TIMBUL TENGGELAM adalah komentar sosial Tok Rimau tentang pertualangan hariannya. Ceritanya pendek-pendek dan menghiburkan. Sesuai dibaca ketika menunggu bas datang, kuliah bermula, kapal terbang berangkat dan kekasih hati siap berdandan.
Tok Rimau menulis dalam gaya sinikal yang bersahaja. Humornya menyentuh dan mencuit hati. Tetapi kadang-kadang, buku ini menyakitkan hati juga. Ya, dunia ini tidak selalunya indah.
Dunia dari kaca mata Tok Rimau adalah terlalu pendek usianya untuk diambil terlalu serius. Kata orang tua untung sabut timbul dan untung batu tenggelam. Apa pun, kedua-duanya pun menguntungkan. Itu pun, jika kita ambil seminit dua untuk bertafakur mengutip pelajaran.
Akhir kata, beli dua naskah buku ini. Satu untuk simpanan peribadi, dan satu lagi hadiahkan kepada manusia penting dalam hidup anda.
Agak lama saya tidak membaca tulisan, antara penulis kegemaran saya ini. Catatan peribadi yang dipilih dalam buku ini tidak mengandungi insider jokes. Samada penulis mahupun editor, sama-sama sudah pilih catatan yang boleh difahami pembaca. Adalah bagus isinya tidak disusun secara kronologi, tetapi dibahagikan mengikut segmen yang dirasakan berkaitan dan saya senang hati mengikuti rentak yang dipersembahkan. Pada hemat saya, Tok Rimau berusaha gigih untuk menjadi penulis bahan penulisan berunsur umum, tetapi saya dapat mengesan satu dua cerita ada unsur-unsur dewasa (halus sekali disorokkan). Saya agak tak selesa berkaitan hal gambar yang dipaparkan kerana low resolution. Penamat buku ini saya rasa unik (untuk sebuah buku semi auto biografi) kerana ada segmen fiksyen yang saya rasa kekuatan penulis dalam buku-buku antalogi yang beliau sertai. Rindu saya terubat.