Jump to ratings and reviews
Rate this book

Dongeng Pascamerdeka

Rate this book
"Oh, betapalah nyamuk-nyamuk itu...! Nyamuk-nyamuk itu sentiasa tidak tidur, memerhatikan tubuhku. Argh, betulkah nyamuk tidak tidur? Oh, aku ingin mencari dan membeli buku-buku kajian saintifik perihal spisies nyamuk. Aku ingin sangat mendalami dunia nyamuk dan mencari kaedah mengelak kekejamannya terhadap kami sejak zaman-berzaman. Apakah ada orang menulisnya? Adakah penulis-penulis hanya menumpukan perkara-perkara besar? Idealisme-idealisme yang tidak praktikal, menulis tentang kebenaran, tetapi sesat di lembah-lembah tandus dan gelap, mendabik dada sesudah menulis buku-buku ilmiah seperti Perempuan Itu Manusia?"

186 pages, Paperback

First published January 1, 1999

2 people are currently reading
15 people want to read

About the author

Azman Hussin

17 books20 followers

Ratings & Reviews

What do you think?
Rate this book

Friends & Following

Create a free account to discover what your friends think of this book!

Community Reviews

5 stars
3 (21%)
4 stars
6 (42%)
3 stars
5 (35%)
2 stars
0 (0%)
1 star
0 (0%)
Displaying 1 - 3 of 3 reviews
Profile Image for Megat Hanis.
16 reviews7 followers
September 15, 2021
Buku yang diterbitkan pada tahun 1999 ini dan memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/1999 merupakan buku yang jauh terkehadapan daripada zamannya. Tatkala membaca kisah-kisah penderitaan rakyat marhaen di dalam ini, kehidupan mereka dibalik belantara konkrit di lorong-lorong gelap, berkongsi dunia dengan anjing-anjing kurap, nyamuk-nyamuk penghisap darah, tikus-tikus pemakan bangkai dan sampah, kita dapat merasai perasaan marah, putus harap, pesimis, dan hilang upaya untuk mengubah keadaan hidup, pabila maruah-maruah mereka sebagai manusia diinjak-injak disebalik janji-janji pembangunan dan binaan bangunan pencakar langit yang tidak mempedulikan pengorbanan buruh-buruh yang menjadi tulang belakang pembinaanya.

Kisah-kisah ini, tidak jauh dari keadaan kita sekarang. Perkara yang sama masih berlaku, dan tiada perubahan yang struktural dapat kita lihat. Seolah-olah karya ini ditulis pada tahun 2021. Antara cerpen yang paling saya suka di dalam buku ini ialah Surat Kepada Rausyanfikir. Di dalamnya, penulis mengkritik keras hipokrasi golongan intelektual yang kononnnya ingin mengubah masyarakat, tetapi mengadakan seminar di hotel-hotel 5 bintang, yang sangat jauh dari memamahi denyut nadi rakyat. Para intelektual juga ada yang bermewah-mewah, berlebihan dalam berbelanja dan makan sehingga perut buncit. Selain ahli-ahli politik yang sering dikutuk berwajah seribu, para intelektual juga tidak kurang bersikap hipokrit, mereka juga turut berwajah seribu.

Akhir sekali, penulis mempertanyakan, apakah normal tamadun yang dibina atas kesengsaraan ramai manusia? Apakah gila dan radikal jika menginginkan kehidupan yang asas bagi manusia yang punyai maruah dan harga diri? Tidakkah tuntutan asasi bagi kehidupan masyarakat yang tidak diperhambakan oleh materialisme itu suatu yang asas dan tulang belakang bagi kesejahteraan tamadun yang diidamkan?

Buku ini menuntut kita membawa persoalan-persoalan ini di dalam kehidupan seharian kita. Setelah 20 tahun berlalu, masalah ini masih membelenggu kita. Terima kasih Azman Hussin, menyedarkan kami yang alpa.
Profile Image for Hafiz D.
36 reviews
January 4, 2016
Kisah-kisah rakyat kemacar. Selain daripada gaya penceritaan penuh "underground" Azman Hussin, antologi cerpen ini sarat dengan rakaman sekitar tahun 97/98 berkenaan iklim politik dan ekonomi negara.
Walaupun ada beberapa pandangan penulis yang saya tidak bersetuju, tetapi secara keseluruhannya hasil karya Azman Hussin ini perlu dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Golongan pertengahan dan atasan terutamanya perlu peka dengan isu isu yang melibatkan golongan bawahan, demi membina sebuah negara pasca merdeka yang bukan sekadar dongengan.
Profile Image for Regina Ibrahim.
Author 22 books112 followers
August 14, 2025
Cetakan ke 4 tahun 2025 kumcer ini membawa kata pengantar (Surat Cinta) baharu. Memperlihatkan perasaan penulis terhadap dunia penulisan dan dunia yang digauli. Ia bagaikan janji bahawa 20 cerpen yang melegar berpalit resah kaum marhaen malang menjadi taruhan Azman Hussin dalam tiap satu penceritaan yang mengangkat pelbagai soal manusiawi. Sambil berfalsafah dan bersoal tentang kehidupan.

Penumpuan dalam tiap penceritaan melebihi pada soal nasib, daya semangat: Kemampuan, Takdir dan Persekitaran.

“Saya bertempik-tempik, mengamuk, memakin hamun apa saja. Saya berasa marah dan merosakkan apa saja yang ada atas muka bumi ini. Saya jadi gila dan memancung kesemua pekerja-pekerja saya. Saya meminum darah mereka. Saya ketawa terbahak bahak. Kemudian saya menangis. Saya berasa puas… lalu saya ketawa lagi… Tiba-tiba saya tersentak!” – Cuplikan cerpen khayali.

Luahan POV lewah ketika memilih genre Magical Realism sebenarnya adalah lesen puitika sastera (selalunya tidak digalakkan bagi pemula) Ia terjadi dalam banyak penceritaan kumcer ini, terasuklah ekspresi berulang, dasarnya mahu berkisah bagaimana resah dan tidak tertanggung perasaan sang tunawisma, anjing kurap, mental terganggu, aniaya, ruang sempit hidup, deskripsi cinta sebenar, ghairah materi dan lemah daya saing mendaki dunia.

Seperti biasa, sebagai penyusun cerita Azman memastikan hal hal falsafah yang terhubung kait ada dalam setiap penceritaan meskipun watak watak pilihan berada dalam ruang yang tidak mewah lansung akibat nasib yang tidak menyebelahi.

- “Kau tak percaya? Ini hasil fiksyen Franz Kafka, sasterawan Jerman yang tersohor seluruh dunia itu, The Metamorhposis”
- “Siapa Kafka?”
- Kawanku meriwayatkan serba sedikit biografi Franz Kafka. Kelahiran Prague 3 Julai 1883. Berbangsa Yahudi Czechooslovakia, saki baki pelarian tragedi Holocaust, barangkali - Cuplikan cerpen Logik.

Secara menyeluruh 20 cerpen bersinis tentang manusia manusia yang tidak mampu memenuhi piawaian permintaan Negara dan Dunia yang tanpa sedar memeras/membuli/meminta/menguras akan kesetiaan membabi buta. Ketidakadilan yang mungkin dirasakan oleh sepihak sahaja atau dibutakan sang penguasa. Luahan resah dan duka dalam setiap cerpen membawa keseragaman.

“Kau tidak diberi peluang mengasah potensi dirimu, cita cita, bakat dan kemahuan peribadimu. Kau menderita melihat ibumu berhempas pulas bekerja. Kau tidak dapat tidur kala mendengar suara ibumu batuk-batuk keras, meracau racau dalam tidurnya saban malam dek letih membanting tulang…” – Cuplikan cerpen Sampah Masyarakat.

Kumpulan cerpen yang membawa fikir, isi dan isunya pasti berbunyi tidak sedap bagi mereka yang terjelepuk di ruang dingin dan empuk nasib yang baik. Ia TIDAK MEMBERI SOLUSI, tetapi membawa bacaan hadir dalam suasana dengan susunan kata kata dan ekpresi cerita cerita pilihan.

Jarang ditemui garapan duka sebegini, paparan hidup mereka yang tidak bernasib baik secara fizikal, emosi, susah warisan dan menyerah kalah saat mendaki hidup. Azman Hussin memilih untuk berekspresi jelas bagi watak watak malang yang dipilih.

Kumcer Dongeng Pascamerdeka wajib dibaca dan berada dalam senarai koleksi bacaan kamu.


Displaying 1 - 3 of 3 reviews