Dr. Majid Irsan al-Kaylani merupakan seorang sejarawan dan tokoh pendidikan kelahiran bumi Jordan yang unik. Tesis yang dibawa oleh beliau dalam buku ini agak menarik – kebangkitan dan kejayaan dalam pemerintahan dunia Islam seperti yang termanifestasi melalui sosok Salahuddin al-Ayyubi (w. 1193 M) berakar daripada benih-benih pendidikan, keruhanian dan pemikiran yang dipasak teguh oleh ilmuwan tulen sebelumnya iaitu Imam al-Ghazali (w. 1111 M) dan beberapa tokoh dan madrasah lain seperti Syeikh Abdul Qadir al-Jaylani (w. 1166 M).
Melalui tesis inilah, beliau membingkaikan sejarah serta inti-inti penting dalam karya agung ilmuwan terdahulu semisal al-Ghazali, Ibn Taimiyyah, Suhrawardi, al-Hujwiri, al-Jaylani, Ibn al-Athir, Ibn Kathir dan Ibn Khallikan yang telah menanam benih-benih keilmuan penting kepada generasi zaman tersebut seperti keutamaan fardu ain dan keutamaan mengisi kelompongan fardu kifayah dalam fabrik masyarakat, bahasa sebagai ilmu alat (bukannya matlamat) untuk mencapai keranuman buah-buah keilmuan, keadilan sosial dan ketirisan pemerintah dalam mengerjakan haji berkali-kali dalam keadaan ribuan rakyat yang kelaparan.
Bertitik tolak daripada akar keilmuan yang luhur inilah, inti dan praktikalitinya sebati dalam kalangan masyarakat lalu melahirkan generasi pemerintah yang sistematik, adil serta bijaksana semisal Nuruddin Zinki (w. 1174 M) dan kemudiannya Salahuddin al-Ayyubi, puluhan tahun selepasnya.
Dalam erti kata yang lain, kejayaan tamadun Islam itu tidak boleh terus melompat kepada marhalah ketiga (menguasai tampuk pemerintahan), sebaliknya, perlu melalui marhalah pertama (mempunyai akar keilmuan, kefahaman, pemikiran dan keruhanian yang teguh) diikuti dengan marhalah kedua (kesedaran yang mendalam, penyebaran serta pembumian nilai-nilai keilmuan dan keruhanian ke dalam fabrik masyarakat) sebelum ianya diaplikasikan dalam marhalah ketiga iaitu menguasai tampuk pemerintahan dengan adil dan saksama.
Konsep yang dilakar oleh al-Kaylani ini ialah “konsep pengunduran dan persiapan diri” dalam satu tempoh masa tertentu sebelum “kembali kepada masyarakat” dengan buah pemikiran, keilmuan, keruhanian dan amalan yang masak ranum seperti yang terpamer pada tokoh semisal al-Ghazali.
Sayang sekali, buku yang merupakan cetakan kedua terbitan ISSI ini, terkandung ralat dan kesalahan ejaan yang tidak sedikit terutamanya pada nama-nama tokoh dan kitab yang sangat wajar dikemaskini semula pada masa akan datang.