Pendidikan alternatif, jalan lain ke destinasi jaya. Jauh meninggalkan status quo. Paksi pelawan arus. Setelah segala-galanya yang formal kacau dan meresahkan. Katakan tidak untuk sekolah, tidak untuk kelas-kelas terkurung. Syed Nafees, pemula kental. Perintis kompas ilmu, jejak nan baharu. Hanya Syed Adni pemberani. Bersekolah dari rumah; bukan sekadar falsafah. Tentunya lebih daripada itu.
Dan Kampus Teratai yang mewah ilmu, mewah plot kehidupan. Watak-watak hidup menyubur. Safura Hana, kelopak mekar-memetik iltizam, membangunkan cita. Memadamkan api nista, jua benih cinta. Fakulti Sains-Sastera; di sana balapan persaingan, tindan-tindih percekcokan. Di sini bakal teruji, siapakah lebih bestari?
Cakerawati Teluki, pilihan pentas tersendiri. Cakerawati Teluki, sebuah kerajaan hati.
Penulis begitu berani mengetengahkan soal sekolah di rumah yang jarang sekali dapat kita ketahui melalui watak Syed Nafees dan Syed Adni (yang merupakan anak kepada Syed Nafees). Sekolah di rumah seolah tidak menjamin masa depan tetapi penulis menafikan pendapat sedemikian dengan syarat-syarat tertentu (di muka surat 176). Syed Nafees membuktikan bahawa dia mampu menjadikan Syed Adni sebagai seorang jaguh penjaga gol dalam bola sepak. Di sini saya melihat sekolah di rumah merupakan pendidikan alternatif yang jauh meninggalkan pengkelasan yang sedia ada dalam sistem.
Saya terkesan membaca syarat-syarat yang diperihalkan penulis untuk menyekolahkan anak di rumah. Dalam hal ini, ibu bapa sendiri harus tahu berkenaan pencapaian dan pelan pembelajaran yang begitu kukuh. Hal ini turut dikaitkan apabila penulis mengaitkan Akiko Yosano sebagai penulis journal berkenaan sekolah di rumah seterusnya menjadikan persekolahan di rumah sebagai suatu perkara yang harus diketengahkan.
Sebuah novel yang membincangkan tentang pendidikan alernatif sebagai antithesis kepada pendidikan arus perdana.
Tuah Saujan cuba membuka gelanggang perbicaraan menerusi perjuangan pensyarah dan pelajar fakulti sastera Kampus Teratai menentang fahaman bahasa Inggeris sebagai bahasa keilmuan. Perjuangan mereka menerima tentang sengit daripada pelajar Fakulti Sains yang mengagungkan Inggeris sebagai bahasa pengantar yang paling layak untuk menjadi bahasa intelektual.
Beberapa usaha memartabatkan bahasa Melayu oleh pihak Fakulti Sastera disabotaj, seperti prop dan persediaan pementasan teater dihancurkan, pelajar sastera dibelasah teruk, dan maklumat serta strategi calon pilihan raya daripada fakulti sastera digodam.
Tuah Sujana, walau naskhah ini tidak mendatangkan sekali catatan ilmiah, teori pendidikan, huraian ilmiah berkenaan pendidikan alternatif, tetapi roh pendidikan disampaikan dengan menarik lewat watak-watak pejuang bahasa di dalam Cakerawati Teluki
Persembahan teater sebagai pusat novel, juga menjadi tajuk novel - memberi kejutan yang cukup unik, dengan mempersembahkan subteks novel dalam subteks teater. Novel bergerak cergas dengan watak yang masih dinamik. Meski sukar untuk masuk di dalam dunia Kampus Teratai pada awalnya, itu tak menjadi penghalang. Sebagai novel pertama, Tuah Sujana menjanjikan potensi melalui naskhah ini.