikan karyanya sangat menarik dan tidak jemu dibaca. Ada orang berpendapat bahawa Yahya Samah amat bijak melindungi sesuatu yang jijik, yang keji dan yang kotor melalui bahasanya.