Jump to ratings and reviews
Rate this book

Mencari Islam di Bumi Inggeris: Menuju Puncak Redha

Rate this book
Mencari Puncak Redha: Mencari Islam di Bumi Inggeris adalah siri pertama memoir yang menghikayatkan perjalanan seorang anak muda yang mencari makna diri setelah bergelut memilih antara hoki atau melanjutkan pelajaran di luar negeri. Terdampar di kota Inggeris pada 1970-an yang merupakan pusat pertembungan ideologi antara kapitalisme vs sosialisme, kemudiannya berlaku kebangkitan Islam di seluruh dunia, anak muda akhirnya berkenalan dengan sebuah gerakan dakwah yang merubah cara fikir dan kehidupan beliau secara drastik. Pertemuan Saari Sungib dengan Islamic Representative Council (IRC) ini telah membuka lembaran kehidupan beliau yang sangat menakjubkan dalam babak-babak kehidupan beliau mendatang.

300 pages, Paperback

Published January 1, 2022

3 people are currently reading
9 people want to read

About the author

Saari Sungib

8 books5 followers
Saari Sungib memulakan pendidikan awal di Sek. Keb. Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur (1964-1969).

Beliau adalah antara pelajar terbaik Selangor ketika itu dan telah dipilih melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh (1970-1976). Seterusnya beliau dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Mekanikal dan Bahan dengan kepujian dari University of Aston in Birmingham (1982) dan Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA with distinction) dari Unversity of Hull (1993). Beliau juga mempunyai Diploma (Lepasan Ijazah) Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (1984).

Saari Sungib berumah tangga dengan Aliza Jaafar. Mereka dikurniakan 7 orang anak, mempunyai lima orang menantu dan sehingga kini mempunyai 17 orang cucu. Keluarga beliau telah menetap di AU 2C, Keramat sejak tahun 1979. Sekembalinya dari menuntut di United Kingdom, beliau telah memberikan khidmat dan kebajikan kepada masyarakat sekitar Hulu Klang.

Beliau adalah seorang juruperunding pengurusan dalam pembangunan organisasi, perancangan strategik dan sistem pengurusan kualiti ISO 9000. Menubuhkan antara syarikat perunding pengurusan bumiputera yang terawal pada tahun 1988 dan telah memberi khidmat perundingan kepada pelbagai organisasi awam dan swasta di Negara Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia. Antara organisasi di negara ini yang telah mendapat khidmat perundingan beliau termasuklah Petronas Carigali, Kemaman Supply Base, Toshiba, NEC, JVC, PERNEC, Proton, Perodua, TNB, Telekom Malaysia, PNB, BIMB, DBP, LKIM, JKR, JBA, JPS, KWSP dan LUTH.

Beliau merintis sistem dan institusi pendidikan Islam bersepadu dengan menubuhkan Sekolah Rendah Islam Al-Amin (1986)dan Sekolah Menengah Islam Al-Amin (1990).

Beliau menaja penubuhan pertubuhan Jamaah Islah Malaysia pada 1989 dan menjadi Presiden JIM (1990-1999). JIM adalah sebuah gerakan dakwah, sosial dan kebajikan. Beliau juga telah membangunkan rangkaian tadika-tadika Islam dan kelab-kelab remaja.

Dalam bidang kebajikan, beliau bergiat cergas dalam membangunkan program-program khidmat kaunseling, khidmat kesihatan, motivasi keluarga bahagia dan pembangunan warga kilang.

Walaupun berkelulusan sebagai seorang jurutera, beliau berusaha meningkatkan pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama. Berbekalkan Diploma (Lepasan Ijazah) Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau terlibat aktif memberikan ceramah motivasi dan agama, kuliah-kuliah di beberapa surau dan masjid di sekitar Hulu Kelang.

Pada tahun 2001, Amnesty International telah memberi anugerah khas di atas sumbangan beliau dalam mempertahankan hak asasi manusia. Seterusnya pada tahun 2007, beliau telah diberikan penghormatan untuk melancarkan Amnesty Report bagi peringkat Malaysia.

Beliau telah diundang oleh beberapa pertubuhan di London, Dublin, Belfast, Jakarta, Tehran dan Cape Town, Afrika Selatan untuk menyampaikan ucapan di samping ditemubual oleh stesen-stesen radio dan TV dari Republik Korea, Australia, Singapura, Itali, Jepun dan Amerika Syarikat.

Ratings & Reviews

What do you think?
Rate this book

Friends & Following

Create a free account to discover what your friends think of this book!

Community Reviews

5 stars
0 (0%)
4 stars
3 (60%)
3 stars
2 (40%)
2 stars
0 (0%)
1 star
0 (0%)
Displaying 1 of 1 review
Profile Image for Nazmi Yaakub.
Author 10 books282 followers
January 10, 2024
Selesai buku pertama trilogi (?) memoir pemimpin dan aktivis IRC yang lebih dikenali sebagai Abu Urwah terutama kepada bekas kader harakah/jamaah Islam tanpa mengira jalur. Ketika itu, tidak banyak rujukan dalam bahasa Melayu kecuali tulisan Saari Sungib ini.

Disebabkan Islamisme bukan sahaja menjadi sebahagian warna pada zaman remaja saya, bahkan minat bacaan pada masa kini, saya kira memoir yang merakam pembabitan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang ini wajar disimpan bukan sahaja sebagai rujukan untuk menelaah evolusi daripada gerakan dakwah pelajar Malaysia di United Kingdom (UK) hingga menjadi tanzim lebih tersusun dan berstrategik hingga membawa kepada penubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan asimilasi aktivisnya dengan parti Islamis di Malaysia, iaitu PAS yang turut menyaksikan penyertaan mereka ke dalam parti itu termasuk Saari sendiri.

Agak berlainan dengan susun atur kronologi sebuah memoir, Mencari Islam di Bumi Inggeris: Menuju Puncak Redha ini terus melontar pembaca ke ranah awal pembabitan pengarang dengan IRC setibanya di Britain itu. Di sini, kita menyusur bagaimana pengarang menghadapi cabaran dunia baharu meskipun tidaklah terlalu dramatik seperti memoir Radical: My Journey from Islamist Extremism to a Democratic Awakening kerana tentunya latar belakang penulis berbeza terutama Maajid Nawaz yang terbabit dengan gerakan lebih agresif seperti Hizbut Tahrir.

Namun di tengah-tengah perjalanan di tanah empat musim itu, pengarang membawa kita kembali ke tanah air untuk merasai denyut nadi kemiskinan kehidupannya semasa kecil tetapi dengan jaringan keselamatan emosi kuat daripada keluarga besarnya, sebelum ke dunia sekolah menengah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) sebelum menyambung pengajian ke luar negara. Kekuatan emosi dan nafas nostalgia dalam bahagian ini lebih terasa berbanding bahagian awalnya tadi.

Di bahagian akhir buku ini, kita dihantar kembali untuk membaca pengalaman beliau kali ini lebih teliti penceritaannya termasuk dengan sedikit mengulang beberapa peristiwa yang berlaku. Rasanya, ini tidak dapat dielakkan kerana susunan bukan kronologi digunakan dalam memoir ini - yang mungkin sama ada sedar atau tidak menjadi pancing kepada pembaca yang tidak hanya mahu mengenali Saari, bahkan lebih penting lagi adalah IRC itu sendiri.

Bahagian akhir dalam memoir ini sarat dogmatik apabila ia tidak lagi bergerak sebagai sebuah memoir, sebaliknya himpunan esei pendek mengenai ideologi dan aktivisme dakwah dibawa IRC hingga seolah-olah bukan ‘Saari’ yang menulis, sebaliknya ‘Abu Urwah’ yang mengarangnya. Namun, ini mendedahkan kepada kita manhaj IRC yang sebenarnya tidak banyak beza dengan Islamis lain termasuk dalam menjadikan tokoh seperti Ibnu Taimiyah, Hassan al-Banna, Sayid Qutb dan Maududi sebagai panutan penting mereka tetapi tafsiran dan skala pengaruh tentu menjadikan setiap kelompok Islamis memiliki warna tersendiri.

Sebagai pembaca, saya fikir memoir Saari masih perlu diperhalusi dengan lebih baik lagi supaya pengulangannya tidaklah terlalu ketara sekiranya garis kronologi sedia ada dikekalkan. Begitu juga tokoh-tokoh yang disebut dalam memoir ini ada baiknya juga kalau dapat diberikan sedikit mengenai kedudukannya pada hari ini atau sekurang-kurangnya jawatan atau latar paling signifikan supaya kita dapat mengetahui sejauh mana pergerakan aktivis dari ranah tempat tumbuh kepada tanah membuah hasil.

Begitu juga saya tertanya-tanya beberapa kali Saari menegaskan hubungan IRC dengan Ikhwan Muslimin bukanlah hirearki bersifat menegak, sebaliknya hubungan saling bermusyawarah yang memberikan penekanan supaya masing-masing perlu mempunyai cara dakwah menepati waqi’ atau realiti di negara masing-masing tetapi beberapa kali juga Saari menyebut mereka membawa sesuatu yang boleh dibaca sebagai ‘arahan’ dalam hubungan dengan Islamis di tanah air.

Apapun, saya kira membaca memoir ini ketika tidak lagi terikat secara emosional dengan golongan Islamis dan melihatnya dengan kaca mata kritis, ia memberikan satu gambaran menyeluruh kepada Islamisme yang asalnya bermula sebagai satu bentuk reaksi kepada modenisme Barat yang datang melalui imperialisme dan orientalisme. Pada masa sama, ia juga mengingatkan kita supaya memiliki rasa rendah hati terutama dalam membincangkan ketokohan individu yang memberikan sumbangan termasuk dalam kegiatan dakwah dan sosiopolitik meskipun kita berbeza pandangan.
Displaying 1 of 1 review

Can't find what you're looking for?

Get help and learn more about the design.