' Sejarah itu suatu takdir yang tidak dapat diubah '
Titisan Hati mana yang tidak pedih, fikiran mana yang tidak kusut, mendengar tunang sendiri telah layu sebelum sempat dipetik. Benang cinta disirar jua, simpulan kasih pula diteguhkan demi membunuh kenyataan itu. Tetapi, bagaimana jika dakwaan Fuad itu benar? Perlukah dia meninggalkan Suliza, demi maruah? Atau, diteruskan langkah usang itu, walaupun titisan nanar terbenam di rongga jantung.
Hasanuddin bin Md Isa dilahirkan di kampung Kuala Atok, Raub, Pahang Darul Makmur pada tahun 1 Januari 1961. Bapanya, Md Isa bin Omar merupakan petani yang pernah belajar pendidikan Islam dan bahasa Arab di sebuah pondok pengajian Islam di Bunut Payung sebelum perang. Hasanuddin Md Isa mendapat pendidikan awal di kampung halamannya iaitu di Sek.Kebangsaan Kuala Atok pada 1967-1973. Beliau melanjutkan pelajaran ke Sek.Men.Kebangsaan Raub pada 1974-1977. Dengan berbekalkan A15 dalam Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran, beliau melanjutkan pelajaran ke Sek.Men.Teknik Kuantan 1977-78. Setelah itu, beliau melanjutkan pelajaran ke Sek.Men. Abdul Rahman Talib , Kuantan 1979-1980 di tingkatan 6 Sastera. Setelah mendapat pencapaian agak baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi 1981-1984. Seterusnya mulai tahun 1988-89, beliau mengikuti kursus diploma pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pada tahun 1992, beliau sekali lagi mengikuti kursus dalam bidang Pedogogi dan Metodologi Pembelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Beliau telah berkahwin dengan Puan Nor Aliza bt. Mohamad Hanib pada November 1990. Hasil perkahwinannya itu dikurniai Allah empat orang cahaya mata.
Dalam kerjaya yang pernah dijalankannya, beliau pernah menjawat jawatan dalam sektor awam. Antaranya ialah:
i.GSTL di Sek.Men.Kebangsaan Alor Akar,Kuantan 1986-87 ii.GSTL di Maktab Rendah Sains Mara,Kuantan, 1987 iii.Kurator muzium Sultan Abu Bakar,Pekan, 1988 iv.Tutor Bahasa Melayu Program Khas Diploma Pendidikan, UIA 1989-90 v.Guru Bahasa Melayu/Ekonomi Asas di Sek.Men.Agama Pulau Tawar,Jerantut 1990 –96 (Sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang JAIP) vi.Guru Ekonomi Asas di Ma’ahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini. 1997-98 (Sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang JAIP) vi.Guru Bahasa Melayu dan Ekonomi di Sek. Men. Agama Al-Ulum Ad-Diniah, Dong- 1999 – 2008 (Sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang JAIP) vii. Pengetua Maahad As-Sultan Ahmad Shah Addini, Bandar Jengka 2008- 98 Februari 2011 viii. Pengetua Sek. Men. Agama Al-Falah Batu Talam, Raub mulai 9 Februari 2011 hingga kini.
Dalam bidang penulisan, beliau telah mula menulis sejak di bangku sekolah menengah lagi. Hasil-hasil karyanya berbentuk sajak sering disiarkan di dalam majalah tahunan sekolah. Kemudian bakat penulisannya dilanjutkan dengan menulis rencana-rencana di dalam akhbar tabloid seperti Watan, Tanahair dan lain-lain juga menulis rencana dalam majalah ‘ Al-Muslimah’ (tahun 1980-an) dan majalah keluaran Pusat Islam Malaysia (Cahaya). Kerja-kerja penulisannya turut mendapat pengiktirafan. Beliau pernah memenangi anugerah iaitu: i. Anugerah Khas Budaya Negeri Pahang 1986 Bahagian Penulisan Rencana Budaya, ii. Hadiah Sastera berunsur Islam 1988 (DBP:Novel Mereka Yang Tertewas [dijadikan teks sastera SPM 1991-2001] iii. Sastera Berunsur Islam 2, 1990 (DBP: Novel Halangan dan Rintangan) iv. Novel Al-Abrar dipilih dalam penilaian peringkat akhir , Hadiah Sastera Nasional anjuran Utusan Publication & Distributors 1994 v. Memenangi hadiah utama pertandingan penulisan puisi tradisional (Syair: Masyarakat Madani mengharung zaman) anjuran Permodalan Nasional Berhad 1999 vi. Memenangi hadiah sagu hati pertandingan Penulisan Al-Manak 2001 (cerita rakyat : Puteri Indung Gunung Tahan) anjuran Nett Space Sdn. Bhd. 2000. vii. Tahun 2004, beliau diberi Anugerah Pengkaryawan Sastera oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) viii. Novel "Cebisan Mantera Terakhir" diangkat oleh Majlis Buku Kebangsaan sebagai antara 50 buku terbaik guru dan karya terjemahan guru sempena Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-42 IX. Novel "Sarjana Bangsa" mendapat tempat ke-2 kategori novel di Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2.
Jujurnya saya tidak sangka penghujung cerita Titisan akan memberi kepuasan membaca sebuah novel yang berisi dengan konflik kehidupan. Awal pembacaan, saya lebih yakin akan tidak menyukai Rashidi, pemegang watak utamanya. Tengok macam tidak bersemangat orangnya. Baru dua kali putus cinta sudah lemah, tidak mahu fikir tentang perkahwinan. Terpaksa pula ibu dan bapanya meregang fikiran mengaturkan jodoh untuknya.
Rashidi seakan dipaksa menjalin pertunangan dengan Suliza, gadis yang pernah mencuri hatinya sewaktu zaman persekolahan tetapi selepas dia meninggalkan kampung untuk melanjutkan pengajian di UKM, hubungan itu putus sendiri. Suliza entah atas sebab yang tidak faham asalnya, tidak suka akan paksaan tersebut. Dia hanya tidak dapat menolak pinangan orang tua Rashidi kerana tidak mahu melukai bapanya sendiri. Di sini saya rasa sedikit jengkel, kenapa Pak Sulaiman ayah Suliza pun macam sengaja tidak berapa berbesar hati menerima pinangan kawannya, sempat pula meletakkan syarat dan hantaran tinggi. Dia sebenarnya turut mahu menerima pinangan itu untuk anaknya atau dia juga terpaksa?
Selepas bertunang, Rashidi menerima kunjungan Fuad. Lelaki angkuh ini datang dari. KL ke Pejabat Rashidi di Temerloh semata-mata ingin memberi peringatan, supaya Suliza dilepaskan. Menurut Fuad, Dia dan Suliza berhubungan intim. Selepas episod ini, saya baru dapat merasakan bahang konflik yang setara dengan kemampuan seorang Hasanuddin Md Isa.
Rashidi dilanda gelora perasaan. Saya juga. Isyyy macam lembab pula otak rasanya, tak faham gaya Rashidi. Sekejap dia tawar hati untuk meneruskan pertunangan dengan Suliza, sekejap dia beriya-iya mahu mempertahankan hubungan keterpaksaan itu. Atau mungkin ulahnya hanya berasaskan cemburu, atau dengki, tidak rela Fuad merampas Suliza daripadanya. Fuad kata dia yang merampas Suliza kekasihnya. Si Fuad ni pun satu, terlebih gengsi. Sampai satu Ketika, Suliza pun buat gila. Dia bersetuju berjumpa Rashidi di KL dan pada masa yang sama dia atur supaya Fuad juga join pertemuan tersebut. Fuad naik hantu, dia panggil Suliza 'perempuan jalang, perempuan jahat', dan mengaku pula mereka pernah bermalam di hotel. Suliza pula bersumpah itu tidak betul. Esoknya Fuad telefon Rashidi memberitahu Suliza pernah menggugurkan janinnya. Aduhh, tiba-tiba pula. Pening sungguh saya. Waktu ini saya betul dapat rasakan belengu fikir Rashidi. Memang susah jadi Rashidi.
Boss Rashidi, Encik Effendi paling cool. Dipaksanya Rashidi pergi kursus di Kuala Terengganu. Tenangkan fikiran sambil berfikir, sambil juga beri peluang untuk bertemu orang lain. Manalah tahu Rashidi akan berubah fikiran, tidak jadi memutuskan pertunangan dengan Suliza.
Di Kuala Terengganu, Rashidi terjumpa pula dengan Mek Kelantan yang pernah mengecewakannya dalam percintaan kali kedua, Faziha. Lain macam pula ulah Faziha. Apa yang dibuatnya? Betul kah dia mahu Rashidi mengambilnya kembali sebagai kekasih. Dia malah bersedia jadi isteri kedua. Kenapa sampai gitu? Siapakah akhirnya pilihan Rashidi?