Hidup bukan selalu mengenai melihat masa depan yang hebat. Hidup juga untuk merasai hari ini yang menyakitkan.
Rasa kalah hanya menghantar kita pulang ke ruang kenangan; tempat untuk mengutip semula segala kekuatan masa lalu.
Tanpa dirancang kita terlihat kehidupan manusia dalam bilik-bilik sempit. Kita ternampak puluhan anak-anak kecil bermain di pedestrian jalan. Begitu banyak kedukaan.
Zainal Rashid Ahmad (ZRA) mencipta nama pada tahun 1990-an dengan cerpen-cerpen bernuansa eksperimental yang menjurus kepada menggabungkan sastera Melayu moden dan sastera Melayu lama. Zainal memenangi deretan anugerah sastera terutamanya Hadiah Sastera Utusan, Hadiah Sastera Perdana, Hadiah Sastera Islam dan pelbagai anugerah peringkat kebangsaan. Sehingga kini Zainal telah menghasilkan dua buah kumpulan cerpen iaitu Alkisah (2012) dan Yang Tercinta (2012). Zainal mempunyai pengalaman luas sebagai wartawan; pernah bertugas di Utusan Melayu, Astro, NTV7 dan TV3. Zainal turut menerima Anugerah Seri Angkasa 2004, Anugerah Media Pertahanan 2009, Anugerah Dokumentari Terbaik 2010 dan pelbagai anugerah PPFM sebagai Pengarah dan Penulis Skrip Terbaik. Kini Zainal merupakan Pengurus Besar, Jabatan Penerbitan sosial, Politik & Ekonomi TV Al-Hijrah. (2014)
Tuan ZRA bagi aku, adalah seorang virtuoso pemerhatian. Beliau tak ada pun saga epik yang menelan ratusan halaman, tapi dia amat mahir memahat makna dan emosi dalam frasa yang padat, ringkas, dan sering kali menusuk.
Keistimewaan penulisan Tuan ZRAM pada aku terletak pada keupayaannya menangkap keabsurdan hidup kota dan merenung nasib manusia marhaen dengan lensa yang sinis tapi penuh empati. Karyanya sering diangkat sebagai contoh keindahan bahasa yang ekonomis- setiap perkataan diletak dengan penuh ketelitian, memberi kesan yang berkekalan, jauh melebihi jumlah halamannya.
Anekdot ini adalah sebuah koleksi fragmen, catatan, dan renungan yang berfungsi sebagai mozek kehidupan urban, terutamanya di sekitar KL. Ia tak terikat pada satu plot utama, sebaliknya merangkumi serpihan cerita pendek dan esei mini yang menyorot momen - momen yang lazimnya terlepas pandang atau tak diberi perhatian: pertemuan ringkas di stesen bas, monolog dalaman seorang penjual surat khabar, atau renungan tentang seni bina kota dan sebagainya.
Tuan ZRA berjaya membingkai kelaziman ini menjadi cermin refleksi eksistensial. Watak - watak di dalamnya banyak yang tak bernama atau hanya diberi nama ringkas sahaja, bukan sebab Tuan ZRA malas mencipta latar belakang, tapi kerana beliau mahu mereka mewakili orang kebiasaan yang terasing - mereka yang sentiasa wujud di pinggiran pandangan kita, yang membawa beban kerutinan dan kesunyian.
Aku suka benar gaya bahasa Tuan ZRA dalam naskhah ini - puitis tapi tepat, sebuah minimalisme yang kaya dengan metafora dan ironi. Beliau mengelakkan hiasan kata yang berlebihan, memilih ayat pendek yang bertalu - talu yang mewujudkan irama naratif yang mendesak, seperti degupan jantung di tengah kesibukan kota.
Karya ini memberikan konteks rohani kepada realiti orang - orang kita. Bagi aku, ia sebaris Albert Camus yang merenung absurditi, atau Murakami yang mengaburi batas realiti dan fantasi, melalui pemerhatian tempatan yang tulus. Highly recommended.
Benarlah orang kata, Ijazah yang terbaik merupakan di jalanan. Melihat liku-liku kehidupan di kotaraya. Ada yang susah, ada yang senang. Ada yang bergelimpangan di kaki jalan, ada yang menikmati santapan kemewahan. Digelar sebagai universiti jalanan yang bukan menyajikan teori-teori di dewan kuliah tetapi lebih kepada pemerhatian dan praktikaliti terhadap segala teori sosial yang dihamburkan.
Mengenali susuk tubuh Zainal Rashid Ahmad melalui Garasi TV dan menelaah bacaan sulung buku beliau bertajuk Latto & Asmiranda. Lalu, terus jatuh cinta dengan tulisan beliau. Hal ini berlaku perkara yang sama terhadap Anekdot Jalanan. Kisah-kisah yang membangun dari jalanan untuk pembaca. Kisah-kisah yang membungkam kotaraya melalui hiruk pikuk sekitar 80-an dengan sindiket dadah dan pelacuran.
Anekdot Jalanan ni lebih cocok kalau diringkaskan sebagai kisah orang kecil yang berjiwa besar. Onak ranjau dan liku-liku kehidupan seorang anak muda berkelana dan merantau ke kotaraya Kuala Lumpur untuk menyelami sepak terajang dunia kehidupan yang sebenar. Perjalanan Zainal Rashid dalam meniti kehidupan yang sebenar.
Selain itu, kehidupan beliau bagaimana memulakan episod dan perkelanaan beliau dalam dunia kewartawanan. Pengalaman beliau dalam dunia kewartawanan dan di jalanan banyak mencorakkan siapa Zainal Rashid pada hari ini. Anak-anak jalanan beliau santuni dan mengungkapkan mereka sebagai guru dan beliau hanyalah anak murid dalam mengerti erti kehidupan.
Kisah beliau bersama Azizi Haji Abdullah melalui kelana mereka ke persidangan sastera di Indonesia. Diceritakan bagaimana susuk tubuh Azizi Haji Abdullah yang lantang mengkritik politik tempatan serta kritikan-krtikan sosial melalui karya beliau disematkan. Hal ini tidak hairan melalui karya beliau Sinappapal yang memberi satu refleksi akan masyarakat tempatan. Malah, kehidupan beliau bersama T. Alias Taib semasa hayatnya dalam membentuk keperibadian sastera juga begitu menakjubkan.
Walaubagaimanapun, isinya sudah cukup hebat. Tetapi, tidak dioptimumkan penggunaan muka surat tersebut. Agak kecewa kerana isinya boleh dimampatkan di dalam 1 muka surat daripada membiarkan muka surat ada kelompongan tanpa diisi.
Secara tuntasnya, Anekdot Jalanan ini sungguh mengujakan. Erti kehidupan yang tidak dihidangkan melalui mana-mana buku, tetapi ia sebuah praktikaliti yang diserapi dan dihadapi kehidupan jalanan.
Buku ini mengisahkan perjalanan hidup Haji Zainal Rashid Ahmad dari tahun 80-an sehingga abad ke-20. Sarat dengan pesanan hidup yang buat aku letak buku ini sekejap2 pabila baca dan fikiranku melayang terbang; merenung teguran dan nasihat yang disampaikan.
Satu pengajaran dari buku ini yang memberikan sebuah sudut pandangan baru adalah tentang krisis kemiskinan di jalanan. Dulu, bila aku tengok orang di jalanan yang meminta-minta, aku fikir kenapa mereka tidak usaha untuk cari duit. Kenapa guna ‘*the easy way out*’ iaitu dengan meminta? Kenapa tak bekerja? Kenapa, at least, tak cuba?
Tapi lepas baca buku ini, baru aku sedar how very ignorant of me to say that, given that I have never been in their circumstances for all my life. Aku tak pernah berada dalam situasi kepayahan tersebut. Aku tak pernah rasa keperitan menjalani kehidupan, tak pernah bergelut untuk cari sesen duit demi mencari sebutir nasi untuk meneruskan kelangsungan hidup. Bila badan sudah penat, tiada daya lain selain meminta. Lapar. Penat. Tak larat. Jadi mereka duduk di jalanan, berbekalkan harapan. Berdoa dan berharap mereka yang tak pernah rasa keperitan ini, menolong.
Aku yang tak pernah ada di tempat mereka, tak akan boleh bayangkan kesusahan dan kelaparan mereka. Aku tak berhak untuk berkata, “Kenapa tak usaha?” kerana aku tak tahu, aku tak rasa situasi mereka sehingga mereka memilih untuk berharapkan bantuan.
Bila bercerita tentang isu ini, aku akan ingat kisah seorang pakcik di TBS yang akan sentiasa buat aku nangis. Masa tu aku nak ke PBAKL, dari TBS ke stesen LRT perlu lalu jambatan yang menghubungkan dua tempat tersebut. Dalam perjalanan, ada seorang pakcik duduk di tepi tangga, memanggil2 orang yang lalu lalang, “Tolong… tolong, pakcik lapar. Pakcik tak ada duit. Pakcik lapar. Pakcik lapar, nak.” Suaranya teresak-esak, merintih kelaparan.
Aku, pada waktu itu, masih cetek akal dan tidak faham erti sebenar ‘derita’ manusia, memilih untuk hanya memandang dan berlalu pergi. Ya, aku bodoh. Sampai sekarang, bila aku ingat balik, aku marah. Kenapa kau tak tolong. Kenapa kau tak tolong, Anis. Kenapa… Ya Allah, maafkan aku.
Ingatan itu sudah terpalit di ruang memori. Kadang-kadang bila aku teringat, macam mana kalau ayah aku di tempat pakcik itu? Lapar kebuluran, tiada siapa yang ingin menghulurkan bantuan. Ya Allah, maafkan aku sekali lagi… Aku tak boleh nak bayang, dan aku tak inginkan perkara tersebut berlaku dekat ayah aku, atau sesiapa!
Buku ini berjaya menghimpunkan kisah mereka yang bergelut dalam isu ini. Ia membuatkan kita timbul rasa empati dan simpati dalam diri terhadap mereka yang perlu dan sangat perlukan bantuan kemanusiaan. Bukan mereka tak cuba, tapi kalau badan pun penat, perut pun lapar, diri tiada tempat untuk berlindung, macam mana nak teruskan hidup?
Aku percaya, dengan bantuan yang kita boleh beri, sedikit atau banyak, akan membantu mereka membina kekuatan dan motivasi diri untuk cuba keluar dari garisan kemiskinan. Yang paling penting, bagi mereka tahu hidup ini tak kejam atau dipenuhi manusia yang berfikiran seperi aku dulu — ‘kenapa tak usaha?’. Masih ada yang ingin membantu, masih ada manusia yang ingin mengambil tahu bagaimana rasa kesusahan itu. Dan buku ini, adalah salah satu sumber untuk menyedarkan masyarakat kita supaya menjadi manusia yang berperikemanusiaan.
Sangat *impactful*. Penulisannya santai, tapi isinya sangat memberi kesan pada aku.
Apabila kita bermula hidup dengan mengenal masyarakat, mendengar kisah berpenat lelah dan memahami kehidupan dalam rezeki masing2 akan membuatkan kita bersyukur dengan kurniaan Tuhan. Kadangkala hidup sering dirasakan tidak bermakna hanya kerana ada ‘cacat cela’ apabila dibandingkan dengan ‘kemewahan’ orang lain. Sedarlah saya bahawa rezeki kita adalah rezeki terbaik yang Tuhan berikan.
Juga kawan2, dalam rezeki kita adalah juga rezeki untuk orang lain, daripada segi sumbangan kewangan mahupun tenaga dan idea dalam perjuangan membangkitkan masyarakat sesama kita.
Buku ini membuatkan saya semakin menghargai kehidupan jatuh bangun dan kesedaran untuk berbuat baik sesama manusia. Terima kasih penulis.
Saya sering melihat kelibat ZRA di media sosial. Beberapa orang rakan pun ada berkongsi video beliau yang memaparkan isi kandungan menarik. Sesekali, saya menonton juga. Kalau tak silap, isu berkaitan Palestine yang menyebabkan saya terus melekat dengan video-video beliau.
Ye lah tu agaknya, saya dah lupa.
Kemudia saya follow beliau di Facebook.
Dan di Pesta Buku Selangor 2024, saya jumpa pula buku beliau. Saya beli buku Anekdot Jalanan, dengan harapan untuk 'berkenalan' dengan susuk seorang ZRA.
Membaca buku setebel 268 muka surat ini, boleh saya katakan saya masih 'belum kenal' dengan ZRA. Seorang wartawan, seorang yang terlibat di media arus perdana, seorang yang membaca, seorang yang 'ramah' dengan gelandangan dan orang jalanan.
Itu saja yang saya tahu melalui buku ini. Yang catatannya banyak mengimbau masa lalu kehidupan beliau di kota Kuala Lumpur, membawa ke hari ini. Mungkin catatan ini ada di media sosial beliau, jadi yang sudah kenal dari awal tak bermasalah untuk membaca buku ini.
Tidak pada saya yang masih baru cuba mengenali beliau. Saya masih belum mendapat rentak seorang ZRA.
Mungkin, saya boleh mulakan kembali (perkenalan ini) dengan membaca buku koleksi cerpen beliau yang dijual Bibliopress.
Insya-Allah. Duit sudah mula dikumpul untuk PBAKL 2025 nanti.
ZRA bagaikan penglipur lara yang menyampaikan cerita-cerita duka gelandangan yang menghuni ibu kota. Setiap watak ada cerita duka yang sebelum ini tidak tersampaikan ke pengetahuan umum.
Namun disebalik duka, ada harapan dan impian. Harapan yang turut dikongsi ZRA yakni anak-anak jalanan dapat menikmati zaman kanak-kanak mereka.
Bebas dari lapar. Bebas dari ketakutan. Bebas dari kemelaratan.
Adalah janggal dan menghairankan, buat mereka yang tidak mengenali nama tuan Zainal Rashid Ahmad, atau nama masyhurnya, ZRA apabila live stream telah menjadi fenomena global, tidak terkecuali di Malaysia.
Melalui ZRA Strim, tuan Zainal Rashid Ahmad (seterusnya ZRA) menjual buku dan pakaian bundle, di samping berkongsi dengan penonton berkenaan isu-isu semasa rentas disiplin seperti politik antarabangsa, ekonomi, pendidikan, jenayah, sastera, bahasa, kemiskinan bahkan cuaca! Pengalaman beliau yang begitu luas dan lama dalam kewartawanan terserlah sepanjang stream berlangsung. Kemampuan beliau untuk menerangkan perkara yang rumit, diadun dengan lenggok penceritaan yang memukau, serta bahasa yang kemas dan jelas—menjadikan ZRA Strim begitu masyhur sehingga ada yang mengatakan bahawa stream ini dijadikan berita menggantikan acara berita yang sedia ada di televisyen.
Maka, melalui buku ini, tuan ZRA masih dengan identiti dan kemahiran beliau iaitu bercerita. Pembaca dibawa oleh beliau menapaki jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur yang dahulunya dihuni oleh penagih dadah dan gelandangan. Pembaca seolah-olah diseret semula beberapa puluh tahun ke belakang—mengimbau kenangan ZRA bergaul dengan golongan yang pelbagai ini; Jalan Masjid India yang sering diadakan pertunjukan ular tedung selar oleh Ali Khan, keluar tiga hari mengikuti jemaah tabligh (Masjid India dahulunya markas jemaah tabligh) dan menelusuri bawah jambatan yang sering mengorbankan ramai gelandangan apabila kepala air tiba.
Beberapa nama yang pernah menghiasi kehidupan penulis seperti T. Alias Taib, Pak Shahnon, Azizi Haji Abdullah dan Zaen Kasturi turut disisipkan dalam anekdot ini. Pertemuan penulis dengan nama-nama penulis gergasi ini yang akhirnya mendorong beliau untuk kekal berkarya melalui penulisan. Beliau juga banyak kali mengingatkan pembaca bahawa dirinya terselemat daripada dadah, dek kerana minatnya yang begitu mendalam terhadap membaca buku.
Buku ini ringkas sahaja, sesuai dengan namanya, Anekdot Jalanan. Walau ringkas dan biasa, menerusi buku ini, saya mengenal erti kemanusiaan—menghulurkan telinga untuk mendengar rintihan, menyisipkan wang untuk mereka yang kelaparan, tidak menghukum syurga-neraka buat mereka yang sedang memperjuangkan kehidupan.
Satu pesanan tuan ZRA kepada pembaca: Buku boleh dibaca. Tapi, apa guna kalau untuk memahami kemanusiaan pun — kita masih merangkak dan perlu 'mengeja'.
---
Buku ini dipinjam dari Surah al-Jannah, Seksyen 23, Shah Alam usai mengerjakan solat sunat terawih di sana.
Ini kali pertama saya membaca Zainal Rashid Ahmad (ZRA). Bahasa yang mudah namun ada seninya. Penceritaan beliau tentang pengalaman jalanannya di sekitar Kuala Lumpur cukup menarik bagi saya. Dikelilingi liku-liku kota di era hippies dan dadah bagai makanan harian, ZRA diselamatkan oleh kecintaannya terhadap buku-buku, cita-citanya yang ingin menjadi penyair, serta keinginannya dalam menulis.
Banyak kisah menarik yang saya suka. Paling saya ingat tentang budak pencuci sepatu yang kelaparan yang bernama Ibrahim yang beliau temui di luar negara, dan beliau pastikan untuk selalu mengikat tali kasut baru di kaki kanak-kanak yang memerlukan di negara sendiri.
Antara 3 perkara: 🟤 ZRA yang puitis, mahir mengolah bahasanya, membuatkan saya menjadi peminat gaya tulisannya. Semangatnya dalam memberikan kembali kepada masyarakat jalanan, menyikapi dan mendengar keluh kesah mereka merupakan perkara yang wajar dijadikan contoh.
🟤 Diselamatkan buku. Saya menggemari apabila beliau bercerita tentang buku, terutamanya tentang cita-citanya untuk menjadi seorang yang berjaya seperti Minke dalam Bumi Manusia. Membaca buku dan kepentingan pendidikan yang diutamakannya membuat beliau menjadi siapa dia pada hari ini.
🟤 Aspek moral, etika kerja baik di jalanan mahupun di bidang kewartawanan, dan nasihat-nasihat hidup di dalam buku ini membuatkan saya ingin membaca beliau lagi. Pengalaman mengitari jalan-jalan Masjid Jamek, Sungai Bonus, Bangkok bank, Pasar Seni dan jalan-jalan di sekitarnya menghilangkan sedikit sebanyak rindu saya kepada kota Kuala Lumpur.
Buku yang wajib dibaca, dan memang betul, patut disimpan di perpustakaan untuk bacaan bersama. Buku ini saya pinjam dari perpustakaan @penanglibrary . 4/5 bintang. #AnekdotJalanan #ZainalRashidAhmad #ZRA #ParaReads #ParaBaca #nonfiction
Membaca buku ini membawa saya kepada memori tahun 2013, di mana saya melibatkan diri dengan NGO. Ini lah pertama kali saya libatkan diri dan melihat dengan mata kasar kedaaan gelandangan di tengah kota raya Kuala Lumpur. Turun ke medan seawal jam 4 pagi dan kami berkumpul di Masjid Jamek. Memori itu masih segar hingga ke saat ini, kerana kehidupan yang mereka lalui adalah sangat berbeza dengan cara kehidupan kita, dari pelbagai sudut. Dengan anak-anak kecil yang tidak bersekolah, dengan ibu-ibu yang menggendong bayi kecil tanpa sebarang dokumen dan pengenalan diri, dengan pakaian lusuh dan seadanya, di tengah-tengah kota raya.
Dan ZRA mengenang kembali saat-saat itu dengan kenangan yang beliau alami dan lalui. Buku ini adalah catatan beliau tentang realiti kehidupan gelandangan di Kuala Lumpur sekitar 80an. Apa yang beliau gambarkan adalah tetap sama keadaannya ketika saya turun ke lapangan tahun 2013. Yang berubah hanya keadaan fizikal kota. Beliau membawa kita kepada kisah-kisah sebenar kehidupan gelandangan yang menyayat hati, gambaran yang tidak berselindung dan penuh dengan keaslian.
Penceritaan yang beliau bawa ini bukan hanya sekadar untuk menambah cerita dan info untuk pengetahuan kita semata, namun lebih kepada reflektif di mana setiap cerita berbicara dengan sendirinya. Kita sebagai pembaca mungkin akan tertanya-tanya, apa peranan kita untuk mengubah keadaan ini? Apa inisiatif yang boleh diambil untuk menempatkan mereka dalam status masyarakat kini? Apakah sikap kita sekiranya berjumpa mereka di jalanan?
Buku ini adalah satu keperluan. Satu bacaan yang membuka mata kita tentang realiti kehidupan di 'dunia' yang berbeza dan juga satu seruan untuk kita mengambil tindakan sewajarnya, menggesa kita untuk menyuburkan rasa empati terhadap mereka yang tiada pilihan melainkan menjadi gelandangan.
"Di jalanan, sekalipun kita datang dengan niat membantu; kita tidak boleh terus terjun ke diskusi 'syurga neraka atau dosa pahala'.
Silaturrahim tidak boleh bermula dan berakhir dengan syarahan semudah itu".
Haji Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai Haji ZRA (ada juga ramai orang memanggil beliau dengan gelaran Bang Non). Figura yang tak asing lagi dalam dunia penerbitan tv, kewartawanan, penulisan dan sekarang lebih popular di platform ZRA Strim. Siapa sini selalu join live Haji ZRA ? Saya lah salah seorang nya.
Saya amat kagumi dengan ilmu pengetahuan beliau yang luas dalam segenap hal. Seperti juga seorang figura bapa yang menceritakan pengalaman hidup beliau dan tidak lokek memberi nasihat kehidupan. Beliau juga seorang aktivis yang aktif membela nasib golongan yang tidak bernasib baik di ‘jalanan’. Dalam buku ini, pelbagai cerita tentang hakikat kehidupan di jalanan, diceritakan kepada para pembaca. Saya rasa, mungkin semua yang boleh baca caption ini tidak pernah mengalami kepayahan hidup yang begitu sekali.
Ada juga beberapa kisah yang familiar kerana ada antaranya pernah dieritakan beliau dalam live-live sebelum ini. Saya paling suka bila mana Haji menceritakan bagaimana buku telah menyelamatkan hidup beliau dari terlibat dengan perkara yang tidak elok pada zaman muda. Begitu juga dengan kebanyakan kita, ada sesuatu perkara yang banyak kali menyelamatkan kita dari terjatuh terlalu dahsyat yang tak mampu kita bangkit semula.
Pada hujung bahagian, ada diceritakan hubungan Haji dengan dua penulis lagenda iaitu Azizi Haji Abdullah dan T. Alias Taib (arwah kedua-duanya). Masya Allah begitu hebat mereka memperjuangkan bangsa dan memahami akan kepentingan berkongsi ilmu. Mereka berdua juga mempunyai profesion yang sama iaitu guru (saya juga seorang guru) dan rasa terharu yang membuak bila membaca kisah mereka.
Terasa sangat puas dan berkobar untuk selalu bersemangat dalam apa jua yang kita lakukan apabila membaca bait-bait kata Haji ZRA. Buku yang sangat terkesan di hati.
Saya mengenali ZRA sebagai salah seorang wartawan pertama yang menyelinap masuk ke Palestin demi merakamkan kebenaran kepada dunia. Beliau juga pernah bekerja di TV Al-Hijrah dan memenangi beberapa anugerah sastera.
Sebagaimana tajuknya, buku ini menceritakan hal-hal sederhana di jalanan yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup penulis. Intonasi penulisan adalah seperti seorang bapa yang berkongsi memori silam, juga seperti seorang teman yang mencari makna di sebalik keserabutan dan kerasnya kehidupan di jalanan.
Kalau anda tak bosan mendengar strim ZRA yang penuh dengan tarikh-tarikh dan nama-nama baru, mungkin anda takkan bosan membaca buku ini. Begitu pula sebaliknya.
Pada tahun baru ini, saya tertarik dengan tema sebegini: Orang biasa yang memperjuangkan sesuatu yang sederhana, tapi besar impaknya kepada semesta beberapa jiwa. Ia memberi inspirasi dan kekuatan kepada saya yang bukan sesiapa, supaya teruskan perjalanan dan percaya saja prosesnya.
Terlalu banyak yang saya perolehi daripada pembacaan buku Anekdot Jalanan ini. Perkongsian pengalaman tuan haji ZRA melalui penulisan ini sangat bermanfaat. Saya sangat suka membacanya.
Saya khatamkan buku ini dalam masa 3 hari (jika tiada urusan penting, saya rasa saya boleh habiskan dalam sehari sahaja). Sudah baca satu helaian, tak sabar-sabar hendak menyelak ke helaian yang seterusnya—dek rasa ingin tahu yang tinggi terhadap bait-bait cerita tuan haji.
Antara penulisan yang paling dekat serta saya boleh kaitkan dengan diri sendiri adalah pada tajuk "Dua Gelas Teh Tarik dan Kelas Puisi". Kenapa saya rasa ia dekat dengan diri saya? Tuan haji pernah hantar karya ke Sayembara Puisi Alam Sekitar. Tuan haji menulis tentang alam dan masa depan anak-anak—ia mengingatkan saya kepada diri saya beberapa bulan yang lalu ketika saya menghantar cerpen ke Sayembara Cerpen Alam Sekitar. Saya pula menulis tentang alam dan persahabatan. Alhamdulillah saya menang tempat saguhati bagi sayembara tersebut.
Saya seorang yang sangat gemar menulis dan saya berharap sungguh agar satu hari nanti saya boleh menulis sehebat tuan haji ZRA :)
"Hidup bukan selalu mengenai melihat masa depan yang hebat. Hidup juga untuk merasai hari ini yang menyakitkan."
Kisah dan pengalaman yang dikongsikan dalam bentuk anekdot ini amat berharga. Walaupun kisahnya singkat, tapi tetap meninggalkan kesan kepada pembaca.
Lumrah hidup, tidak sentiasa bahagia. Setiap orang yang kita temui punyai kisah berbeza. Mungkin mereka tersenyum kepada kita, tapi kisah disebaliknya siapa yang tahu.
Begitulah penulis menceritakan satu persatu pengalaman yang dapat beliau kutip ketika zaman mudanya.
Kisah yang buatkan saya merenung jauh, mensyukuri nikmat Allah yang diberikan.
"Kita semua ada kenangan pahit dalam catatan masa lalu, tapi percayalah 'kesilapan mampu bertukar menjadi guru'. Belajarlah...sekali pun harus berguru dari kanak-kanak." - halaman 173
Buku ini mengisahkan perjalanan hidup ZRA sewaktu masih lagi bersekolah, zaman belia di 1980-an Kuala Lumpur, dan juga kerja-kerja tersohornya di dalam bidang media & TV.
Buku yang berjudul 'anekdot' ini terdapat puluhan kisah-kisah peribadi seketika menjual buahan di warung jalanan, pergaulan bersama golongan asnaf dan musafir Kuala Lumpur, menjamu makan dengan anak-anak yatim menjelang Aidilfitri, pembentangan sastera masyarakat di Mastera 2002 di Bogor, Indonesia, dan selanjutnya.
Bukan saja hikayat hidup, malah pengajaran-pengajaran bermakna yang diperoleh, dipelajari, dan dihayati - biarpun dalam bidang media, penulisan sastera, mahupun kehidupan ('life lessons') secara umum.
Satu 'memoir' perjalanan hidup yang penuh dengan pegajaran terbuka.
ZRA memang lain macam. Setiap bait katanya menikam terus ke dasar jiwa. Mungkin sebab semuanya lahir dari realiti. Bukan dongengan, bukan sekadar olok-olok. Setiap kisah terasa hidup, terasa benar, terasa dekat.
Indahnya susunan kata-katanya, tak payah cerita. Sekali baca, hati kau mekar. Macam rasa jatuh cinta, tapi bukan cinta biasa. Cinta dalam tulisan ZRA bukan sekadar bahagia yang mengapung, atau duka yang tenggelam. Ia seimbang. Saat kau tersenyum, saat itu juga hati kau diremuk perlahan.
Tapi duka dalam dunia ZRA bukan duka cinta yang klise. Ia duka tentang manusia yang berjuang, yang bertarung dengan hidup yang tak pernah lunak. Duka yang buat kau terdiam, berfikir, dan akhirnya tunduk. Menghargai beratnya hidup orang lain.
Dan aku, tanpa sedar, sudah jatuh. Jatuh cinta pada setiap patah kata yang ZRA ukirkan.
Buku catatan perjalanan dan kehidupan ZRA. Mengenali beliau melalui media sosial - beliau sering berbicara dan berbahas tentang isu semasa - isu geopolitik, ekonomi tempatan dan lain-lain.
Banyak benda boleh dipelajari dari catatan beliau semasa beliau masih remaja, bekerja sebagai wartawan dan kehidupan beliau di ibu kota. Sisi gelap kehidupan di ibu kota yang kadang-kadang muncul di media massa - isu gelandangan, miskin kota dan sebagainya. Pengalaman ZRA menyantuni warga kota di jalanan mungkin apa yang dipelajari beliau semasa hidup di ibu kota semasa zaman remaja dan lepasan sekolah.
Petikan daripada Anekdot Jalanan: “Kita semua ada kenangan pahit dalam catatan masa lalu, tapi percayalah “kesilapan mampu bertukar menjadi guru”. Belajarlah… sekalipun harus berguru dari kanak-kanak.”
Sejujurnya sudah lama saya tidak menghabiskan buku yang saya baca. Setelah bertahun-tahun, akhirnya saya boleh menghabiskan buku bacaan dalam masa sehari. Saya bukan orang yang banyak berjalan dan mengumpul pengalaman, mungkin disebabkan itu saya ralit membelek helai demi helai hingga tidak sedar sudah sampai dipenghujung buku. Terima kasih kerana pada usia ini saya akhirnya mampu merasa pengalaman hidup yang berbagai melalui tulisan tuan. Disebabkan saya suka gaya tulisan seperti ini, berbunga indah bahasanya, tapi tidak membosankan dan sarat dengan pengajaran, maka saya akan beli lagi karya tuan. Dan saya pasti akan mencari karya Azizi 'Seorang Tua di Kaki Gunung'.
Seronok baca kisah manusia di sebalik lorong2 di kawasan ibu kota terutama kawasan chow kit. Terasa lebih dekat bila pernah bekerja lebih 2 tahun dia kawasan chow kit, seakan boleh membayangkan suasana yg di gambar kan dalam buku.
Tuan ZRA sangat pandai menyantuni kanak2 dan org tua. Pasti beliau disenangi org keliling. Paling tersentuh kisah budak pencuci kasut tu. di hujung cerita terkejut bila baca era hippie ZRA haha tak sangka betul. Teringin nk jumpa tuan ZRA in person. Manusia hebat penuh dengan pengalaman hidup
Anekdot Jalanan terasa seperti berjalan di lorong sunyi dalam diri sendiri. Bukan sekadar kisah jalan, tapi bayang-bayang manusia yang ditinggalkan oleh dunia. Setiap catatan Zainal Rashid seperti bisikan perlahan tapi menghantui, mengingatkan bahawa di bawah cahaya bandar, ada jiwa yang tak pernah dijemput pulang.
( Aku beli buku ini 24 oktober 2025 PERKESO LINDUNG di Shah Alam. Siap ambil gambar dan tandatangan Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad. )
Bukanlah beberapa siri kebetulan, tetapi takdir Tuhan yang teliti. Sangat terkesan dengan beberapa perkara yang ditulis oleh penulis. Buku ini dibaca hanya selang beberapa ketika sebelum dan selepas diri ini berhadapan beberapa realiti kemiskinan. Terasa begitu benar apa yang ditulis “Hidup bukan sekadar mengenai “memahami percakapan”: hidup juga berkisar pada rasa lebih menghormati bahasa kemiskinan.”
Juga ketika malam buku ini dibaca, disiarkan pula drama Chow Kit di TV9.
mencintai buku menyelamatkan penulis daripada terlibat dalam kancah budaya yang tidak elok, terasa mahu habiskan semula buku Bumi Manusia oleh Pak Pram.
membaca tiap anekdot membuat saya rasa bersyukur dgn kehidupan yg saya ada selama ini. sebab tu orang ckp kena selalu tgk org yg di bawah kita supaya kita selalu rasa bersyukur.
saya harap penulis dapat mengumpulkan semua cerpen yg pernah beliau tulis supaya pembaca baru karya penulis dapat membacanya.
Buku ni bukanlah novel atau cerpen. Tetapi lebih kepada kompilasi catatan-catatan berkisar pengalaman peribadi penulis .. Saya mengambil sedikit masa membaca naskah ini, tidak terburu-buru menyelesaikan bacaan, kerana di setiap kisah, saya cuba mengambil ibrah buat bekal perjalanan hidup saya. Tq for this book. It's a birthday gift from my boss to me. Alhamdulillah. Hiduplah dengan menjadi manfaat kepada yang lain.
Terisi catatan-catatan kenangan ZRA tentang sesuatu peristiwa atau tempat. Pengalaman dan ilmu pengetahuan yang luas ditumpahkan dalam tulisan beliau yang dilahangkan secara santai.
Mudah difahami. Membawa menjelajah ke banyak tempat di dalam dan luar negara.
Foto-foto diambil di lokasi-lokasi kenangan beliau, namun sayangnya ia dalam versi hitam putih yang gelap menyebabkan banyak foto tidak jelas
Baca kisahnya, sangat hidup. Apa yang ditulisnya dalam buku, boleh terasa sampai ke hati. Sekali bermula untuk membaca, payah untuk berhenti lagi. Tidak pernah jemu membaca bait-bait tulisannya yang sarat dengan pengalaman hidup dan kisah jalanan yang tidak akan ditemui di mana-mana. Worth buying, worth reading.
Buku tentang pengalaman hidup penulis semasa zaman kecil,belajar, cikgu Sejarah yang bagi semangat untuk terus belajar, berniaga di Pekan Rabu, berniaga di Chow Kit, hobi membaca buku menyelamatkan diri dari terjebak dengan dadah, menyantuni gelandangan, anak-anak di kawasan pinggiran, rakyat Malaysia yang berjuang hidup tanpa IC, kenalan di lorong, etc.
Tak puas membaca pengalaman hidup orang-orang lama. Sungguh universiti kehidupan itu yang paling banyak membentuk manusia menjadi kuat dan tabah. Terima kasih Tuan Haji atas perkongsian ini dan penerbit atas usaha menjadikannya sebuah buku.
Saya suka dengan pengalaman penulis yang luar biasa.Belajar tentang kehidupan di sebalik banyaknya ancaman dadah dan pelacuran di ibu kota.Menjadikan buku dan aktiviti membaca sebagai perisai utama untuk mengelakkan diri dari dadah.