Hidup di atas landasan kebenaran menjanjikan ketenangan meskipun dihamparkan dengan pelbagai liku dan cabaran. Sebaliknya, memejamkan kebatilan yang terbentang luas mengundang konflik jiwa yang berterusan.
Pertentangan antara haq dan batil dalam realiti kehidupan dunia perundangan terpaksa dihadapi oleh tiga anak muda, Hariz, Qayyum dan Aminuddin sebagai peguam bela dan timbalan pendakwa raya. Pengendalian sebuah kes jenayah yang berat membawa satu tanggungjawab besar untuk dipikul. Lebih-lebih lagi saat mereka semakin diuji dengan kemewahan dan perlanggaran sehingga menggugat kesetiaan dan menggoyahkan prinsip yang telah mereka pegang selama ini.
Inilah pertarungan. Bukan tentang kalah dan menang. Tapi tentang keberanian berjuang menegakkan yang haq! Siapa yang berkata benar dia adalah pemilik kemenangan.
“Yang penting kawan-kawan, kita jadi apa pun masa depan nanti, kita pertahankan yang betul, yang haq, boleh? - Qayyum
Alibi, novel fiksi pertama penulis, seorang peguam kriminal.
Jadi, anda dah dapat agak kan, novel ini tentang apa. Kisah perundangan dan kes jenayah.
Hariz, Aminuddin dan Qayyum. Tiga orang anak muda, pelajar jurusan undang-undang yang berminat dengan Criminal Law. Mereka bercita-cita untuk masuk ke bidang jenayah selepas tamat pengajian nanti. Walaupun banyak pendapat yang menentang tapi mereka percaya bidang tersebut penting untuk menegakkan keadilan.
Dalam buku Peguam Kriminal & Peguam Kriminal Extended (saya lupa buku mana satu), ada disebutkan kepentingan sistem yang melibatkan tiga elemen - hakim, pendakwa raya dan peguam bela. Ketiga-tiganya sama penting dan punyai peranan tersendiri. Jadi dalam novel ini, saya dapat melihat bagaimana setiap peranan ini berfungsi dalam sebuah perbicaraan kes.
Selain itu, babak-babak dalam Mahkamah yang realistik. Soalan-soalan kepada saksi, teknik penghujahan dan bagaimana perjalanan sesuatu kes diuruskan. Secara tidak langsung, cerita ini mendedahkan sebab mengapa sesuatu kes itu boleh mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.
Secara keseluruhan, ceritanya teratur dan bergerak pantas. Novel ini sesuai untuk pembaca marhean seperti saya yang sukakan cerita thrill, realiti di sebalik dunia perundangan yang eksklusif dan persahabatan yang berliku.
Tiga orang peguam muda ini, adakah mereka akan berjaya menegakkan hak dan menang melawan yang batil?
Satu karya genre debaran perundangan (Legal Thriller) yang julung-julung kalinya ada di Malaysia. Pembaca disajikan dengan susunan plot yang membuatkan kita tak mahu berhenti membelek helaian demi helaian. Novel ini juga menggambarkan dengan teliti bukan sahaja suasana mahkamah dan kes jenayah dikendalikan di dalam dan luar mahkamah, malahan memberi input perundangan berkenaan undang-undang jenayah khususnya jenayah bunuh. Juga menampilkan kedua-dua sisi pembawaan kes oleh Pendakwaraya dan Peguam Bela. Sangat komprehensif. Mungkin disebabkan Penulis merupakan mantan Pendakwaraya kanan yang kini beramal sebagai Peguambela Kanan, itulah rahsia novel ini sangat unik.
Lebih unik bagi saya kerana penulis juga memulakan dengan riwayat tiga sekawan pelajar undang-undang di UIAM.
Pengakhiran yang bersifat “plot twists”, sesuai dengan tema utama buku ini berkenaan Haq / kebenaran yang wajib ditegakkan.
Bak kata orang latin, Fiat justitia ruat caelum (tegakkan keadilan, walau langit runtuh)
Novel pertama yang saya beli dan baca adalah The Firm oleh John Grisham sewaktu di sekolah menengah. Sejak itu, saya menemui minat saya dalam genre legal thriller walaupun secara umumnya saya amat jarang membaca fiksyen. Setelah membaca ulasan dari pembaca-pembaca Alibi, malah ada yang membandingkannya dengan John Grisham, tentunya saya tertarik untuk mendapatkan dan membaca novel ini. Ternyata Alibi ini menepati jangkaan saya dan seperti Mitch Mcdeere, watak-watak Hariz, Aminuddin, dan Qayyum saya ikuti dengan minat untuk mengetahui perjalanan karier mereka dalam bidang guaman. Walaupun agak ringkas, namun sudah cukup baik kerana tidak meleret dan lengkap dengan pengkisahan watak-wataknya dan susunan kemas babak-babaknya. Inilah antara buku yang boleh dibaca tanpa sedar dibelek tanpa henti, dan boleh saja saya habiskan sekali duduk jika tidak kerana kekangan waktu. Sebelum ini saya cuma mempunyai tanggapan suasana dalam mahkamah melalui The Appeal, The Litigators dsb yang berlatarkan sistem keadilan USA. Inilah kali pertama saya mengalami sendiri suasana mahkamah di Malaysia dengan membaca Alibi. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada penulis dan semoga terus menghasilkan karya-karya dalam genre ini.
Novel jenayah ini telah ditulis oleh seorang peguam pengendali kes jenayah yang berpengalaman dan juga bekas TPR. Gambaran perjalanan kes dan juga suasana dalam Mahkamah adalah real dan dapat dibayangkan dengan jelas bagi sesiapa yang pernah menghadiri kes perbicaraan di Mahkamah.
Tamat rant saya dari POV sebagai pengamal undang², now saya komen sebagai pembaca pula.
Alibi is a debut novel, and En Ariff is not a pure novelist.
Maka, kita boleh expect ada sisi² amatur dalam penceritaannya
The story is nice. The concept is exciting.
And En Ariff can be our own John Grisham (heck, scratch that, he can be THE Ariff Azami) the more he writes and refines his craftsmanship in storytelling.
Saya tak sabar² menantikan buah tangan terbaru daripada beliau
Mungkin novel akan datang nanti, twistnya lebih kompleks dan letup otak!
Terima kasih En Ariff kerana menulis Alibi. Terima kasih kerana menulis cerita tentang kami: tentang kepeguaman, tentang perundangan.
1. Karya Novel ' ALIBI ', nukilan sahabat Maha Guru Tuan Haji Ariff Azami Bin Hussein kali ini terlalu 'berat' untuk saya khatamkan. Berbanding 2 karya terdahulu, karya kali ini, seawal halaman 2-3 sudah sangat 'besar' prinsipalnya yang ingin diterjemahkan. Setiap bab,perlu istirehat seketika. Menarik nafas.
2. Novel bertemakan undang undang dan keadilan ini, inilah kali pertama saya baca cukup 'tulen' isi catatnya. Bukan rekaan,fiksyen,monolog atau dongeng yang direka bagi santapan pembaca. Ia jelas bersumber hakikat yang telah,sedang dan akan pasti berlaku di dalam dunia pekerjaan yang belatarbelakang keadilan, tugas,amanah, hipokrasi,gelap mata, dan harga diri.
3. Menghabiskan karya ini dari bab ke bab,umpama satu tujahan ingatan,nasihat,teguran dan nukilan yang datang dari pengalaman dan ilmu yang dilalui dan dimiliki penulis. Ia suatu yang sukar dicedok dan dijumpai dari karya karya lain. Pesanan hati melalui nukilan novel dilihat lebih tajam, tegas,telus dan tanpa selindung.
4. Buat pengamal undang undang dan bakal pengamal undang undang,karya ini wajar ditelaah. Ia ibarat hantaran hantaran membugarkan jiwa yang 'lelah dan penat'.
5. Tahniah dan terima kasih buat Penulis atas karya ini. Sudah pasti manfaat telah saya perolehi usai menamatkan bacaan karya ini. 10/10.
Padat dengan aksi. Thriller yg menjadi. Setiap babak diceritakan dengan baik sekali. Kita boleh bayangkan setiap apa yg terjadi seolah-olah berlaku di hadapan kita in real time. Syabas kepada Penulis. Semoga karya seumpama ini diteruskan di masa akan datang.
Novel berlatarkan kerjaya seorang peguam. Cikgu2 sekolah patut masukkan buku ini di library sekolah supaya dapat dedahkan pada murid secara santai berkenaan kerjaya seorang peguam.