Kes pembunuhan ngeri Dato’ Osman menarik minat Damit untuk mencari bahan manuskrip novel terbaharunya. Minat Damit semakin membuak apabila satu lagi pembunuhan berlaku dengan cara yang sama, kepala dipenggal dan jantung diambil, di kampung datuknya, Tok Alang. Sejak itu Damit mula terjebak dalam menyiasat modus operandi pembunuh itu.
Satu hari, Damit diajak Faizal ke sebuah tapak pembinaan di Semenyih untuk berhadapan dengan pekerja yang mula mogok. Pekerja mendakwa tapak itu berpuaka. Damit yang sememangnya terbuka hijabnya melihat makhluk halus mula percaya apabila melihat sendiri kepala korban menjadi makanan makhluk halus di situ.
Inspektor Azlan dan Inspektor Ratika yang ditugaskan untuk mengendalikan kes pembunuhan bersiri itu menemui jalan buntu. Hanya perkataan GORO yang ditoreh di lengan mangsa sahaja sebagai petunjuk. Mereka mula meminta bantuan Damit setelah mengetahui kebolehan Damit melihat pembunuh yang dikatakan mempunyai ilmu ghaib ketika membunuh.
Penemuan beberapa tengkorak manusia di bekas tapak sebuah kilang telah membawa pembongkaran kematian orang tua Damit 20 tahun yang lalu sekaligus memberi petunjuk siapa pembunuh yang diburu selama ini.