Nabi Muhammad SAW adalah rasul akhir zaman yang diutus kepada seluruh manusia. Namun, ramai manusia menafikan kerasulan baginda tanpa usul periksa walaupun terdapat pelbagai bukti yang menunjukkan kebenaran baginda.
Buku ini cuba membahaskan bukti-bukti ini secara mendalam. Antara perkara yang difokuskan adalah penyataan yang menunjukkan Nabi Muhammad SAW adalah rasul akhir zaman yang terdapat di dalam kitab-kitab terdahulu iaitu kitab Perjanjian Lama, Perjanjian Baru, Vedas, Purana serta kitab suci agama Budha. Di dalam Bible, beliau dikenali sebagai Paradetos. manakala di dalam kitab Vedas dan Purana, beliau dikenali dengan empat gelaran iaitu Narashangsa, Antim Rishi, Kalki Avatar dan Ahamiddi.
Di dalam kitab agama Budha pula beliau dikenali sebagai Maitreya. Adakah gelaran-gelaran ini berkaitan dengan peribadi yang sama? Mungkinkah peribadi itu sebenarnya adalah Nabi Muhammad? Inilah antara isi penting yang difokuskan di dalam buku ini.
Kandungan
Bab 1 Muhammad Rasul Akhir Zaman Bab 2 Pendirian pada Kesucian Kitab Bible Bab 3 Muhammad di dalam Kitab Bible Bab 4 Muhammad di dalam Kitab Agama Hindu Bab 5 Muhammad di dalam Kitab Budha Bab 6 Kejujuran Muhammad Diakui Musuh-musuhnya Bab 7 Muhammad Hidup Tanpa Kepura-puraan Bab 8 Ramalan yang Terbukti Benar Bab 9 Muhammad Pembawa Risalah Saintifik Bab 10 Pandangan Tokoh-tokoh Bukan Islam Mengenai Muhammad Bab 11 Epilog
Dr. Danial bin Zainal Abidin berasal daripada Kampung Manggis, Sungai Ara, Pulau Pinang. Beliau merupakan anak kedua kepada Hj. Zainal Abidin bin Hasan dan Hjh. Che Su bte Hj. Jamaluddin dan dilahirkan pada bulan 21 Julai, 1955.
Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Jelutong, Pulau Pinang. Selepas mendapat gred satu dalam peperiksaan MCE beliau memasuki tingkatan enam di Sekolah Menengah Penang Free sebelum ke Universiti Iskandariah, Mesir, untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.
Di Mesir beliau menjadi Presiden Kelab Pelajar-Pelajar Malaysia di Iskandariah pada tahun 1975. Kesempatan belajar di Mesir telah digunakannya untuk mendalami bahasa Arab dan menimba ilmu agama dari ulama yang berkaliber, antaranya, seorang ulama hadis yang terkenal, as-Syeikh Muhammad Najib Al-Muthi’i. Pada tahun 1981 beliau memperoleh ijazah M.B.Ch.B. dalam bidang perubatan.
Jawatan beliau sekarang ialah sebagai Pengarah Urusan kepada syarikat Danial Zainal Consultancy (M) Sdn. Bhd. Beliau juga ialah pengurus dan pengamal perubatan di Klinik Syifa, Gelugor, Pulau Pinang. Di samping itu, beliau menjadi pakar motivasi undangan di Mutiara FM, Pulau Pinang, mengendalikan slot Motivasi Mutiara dan Islam Moden. Beliau juga menyampaikan motivasi secara berkala di Perlis FM dan Perak FM.
Pengalaman beliau amat luas kerana sering kali dijemput menjadi penceramah serta pemudah cara bagi program-program di Telekom Malaysia, IKIM, Kuantan Port, Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Persatuan Pekerja-Pekerja Islam TNB, KLIA dan lain-lain lagi. Pada tahun 2003 beliau menjadi penceramah khas bagi Petronas Carigali membincangkan tajuk Quality Principles di Terengganu, Sabah, Sarawak, KL dan Vietnam. Pada tahun 2004 pula beliau dijemput memberi ceramah khas kepada Kerabat di Raja Negeri Perak, EXCO Kerajaan Negeri Perak dan dif-dif jemputan bertajuk ‘Quran dan Sains’.
Di samping itu beliau juga di undang menyampaikan ceramah di luar negara, antaranya, di St. Louis, Amerika, Perth, Australia, dan Singapura.
Beliau juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan bergiat cergas dalam pertubuhan dakwah dan kebajikan. Beliau menjadi penasihat bagi Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) bermula tahun 2005. Beliau pernah menjadi Yang Di Pertua Jemaah Islah Malaysia (JIM) Pulau Pinang, dari tahun 1992-2001. Dari tahun 1996-2000 pula beliau menyandang tugas sebagai Pengerusi Kariah di Sungai Ara, Pulau Pinang.
Dalam bidang penulisan, beliau merupakan kolumnis tetap ruangan Islam dan Sains bagi Majalah-i, Karangkraf, dan Kosmik, Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku-buku yang telah beliau hasilkan setakat ini berjumlah sepuluh buah iaitu, Konsep Perubatan Islam, Islam The Misunderstood Religion, Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden, Kit Kombat Islam, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden, Bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Nabi Muhammad S.A.W., Empayar Minda Muslim, 7 Formula Individu Cemerlang, Tip-tip Cemerlang Daripada Quran dan Quran Saintifik. Lima daripada buku-buku ini telah mencapai status terlaris atau bestseller di Malaysia. Buku Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden pula menjadi Finalis dalam Anugerah Media Islam (AMIN) bagi tahun 2006. Setakat ini empat buah buku beliau telah dilesenkan untuk pasaran di Indonesia, iaitu, Empayar Minda Muslim, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden, 7 Formula Individu Cemerlang dan Tip-Tip Cemerlang Daripada Quran.
Di sudut kekeluargaan, beliau mempunyai dua orang isteri. Isteri pertama beliau ialah seorang doktor perubatan dan isteri kedua beliau ialah seorang pengurus syarikat. Beliau dikurniakan dengan lapan orang cahaya mata. Anak pertama beliau memperoleh ijazah dalam bidang Bio-Teknologi, anak kedua dalam bidang Kimia Analisis, anak ketiga dalam bidang Teknologi Persekitaran dan anak keempat sedang menuntut di Fakulti Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia. Anak-anak yang lain masih bersekolah.
pembukaan buku ini buat aku hooked dan tak boleh stop. cara Dr Danial mengemukakan bukti bukti kerasulan Nabi Muhammad s.a.w melalui kitab kitab suci agama lain seperti Bible dan Veda membuat kita lebih mengagumi baginda s.a.w dan al Quran yang melengkapkan agama Allah.
part bukti bukti sains tu aku slow sikit tapi memang mengkagumkan.
Bacalah dengan nama Allah, Tuhan sekalian alam. :-)
Bukan saja dibentangkan bukti-bukti kerasulan Nabi Muhammad SAW daripada kitab-kitab agama lain, terdapat juga pendapat tokoh-tokoh dan saintis bukan Muslim mengenai baginda. Seronok sebab dapat refresh riwayat Rasulullah SAW dan sejarah perkembangan Islam dalam bahasa yang mudah (setelah beberapa hari baca karya terjemahan).
Pada awal penulisan buku ini penulis membawakan maklumat tentang Nabi Muhammad secara ringkas bermula dengan keturunan, menjadi rasul, hijrah hingga wafat. Kemudian penulis menyatakan sifat-sifat Nabi Muhammad berdasarkan Quran.
Seterusnya Penulis menerangkan tentang Bible, kandungan Bible, Versi-versi bible lalu membuat mengeluarkan ayat-ayat yang ada kaitan akan kedatangan Nabi Muhammad.
Selepas itu penulis menyatakan kalimah yang berkaitan dengan datangnya pembawa risalah akhir zaman dalam kitab agama Hindu, Veda. Dan kitab agama Buddha.
Selain daripada kitab agama lain. Penulis membawa sirah nabi. Tentang pandangan musuh-musuh Muhammad tentang pendirian mereka kepada peribadi Nabi.
Selepas dibahaskan tentang peribadi Nabi dan kedatangan Nabi Muhammad. Penulis membawakan kajian sejarah Dan saintifik Yang disebut dalam Quran dan hadis. Antaranya kejatuhan Rom dan lalat sebagai penawar. Kajian saintifik dibawakan bersama kajian moden Yang terbukti benar.
Pada akhir bab, penulis membawakan tokoh-tokoh bukan Islam(Ada sebahagian yang masuk Islam) yang mengakui ketokohan Nabi Muhammad.
*Buku ini sesuai dijadikan rujukan kepada pengkaji comparative religion, siroh, dan untuk tokoh ilmuwan dalam Islam.
Buku ini menyebut -Nabi Muhammad dalam kitab bible -Nabi Muhammad dalam kitab Purana dan Vedah -Ayat Quran dan bukti secara saintifik -Hadith Nabi dan bukti dalam sejarah Dan banyak lagi
Dr Danial tidak pernah mengecewakan. Membaca buku ini seumpama mendengar beliau bercerita di hadapan kita. Seakan-akan terngiang-ngiang suara Dr Danial sepanjang pembacaan saya. Satu kajian yang sangat komprehensif. Walau isinya agak berat, namun percayalah tidak sukar untuk memahami dan mendalami setiap fakta di dalamnya. Percayalah, usai anda membaca buku ini, anda akan melihat Rasulullah dalam satu perspektif yang berbeza dari apa yang pernah kita dengar/ baca sebelum ini.