Buku SKUAD TARING NUSA.
Bilangan Halaman : 412 halaman.
Mula dibaca : Isnin, 21 Ramadan 1445 Hijrah bersamaan 01 April 2024.
Tamat dibaca : Sabtu, 27 April 2024.
Dendam Berbalas Di Caruk Putih, itulah tajuk novel ketenteraan pertama yang aku pernah baca masa zaman sekolah menengah dulu. 2 tahun lepas pula novel Tanjak Hitam menjadi bacaan. Di sebalik kemeriahan industri buku fizikal, aku agak terkilan kerana sangat kurang buku-buku fiksyen dan bukan fiksyen genre aksi ketenteraan diterbitkan sedangkan genre ini sering mendapat permintaan yang tinggi.
Bila terbit saja novel Skuad Taring Nusa, tanpa ragu-ragu, aku terus membelinya kerana aku sudah lama dahagakan sebuah cerita aksi ketenteraan. Ditambah pula novel fiksyen ini diinspirasikan dari konflik bersenjata sebenar yang berlaku di Filipina.
Skuad Taring Nusa merupakan sebuah unit elit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sering dihantar untuk melaksanakan pelbagai misi sulit jauh di negara orang. Tahap kerahsiaan unit ini sangat tinggi, sangat sedikit pihak yang mengetahui kewujudannya malah jika anggota skuad ini tertawan atau terbunuh di negara orang, kerajaan Malaysia akan menafikan sebarang kaitan dengan skuad ini.
Skuad Taring Nusa dianggotai Mejar Aidan sebagai ketua pasukan, Kapten Munzir yang pakar bahan letupan dan komunikasi, Kapten Rafiq sebagai penembak tepat dan Leftenan Hariz yang pakar dalam elemen risik tempur.
Dalam novel ini, Skuad Taring Nusa dihantar ke Mindanao, Filipina untuk menghapuskan Sheikh Masud, pemimpin kumpulan pengganas Masud Army Group (MAG) yang bertanggungjawab dalam insiden pengeboman Kedutaan Malaysia di Mindanao yang turut mengorbankan sejumlah rakyat Malaysia. Misi mereka semakin sukar apabila Sheikh Masud gagal dibunuh di kubu utamanya dan sempat melarikan diri ke Devil Box, sebuah kawasan yang sangat aktif dengan aktiviti beberapa kumpulan pengganas bersenjata yang ekstrem.
Novel ini berjalan secara non-linear kerana banyak babak imbas kembali yang meneroka serba sedikit latar belakang watak-watak, cuma rasanya watak Kapten Rafiq saja yang tidak didedahkan latar belakangnya, mungkin watak penembak tepat memang dibiarkan penuh misteri dan tanda tanya.
Di sebalik pemburuan Sheikh Masud sebagai kisah utama, penulis turut menyelitkan beberapa sub-plot yang tidak kurang pentingnya dalam menggambarkan betapa sukar kehidupan di wilayah berkonflik, lebih sukar lagi untuk mengubah pemikiran dan membasmi kemiskinan melalui jalan pendidikan.
Watak Fairus sebagai guru kanan di sebuah sekolah yang sangat daif begitu bercita-cita tinggi mahu mengubah nasib Bangsamoro melalui ilmu pengetahuan dan begitu keras menentang ideologi anak bangsanya yang mengangkat senjata demi menubuhkan sebuah wilayah autonomi mereka sendiri. Ironinya, Fairus akhirnya turut sama mengangkat senjata dan mati mempertahankan sekolah semasa pertempuran dengan MAG di kampung Kitango.
Mungkin penulis sengaja membiarkan sub-plot di Kitango tergantung untuk kita merenung sendiri apakah nasib Bangsamoro selepas ini? Adakah masih ada sinar untuk anak-anak menikmati peluang pendidikan dan seterusnya keluar mengubah nasib bangsa mereka dengan ilmu pengetahuan? Atau mereka akan terus mengangkat senjata bukan saja terhadap anasir jahat tetapi juga sesama bangsa akibat dendam dan perebutan tanah?
Bagi aku, plot kekeluargaan tak perlu terlalu panjang, lebih seronok jika penulis menambah lagi info sejarah atau peristiwa konflik bersenjata di Filipina yang berlarutan sejak puluhan tahun dan memakan korban banyak nyawa.
Yang paling aku suka, penulis turut menyelitkan mesej dakwah di dalam Skuad Taring Nusa. Sejauh mana kita pergi, sesukar mana situasi yang dihadapi, jangan sesekali tinggalkan solat. Apabila berasa gundah-gulana, bangkitlah untuk bersolat dan adukan segala kerisauan kita hanya kepada Allah. Penulis turut mengingatkan kita agar perbanyakkan Selawat dan Istighfar. Dialog dakwah ini memang tak banyak tetapi cukup memberi kesan kepada aku.
Sebenarnya novel ini bukanlah sangat padat dengan aksi. Kekuatan utama novel ini pada penulisan cerita yang sentiasa mendebarkan. Aku dah agak kematian Syeikh Masud bukan penanda bahawa Skuad Taring Nusa boleh balik berehat, pasti ada lagi misi yang perlu diselesaikan. Pertempuran mempertahankan Kitango dari dihancurkan gabungan kumpulan pengganas merupakan babak aksi yang cukup gempak, hingga aku membuat carian di Google beberapa gambar senjata seperti mesingan jenis ringan dan berat, pelancar grenad serta senjata penembak tepat untuk mendapatkan gambaran betapa sengitnya suasana pertempuran yang berlaku.
Kalau aku boleh pilih, aku pilih watak DSP Shazrin sebagai watak kegemaran. Dah macam Terminator pun ada, bukan main banyak senjata dia bawa semasa bertempur dengan pengganas. Walaupun kemunculannya tak banyak tetapi kemahiran tempurnya banyak membantu Skuad Taring Nusa di Kitango.
Berbeza dari novel Tanjak Hitam yang lebih gelap dan ganas, tidak ada barisan ayat dalam Skuad Taring Nusa yang menggambarkan anggota badan berkecai akibat tembakan atau letupan. Aku tak pasti sama ada memang penulis tidak mahu novel sulungnya ini terlalu ganas atau manuskrip asal telah melalui tapisan dari pihak penerbit.
Sangat rugi andai dunia Skuad Taring Nusa tidak dikembangkan, memandangkan mereka pasukan elit, mungkin boleh bina kisah mereka melaksanakan misi di persekitaran yang ekstrem seperti kawasan bersalji, padang pasir yang panas atau mana-mana kawasan terpencil di muka bumi. Cuma aku harap penulis dapat memperbaiki typo yang bersepah sepanjang novel dan pihak penerbit dapat memasukkan ilustrasi berupa gambaran pertempuran atau lakaran watak anggota skuad.
Aku cukup menyampah dengan beberapa novel yang kononnya bertemakan ketenteraan tetapi sebenarnya lebih kepada drama cinta. Peminat mahu lebih banyak novel aksi ketenteraan taktikal diterbitkan. Kalau negara Barat dah banyak terbitkan siri novel Tom Clancy, In Shaa Allah kita pun boleh. Tak mustahil boleh tembus pasaran komik pula.
🇲🇾
#mohdnoorbuku
#mohdnoor