Uwais al-Qarni tidak terkenal dalam kalangan penduduk bumi tetapi masyhur di langit. Beliau memeluk Islam ketika Nabi Muhammad SAW masih hidup. Walau bagaimanapun, beliau tidak pernah bertemu dengan Rasulullah SAW sepanjang hayatnya.
Beliau tidak berpeluang menziarahi baginda di Madinah kerana menjaga ibu beliau yang sudah tua dan uzur. Lantaran itu, beliau tidak dikategorikan sebagai sahabat Nabi, tetapi tergolong sebagai tabiin. Beliau termasuk dalam kalangan tabiin yang utama berdasarkan nas yang diriwayatkan daripada Umar al-Khattab RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya tabiin yang terbaik ialah seorang lelaki yang bernama Uwais. Dia memiliki seorang ibu dan dahulu dia berpenyakit kulit (tubuhnya ada putih-putih). Suruhlah dia untuk memohon ampun untuk kamu semua." (Hadis Riwayat Muslim, no. 2542)
Abdul Latip Talib, penulis kelahiran Negeri Sembilan ini sedang mengukir nama di persada sastera tanah air. Dilahirkan di Kg. Ulu Seperi, Rembau, Negeri Sembilan mula menceburkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 1990 dalam pelbagai genre; skrip drama TV, cerpen, puisi, dan novel. Sejak itu karyanya banyak meraih hadiah seperti Sayembara Cerpen Berunsur Islam, Hadiah Sastera Utusan, Sayembara Cerpen Perpaduan, dan Anugerah Sastera Negeri Sembilan.
Novel Randau Ruai memenangi hadiah pertama Peraduan Menulis Sastera dan Budaya Sarawak manakala novel remaja Beraraklah Awan Pilu memenangi Hadiah Sastera Utusan 2005.
Penulis ini telah menghasilkan novel pahlawan Islam Salahudin Ayubi, Khalid Walid, Ikramah Abu Jahal, dan Tariq Ziyad. Kesemuanya diterbitkan oleh PTS.
tahniah pak latip kerana menulis tanpa jemu untuk kisah2 begini. sungguhlah hati terusik kerana amalan uwais al qarni. mendengar rasulullah saw cedera, uwais pun sanggup melukakan dirinya sendiri kerana terlalu sedih mengenang apa yang berlaku pada baginda. bagaimana seseorang boleh mencintai rasul begitu dalam sedangkan tidak pernah bersua? saat paling meruntun hati bila uwais al qarni menggendong ibunya menunaikan haji. tidak mampu membeli unta, maka dia memutuskan untuk menjadi 'unta' ibunya. recommended. kita perlu 'makan' buku sirah supaya kita mengingat akhirat dan 'mengurangkan' tentang dunia.