Neil Slater,seorang bekas anggota Special Air Service (SAS) telah kehilangan kerja selaku jurulatih ragbi di sebuah sekolah selepas berlakunya kejadian penculikan,di mana dirinya terlibat. Selepas itu,Slater menceburkan diri di dalam kerjaya pengawal peribadi. Namun begitu,tidak lama kemudian,dia akhirnya menyertai sebuah pasukan rahsia,yang dipanggil sebagai Cadre,di dalam organisasi perisikan MI6 (Military Intelligence 6). Cadre merupakan sebuah pasukan yang diberi tugas untuk memastikan kepentingan negara British dipelihara dengan apa jua cara sekalipun.
Bersama-sama dengan ahli-ahli kumpulannya,iaitu Andreas,Eve,Leon,Terry,dan Chris,mereka ditugaskan untuk membunuh Antoine Fanon-Khayat,seorang peniaga senjata berketurunan Lubnan di Perancis. Selain membunuhnya,mereka juga ditugaskan untuk merampas sebuah cakera padat yang mengandungi rahsia kerajaan British yang dimiliki oleh Fanon-Khayat. Namun,tugas ini bukan sesuatu yang mudah dilakukan. Fanon-Khayat dilindungi oleh sebuah badan perisikan Serbia. Malahan,tanpa Slater sedari,sebenarnya wujud sebuah rahsia yang tidak diketahuinya. Sebuah rahsia,yang jika diketahui umum,akan mampu merosakkan imej British di mata dunia!
Secara peribadinya,ini merupakan novel ketiga hasil tulisan Chris Ryan yang saya baca. Saya berpendapat,ini merupakan salah satu novel terbaik beliau yang pernah saya baca. Berbanding novel Greed,yang juga merupakan novel tulisannya,latar belakang cereka dan plot Hit List tampak lebih teratur dan kemas. Ia juga lebih mendebarkan dan menarik untuk dibaca. Di dalam Greed,jalan ceritanya seolah-olah ditulis dalam keadaan yang agak kelam-kabut dan tidak tersusun.
Sebagai sebuah novel thriller-ketenteraan,novel ini tidak terlepas daripada jargon-jargon atau istilah-istilah ketenteraan dan perisikan. Apa yang menarik,novel ini juga sedikit sebanyak mendedahkan bagaimana sesebuah aktiviti dan operasi perisikan dijalankan. Ia diterangkan dengan agak terperinci oleh penulis di dalam novel ini.