Pernahkah kita membayangkan sekiranya negara kita,Malaysia,dilanda serangan mayat hidup atau lebih dikenali sebagai zombi? Bagaimanakah kita mahu menghadapinya? Novel Zombijaya hasil tulisan Adib Zaini ini mungkin boleh memberikan serba-sedikit gambaran keadaan di atas jika ianya benar-benar terjadi.
Zombijaya menampilkan lima (5) watak utama yang mempunyai sejarah perhubungan yang agak kompleks antara satu sama lain; Nipis,Ana,Kamarul,Sofia dan Aliff. Nipis (atau nama sebenarnya, Ramadan) dan Ana merupakan adik-beradik kembar tidak seiras. Ana juga merupakan kekasih kepada Kamarul. Manakala,Sofia dan Aliff merupakan sepasang kekasih yang sudah bertunang. Tanpa disangka,gigitan anjing jalanan terhadap Aliff akan merubah hidup mereka selama-lamanya. Bermula dengan Aliff dan Ana,merebaklah 'wabak' zombi ini. Sesiapa sahaja yang menjadi mangsa gigitan zombi,akan turut menjadi zombi. Lantas,menyebabkan bilangan zombi bertambah banyak dan mengancam nyawa manusia. Bagaimanakah nasib kelima-lima sahabat ini? Dapatkan jawapannya di dalam novel Zombijaya ini!
Walaupun terdapat empat watak utama,namun,fokus utama penceritaan lebih ditumpukan kepada Nipis dan kumpulan manusia yang terselamat dengannya. Usaha-usaha mereka untuk menyelamatkan diri daripada ancaman zombi menjadi inti sari utama penceritaan novel ini. Setakat ini,hanya dua (2) buah novel terbitan FIXI sahaja yang saya sudah baca,iaitu Invasi dan Zombijaya. Namun,Zombijaya merupakan novel yang paling ekstrem sekali! Apa yang saya maksudkan adalah dari segi penggunaan bahasa yang cukup kasar dan bersalutkan carutan dan lucah. Saya tidak pasti jika novel ini sudah kena 'banned' atau tidak,tapi,gaya tulisan,terutamanya dialog,boleh menyebabkan novel ini disekat atau diharamkan di pasaran buku terbuka! Namun,perkara ini tidak mahu saya panjangkan atau diperdebatkan. Mungkin sekali,hanya dengan cara ini sahaja penulis mampu menyampaikan ideanya kepada para pembaca.
Zombijaya juga pada pandangan saya merupakan novel yang unik dari segi bagaimana novel ini dipersembahkan dari segi luaran. Antara semua muka hadapan (cover) novel-novel terbitan FIXI,Zombijaya mempunyai reka bentuk muka hadapan yang paling menarik dan istimewa sekali. Jika kita perhatikan betul-betul,terdapat lukisan lima orang perempuan yang telah bertukar menjadi zombi yang masing-masing memakai pakaian tradisional Melayu,Cina,India,suku kaum Sabah dan Sarawak (saya tidak pasti suku kaum yang mana satu untuk Sabah dan Sarawak). Saya tersenyum sendiri apabila pertama kali melihatnya! Selain itu,saya fikir ini juga merupakan novel pertama terbitan FIXI dan satu-satunya ketika ini (jika saya tidak silap) yang menyertakan sekali beberapa ilustrasi yang dilukis oleh Ho Sui-Jon.
Saya bukanlah peminat besar cerita yang bertemakan zombi. Malah,ini merupakan novel pertama yang bertemakan sepertinya yang saya baca. Namun demikian,saya berpendapat novel Zombijaya ini berjaya disampaikan dengan baik oleh penulis. Malahan,gaya penceritaan penulis tidaklah begitu serius. Sebaliknya,gaya penceritaannya agak bersahaja dan santai sifatnya. Jalan cerita dan plot berjaya disusun dan ditulis dengan baik dan teratur. Pelbagai unsur juga dimasukkan yang merangkumi komedi,sarkastik,dramatik,cinta,kesedihan dan lain-lain unsur yang berkaitan. Unsur-unsur yang rencam ini membuatkan pembacaan bertambah menarik. Unsur-unsur ini diterjemahkan melalui dialog dan babak-babak yang terdapat di dalam novel ini. Saya berpendapat penulis berjaya mewujudkan sebuah suasana cerita yang berkaitan dengan serangan zombi yang jika dibaca seperti benar-benar berlaku dan umpama realiti. Saya membaca novel ini dengan perasaan seperti turut berada bersama-sama dengan Nipis dan watak-watak lain yang cuba meneruskan kemandirian diri (survival) mereka.
Namun,pada masa yang sama,saya juga berpendapat bahawa terdapat mesej yang cuba disampaikan kepada pembaca oleh penulis. Selain kritikan secara sarkastik terhadap Multi Link Marketing (MLM),polis yang rasuah,rancangan televisyen realiti dan politik Malaysia,penulis juga memaparkan sisi jelik manusia yang suka berkonflik antara satu sama lain untuk mencapai kepentingan diri masing-masing walau pun wujud ancaman yang lebih besar di hadapan mereka.
Namun demikian,saya dapati terdapat beberapa persoalan yang menjadi tanya tanya saya. Penamat novel ini seperti tergantung. Terdapat beberapa persoalan yang tidak terjawab. Adakah ada sambungan kepada novel Zombijaya ini? Jika benar,dan sekiranya penulisnya,Adib Zaini terbaca ulasan saya ini,saya amat mengharapkan beliau dapat menghasilkan sekuelnya. Adalah amat diharapkan beliau akan dapat menjawab persoalan-persoalan penting yang tidak dijawab di dalam novel Zombijaya ini di dalam novel sambungannya.