Jump to ratings and reviews
Rate this book

Episod Dunia Islam

Rate this book
Dunia Islam senantiasa menjadi idaman kuasa-kuasa besar dunia kerana mempunyai kelebihan mahupun keistimewaan yang tidak ternilai berbanding dunia lain, sama ada lokasinya yang strategik ataupun kekayaan hasil buminya yang begitu banyak dan tidak ternilai harganya. Kedinamikan politik dunia meletakkan Dunia Islam di persimpangan mahupun peralihan peradaban dan ketamadunan dunia.

Hari ini, kita menyaksikan Dunia Islam sedang mengalami fasa kemundurannya. Ia masih lagi diselubungi dengan pelbagai konflik, sama ada yang dicipta oleh musuh-musuh Islam ataupun disebabkan kelemahan yang ada dalam diri mereka sendiri yang tidak berkesudahan.

Sudah sampai masanya Dunia Islam mengorak langkah dengan lebih jauh untuk mencorakkan masa depan dunia antarabangsa. Dengan segala kelebihan yang dikurniakan Allah SWT, sepatutnya Dunia Islam mampu bersinar kembali dan menjadi peneraju dunia.

Saat ini ialah masanya untuk umat dan Dunia Islam memperbetul keadaan serta menguatkan lagi perpaduan demi kelangsungan Islam. Sampai bilakah kita mahu terus diperdaya dan dimainkan? Sebelum terlambat, kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar kerana hanya Islam mampu menyatukan umat dan Dunia Islam.

728 pages, Paperback

Published February 1, 2024

2 people are currently reading
1 person want to read

About the author

Muhammad Khalil Abdul Hadi

2 books1 follower

Ratings & Reviews

What do you think?
Rate this book

Friends & Following

Create a free account to discover what your friends think of this book!

Community Reviews

5 stars
1 (50%)
4 stars
1 (50%)
3 stars
0 (0%)
2 stars
0 (0%)
1 star
0 (0%)
Displaying 1 - 2 of 2 reviews
Profile Image for Mohd Noor.
34 reviews
December 5, 2025
Buku EPISOD DUNIA ISLAM.
Bilangan Halaman : 697 Halaman.
Mula Dibaca : Khamis, 15 Jamadil Awal 1447 Hijrah, 06 November 2025.
Tamat Dibaca : Ahad, 09 Jamadil Akhir 1447 Hijrah, 30 November 2025.

Timur Tengah sentiasa menjadi rebutan kuasa-kuasa besar dunia sejak dahulu lagi bukan sahaja kerana kedudukan daratan dan lautan yang strategik tetapi juga sangat kaya dengan hasil bumi. Kebanyakan konflik dunia hari ini seperti peperangan dan genosid memang ada kaitan dengan Palestin. Apa yang menimpa Palestin sejak puluhan tahun lalu hingga saat ini ibarat 'ibu' kepada konflik-konflik lain serata dunia.

Dunia yang penuh dengan pergolakan tidak berkesudahan hari ini, apabila dijejaki puncanya, pasti tidak lari dari perkataan Zionis dan Yahudi. Bangsa Yahudi ini dahulunya tiada negara dan tiada identiti. Sampai sekarang kita tidak pernah tahu bagaimana bentuk rupa sebenar orang Yahudi kerana mereka sudah begitu lama berasimilasi dengan bangsa lain seperti bangsa Eropah. Bangsa Yahudi ini pergi ceruk mana pun, mereka akan dibenci dan disisihkan. Inilah salah satu sebab mereka mahu menubuhkan sebuah negara khusus buat mereka. Yahudi tidak mahu mana-mana tanah melainkan bumi Palestin.

Maka, satu perancangan berskala mega difikir, dirancang dan dilaksanakan di mana prosesnya memakan masa ratusan tahun. Bangsa Yahudi mula membeli tanah secara besar-besaran di Palestin dan cuba 'meminta' Palestin dari Sultan Abdul Hamid II secara 'baik'. Apabila rancangan ini tidak menjadi, kemudiannya Uthmaniyyah diheret ke dalam kancah Perang Dunia Pertama yang membawa Kekhalifahan ini dari keadaan sakit tenat terus menjadi nazak. Runtuhnya Kekhalifahan Uthmaniyyah yang sudah berdiri selama 500 tahun dan sebagai kesinambungan kepada dua kekhalifahan seterusnya yang sudah berdiri ratusan tahun lebih awal sebelum itu menandakan bermulanya rentetan episod penuh derita bagi dunia Islam.

Dunia Islam yang sebelum ini dipayungi di bawah naungan pemerintahan Uthmaniyyah akhirnya dibahagi-bahagikan antara negara-negara penjajah seperti British, Itali dan Perancis. Dulu, umat Islam tidak kira apa etnik sekalipun duduk harmoni di bawah satu bumbung. Apabila Uthmaniyyah ranap, dunia Islam dipecah-pecahkan dan diberi identiti berasingan bagi setiap negara. Dipecahkan lagi dunia Islam mengikut kaum dan mazhab. Setiap negara ada kedaulatan masing-masing, bermakna mereka akan 'sibuk" membina dasar-dasar negara yang baru dibina. Ibarat sebuah rumah besar yang dibahagi-bahagikan untuk membuat bilik sewa. Setiap penghuni sibuk dengan hal keluarga masing-masing hingga tidak peduli khabar jiran sebelah. Silap-silap, jiran pun tak kenal malah bermusuh pula dengan jiran. Yang untung adalah tuan rumah yang mengutip sewa setiap bulan.

Apa yang menyedihkan, orang Arab pada waktu itu sanggup melawan Khalifah selepas dicucuk dengan jarum halus perkauman oleh British dan terpedaya dengan janji keduniaan. Sudahnya? Habuk pun tak dapat, yang kenyang pula orang kafir.

Orang Yahudi yang kononnya tertindas di Eropah dibawa masuk beramai-ramai ke Palestin dan menubuhkan negara haram Israel selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Dari tahun 40-an hingga hampir tiga puluh tahun kemudiannya, bangsa Arab pernah empat kali memerangi negara haram Israel. Pernah beberapa kali Yahudi hampir tewas tetapi mendapat nafas baru dengan bantuan balaci-balacinya. Contohnya seperti Perang Yom Kippur tahun 1973, negara haram Israel teruk kena belasah tetapi selepas Amerika Syarikat menghantar bekalan bantuan berupa alat ganti dan senjata, negara haram Israel kembali melaksanakan serangan balas yang berkesan. Tidak dinafikan bangsa Arab memang pernah berjuang membela Palestin, jauh berbeza dengan sebahagian negara-negara Arab hari ini yang semakin terpesong dari perjuangan erti perjuangan sebenar.

Penubuhan negara haram Israel merupakan satu peristiwa tragis dalam sejarah umat Islam. Hampir satu juta warga Palestin mengalami pelbagai nasib buruk. Rumah dan tanah mereka dirampas, dihalau dari kediaman sendiri dan menjadi pelarian di negara jiran. Selama hampir lapan puluh tahun Yahudi rakus merampas tanah di Palestin. Adakah Yahudi akan berhenti setakat denhan agenda memiliki keseluruhan Palestin? Sudah semestinya tidak kerana rancangan berskala mega adalah lebih dari itu. Pelan pembangunan dan kedamaian di Palestin yang direncanakan oleh Amerika Syarikat hanyalah salah satu dari bahagian kecil dalam perancangan mega Yahudi. Pelan ini walau nampak manis pada namanya tetapi tersirat seribu satu kezaliman kepada warga Palestin kerana ia sebenarnya 'menghalalkan' rejim negara haram merampas lebih banyak tanah di Palestin. Lagi satu, ia adalah agenda halus untuk melumpuhkan segala gerakan penentangan yang sudah banyak melelahkan negara haram Israel dengan cara agar pasukan mujahidin melucutkan senjata secara paksa.

Pelan yang sungguh menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia adalah 'Deal Of The Century' yang dibangga-banggakan Trump iaitu pelan menormalisasikan hubungan diplomatik dua hala antara negara-negara Arab dengan negara haram Israel. Ia merupakan suatu pengkhianatan yang amat besar kepada dunia Islam kerana ia ibarat menjual maruah dan kedaulatan bumi Palestin. Aku tidak setuju jika ada yang mengatakan ini adalah seni politik negara-negara Arab yang menandatangani perjanjian tersebut sebagai mengimbangi pengaruh Zionis di dalam politik Amerika Syarikat. Aku melihat ia lebih seperti membayar 'ufti' agar kesenangan duniawi yang dinikmati mereka tidak terjejas walau macam mana sekalipun geopolitik dunia bergolak. Negara-negara Arab memang kaya tetapi arkitek yang membina kecanggihan pembangunan mereka adalah dari Barat. Suka atau tidak, negara-negara Arab perlu mengikut apa saja telunjuk Amerika Syarikat. Ibarat lembu dicucuk hidung yang diperah susunya, dilanyak untuk melaksanakan kerja-kerja lasak dan sampai masa apabila tidak lagi berguna kepada tuannya, lembu ini akan disembelih dan diratah seluruh isi dagingnya.

The Greater Israel atau Israel Raya. Impian Yahudi untuk membina sebuah negara yang luasnya dari Sungai Nil hingga Sungai Furat, cuba bayangkan berapa banyak negara termasuk dalam radius itu? Dan sangat mudah dilihat betapa semua negara dalam impian jahat mereka sedang bergolak dengan dahsyat. Negara-negara yang dijajah melalui perjanjian normalisasi diberi segala bantuan duniawi dari sudut ekonomi, politik dan ketenteraan manakala negara yang cuba menongkah arus akan ditekan secara ekonomi malah akan ditusuk perlahan-lahan dengan jarum halus yang akan meranapkan negara tersebut dari dalam.

Di dalam buku ini, penulis memuatkan sekian banyak konflik yang melanda dunia Islam. Permulaan bab dibuka dengan sejarah ringkas negara-negara tersebut. Cuma apabila terlalu banyak isu mahu dimuatkan dalam satu buku, ada bab yang terlalu ringkas dan terasa 'kering' penulisannya. Ada bab yang panjang dan sedap dibaca rentetan sejarah dan konflik yang melanda seperti Negara Iran, Turkiye dan Palestin. Mengapa Iran menjadi sasaran Amerika Syarikat? Salah satunya adalah demi memelihara kepentingan negara haram Israel kerana Iran adalah antara sedikit negara Islam yang berupaya mengancam negara haram itu dari sudut ketenteraan. Ketakutan Amerika Syarikat terhadap Iran sebenarnya bukanlah pada loji nuklear tetapi pada barisan para saintisnya. Sebab itu dalam tempoh yang panjang, sudah sekian ramai saintis yang dibunuh melalui serangan bom yang diletakkan pada kenderaan mereka atau ditembak sehingga mati oleh pembunuh upahan.

Andai penulis menyambung tulisannya mengenai geopolitik dunia, aku cadangkan penulis boleh sertakan bab khusus mengenai perisikan negara haram Israel yang cukup berbahaya iaitu Mossad. Lihat sahaja peperangan dua belas hari antara Iran dan negara haram Israel yang berbalas serangan peluru berpandu pada tahun ini, berapa ramai saintis Iran dibunuh di dalam negara mereka sendiri. Kejadian lebih kurang serupa juga berlaku di Yaman dan Lubnan akibat kelicikan Mossad.

Iraq dan Afghanistan dihancurkan salah satu sebabnya adalah untuk melemahkan pengaruh Iran dan boleh jadi untuk dijadikan pangkalan tentera berskala mega untuk Amerika Syarikat dan sekutunya andai sampai masa nanti mereka cukup bersedia untuk menceroboh Iran sepertimana yang mereka lakukan terhadap dua negara ini dahulu. Aku ada terbaca satu tulisan cuma tidak pasti rasmi atau tidak, Amerika Syarikat mengadakan latihan tentera berhampiran Iran.

Begitu juga dengan Lubnan yang menyusahkan negara haram Israel melalui Hizbullah yang banyak kali bertempur dengan IDF. Politik dalaman Lubnan diporak-perandakan dengan menjadikan rakyat sebagai alat. Apa lagi kalau bukan dengan cara protes jalanan besar-besaran. Aku tertanya-tanya, mengapa penulis tidak membincangkan mengenai Somalia yang juga bergolak dan negara kita pernah mencatatkan sejarah besar di sana? Pergolakan dalaman Sudan juga tidak banyak diceritakan cuma dari apa yang ditulis, kita nampak bahawa Sudan juga masuk dalam jangkauan impian Israel Raya. Sebab itu negara haram Israel cuba mencucuk jarum halus berkenaan isu politik antara negara-negara Afrika. Siapa cakap negara haram Israel tidak ada kena-mengena dengan perang saudara di Sudan baru-baru ini boleh cuba baca buku ini.

Sungguh menyedihkan apabila benua Afrika yang sangat kaya dengan bahan mineral malah belum diteroka sepenuhnya lagi ini berada dalam keadaan kacau-bilau. Entah berapa ramai rakyatnya mati akibat peperangan, genosid dan kebuluran. Kekayaan benua Afrika juga disedut oleh penjajah seperti yang menimpa negara-negara di Timur Tengah.

Aku pernah terfikir dari sudut lain. Puak kuffar cukup memahami bahawa empayar Islam tidak mampu ditumbangkan dengan senjata tetapi boleh dilemahkan dengan menjauhkan umat Islam dari Al-Quran dan menyibukkan umatnya dengan duniawi agar hatinya tidak tergerak untuk solat berjemaah di masjid. Mungkinkah segala kekacauan yang menimpa negara Islam seluruh dunia adalah untuk melelahkan dan menyibukkan umat Islam dari Al-Quran dan Sunnah? Supaya dapat dihakis generasi demi generasi yang akan memahami Islam dalam erti kata sebenar? Supaya tradisi keilmuan Islam tidak berkesinambungan supaya luak kuffar boleh menerapkan 'Islam' seperti yang mereka mahu? Mungkin sebab itu kanak-kanak juga habis dibunuh tanpa belas kasihan. Puak kuffar merancang tetapi mereka tidak akan pernah mampu memadamkan cahaya Islam. Akan sentiasa ada di kalangan umat ini yang akan terus menyambung dan mewariskan kefahaman Al-Quran dan Sunnah terus-menerus hingga kiamat.

Seperti kata penulis, walau siapa pun yang menjadi Presiden Amerika Syarikat sama ada calon dari Parti Republikan atau Parti Demokrat, semuanya sama sahaja terutamanya berkenaan polisi luar negara khususnya negara Islam dan bertindak sebagai 'anjing pengawal' yang menjaga keselamatan tuannya iaitu negara haram Israel. Cuma yang bezanya adalah pendekatan dalam melaksanakan polisi-polisi tersebut. Ada yang bermain dengan kehalusan berdiplomasi seperti Barack Obama dan ada yang lancang serta sengaja mencipta kontroversi seperti Donald Trump. Tetapi yang halus itulah lebih berbahaya kerana tidak mudah meneka apa yang sedang dimanipulasi di sebalik tabir.

Amerika Syarikat tidak layak mempromosikan demokrasi kerana ia sekadar alat tunggangan negara itu untuk menjajah negara lain secara halus melalui politik dan ekonomi. Ia cuma alat untuk menyokong pemimpin negara yang sanggup menjadi boneka dan menumbangkan pemimpin negara yang cuba menongkah arus. Apabila seseorang pemimpin itu mengikut selera tekak Amerika Syarikat maka itulah yang dilabel demokrasi terpaling bagus tetapi akan dicari-cari seribu satu alasan untuk mencari pasal dengan negara lain yang tidak sebulu dengannya atas alasan demokrasi. Ingatkah kita dengan slogan 'War On Terror' yang dilaungkan pada era George W. Bush sebagai Presiden terhadap Iraq dan Afghanistan dua puluh tahun dulu, apa alasannya?

Sampai sekarang tiada satu pun bukti kukuh di mana letaknya senjata pemusnah besar-besaran yang dicanangkan kononnya dibina oleh Saddam Hussein! Apa hak Amerika Syarikat nak masuk campur urusan politik dalaman Afghanistan? Konon menuduh Afghanistan melindungi Taliban yang berisiko mengancam keselamatan kepentingan Amerika Syarikat di seluruh dunia. Tidak pernah ada seorang pun Taliban yang masuk ke Amerika Syarikat dan mengebom rakyat marhaen! Sebaliknya Amerika Syarikat celaka ini yang datang menghancurkan negara orang sampai hangus malah dia pula menuduh orang lain sebagai pengganas.

Amerika Syarikat dan sekutunya memang sentiasa terliur melihat limpahan kekayaan negara-negara yang memiliki minyak dan bahan mineral yang lain. Selepas Iraq tumbang, yang untung adalah Amerika Syarikat, berlumba-lumba syarikat minyak menyedut hasil minyak di sana. Begitu juga dengan konflik Libya tidak berkesudahan umpama siri novel Game Of Thrones. Semuanya demi menyedut minyak di sana. Senang cerita, mana-mana negara kaya minyak tetapi tidak melutut di hadapan kaki Amerika Syarikat, negara itu akan dibelasah secukup-cukupnya tetapi yang tergamak menjadi boneka Barat seperti Arab Saudi dan UAE pula akan dimanjakan dan dibelai dan balasannya adalah minyak. Dua-dua keadaan ini sudahnya menguntungkan Barat. Hari ini, seperti ada bau-bau Venezuela pula bakal menjadi mangsa seterusnya. Penulis ada memuatkan perbincangan mengenai Venezuela di dalam buku ini. Coraknya lebih kurang sama seperti Iraq dan Libya, sebab minyak.

Apabila nak belasah negara orang, boleh pula Amerika campak ke tepi demokrasi dengan membelakangkan mandat dari PBB. Boleh pula demokrasi disimpan di dalam laci apabila Amerika Syarikat tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya negara lain yang tidak memihak kepada kepentingan duniawi mereka. Saat Donald Trump dibicarakan atas skandal politik, di mana demokrasi? Demokrasi hanya dipakai apabila mahu merembat kekayaan negara orang lain.

Sangat menyedihkan apabila kita menyedari bahawa umat Islam mengambil agama tetapi meninggalkan Ilmu, maka agama diamal tanpa ilmu yang benar. Agama itu dianggap hanya sebatas sejadah dan tasbih. Sebab itu umat Islam dibuli oleh puak kuffar yang cakna dengan kepentingan ilmu. Lihat saja negara-negara Islam yang kaya-raya. Harta berlambak tetapi tiada 'otak' untuk membangunkan negara dan umat. 'Otak' yang dibeli dari luar demi kepentingan duniawi disertakan sekali dengan pakej 'budi yang perlu dibalas'. Maruah umat tergadai begitu sahaja. Itu belum lagi nak cerita bab kepimpinan, pun sama, umat Islam belum ada kepimpinan yang mampu menyatukan umat di bawah satu bendera. Banyak lagi yang perlu direformasikan oleh dunia Islam yang sedang dibuli ini. Sistem demokrasi yang berat sebelah dan sistem ekonomi berasaskan riba'. Itu semua adalah mala petaka besar buat umat.

Umat Islam yang menjadi minoriti selalu ditindas di negara yang diperintah orang kafir. Seperti yang penulis bincangkan mengenai konflik di India. Penganut Hindu yang ekstrem dengan biadapnya menceroboh masjid dan keputusan mahkamah pula tidak memihak kepada umat Islam. Lihatlah di Uyghur dan Kashmir, lebih kurang sama juga.

Mungkin buku ini ditulis sekitar tahun 2020 hingga 2021 maka kedinamikan segala konflik geopolitik dunia yang melanda sekitar empat tahun kebelakangan ini tidak disertakan. Dari gaya tulisan dengan 'point' yang terlalu kerap diulang pada setiap bab, aku agak pihak penerbit atau penulis sendiri mengumpulkan tulisan-tulisannya menjadi sebuah buku fizikal, memandangkan penulis memang selalu mencatatkan pandangan beliau berkenaan geopolitik dunia semasa di media sosial. Dengan harga asal lebih kurang RM 90, buku ini agak mahal lagipun jika segala 'point' yang berulang itu disunting dan dipadatkan, mungkin penggunaan kertas akan dapat dijimatkan sedikit. Satu lagi perkara yang patut diperbaiki oleh pihak penerbit adalah kualiti 'spine' atau tulang buku yang lembut dengan gam yang tipis untuk sebuah buku yang tebal.

Walau apa pun, aku tiada masalah dengan membukukan tulisan di media sosial asalkan isinya bermanfaat dunia akhirat. Lagipun bukan semua orang rajin membuka media sosial kerana membaca buku ada kenikmatannya yang tersendiri. Aku harap penulis meneruskan penulisan geopolitik dunia bermula tahun 2022 hingga isu-isu semasa dalam bentuk buku kerana sifat permainan kuasa ini sentiasa berubah. Mungkin boleh menambah lagi pemahaman dalam bentuk visual, carta dan memperbanyakkan peta sesuatu wilayah yang dibincangkan memandangkan banyak wilayah yang asing bagi pembaca marhaen. Bagi yang berminat dengan untuk menambah maklumat berkenaan geopolitik, bolehlah masukkan buku ini sebagai bahan bacaan tambahan. Walaupun ramai penganalisis politik popular yang selalu muncul dalam podcast atau menulis buku, tidak rugi jika kita mencuba pembacaan geopolitik dari tokoh lain yang tidak kurang hebatnya.

Penulis ada menyebut bahawa Donald Trump hanya memuji mana-mana pihak yang mengikut telunjuknya. Aku suka dengan kenyataan ini, dari sini kita boleh lihat dengan siapa kita perlu lebih berwaspada. Politik itu penuh kepura-puraan.

Banyak lagi aku nak coretkan tapi cukuplah, kalian perlu beli dan baca buku ini.

#mohdnoorbuku
#mohdnoor
Profile Image for Muhaimin Safaruddin.
Author 14 books21 followers
February 8, 2024
Menarik! Mengapa kalian perlu membaca buku ini?

1. Naskhah sulung karangan YB Ustaz Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.

2. Pengarang merupakan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat yang berpengalaman luas dalam menyelidik isu-isu semasa Dunia Islam dan pernah mengunjungi sendiri beberapa buah negara yang menjadi subjek perbahasan dalam Dunia Islam.

3. Isi kandungan memerihalkan geopolitik antarabangsa masa kini, namun dihuraikan dalam bahasa yang cukup mudah difahami.

4. Perbincangan setiap negara disertakan dengan lakaran peta bagi meningkatkan pemahaman secara visual.
Displaying 1 - 2 of 2 reviews

Can't find what you're looking for?

Get help and learn more about the design.