Jump to ratings and reviews
Rate this book

Hikayat Seribu Satu Malam

Rate this book
Kisah-kisah dalam Hikayat Seribu Satu Malam ini dikumpul selama berabad-abad lamanya, sama ada melalui penulisan manuskrip ataupun secara lisan oleh pelbagai penulis, penterjemah dan ahli akademik dari Barat, Timur Tengah, Asia Selatan dan Afrika Utara. Ada pengkisahan di dalamnya yang memang berasal daripada manuskrip purba dan langka daripada kesusasteraan dan cerita-cerita rakyat Arab, Mesir, India, Parsi dan Mesopotamia. Namun kebanyakannya merupakan cerita dari era Abbasiyah dan Mamluk. Ada juga cerita berbingkai daripada Hezar Afsän dalam bahasa Parsi atau 'cerita seribu kisah' yang juga dipengaruhi oleh kisah-kisah dari India.

Satu persamaan ketara dalam semua edisi adalah cerita berbingkai yang asalnya bermula dengan Sultan Shahrir (pemerintah kerajaan Sasaniah) dan isterinya Shahrazad, yang diceritakan secara berlarutan sepanjang hikayat itu sendiri. Ada cerita yang berkaitan dan berbingkai antara satu sama lain, dan ada juga cerita yang berdiri sendiri.

Semoga para pembaca menikmati kisah-kisah menarik yang diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain seperti kisah pengembaraan Khalifah Harun al-Rashid, tujuh pelayaran Sinbad serta Aladdin dan lampu ajaibnya.

506 pages, Paperback

Published January 1, 2023

Loading...
Loading...

About the author

Hasri Hasan

15 books1 follower

Ratings & Reviews

What do you think?
Rate this book

Friends & Following

Create a free account to discover what your friends think of this book!

Community Reviews

5 stars
3 (37%)
4 stars
5 (62%)
3 stars
0 (0%)
2 stars
0 (0%)
1 star
0 (0%)
Displaying 1 - 4 of 4 reviews
Profile Image for Mohd Noor.
46 reviews
May 19, 2025
Buku HIKAYAT SERIBU SATU MALAM.
Bilangan Halaman : 506 Halaman.
Mula Dibaca : Isnin, 9 Ramadan 1446 Hijrah, 10 Mac 2025.
Tamat Dibaca : Khamis, 26 Ramadan 1446 Hijrah, 27 Mac 2025.

Fitrah manusia zaman-berzaman memang gemar menyampaikan dan mendengar cerita. Zaman segalanya boleh ditekan dengan jari ini, lambakan laman penstriman juga atas faktor manusia suka dengan susunan cerita yang dikarang untuk memancing emosi penonton. Teruja, sedih, geram, seriau, ternanti-nanti, semuanya lengkap 'memukau' manusia terpaku dengan susunan cerita.

Dari apa yang aku faham melalui Hikayat Seribu Satu Malam, salah satu bentuk hiburan masyarakat zaman silam adalah mendengar cerita. Malah, perjalanan cerita juga mampu mengubah pendirian manusia. Terpulang atas kebijaksanaan sang penglipur lara menukang cerita. Seperti dendam kesumat Sultan Shahrir terhadap kaum wanita yang berjaya dijinakkan oleh Shahrazad melalui siri cerita bersambung-sambung 3 tahun lamanya. Dah macam drama Astro pula.

Ada juga kisah di mana sang penguasa mengadili seseorang selepas mendengar ceritanya dahulu. Tidak menghukum sebelum mendengar dari semua pihak yang terbabit, kemudian keputusan diambil berdasarkan pertimbangan yang wajar.

Seperti dari tinta penterjemah, dalam hikayat ini, tidak dapat dipastikan mana satu kisah nyata dan mana satu dongeng kerana versi hikayat ini begitu banyak hingga bercampur-baur. Cuma bolehlah dianggap penyampaian cerita seperti ini menggambarkan kebijaksanaan orang dahulu menyulam tauladan secara berkias. Boleh jadi juga ini cara masyarakat zaman dahulu mengisi masa.

Zaman itu jauh lagi dari fitnah telefon bimbit yang banyak merosakkan generasi moden seperti yang kita tengok hari ini. Tidak jauh beza dengan kita orang Melayu. Kita juga banyak hikayat, mana tahu boleh dibukukan seperti ini.

Aku yakin geng bapak-bapak hari ini pernah tonton atau paling tidak pernah dengar filem animasi Sinbad The Sailor dan Aladdin yang dicedok oleh Barat dari versi lama The Arabian Nights. Dua hikayat ini lah antara faktor aku teruja memiliki buku ini tapi sayang, Ali Baba Dan 40 Orang Penyamun tidak dimuatkan pula padahal ia juga salah satu kisah dalam The Arabian Nights. Boleh jadi Tan Sri P.Ramlee pernah membaca hikayat purba ini sama ada versi Arab atau Inggeris. Beliau memang seniman yang genius 💪.

Antara dua kisah klasik ini, aku lebih tertarik dengan kisah 7 Pelayaran Sinbad. Setiap kelana yang ditempuhinya membawa cabaran yang rendam dan menuntut kebijaksanaan dalam usaha memastikan kelangsungan hidup. Dari himpunan kisah Sinbad juga, kita diberi gambaran dua golongan masyarakat kaya dan sederhana. Dalam alam realiti pun tidak dinafikan ada golongan marhaen yang tidak lekang mempertikai dan mencemburui golongan kayangan.

Segelintir marhaen ini tidak pernah tahu perit jerih dan susah payah di sebalik kemewahan dan kebahagiaan golongan kayangan. Yang mereka ratib cuma perihal nasib diri yang dianggap tidak bernasib baik seperti orang-orang kaya yang mereka cemburui. Di sebalik itu, moga ramai orang-orang kaya yang mencontohi Sinbad yang pemurah dan sentiasa rendah diri.

Walaupun lebih 30 kisah di dalam buku ini ada yang bersambung dan ada yang bergerak solo, aku perasan beberapa plot cerita yang lebih kurang sama. Contohnya, watak-watak perempuan yang mengamalkan sihir, manusia yang disihir menjadi haiwan dan bangsa jin yang licik memperdaya manusia. Mungkin orang-orang dulu suka cerita mistik agaknya, tapi apa beza dengan masyarakat kita hari ini? Lambakan cerita hantu di pasaran kerana permintaan tinggi dari penonton walaupun isinya lebih kurang sama. Betapa teruknya pemikiran seperti ini hingga teknik mendidik anak kecil pun dengan cara menakut-nakutkan mereka dengan pocong, langsuir atau toyol.

Dari sisi lain, boleh kata majoriti watak dalam himpunan hikayat ini berkerjaya sebagai saudagar. Kalau kita selak sejarah pun, antara kegiatan ekonomi masyarakat silam dengan berniaga. Orang Melayu dulu pun adalah bangsa pelaut dan peniaga. Cuma apabila penjajah laknat datang, maka habis diubahnya sistem kehidupan kita yang aman damai ini. Diperkenalkan pula sistem kerja 8 jam dengan kadar gaji minima. Perah tenaga selama 8 jam dan setiap bulan dapat hasil yang sama sedangkan majoriti keuntungan dibolot oleh kapitalis.

Pekerja nak cari pendapatan lebih? Kena kerja lebih masa atau buat lebih dari satu kerja. Kesan-kesan buruknya boleh kita lihat hari ini. Masyarakat bertambah tertekan, hilang pedoman dan hidup seperti robot.

Mungkin antara tujuan hikayat ini dikumpul adalah untuk menggambarkan kegemilangan empayar Islam suatu masa dahulu, lebih tepatnya pada zaman Kekhalifahan Abbasiyah. Kota Baghdad menjadi tumpuan masyarakat serata dunia. Ada yang mahu membina hidup baru atau hilang arah tujuan, mereka akan menuju ke Baghdad.

Kalau aku boleh pilih satu kisah yang aku suka, aku pilih kisah kebijaksanaan Khalifah Harun Al-Rasyid mengadili sebuah kes kecurian emas. Kebiasaan beliau yang sering keluar pada waktu malam dan menyamar sebagai rakyat biasa demi memantau keadaan negaranya mengingatkan aku dengan kehebatan Saidina Umar Bin Al-Khattab R.A.

Khalifah Harun Al-Rasyid terpegun dengan kecerdasan seorang kanak-kanak yang memberi idea dalam menyelesaikan kes tersebut lantas memanggil anak itu ke istana bagi menjadi hakim dan menzahirkan teknik siasatan dengan hujah mematikan yang akhirnya berjaya membongkar perilaku sang pesalah.

Banyak lagi tauladan yang boleh digali dari Hikayat Seribu Satu Malam. Kalian beli dan bacalah buku ini. Boleh dibaca kepada anak-anak dan boleh dimasukkan dalam program NILAM di sekolah.

Aku cukup gemar aspek fizikal buku ini yang bersaiz besar dan berketebalan lebih 500 halaman. Kombinasi jenis kertas berwarna krim dengan saiz font tulisan menyantuni mata yang membaca dan kertasnya juga tebal.

Macam ni baru betul sebuah buku!

Rekaan ilustrasi kulit dengan tona warna ungu lembut juga membangkitkan nuansa klasik. Siap ada ilustrasi shisha tu. Keseluruhannya, harga yang ditawarkan berbaloi dengan kualiti.

#mohdnoorbuku
#mohdnoor
Profile Image for SORA.
185 reviews6 followers
September 30, 2023
Aku membeli buku ini kerana keinginan untuk mengetahui cerita-cerita dalam hikayat 1001 malam yang sebelum ini sekadar didengar sahaja namun tidak pernah membacanya di mana-mana medium dan juga sebagai tambahan kepada koleksi peribadi.

Ketika membaca, berlaku sedikit kekeliruan dengan konsep cerita dalam cerita dalam cerita. Paling suka dengan siri Pelayaran Sinbad walaupun ada unsur pengulangan. Hargai imaginasi penulis zaman dulukala.
88 reviews
September 27, 2025
🌟Kerana kecewa dan dendam, seorang raja sanggup membunuh setiap wanita yang dikahwininya selepas sehari. Tiba giliran Puteri Shahrazad, dia ingin menghentikan semua kekejaman itu dengan caranya. Dengan kemahiran bercerita, puteri mengumpan Sultan Shahrir untuk mendengar cerita setiap malam dan akan berakhir dengan adegan tergantung supaya puteri boleh menyambung ceritanya pada malam yang lain. Dengan cara ini, Sultan akan membiarkannya terus hidup untuk menamatkan ceritanya. Banyak cerita yang berbingkai dan terdapat juga cerita yang berdiri sendiri.

🌟Setiap cerita yang disajikan ada daya tarikannya tersendiri. Untuk memilih cerita yang paling digemari pun saya sukar untuk membuat keputusan, seolah-olah semuanya saya suka. Saya juga setuju jika pembaca lain mengatakan ia juga sesuai untuk dijadikan 'bedtime stories' kepada ahli keluarga. Versi ini sudah ditapis dan sesuai dijadikan bacaan orang awam seperti yang dinyatakan dalam catatan penterjermahnya. Satu usaha yang baik bagi pihak penerbit untuk menterjermah Alf Laylah wa-Laylah versi Andrew Lang ini dalam Bahasa Melayu, memudahkan akses membaca kepada pembaca tempatan. Cuma, untuk penambahbaikan, ejaan perkataan perlu diteliti lagi. Ada sebilangan perkataan 'typo'. Walaupun saya masih lagi faham perkataannya, tetapi ia sedikit sebanyak menganggu pembacaan.

🌟Membaca Hikayat Seribu Satu Malam juga menyedarkan saya betapa penting setiap cerita ini direkodkan dalam simpanan arkib kerajaan pada ketika itu. Bukan sekadar untuk mengelakkan keajaiban cerita ini hilang ditelan zaman dan menjadi rujukan generasi demi generasi, malah catatan seperti ini juga simbol kemajuan sebuah tamadun. Tanpanya, sejarah hilang, ilmu terhenti, dan pemikiran tidak berkembang.

🌟Daripada episod kisah Pelayaran Sinbad saya belajar tentang keteguhan menawan ketakutan. Kisah Pengembaraan Putera Kamarulzaman dan Putei Badura pula saya belajar tentang kesetiaan dalam perpisahan. Banyak kisah yang memaparkan pengajaran berbeza-beza. Semestinya Hikayat Seribu Satu Malam adalah sebuah karya agung yang wajar kita hargai. Umpama kisah dongeng, setiap pengembaraannya menghiburkan, penuh dengan magis yang mempesonakan, persimbolan yang halus, sarat pesan moral dan renungan hidup yang tersirat di sebalik cerita untuk pembaca berhenti sejenak dan memikirkannya✨.
Displaying 1 - 4 of 4 reviews