Manuskrip ini muncul untuk menyatakan bahawa kesan perlaksanaan dasar PPSMI lebih besar dari pencapaian murid dalam subjek Sains dan Matematik sahaja. Dasar ini akan mewujudkan kesan makro terhadap polarisasi kaum. Jurang di antara masyarakat bandar dan luar bandar akan semakin melebar, sebahagian besar masyarakat luar bandar berpotensi untuk ‘marginalised’, di akhirnya akan membentuk semula masyarakat ‘pecah-dan-perintah’
Manuskrip ini dibina secara epistolari, menerusi surat-surat yang dihantar oleh tiga watak minimalis iaitu Dr Hussein Taha, anaknya Widya Wassini dan juga anak saudaranya iaitu Zulfa Ali serta ayah kepada Zulfa dan adik kepada Dr Hussein iaitu Datuk Farid Nasr.
Saya menggunakan ‘manuskrip’ berbanding ‘novel’ untuk menggambarkan isu yang masih belum selesai walaupun PPSMI telahpun dimansuhkan. Pesan Buya Hamka di dalam bukunya Falsafah Hidup;
’Sebagaimana terpandang hina dan terpencil dari masyarakat orang yang meninggalkan bahasa ibunya atau bahasa tanah airnya yang dengan dia lidahnya lebih sanggup menerangkan segala perasaan hatinya, lalu meminjam bahasa dan loghat orang lain semata-mata kerana hendak menjadi megah, padahal bahasa asing itu tidak diketahuinya sampai kepada dasarnya; maka lebih terpandang hina lagi manusia yang melebihi daripada kekuatan dan kesanggupannya, atau memilih yang sebenarnya bukan pakaiannya.’
Dengan mengambilkira naskah terdahulu penulis, saya mengharapkan sesuatu yang lebih lantang dari sudut hujah penentangan terhadap dasar PPSMI. Maka saya benar-benar ingin melihat gelegak darah muda yang tidak mahu terus menyaksikan Bahasa Melayu dibunuh secara terancang kerana menurut penulis manuskrip ini tidak diolah penghasilannya pada 5 tahun lebih awal sebelum penerbitan.
Bahasa ialah asas pembentukan peradaban sesuatu bangsa dan Bahasa Melayu tampil gah pada awal wujudnya ketamadunan manusia. Menghakis hak Bahasa Melayu adalah sama tindakan membakar perlahan-lahan sejarah yang telah tertulis. Walaupun tujuan utama PPSMI diperkenalkan adalah untuk memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris seawal peringkat sekolah, ini bukanlah cara terbaik. Kerana bangsa yang maju tidak sesekali melucutkan jati diri apatah lagi maruah bangsanya yang telah terbina sejak berkurun lalu.
Di antara siri-siri surat yang terkandung, saya lebih berminat terhadap luahan nasib Zulfa sebagai bahan ujikaji keberkesanan pelaksanaan dasar ini yang ternyata berakhir dengan pelbagai kesan sampingan. Selain kemerosotan pencapaian matapelajaran Sains dan Matematik, perlembagaan negara turut tercalar apabila bahasa asing lebih diangkat berbanding Bahasa Kebangsaan. Mujur pada 2012 dasar PPSMI telah dimansuhkan secara "soft landing approach" dan Bahasa Melayu kembali bertakhta sebagai bahasa pengantar dalam matapelajaran Sains dan Matematik di samping memperkenalkan dasar MBMMBI. Jika tidak kita yang menjunjung warisan bahasa maka lenyaplah kegemilangan sebuah bangsa.
Sebuah novel warkah yang menampilkan beberapa watak yang cuba memperjuangkan tentang pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Dalam warkah-warkah yang ditulis, banyak diselitkan falsafah-falsafah dan penegasan betapa pentingnya memanfaatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam menuntut dan penyebaran ilmu sebagaimana kegemilangannya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pada zaman itu, Bahasa Melayu dijadikan lingua franca dan diguna pakai secara meluas oleh masyarakat serantau.
Lihat di negara-negara maju yang lain contohnya seperti negara industri Perancis dan Jepun, mereka tidak malu menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri malah menetapkan sesiapa yang hendak menuntut ilmu di negara mereka diwajibkan belajar dan mahir menutur dalam bahasa ibunda mereka.
Sebagai seorang yang pernah ditikusmakmalkan dengan PPSMI dari awal tahun diperkenalkannya, membaca buku ini membuatkan diri lebih cinta akan bahasa kebangsaan dan untuk mendalami bidang sastera.
Semalam adik beritahu di Pekan Rabu, Alor Setar ada buat lelong buku. Kebetulan pada hari ini nak ke Alor Setar, jadi singgah sekejap. Tinjau punya tinjau, tak ada buku yang berkenan di hati. Tapi dah alang-alang singgah, sambarlah tiga buku. 3 buku RM20. Pesta Buku Lelong ini bermula 17 Ogos hingga 2 September 2018.
Saya selak buku "Pedagogi Bahasa Tertindas", ZF Zamir, katanya manuskrip asal dihantar untuk penyertaan HSKU 2008, kategori novel remaja. Apabila balik ke rumah, saya buka antologi "Batu-batu di Jalanan", menurut laporan penilai, ada empat manuskrip yang dibawa ke peringkat akhir dan tiga daripadanya menang. Yang tinggal manuskrip "Warkah Terakhir Buat Abang". Barangkali inilah judul asal manuskrip buku ini.
Ini buku pertama Zul Fikri Zamir yang saya baca. Pada mulanya saya ingatkan buku ini genrenya esei atau tulisan umum. Rupa-rupanya novel. Dalam masa dua hari, buku ini selesai dibaca. Isu utama yang diketengahkan tentang penentangan PPSMI. Namun di sebalik itu, saya melihat tulisan penulis mengendong beberapa pemikiran dan falsafah tentang budaya membaca, berfikir dan budaya ilmu.
"....Tetapi ingat bahawa ilmu tanpa fikiran akan menjahanamkan. Maka jangan berhenti berfikir kerana fikir itu sendirinya sudah menjadi sikap dan perwatakan ilmu.
Dan proses untuk berfikir tidak lain adalah dengan membaca."
Setakat ini saya telah membaca dua buah novel yang mengangkat perjuangan penengangan PPSIM. Sebuah lagi novel berjudul Waris Pejuang karya Ruhaini Mat Darin, UP&D (HSKU 2011). Jika mengambil tempoh masa penerbitan novel Waris Pejuang, nampaknya Zul Fikri terlebih dahulu menulis tentang PPSMI.
Pedagogi Bahasa Tertindas disampaikan menggunakan bahasa sederhana tetapi masih berkesan. Hal ini demikian barangkali kerana tujuan asal manuskrip ini ditulis untuk bacaan sasaran remaja (HSKU).
Selepas membaca buku ini, pastinya saya akan mencari buku tulisan beliau yang lain.
Ibrah. Rumusan yang dapat saya hadam apabila mengakhirinya. Ditulis dengan sederhana, jernih dan lurus. Satu gaya yang tidak asing daripada Zul Fikri Zamir lewat karya-karya yang diterbitkan sebelumnya. Bagaimanapun, kita dapat melihat dengan jelas pengaruh gaya penceritaannya yang bermain dengan beberapa susur masa dan berujuk silang dengan petikan kata, dalil, fakta dan sejarah seperti penulis Faisal Tehrani terutamanya novel 1515. Manakala gaya persuratannya mungkin telah di simpulkan sendiri oleh penulis di penghujung buku bahawa ianya mengambil penghormatan dari buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, karya besar Buya Hamka.
Saya mengerti mengapa ia dipanggil manuskrip, bukan novel. Watak-wataknya begitu minimalis untuk menjadi medan perantaraan perbincangan berat perjuangan bahasa Melayu yang melalui saat getir ketika dasar PPSMI berlaku. Bagaimanapun kita merasai kekuatan semangat dan jiwa mereka lewat soalan dan penyataan.
Soal Widya: "Bangsa saya sendiri ayah, tiada mengambil iktibar akan kekuatan bahasanya sendiri yang pernah menjadi lingua franca pada zaman Kerajaan Melayu Melaka satu masa dulu. Mengapa terjadi perkara seperti kebutaan terhadap sejarah sehingga sebegini rupa, Ayah?"
Dr Hussein Taha menulis: "Anakanda hayatilah nasihat ayahanda ini, bahawa ilmulah satu-satunya benteng yang untuk selamat di dunia, malah akhirat. Tetapi ingat bahawa ilmu tanpa fikiran akan menjahanamkan. Maka jangan henti berfikir kerana fikir itu sendirinya sudah menjadi sikap dan perwatakan ilmu.
Jelas Zulfa: " Jika Papa memilih untuk mementingkan kepentingan hari ini lantas menodai masa depan negara yang mempunyai cahaya yang cerah, kesannya bukan melibatkan Papa seorang. Kesannya akan dirasai oleh seluruh generasi bangsa kita sendiri."
Sesal Datuk Farid Nasr: "Dengan segala kekuatan baharu yang wujud dalam diri ini, akan saya pergunakan untuk mengembalikan visi dan semangat Abang yang tak pernah luntur untuk melihat bangsa kita berdiri sama tinggi dengan bangsa lain."
Perkembangan watak perlu walaupun membicarakan isu ilmiah. Saya kira ini sebagai teknik untuk 'memanusiakan'nya. Kerana dasar manusia itu sendiri memang memandang remeh perbincangan akademik kerana kononnya ianya semata-mata hanya barlandas teori, bukan eksekusi. Walaupun dari kulit ke kulit menyampaikan maksud yang satu bahawa bahasa Melayu melalui zaman penindasan atas nama perlu bergerak ke hadapan, ianya tidak menjerakan kerana dikupas berperingkat. Pandangan peribadi, walaupun punya simpati saya sendiri memandang enteng kesan-kesan dasar PPSMI. Naskah ini mengejutkan saya dari lena setelah membaca petikan ini:
"Sebagaimana terpandang hina dan terpencil dari masyarakat orang yang meninggalkan bahasa ibunya atau bahasa tanah airnya yang dengan lidahnya lebih sanggup menerangkan segala perasaan hatinya, lalu meminjam bahasa dan loghat orang lain semata-mata kerana hendak menjadi megah, padahal bahasa asing itu tidak diketahui sampai kepada dasarnya; maka lebih terpandang hina lagi manusia yang melebihi daripada kekuatan dan kesanggupannya, atau memilih yang sebenarnya bukan pakaiannya."- Buya Hamka, Falsafah Hidup.
Pedagogi Bahasa Tertindas adalah satu naskah komprehensif, boleh di habiskan semalaman dan satu pelaburan pembacaan yang berbaloi. Antara terbitan terbaik Dubook Press. Dan saya akan terus mengikuti karya-karya Zul Fikri Zamir.
Meniliti setiap helaian buku ini jelas menujukkan keluhan hati penulis mengenai kesan negatif terhadap pelaksanaan sistem PPSMI. Sungguhpun sistem PPSMI akan dihapuskan kelak, namun kesannya terhadap pelajar yang menjadi mangsa sistem ini sangat mendalam. Penulis amat menekankan tentang hubungan antara kepentingan sejarah, ilmu, sifat inkuiri, pemikiran, pembacaan, bahasa dan agama yang saling berkaitan secara langsung dalam percambahan ilmu. Cara penyampaian penulis sangat menarik yang berbentuk manuskrip sarat dengan pelbagai rujukan akademik. Secara peribadi saya amat tertarik dengan kata-kata Ibnu Sina pada halaman 93
"Jiwa umpama lampu kaca, dan pengetahuan ialah cahaya(yang memberi api), dan hikmah Tuhan ialah minyaknya. Sekiranya ia menyala, kamu hidup. Sekiranya ia padam, kamu mati"
Sistem pendidikan moden yang acuannya disediakan oleh barat walaupun berjaya dari segi pembangunan materi jelas sekali menunjukkan penurunan dari segi moral dan etika. Penulis juga mengajak pembaca agar kita kembali kepada asas ilmu itu sendiri iaitu berfikir seperti yang telah dijelaskan penulis dalam halaman 59 dan 60. Ibn Khaldun menjelaskan terdapat tiga tingkatan berfikir iaitu kemampuan untuk membeza (al-aql ut-tamyizi), kemampuan fikiran untuk memberikan idea baru (al-aql-tajribi) serta kemampuan berfikir untuk melengkapkan manusia dengan ilmu (al-aql an-nadzari). Penggabungan ketiga-tiga ini akan mewujudkan manusia yang dapat mencapai tahap kesempurnaan yang murni dari segi jiwa dan perspektif yang menurut Ibn Khaldun makna realiti manusia (al haqiqah al insaniah).
Realitinya masyarakat pada hari ini semakin asyik dengan budaya hedoinism. Acapkali peringatan yang disampaikan daripada Tuk Ayah kepada Widya tentang pentingnya bahasa demi memastikan kemandirian dan nilai etika sesebuah bangsa daripada terpengaruh dari budaya luar yang negatif. Penulis sekali lagi menunjukkan betapa pentingnya Bahasa Melayu sebagai medium perantaraan ilmu.
Penulis sekali lagi memberi peringatan kepada pembaca, bahawa masih ada ruang dan waktu untuk kita perbaiki kesilapan yang telah dilakukan oleh orang-orang terdahulu. Saya teringat akan kata-kata Soe Hok Gie, dalam tulisannya Catatan Seorang Demonstran
"Generasi kita ditugaskan untuk memberantas generasi tua yang mengacau. Generasi kita yang menjadi hakim atas mereka yang dituduh koruptor-koruptor tua,….. Kitalah yang dijadikan generasi yang akan memakmurkan Indonesia."
Sebagai generasi Y dan juga mangsa eksperimen PPSMI, adalah menjadi tanggungjawab sosial untuk mengubah kembali landskap pendidikan negara kita agar bahasa Malaysia akan terus berkembang menjadi bahasa ilmu seiring dengan bahasa-bahasa yang lain.
Tidak seperti SBPUBK, bait surat itu walau tenang, damai dan teratur namun terasa begitu perlahan. Ini bukan bacaan page to page atau mungkin energy itu telah ditumpahkan sepenuhnya ke SBPUBK, maka excitement itu jadi mendatar.
Entah pihak mana yang sudi mengambilkira dan mengkaji pandangan penulis, jadi kita hanya boleh membayangkan manuskrip ini seperti satu warkah yang telah dibaca dari tahun dan tahun, malah akan terus dibaca dari zaman ke zaman.
buku pertama patut saya perkatakan yang saya baca dari non fiksi genre. mungkin belum bertemu rentak asalnya pada muka pertama hadapan, jadi agak lambat pemahaman dan bacaannya. tapi selepas beberapa muka surat sudah dibaca. saya jadi bertambah seronok untuk mengetahui lebih lanjut apa yang cuba digarapkan dalam buku ini.
seperti yang cuba disampaikan, saya sangat menyokong usaha yang cuba dibawa kerana saya juga salah seorang pelajar yang dijadikan bahan eksperimentasi dalam penggunaan bahasa asing didalam sains dan matematik. berhasil? mungkin ya, mungkin tidak.
buku ini patut dibaca oleh setiap seorang, banyak terapan pengajaran boleh diambil. dan ianya ringan, bukan siri buku informasi yang sarat fakta dengan penyampaian yang membosankan. ia ditukar menjadi surat sambungan, menarik jadinya. isi tersampai! dan tambahan ilmu yang banyak. luar dari tajuk cerita tapi berguna untuk diketahui. berharap penuh, bukan sahaja patut dibaca oleh semua orang malahan diletakkan di perpustakaan sekolah supaya pelajar terus celik untuk hal semasa seperti ini.
Sepertimana saya menyukai surat surat yang ditulis oleh Zainuddin kepada Hayati di dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk, seperti itu jugalah saya menyukai setiap bait-bait kata-kata dalam kesemua surat di dalam buku ini. Terima kasih buat naskhah berbentuk perjuangan ini. Terima kasih.
Persis Surat-Surat Perempuan Johor karya Faisal Tehrani. Menyampaikan isi melalui utusan surat menyurat. Juga persis karya Faisal Tehrani menguspas isu yang besar melalui novel. Membayangkan sebuah keluarga yang sangat intelektual untuk berutus surat tentang isu-isu yang berat.
Mulanya kusangkakan ini satu lagi karya himpunan esei seperti Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang. Bukan rupanya. Ini adalah novel fiksyen berformat utusan surat, yang masih berkisar isu pendidikan dalam Malaysia.
Aku suka cara penceritaan sebegini, isu yang sama (PPSMI) dikupas dari perspektif yang berbeza( pelajar universiti jurusan bahasa, pelajar sekolah yang menghadapi PPSMI, pensyarah bahasa dan menteri pendidikan).
Penulis menyelit isi-isi penting dari pelbagai sumber rujukan besar mengenai teori pengetahuan dan bahasa, yang kemudiannya diolah semula agar tidak terlalu berat untuk disesuaikan dengan isi kandungan surat-surat ini.
Cuma itulah, kadang kala aturan dan pemilihan ayatnya buatkan aku rasa sedikit sukar nak diterima. Kadang berbunyi kejam pun ada. Mungkin aku ja kot.
Aku hairan mengapa surat-surat itu disusun mengikut watak berbanding urutan masa kerana suara setiap watak bagi aku sudah cukup jelas perbezaannya.
Surat menyurat yang membawa panji bahasa dan sejarah.Buku ini memberi kesan kepada aku untuk memelihara bahasa.Aku mula koreksi kesan bahasa yang rosak terhadap diri aku sendiri.
Buku terakhir yang dibaca pada tahun 2013. Himpunan surat-surat beberapa sosok yang merasa tempiasnya akan PPSMI dengan kepercayaan yang kuat bahawa tiadalah untungnya sekiranya diteruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa asing. Hasil dari gaya penulisan yang merentasi masa /jungkir balik (2010-2027) memberi gambaran dari masa ke semasa perjuangan memperkasakan bahasa melayu menjadi bahasa ilmu hinggalah bahasa melayu itu menjadi bahsa yang tidak lagi asing dalam dunia akademik. Berani bermimpi bukan?
Melalui warkah-warkah ini juga, penulis mengetengahkan betapa pentingnya pembinaan ilmu pengetahuan melalui membaca. Oleh yang demikian, adalah penting untuk kita mempergiatkan lagi usaha penterjemahan bahan ilmiah supaya bukan hanya orang yang menguasai bahasa kedua/ bahsa Inggeris sahaja yang boleh mendapat manfaatnya, malah hampir semua orang boleh mendekati bahan ilmiah tersebut. Ilmu menjadi lebih mesra dengan bahsa yang sering digunakan.
Belajarlah dari sejarah, kerana sejarah adalah antara tentera hati yang paling kuat. Lihatlah bagaimana orang inggeris melalui zaman kegelapan ke zaman pencerahan. Ini kerana kesungguhan mereka menterjemah bahan ilmiah bahasa arab ke bahasa mereka lalu terhasillah zaman pencerahan di mana ilmu begitu mesra dengan bahsa pertuturan mereka. Begitu juga dengan tamadun Islam sendiri, dimana ditubuhkan badan penterjemah untuk menterjemah bahan-bahan ilmiah dari greek untuk mereka selidik lebih lanjut.
Sebagai murid tahun pertama untuk Sekolah Menengah yang menggalas tanggungjawab belajar Sains dan Matematik dalam bahasa asing, saya dapat melihat ada lebih dan kurangnya PPSMI ini. Untuk murid yang bijak, mempunyai asas bahasa inggeris yang kukuh...ianya mungkin menjadi satu kelebihan. Namun ianya menjadi kekurangan kepada segelintir (mungkin lebih) yang mempunyai asas bahasa inggeris yang lemah dan terpaksa pula belajar subjek sains dan matematik (antara subjek yang agak susah) dalam bahasa yang bukan bahasa pertuturan mereka.
Penulisan dalam bentuk surat, walaupun bahasanya agak berbunga-bunga...namun terasa dalam apa yang ingin disampaikan oleh penulis. Banyak juga kata-kata hikmat yang diselitkan menjadikan surat ini begitu cantik...bukan dari segi bahasa sahaja, malah dari segi isinya.
" Jiwa umpama lampu kaca, dan pengetahuan ialah cahaya (yang memberi api), dan hikmah Tuhan ialah minyaknya. Sekiranya ia menyala, kamu hidup. Sekiranya ia padam, kamu mati." (Ibnu Sina) Bab 3, 2015, Surat Zulfa kepada Widya
"Jiwa umpama lampu kaca, pengetahuan ialah cahaya yang memberi api, dan hikmah tuhan ialah minyaknya. Sekiranya ia menyala, kamu hidup. Sekiranya ia padam, kamu mati " ( Ibnu Sina )
Melalui kata Ibnu Sina ini mampu disingkapkan mengenai jiwa yang kian runtuh di dalam arus kemodenan yang kian mencanak naik dari semasa ke semasa. Terutamanya, dalam isu pembelaan Bahasa Melayu itu. . Bahkan, isu yang hangat dari dulu mengenai PPSMI yang agak meralatkan dalam proses untuk meningkatkan semangat kebangsaan dalam diri kita. . Bukan itu sahaja, malahan dengan pengenalan PPSMI juga membuatkan Bahasa Kebangsaan kian dipandang enteng dan masyarakat bersikap acuh tak acuh dalam menguasai bahasa ibunda mereka sendiri. . Buku ini menyajikan perasaan penulis berkenaan isu penindasan terhadap Bahasa Kebangsaan yang kian menggila di dalam bentuk surat-surat daripada seorang anak yang inginkan transformasi dalam dunia pendidikan, seorang abang yang juga merupakan seorang sarjana dalam memikirkan isu-isu yang merusuh dalam menindas bahasa ibunda, seorang abang dan juga seorang ayah yang menjadikan pentas politik untuk memenuhi tembolok kehendaknya sendiri. . Bila ditelusuri apa yang penulis ingin sampaikan, seolah-olah pendidikan di negara yang kita cintai ini berada di dalam keadaan yang tenat. Seharusnya, memerlukan pembaharuan dan wacana baru dalam memperbaharui Dasar Pendidikan ke arah yang lebih realistik.
Mulanya, apabila mengetahui buku ini diterbitkan, saya terus meletakkan dalam senarai wajib beli kerana saya fikir, ia juga merupakan antara kumpulan esei penulis seperti buku Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang. Rupanya ia sebuah novel, tetapi saya tetap mahukan ia kerana judulnya sendiri sudah memikat saya untuk membaca dan terus membaca berkenaan isu pedagogi bahasa hari ini.
Pembacaan Pedagogi Bahasa Tertindas tidaklah terlalu fokus pada penyampaian dari segi bentuk novel-novel lain yang kita sering baca. Membacanya seolah membaca karya ilmiah kerana adanya pandangan dan juga tampalan fakta yang dihurai penulis. Namun, ini tidak sedikit pun mencacatkan pembacaan kerana bagi saya perkongsian penulis dalam isu PPSMI begitu segar sehingga hari ini yang lantas memberi kesan pada sistem pendidikan itu sendiri. Dalam sosok yang lain, saya melihat peranan yang dimainkan pihak yang sewajarnya dalam menimbang-tara pandangan umum untuk dibawa ke peringkat keadilan. Bahasa melambangkan ketamadunan. Dan memang lumrah manusia untuk sedar daripada kesilapan yang dibuat. Itu antara yang saya boleh lihat pada penulisan penulis.
Dalam buku ni, kita boleh belajar banyak benda. Belajar sejarah, belajar mengetahui apa itu ilmu, kepentingan ilmu dalam kehidupan seharian, belajar mengenai kepentingan dan kekuatan bahasa Melayu bahasa Kebangsaan dan pada masa yang sama kita turut belajar mengenai Islam.
"Tiada bangsa bertamadun yang tidak percaya kepada bahasanya sendiri. Bahasa adalah identiti, jati diri dan peribadi bangsa. Hilang bahasa bermakna hilang budaya, hilang rupa dan hilang jati diri."
"Bangsa yang hilang dirinya sendiri adalah suatu kemalangan yang paling hina di sisi sejarah pembinaan tamadun dunia."
buku ini bukanlah himpunan artikel-artikel penulis tapi lebih kepada manuskrip ilmiah yang cuba dimasukkan watak2 dalam kadar minimalis. tidak perlu masa yang lama untuk menghadam buku ini tetapi mungkin perlukkan masa yang lama unuk berfikir pada apa yang cuba dilontarkan penulis tentang permasalah bahasa melayu yang kini seolah dianaktirikan.
Penulis telah melalukan dengan sebaiknya dan tugas kita untuk berfikir bagaimana mau menaikkan bahasa kita, bahasa melayu setara bahasa asin yang lain.
Pada mulanya aku ambil buku ni dengan harapan ini merupakan satu kitab seperti hujah-hujah mengenai bahasa, tapi bila aku selak ia merupakan satu jalan cerita dalam bentuk surat-menyurat. Satu tindakan yang berani oleh penulis buat buku mcm ni. Jangan salah faham, walaupun mempunyai jalan cerita, tapi isi dalam cerita tu yang lebih penting. Banyak input yang aku dapat.
Konklusinya, buku ni menceritakan mengenai ppsmi dan akibat terhadap bangsa dan bahasa.
Kupasan & isu yg diketengahkan dlm buku ni tidak lari dari SPBUBK. Cuma fiksyen yg digarap ni memang akan menyedarkan kita tentang pentingnya bahasa ibunda kepada setiap bangsa yg ada di seluruh pelusuk dunia. Penulis juga memberi bayangan dlm beberapa tahun akan datang, perubahan pasti berlaku jika kita kekal menggunakan bahasa ibunda dalam setiap medium yg ada di dunia. Bahan bacaan yg menarik walaupun tak sekuat atau sehebat SPBUBK.
Deep. Sebuah novel epistolari berlandaskan diskusi merangkumi bahasa, ilmu dan agama. Sejujurnya aku ada beberapa kawan yang akan menyukai buku-buku sebegini. Aku akui aku lebih menyukai buku-buku fiksyen bertemakan masalah mental ataupun jenis cerita mindfck, tapi buku ini amat informatif dan memangkin pembaca untuk berfikir. Rasa sebak juga di beberapa cebis novel ni.
Buku ini memberikan kesedaran akan kepentingan dalam memartabatkan bahasa ibunda kita... Selain itu, ia juga mampu meningkatkan minat dan pemahaman tentang sejarah penggunaan bahasa melayu di zaman dulu kala. Semoga buku ini dapat menarik minat ramai lagi pembaca untuk menyanjungi kelebihan bahasa ibunda kita.
Bahasa Melayu yang satu ketika dahulu menjadi lingua franca yang digunapakai dalam persuratan, penyampaian maklumat dsb. Malangnya ada pihak yang tidak yakin dengan kemampuan bahasa sendiri yang menyebabkan berlakunya perubahan sistem sepertimana dalam sistem pendidikan kita di Malaysia. Penulis cuba mengungkapkan permasalahan ini dengan lebih lanjut
A needed piece to make one ponders upon the importance of national language beyond the aspect of communication and an attempt to discuss the relation between language usage and socio-economic divide by way of fiction.
sayang, sejarah ppsmi berulang kembali dgn cerita pbs/pt3. utk mencipta sejarah, manusia sanggup membuat perubahan sejagat yg kadang kala kelihatan terlalu terburu-buru tanpa memikirkan kesan besar yg akan dialami oleh individu yg terkibat.
Pedagogi Bahasa Tertindas sangat bermakna buat diriku yang pernah menjadi tikus makmal diuji kaji dengan PPSMI. PPSMI ini benarlah idea gagal seorang Tun Dr Mahathir.