'Sebenarnya kelangsungan hidup yang paling kuat ialah terjemahan yang paling tidak sesuai bagi "survival of the fittest" kerana bukan semestinya yang paling kuat, malah bukan semestinya yang paling bijak dapat melangsungkan hidup tetapi yang berkeupayaan menyesuaikan diri dan beradaptasi dengan persekitaran yang dapat bermandiri.'
.
Genesis II : Sapien & Neo-Manusia adalah karya nukilan Dr Zamir Mohyedin, seorang penulis yang sering berkongsi sekali gus mengajar masyarakat tentang ilmu sains, fizik, falsafah dan sebagainya. Begitu juga dengan buku ini, yang terbahagi kepada 5 bahagian dan sarat tentang fakta-fakta yang mungkin pernah kita pelajari di bangku sekolah namun tidak secara terperinci. Dari jalur masa lalu, masa kini dan masa hadapan, pembaca didedahkan tentang asal-usul manusia, identiti dan tamadun, dunia siber, AI dan transhumanisme.
.
Antara topik yang saya rasa menarik adalah 'selective breeding' ataupun pembiakan terpilih. Menerusi eksperimen yang dijalankan oleh pakar genetik Dmitry Belyaev, serigala telah dijinakkan menjadi anjing dengan cara mengasingkan serigala yang jinak dan liar. Kemudian, pembiakan diteruskan dengan memilih serigala yang jinak sahaja. Kesimpulannya, serigala bukan sahaja berjaya dijinakkan seperti anjing, malah fizikal serigala juga berubah seakan-akan anjing.
.
Eksperimen penjinakan ini membuktikan bahawa kebangkitan kita - homosapien - juga berpunca dari penjinakan kendiri (self-domestication). Homosapien berevolusi menjadi kurang agresif, lebih bijak dan mempunyai sifat kerjasama yang membolehkan kita melangsungkan hidup secara bermasyarakat berbanding leluhur kita. Namun begitu, evolusi dan revolusi membawa risiko pada keamanan sejagat kerana seiring dengan kemajuan persekitaran, pembangunan dan teknologi, muncul juga perebutan kuasa di antara satu sama lain atas sifat tabii manusia sendiri. Tidak terkecuali wabak penyakit yang menular ke seluruh dunia dan mengorbankan begitu banyak nyawa meskipun kita belajar beradaptasi dengannya.
.
Topik tentang kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) adalah topik yang dekat dengan jalur masa kini kerana kita sedang berhadapan dengan kebangkitan AI yang membantu memudahkan urusan harian manusia. Bukan hanya menerusi filem-filem distopia di televisyen, kini kemajuan AI dapat dilihat di hadapan mata, menerusi telefon bimbit, komputer riba, Internet mahupun kereta.
.
Menariknya, walaupun AI jauh lebih pintar dari manusia, ia tidak dapat menggantikan kita kerana setiap keputusan dan resolusi yang diambil adalah berdasarkan pemerhatian dan pembelajaran terhadap tingkah laku, pemikiran dan perlakuan manusia. AI tidak mempunyai hati dan perasaan seperti kita, kepintaran AI hanya berpandukan logik, fakta dan pembelajaran semata-mata. Meskipun begitu, saintis sedang berinovasi untuk membangunkan AI yang mampu menggunakan emosi dan teori minda seperti manusia.
.
Kesimpulannya, Genesis II membawa pembaca mendekati sejarah leluhur manusia, memahami kegunaan teknologi siber yang semakin membangun pada masa kini dan bersiap sedia untuk berhadapan seterusnya beradaptasi dengan pelbagai bentuk kemajuan di masa akan datang.
.
🌟4/5. Buku yang sarat dengan ilmu yang menarik sekali gus menggalakkan pembaca membuat 'further reading' tentang pelbagai perkara.