Di sebuah tempat yang bernama kehidupan, manusia sebagai para pelakonnya dikelilingi oleh ketidaktentuan ekonomi, kecelaruan sosial dan budaya yang rencam. Politik menjadikannya lebih buruk. Manusia tersepit, dihimpit, dikuasai dan menjadi mangsa sehingga menghilangkan sifat baik dalam diri mereka semata-mata demi survival. Agama menjadi benteng, tetapi tidak semua berjaya berpegang pada agama melainkan jika mereka memilih untuk melawan segala yang mustahil. Segala yang mustahil itu bernama godaan duniawi, keinginan menguasai, ketakutan untuk kehilangan kuasa, membuang keegoan, menghapuskan dendam dan mengikis perasaan tamak.
Mampukan manusia melawan segala yang mustahil ini dan membuangnya daripada kehidupan mereka?
Dilahirkan di Hospital Queen Elizabeth dan dibesarkan di Kota Kinabalu, Sabah. Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik, suka melancong dan membaca. Pada tahun 2006 menang tempat pertama peraduan mengarang cerpen sempena kempen Budi Bahasa Budaya Kita anjuran Kekwa, pada tahun 2008 menang Hadiah Sastera Sabah 2006/2007, kategori novel remaja menerusi novel Gadis Adikara dan pada tahun 2009 menang tempat kedua Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 menerusi novel Jendela Menghadap Jalan. Manakala Waris Pejuang menang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011 juga di tempat kedua.
Nama Ruhaini Matdarin mungkin tidak begitu sinonim di Malaysia, namun percaya atau tidak saya pernah bermimpi tentang karyanya selama lima malam berturut-turut. Sampaikan mengigau-ngigau sehingga dimarahi dan ditertawakan rakan serumah.
Barangkali menjadi Juara Kumpulan Cerpen merupakan asbab mengapa kumpulan cerpen ini sangat laku bak pisang goreng panas di kedai-kedai buku. Beberapa kali saya menemui kekecewaan akibat kehabisan stok buku ini. Akhirnya saya menemui "jalan mudah" dengan membelinya melalui pihak penerbit sendiri.
Seperkara tentang penulisan Aunty Ruhaini (saya panggil "aunty" kerana saya rasa karyanya dekat dengan saya walaupun tidak pernah bertemu mata dengan beliau) ialah betapa mesej yang terkandung dalam tulisannya digubah dengan begitu halus dan sarkastik. Mungkin sesetengah orang akan berpendapat karyanya biasa-biasa saja, namun di mata saya karyanya sangat enak dikunyah. Karyanya sederhana namun sangat menggugah rasa. Saya juga gembira saat mendapat tahu novel Aunty Ruhaini merupakan antara novel yang tersenarai dalam subjek KOMSAS sekolah menengah. Bukan itu sahaja, cerpen Aunty juga tersenarai antara Cerpen Terbaik 2014 oleh Fixi. Tahniah Aunty! Nah, hebat tak Aunty saya? Hehe.
Antara cerpen yang menarik minat saya ialah: - Pertemuan Singkat dengan Sabar - Melawan yang Mustahil - Mantan Jaguh Pecut dan Tukang Kasut - Kerana Tokek - Skandal Sungai vs Sabun Beras Ajaib
Sesuai dengan temanya, "Melawan yang Mustahil", cerpen-cerpen yang dikemukakan penulis membawa mesej sentiasa wujudnya harapan kepada kerunsingan dan permasalahan dalam masyarakat.
Jalan penyelesaian sentiasa boleh dicari, kesabaran juga pasti berbuah, dan tiadanya jalan pintas kepada kejayaan.
Teknik penulisan yang baik dengan pembinaan cerita dan mendefinisi masalah dengan berkesan. Lain cerpen, lainlah masalahnya tetapi semuanya saya kira dekat dihati masyarakat tempatan. Cerpen akan disudahi dengan sinar harapan sebagaimana tema cerpen.
Aku mula membaca karya Ruhaini Matdarin apabila membaca novel Ajal yang memenangi hadiah saguhati Sayembara Novel Fiksyen Sains Kumpulan Utusan - UTM. Kumpulan cerpen yang memenangi hadiah pertama Sayembara Menulis ITBM - BH - Pena ini menggabungkan isu kemanusiaan dan isu yang masih membelenggu masyarakat pada waktu ini, tentang survival untuk hidup dalam dunia yang kian mencabar dan ekonomi yang makin meruncing.
Sudah tentunya aku terkesan dengan cerpen yang menjadi tajuk buku ini, cerpen Melawan Yang Mustahil kerana setiap pertemuan itu, akan mewujudkan pertemuan yang seterusnya. Hanya masa yang menentukan.
Sepuluh buah cerpen membawaku kembara ke sepuluh dunia yang berbeza. Walau kebanyakan cerpennya bercerita tentang hal-hal manusia kecil dan mungkin sedikit klise, tetapi dipersembahkan dengan menarik - meraikan kehidupan dari sudut pandang yang berbeza.
Tak hairanlah naskhah ini diangkat sebagai pemenang tempat pertama untuk Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH untuk kategori cerpen.
Pertamanya, terima kasih kak Ruhaini sebab buat kontes kat page fb dia dan aku menang buku ni. yeahhh.
Kebanyakan cerpen dalam ni pendek2 saja (aku syak dalam 1k-1.5k pp) yang mana aku suka, sebab ia padat. Bahasanya mudah difahami.
Cuma cerpen2 ini tidaklah serumit/menggugah seperti cerpen2 eceran terbaharunya atau seperti buku cerpennya yang menjadi kegemaran saya, Fiksi Buat Marquez. Mungkin cerpen2 di dalam ini telah lama ditulis.
Terdapat unsur humor dan sinikal. Ada juga yang merakam kehidupan. Walau sesederhana mana sekalipun cerpen2 di dalam ini, tetap saja pembacaan dapat diteruskan, semacam ada benang halimunan yang menyambung mata kita, muka surat dan ruang antara inti dan permukaan cerita.
Kemiskinan mustahil dilawan? Atau kekuasaan licik yang mencengkam kehidupan rakyat bawah sehingga tak mampu untuk berkutik ketika terpaksa berjuang menentang kemiskinan.
Cerita-cerita yang diadun lancar, dengan mainan bahasa segar - memang sangat wajar memenangi anugerah.
"...kita telah menewaskan perkara yang tidak mungkin menjadi mungkin"
Tertarik untuk membeli buku ini kerana terlihat label "pemenang pertama cerpen". ternyata 10 cerpen dalam buku ini tidak menghampakan. semua cerpen mempunyai nilai-nilai murni dan pengajaran yang tersendiri.
Antara cerpen yang menarik:
1. Pencari kotak mengisahkan seorang pakcik pencari kotak yang terjumpa sekotak duit semasa berhenti berehat dibawah sebatang pokok berhampiran tempat pembuangan sampah dan membawanya pulang. separuh hatinya memberontak ini salah! manakala separuh lagi yang dikuasai nafsu dan godaan duniawi menidakkan nya. Akhirnya, beliau bertindak memyerahkan duit itu kepada balai polis.
2. Pertemuan yang singkat dengan sabar mengisahkan seorang anak orang kaya yang suka memberontak, boros dan angkuh bertemu dengan pemandu teksi sabar bin baik yang penyabar, jujur dan amanah.
Merupakan antara kumpulan cerpen realis berkenaan sosial dan masyarakat dalam sesebuah negara. Bahasa yang digunakan penulis dalam menyampaikan cerita-cerita dalam sesenuah cerpen begitu mudah difahami langgam dan nuansanya membuatkan pembacaan saya lebih terarah untuk memahami isi yang ingin penulis sampaikan. Membaca setiap cerpennya mungkin isu yang ingin diketengahkan agak klise tapi bagi saya, penulis berjaya memanfaatkan segala ruang perjalanan cerita dalam bentuk yang tidak disangka terutama pada klimaks. Biasanya kita dapat membuat andaian pada sesuatu cerita menjadikan sesebuah cerita itu umpama satu sudut mimpi yang lain tapi tidak dalam penulisannya yang memberikan suatu santapan biasa tetapi itulah realiti sehingga membuat saya terangguk-angguk untuk mengiyakan.
Sepatutnya buku ini saya simpan dan baca ketika dalam keadaan bermusafir kerana cerpen bagi saya adalah bersifat santai dan kita lebih mudah mendalaminya ketika berada dalam sebuah perjalanan yang panjang seperti sebuah cerpen yang mengandungi pelbagai rencah kehidupan yang kita akan rasa hiba sepanjang pejalanan. Namun entah kenapa saya tertarik untuk terus membacanya dan ianya mudah dihayati mungkin kerana tema antologi cerpen ini lebih dekat dengan kehidupan hari ini tanpa perlu mengembara sekalipun. walapun 2018, ia masih relevan,
Buku pertama yg saya beli di ITBM, dan saya tahu tema di dalam cerpen ini adalah berkaitan keprcayaan walaupun harapan untuk kepercayaan itu dipatah-patahkan dengan suatu harapan yang palsu. 10 cerpen semuanya berkaitan tentang usaha, cerita mengenai ekonomi dan ada satu cerpen di dalam cerita ini yang penulis berjaya membuat "plot twist", cerpen ketika seorang isteri yang menunggu suaminya, sang nelayan membawa kejayaan selama sebulan, dua bulan yang tidak juga kunjung tiba Sesiapa yang membacanya, pasti akan mengatakan tiada harapan tatkala musim tengkujuh pun tidak memihak kepada nasibnya.
Cerpen ini mengajar supaya kita berdamai dengan perasaan walaupun segalanya sudah tamat, namun harapan itu masih ada walaupun ia harapan dari sebuah angan-angan. Selamat membaca :)
Saya yakin okay saja waktu beli buku ini. Nama penulis pun saya tak kenal (tak pernah baca buku dia yang lain), tapi dia pemenang pertama kategori cerpen (maaflah, tak ambil tahu pasal pertandingan).
Mula-mula nak puji idea dia bagi judul pada setiap cerpen. Unik dan buat saya nak tahu tentang isi cerita. Setiap cerpen sebenarnya punya jalan cerita yang biasa-biasa, mungkin penceritaan atau susunan plot yang smooth buat saya rasa setiap cerpen ada 'something' yang buat saya petik jari dan cakap 'ahaa!'.
Boleh dikatakan setiap cerpen ada sentuh pasal 'politik' walaupun samar-samar dan diceritakan dalam bentuk sarcasm juga sedikit lucu. Saya terhibur (bukan sarcasm).
Rata-rata cerpennya saya suka, mungkin paling suka tentang kisah 'Mantan Jaguh Pecut dan Tukang Kasut'. Saya suka ending-nya walaupun kemunculan si tukang kasut pada hari pertandingan saringan sungguh misteri sekali.
Saya gemar dengan cara penulis meletak klimaks cerita dengan sederhana. Ditambah dengan pengajaran pada setiap cerpen yang buat saya rasa seperti membaca kisah dongeng rakyat.
Saya kategorikan pembelian saya ini tidak sia-sia. 3.8*.
antologi cerpen yang lain dari yang lain.. tidak akan dijumpai rangkaian ayat2 sarat puitis dan sastera, tiada ilmiah keterlaluan.. seluruh isinya diolah sederhana, tetap menyisipkan pengetahuan dan bergaya menghiburkan.. tenyata tidak dapat disangkal sebab2 ia layak menang tempat pertama.. konsep penulisannya benar2 menepati gaya dan isu semasa masa kini
Buku yang tepat pada masa yang tepat. Penceritaan yang tenang dengan kesudahan yang baik. Suka. Kita dah menewaskan perkara yang tidak mungkin menjadi mungkin, kan?