Dari tajuknya,
Takdir 2: Percaya Yang Tidak Sirna
merupakan sambungan kepada novel sebelumnya, iaitu
Takdir 1: Cahaya Yang Tidak Terpadam
. Takdir 2 juga merupakan novel kedua daripada trilogi novel ini. Walaupun demikian, novel ketiga masih belum diterbitkan lagi. Namun, dengar khabarnya, akan diterbitkan tidak lama lagi. Dijangkakan akan terbit pada tahun 2014 pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014, jika saya tidak silap. Insya-Allah.
Jalan cerita utama novel ini sememangnya sambungan terus dari novel yang pertama. Mengambil tempat enam bulan selepas kejayaan Kerajaan Tanah Haram mengalahkan gabungan angkatan tentera Lima Jeneral Sang Asura. Suasana aman dikecapi selepas peperangan besar itu. Tiada serangan dari tentera Sang Asura. Keadaan ini diambil kesempatan oleh tiga kerajaan Islam (Kerajaan Tanah Haram, Kerajaan Chinmayi dan Kerajaan Bumi Barakah) untuk menyebarkan dakwah Islam di luar sempadan negara. Angkasa Sakti, Aizan Fahmi dan End Less (seorang panglima Sang Asura yang mendakap Islam dan kebenaran) ditugaskan untuk menyebarkan Islam di kalangan kaum Gergasi dan Makhluk Genetik di sebuah tempat yang diberi nama Uftzi. Selain itu, misi untuk membebaskan wilayah-wilayah yang berada di bawah kekuasaan Sang Asura dan konco-konconya turut dirancang dan dilaksanakan. Serangan ke atas wilayah Ethan, Brynhildur dan Midori digerakkan. Malangnya, kelicinan operasi dicacatkan dengan tentangan hebat musuh, yang mampu menggugat keyakinan para pejuang dengan bantuan Allah S.W.T.. Malah, ancaman juga bukan hanya hadir dari luar. Ancaman turut wujud yang datang dari golongan munafik di dalam Kerajaan Tanah Haram sendiri yang mahu tunduk kepada kekuasaan Sang Asura.
Tidak banyak yang saya boleh ulaskan mengenai Takdir 2. Kebanyakannya telah saya nyatakan di dalam Takdir 1. Namun begitu, usai membaca novel ini, saya merasakan gaya atau lenggok penulisan novel sekuel ini nampak lebih teratur dan kemas berbanding novel prekuelnya. Saya merasa lebih selesa membacanya. Ini juga menyebabkan pembacaan saya menjadi lancar.
Di dalam Takdir 2 juga, beberapa persoalan yang timbul di dalam Takdir 1, diperjelaskan. Beberapa rahsia atau misteri yang timbul, umpamanya, latar belakang atau identiti sebenar para panglima Sang Asura, didedahkan kepada pembaca.
Selain itu, terdapat satu mesej utama yang ingin disampaikan oleh penulis. Mesej tersebut adalah untuk tidak berputus asa dengan bantuan Allah S.W.T. kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Walaupun ada musibah yang terus-terusan menimpa dan terasa seolah-olah bantuan-Nya itu sangat jauh dan pada masa yang sama musuh Islam mengecapi kejayaan (walaupun tidak beriman kepada-Nya). Kejayaan dari Allah S.W.T. akan tiba kepada mereka yang sabar dan terus berusaha menunaikan kewajipan selaku hamba untuk mencapai rahmat-Nya. Sesungguhnya segala yang berlaku merupakan percaturan-Nya, walaupun sangat pahit dan sukar diterima ujian berat yang menimpa. Ini ditonjolkan melalui perjalanan peristiwa antara Arnav dan Ashoka, dua pahlawan Chinmayi, dengan Kiai Sunyi.
Menariknya, terdapat tiga cerita kecil di bahagian akhir novel Takdir 2 ini. Ketiga-tiga cerita masih berkait rapat dengan cerita utama novel. Ketiga-tiganya memberikan penjelasan ringkas kepada pembaca peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum Takdir 1 dan Takdir 2. Lantas, memberikan pemahaman yang lebih jelas kepada para pembaca.