“Aku tak tahulah nak pilih yang mana. Semua macam okey je.”
“Betul ke ini keputusan yang aku patut buat?”
Dalam satu hari, kita dihadapkan dengan seribu satu pilihan. Masa pula bergerak laju, bagaikan mendesak kita untuk membuat keputusan serta-merta.
Semua ikhtiar kita lakukan — bertanya rakan dan pakar, juga merujuk artikel — agar tidak salah memilih. Namun, apabila usaha tidak berhasil, kita bingung.
Apa yang silap?
Mungkin, sewaktu kita mencari bantuan daripada orang lain, kita terlupa bahawa tiada pun yang lebih mengetahui apa yang terbaik selain Allah SWT. Rasulullah SAW juga pernah bersabda, maksudnya;
“Jika engkau hendak meminta, mintalah kepada Allah. Jika engkau hendak memohon pertolongan, mohonlah pertolongan kepada Allah.”
Menerusi buku ini, Nazrin Nashir melakar semula peranan dan makna istikharah; dalam kehidupan yang dipenuhi perkara memeningkan fikiran dan merunsingkan jiwa. Tatkala kita lemas dalam lautan pilihan yang tidak pernah habis, istikharah muncul sebagai rahmat dan penyuluh jalan daripada Tuhan.
Dalam hidup ini, terkadang kita diuji dengan persimpangan. Adakah kita perlu ke kiri atau perlu ke kanan? Begitu juga dengan pilihan. Adakah jika kita memilih A, hidup ini akan lebih bermakna? Bagaimana jika B adalah pilihan yang sepatutnya?
Andai kita sedang berada di dalam situasi seperti ini? Apakah solusi yang ada? Berbaliklah kita kepada Tuhan dengan cara melakukan istikharah. Sering kali ramai mengganggap istikharah hanya untuk memilih jodoh sedangkan istikharah boleh dilakukan atas tujuan yang pelbagai.
Buku ini akan membawa kita mengenal bagaimana dengan melakukan istikharah kita mampu membuat pilihan yang tepat. Usahlah kita terlalu mencelarukan minda sendiri. Kita masih punya Tuhan dan bersujudlah kepada Dia. Nescaya, jawapan itu pasti kita jumpa.
Konsep istikharah, Islam merujuk kepada doa mohon petunjuk dari Allah sebelum membuat keputusan penting. Buku ini menerangkan bagaimana istikharah bukan hanya sekadar ritual, tetapi juga satu cara untuk mendekatkan diri kepada Tuhan dan memahami keinginan serta tuntutan hati kita.
Melalui penjelasan yang mendalam, penulis memberikan panduan tentang bagaimana membuka hati dan diri kepada petunjuk Allah dalam setiap langkah yang diambil. Buku ini menekankan pentingnya keikhlasan dalam berdoa, serta bagaimana kita harus bersedia menerima jawapan, walau bentuknya tidak seperti yang diharapkan. Dengan mengajak pembaca berfikir tentang pilihan dan keputusan dalam hidup, ia membawa kita kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang kebergantungan kepada Tuhan dalam setiap aspek kehidupan.
Buku ini dapat menjadi sumber inspirasi dan panduan bagi sesiapa yang sedang menghadapi dilema atau pilihan penting dalam hidupnya, sambil memperingatkan tentang pentingnya tawakal dan keyakinan kepada ketentuan Tuhan.
Buku ini telah memberi jawapan di sebalik pertanyaan yang bermain di fikiran saya tempoh hari. Apa yang saya dapat melalui pembacaan daripada buku ini adalah istikharah merupakan cerminan kebergantungan kita kepada Allah SWT dalam semua urusan dunia mahupun akhirat. Kenapa kita sangat disarankan untuk beristikharah ? Salah satunya adalah kerana sifat Allah Al-Alim yang bermaksud Allah Maha Mengetahui, Allah mengetahui segala perkara yang kita tidak ketahui, dek kerana sifat manusia yang keterbatasan ilmunya. Dalam doa istikharah terkandung pengakuan akan kewujudan Allah yang Maha Suci, pengakuan terhadap sifat-sifatnya yang sempurna seperti sempurna ilmu pengetahuan-Nya, kekuasaan-Nya dan kehendak-Nya. Antara tanda petunjuk istikharah adalah kelapangan dada. Salah satu juga petunjuk penting adalah urusan dipermudah ke arah jalan tersebut. Walaubagaimanapun, istikharah ini mesti seiring dengan usaha dan tawakkal. Insya-Allah, dipermudahkan.
*Tambahan : Ucapan Insya-Allah merupakan lambang kesedaran kita sebagai hamba yang jahil dan lemah. Kita mengiktiraf kekuasaan Allah SWT yang menjadi penentu segala sesuatu.
Buku yang baik untuk setiap orang memahami makna istikharah yang sebenar-benarnya. Bukan semata pada perkara besar, tapi pada perkara kecil juga. Bukan pada perkara yang zahir nampak samar2 kebaikan dan keburukannya saja tapi juga pada zahirnya seperti baik keseluruhannya.
Istikharah penting untuk menunjukkan kita hambaNya yang sangat memerlukan petunjuk dan hidayah daripadaNya, hamba yang sangat bergantung harap padaNya dan hamba yang merendah diri.
Belajarlah makna istikharah sebenar2nya dengan membaca buku ini. Tahniah dan terima kasih kepada penulis.
Buku yang mempromosikan solat sunat istikharah dan istisyarah.
Dan karya yang membetulkan fahaman tentang istikharah.
Selama ini, dalam prestasi tahunan, A selalu meletakkan 'decision making' sebagai kelemahannya (dan berikrar di depan bos untuk mengatasinya pada tahun depan). A fikir mungkin kekurangan ilmu dan keyakinan menyebabkan A jadi begitu.
Mungkin benar tetapi faktor utamanya A terlupa pada kaedah kembali kepada-Nya apabila mahu membuat keputusan. A mungkin sudah hanyut seperti dinyatakan oleh penulis:
"Kita sudah pandai, kita sudah bijak. Namun dalam masa yang sama, sifat overconfidence dan sense of entitlement secara perlahan-lahan terbina dan tanpa sedar terbentuk dalam pemikiran kita."
Untuk mengatasi perangai seperti A ini, disarankan membaca buku ini. Besar hikmah dan rahsia mengerjakan istikharah ini.
Penulis juga menyentuh isu apabila keputusan yang dibuat berdasarkan istikharah gagal di tengah jalan. Sangat berguna sebagai panduan hidup.
Buku ni banyak mengajar yang setiap pilihan yang kita perlu buat didunia ini hendaklah melalui proses istikarah. Seringkali kita salah anggap yanv istikarah hanya perlu dibuat untuk jodoh tp sebenarnya apa2 juga pilihan atau keputusan yang nak dibuat itu seeloknya melalui proses istikarah
Penulis menceritakan tentang kepentingan istikharah dalam membuat apa2 keputusan dalam kehidupan. Sebaiknya sebelum membuat apa2 keputusan, even sekecil-kecil keputusan, tanyalah Allah. Dia yang Maha Mengetahui apa yg terbaik buat hamba-Nya.
"Istikharah merupakan manifestasi kebergantungan kita kepada Allah SWT dalam semua perkara. Istikharah memaknakan diri kita sebagai hamba yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Dia".
Dalam menguruskan sebuah kehidupan yang sangat kompleks, kita dituntut untuk membuat pilihan hampir dalam semua aspek kehidupan. Dari sekecil-kecil perkara untuk makan apa pagi ini, sehingga ke perkara yang besar dalam kehidupan seperti memilih jodoh atau teman hidup, semuanya memerlukan kepada PILIHAN. Namun, kebanyakan daripada kita termasuklah diri ini, lupa dan alpa bahawasanya untuk membuat pilihan itu, tidak semestinya melibatkan urusan yang besar sahaja. Malah, dari sekecil-kecil perkara kehidupan pun, kita mesti beristikharah!
Di situ letaknya kebergantungan kita kepada Allah.
Saya tertarik pada satu isi penting di mana penulis membincangkan tentang istisyarah. Mungkin ramai dalam kalangan kita yang tidak biasa dengan terma ini, atau dalam bahasa Melayu dipanggil perbincangan. Ya, perbincangan juga merupakan satu aspek penting dalam kita membuat keputusan. Di sini, Allah SWT menghargai kita sebagai manusia yang memerlukan interaksi sesama manusia, seseorang yang boleh memahami keperluan dan keadaan kita dan perlunya kita untuk mendengar dan mendapatkan pandangan dan buah fikiran orang lain.
Yang utamanya kita memerlukan KATA PUTUS daripada Dia Yang Esa. Hanya kerana Dia lah yang selayaknya tahu apa yang terbaik untuk diri kita.
Dan dalam memahami situasi ini, saya teringat ayat 216, surah al-Baqarah! Setelah kita memohon petunjuk daripada Allah SWT, serahkan semuanya kepada Dia. Terima lah segala ketentuan yang telah Allah tetapkan untuk diri kita. Sesungguhnya, segala ilmu hanya milik Allah Yang Maha Mengetahui.
Andai anda dalam kebuntuan untuk membuat pilihan dan keputusan, buku ini adalah yang terbaik untuk anda!