Syed Hussein Alatas, dalam buku yang ringkas ini memerihalkan dengan cukup baik akan hubungan imperialisme dalam bentuk fizikal dan pemikiran. Penjajahan dalam aspek kedua ini yang digelar oleh Alatas sebagai imperialisme intelektual, iaitu
“penguasaan satu kumpulan masyarakat oleh kumpulan lain dalam ruang pemikiran mereka”
(h. xxvii). Dalam konteks yang dibincangkan Alatas, yang dikuasai ialah penghuni Dunia Ketiga/Global South, manakala Barat pula pihak yang menguasai.
Beliau kemudian meneliti bagaimana fenomena imperialisme dalam politik dan ekonomi (ada enam ciri intelektualisme yang digariskan oleh beliau) mempunyai kesejajaran dengan imperialimse intelektual ini, yang kemudiannya meresap masuk ke dalam dunia akademik, terutamanya di peringkat pengajian tinggi.
Imperialisme intelektual yang berlaku di Dunia Ketiga diterjemahkan dengan menerima pengetahuan daripada Barat tanpa mempunyai kemampuan untuk menilainya dengan kritis, menjadi pembantu penyelidik mereka dan menerima sarjana peringkat rendahan daripada Barat di negara sendiri.
Satu lagi gagasan Alatas yang berhubung-rapat dengan fenomena ini ialah minda tertawan (captive mind). Buat mereka yang pernah bersua dengan captive mind (minda tertawan) Alatas, pasti akan mampu untuk menangkap inti pati idea-idea beliau yang lain di dalam buku ini. Tapi, sejujurnya, saya kurang mengerti apa perbezaan di antara keduanya. Mungkin, walau mempunyai kemiripan, yang membezakannya ialah minda tertawan ialah hasil daripada keadaan (environment) pengajian tinggi yang tidak kritis dalam meniru Barat (h. 28), manakala imperialisme intelektual pula menyusup masuk hasil daripada fenomena ini.
Walaupun nipis, namun tulisan ini berupaya mengapungkan fenomena sosial yang ‘tidak kelihatan’ dalam dunia akademik kini. Tulisan yang wajar dicermati oleh semua individu yang berada dalam kitaran dunia akademik.