Buku Frank Swettenham 'Gelagat dan Ragam Orang Melayu' tak pernah diharamkan. Bahkan laku keras sehingga hari ini, walau seisi alam semesta menjadi saksi, bahawa lelaki Inggeris ini adalah penjajah tanah Melayu suatu ketika dahulu. Lalu di mana dosa penulis Melayu kecil seperti Hadri Shah menulis esei tentang bangsanya sendiri?
Dalam buku ringkas ini Hadri menghalakan penanya mengkritik bangsa Melayu, terutamanya golongan politikus dan agamawan. Bagi Hadri dengan berbusana dan bertengkolok tidak akan mengembalikan kita kepada jati diri bangsa. Mungkin ada yang merasakan bahasa-bahasa yang digunakan terlalu sarkastik dan tidak sesuai, apa pun pandangan kita, saya rasa ruang mengkritik itu sentiasa perlu dibuka agar kita dapat mengulang fikir dan memperbaiki keadaan, jika tidak, kita akan selamanya syok sendiri.
Bahagian yang saya minati adalah kritik beliau terhadap sikap hipokrit orang Melayu dalam membenci bangsa imigran seperti Rohingya. Ini saya setuju, malah ketika api kebencian kepada Rohingya sedang marak dahulu, saya antara yang diserang di internet oleh netizen-netizen Melayu rasis kerana mempertahankan hak Rohingya untuk mendapat perlindungan dan kehidupan. Bagi saya Rohingya perlu dibela sama seperti kita membela nasib saudara kita di Palestin. Jika tidak, kita bersikap hipokrit.
Saya faham hasrat Hadri untuk menentang kemiskinan, dan dalam hal ini saya bersamanya. Cuma mungkin, dalam memperjuangkan kemiskinan, tidaklah bermakna kita tidak boleh berbahas isu-isu lain. Contohnya Hadri mengkritik agamawan yang sering berbicara perihal sudut agama lain tetapi tidak memberatkan perlawanan menentang kemiskinan. Saya kira tidaklah begitu adil kita hanya mengkritik mereka, kerana tugas agamawan pastilah membicarakan hal-hal agama yang luas, membicarakan hal lain tidak terus bermaksud mereka meminggirkan kemiskinan. Dan kenapa hanya agamawan yang dipersalahkan? Tidakkah guru, pensyarah, doktor, cikgu, jururawat juga perlu kita panggil untuk mereka suarakan hal kemiskinan? Saya kira ia bukanlah tanggungjawab agamawan sahaja. Saya melihat banyak juga agamawan yang bagus yang banyak membantu masyarakat miskin terutamanya dalam soal pendidikan.
Mungkin ayat Hadri yang saya rasa paling power adalah pada mukasurat ke-59 dimana beliau menulis "kita mahu dikenang sebagai patriot mempertahankan selembar bendera daripada mempertahankan kemanusiaan". Ayat ini mirip dan ada iras-iras ayat tulisan sejarawan idola saya Howard Zinn.
Semoga dengan membaca kritik-kritik ini tidak membuatkan kita marah tak tentu pasal, tetapi melihat semula trajektori sejarah kita. Patut kita renungkan agar ia terarah kepada hala tuju yang lebih manusiawi dan harmoni.
Saya nak mulakan review ni dengan menyatakan bahawa buku ini terdapat banyak typo. Seterusnya, isi kandungannya lari, berterabur, tidak tersusun, ada tajuk bab tidak sama bila dibuka halamannya dan ada juga tajuk yang TIADA dalam buku. Bagi saya, perkara-perkara asas penyuntingan inilah yang membuatkan saya bagi rating rendah. mohon maaf.
Untuk ulasan buku ini, secara keseluruhannya mesej utama yang disampaikan oleh penulis ialah berkenaan mengkritik sistem negara pada hari ini, menegur banyak mentaliti & sikap masyarakat kita yang perlu dititikberatkan dan diubah serta merta. Isu kemiskinan juga begitu lantang ditekankan penulis dalam buku ini dan sewajarnya diberi perhatian yang tinggi oleh rakyat negara kita serta pemerintah kini.
Perkara yang paling saya suka tentang buku ini - walaupun ianya nipis & segala isu yang dikupas di dalamnya adalah isu yang sering kita dengar, tetapi penulis bijak mengolah ayat & menyusun kata dengan penuh ‘bunga’ supaya para pembaca dapat menikmati penulisan yang tidak bosan. Ada kalanya ayat-ayat itu menusuk ke hati pada masa yang sama menghiburkan, di samping menyampaikan mesej yang sangat besar.
Buku ini boleh dijadikan bahan bacaan yang menegur masyarakat untuk bangkit dari lena dan mengubah sikap diri yang lapuk ke arah sikap individu yang lebih bertamadun dan berperikemanusiaan.
Buku ini saya kira ditulis oleh orang Melayu kepada orang Melayu. Lebih spesifik kepada golongan konservatif, ultra nasionalis etc. Walaupun saya rasa dari gaya penulisan bahasanya, penulis sendiri merupakan seorang nasionalis yang cintakan bahasa dan bangsanya sendiri. Hari ini saya berkesempatan menghabiskan separuh bahagian lagi buku ini dengan sekali duduk. . Ini buku yang bagus. Terutamanya untuk orang Melayu. Meskipun, boleh juga dibaca oleh bangsa-bangsa lain, kerana sarat dengan isu-isu ketidakadilan sosial, kebajikan, pelajaran, pendek kata: kepalatan hidup seharian. Kekuatan penulisan adalah lidah puitis penulisnya, senyuman menganjingnya ketika menulis, sehinggakan isu2 yang boleh dianggap kering (dry?) Diggarap dengan bahasa yang santai tetapi lirikal membuatkan pembaca tidak jemu untuk meneruskan pembacaan. Walaupun penuh dengan idealisme yang menginginkan kebaikan untuk semua (menjadi idealis zaman sekarang ini adalah sesuatu yang jarang, mungkin sesuatu yang akan ditertawakan, mungkin lebih teruk dari menjadi populis?), ada semacam nada pesimistik yang seseorang itu mampu toleransikan sebagai penimbal balik bunga-bunga idealisme tersebut. Dan saya hormatinya. . Sarat dengan statistik dan fakta. Penulis bukanlah seorang yang hanya tahu menggunakan retorik sahaja, dia merupakan seorang, pengkaji, pemerhati bangsa dan negaranya sendiri. Mungkin bukanlah layak bagi seseorang seperti saya untuk memberi komen karya-karya yang menyentuh isu-isu besar seperti ini (sayalah statistik yang dipetik saudara Hadri); mungkin kehidupan saya akan jadi lebih baik dan bahagia jika saya mengundi saudara Hadri sebagai wakil rakyat. Tetapi saya hormati keinginan dan kejujuran semangatnya untuk memajukan bangsanya (dari aspek material, rohani dan kemanusiaan, lagi sekali sesuatu yang agak jarang di zaman sekarang). . Saya tidak mahu menyentuh persoalan-persoalan filosofikal yang terlahir dari isu-isu yang telah dibawanya. Apa yang perlu dilakukan? Kenapa ia perlu dilakukan sekalipun dll. Kerana itu pasti membosankan. Ini buku yang sedap dan harus dibaca supaya kita dapat menjengah keluar seketika ke luar pintu gua kita dan melihat keadaan sekeliling dan merumuskan bahawa: dunia ini tidak sempurna. Samada kita keluar dari gua kita dan cuba untuk membetulkan apa yang kita rasakan salah, itu pilihan masing-masing, ada yang lebih selesa duduk di dalam gua menunggu malam. Tetapi saya percaya saudara Hadri berhasrat untuk mengubahnya. .