Yang membataskan langkahmu hanyalah ketakutan seorang dewasa!
Zahra — terpaksa menangguhkan semester PhD-nya dengan sejuta cerita terpendam. Dia memilih alam muzik tanpa mendedahkan punca sebenar: kanser glioblastoma, rahsia tersembunyi di sebalik senyuman pahit yang tergarit.
Fared, pelarian Syria, membawa luka-luka yang merintis kisah kehilangan keluarga. Tragis, sarat dengan duka yang tidak pernah berkesudahan.
Pertemuan mereka di Jerman bukan sekadar kebetulan, tetapi membawa harapan baru yang mengubah rentetan hidup mereka.
Ini bukan kisah semata-mata tentang mengejar impian. Namun kisah perjuangan menakluk impian dalam sisa-sisa waktu yang tertinggal.
Buku ini telah berjaya membuatkan saya keluar daripada fasa "reading slump" sejak beberapa bulan yang lalu. Sekian lama tidak menulis resensi secara serious, lebih 3 jam juga saya ambil masa untuk siapkan resensi ni. Demi menghargai penulis kerana telah menghasilkan karya-karya fiksyen luar biasa, maka saya paksa diri untuk tulis juga.
______________________
"Hiraeth"; sebuah perkataan unik dalam bahasa dan tradisi Welsh (Bahasa pribumi penduduk Wales). Secara amnya ia diertikan sebagai "homesickness" atau "a sense of belonging" dalam Bahasa Inggeris. Tetapi secara etimologinya menurut Oxford English Dictionary, ia mempunyai maksud yang lebih mendalam dan khusus daripada itu.
"...deep longing for a person or thing which is absent or lost; yearning nostalgia." [“Hiraeth, N.” Oxford English Dictionary, Oxford UP]
Dalam erti kata lain, kita boleh anggap "hiraeth" ini sebagai sebuah pengalaman perasaan yang sangat peribadi. Perasaan rindu dan rasa ingin memiliki yang cukup dalam. Kerinduan yang sukar ditafsirkan lewat kata, apatah lagi untuk ditanggung saat ia terbit dalam jiwa.
Tidak semua perasaan mudah diungkapkan. Kalaupun ia diungkap, diperjelaskan dan diterjemahkan dengan 1001 patah perkataan sekalipun; belum tentu ia dapat difahami persis apa yang dirasakan. Begitulah kira-kira novel ini mampu membuatkan kita merenung panjang — mengintrospeksi akan dua anugerah terbesar yang diberi Tuhan: kehidupan dan perasaan.
Novel ini mengisahkan tentang perjalanan hidup dua watak utama; seorang wanita pengidap kanser Glioblastoma bernama Zahra; dan Fared, seorang jejaka berstatus pelarian daripada bumi Syria — dipertemukan takdir di kota Gottingen, Jerman dengan membawa pengharapan dan beban perasaan "hiraeth" mereka yang tersendiri.
Apa yang mereka kongsi ialah; masing-masing punya kisah tragis yang telah mencarik sebahagian 'skrip' kehidupan mereka. Hampir sahaja keresahan yang mereka pikul itu dapat memadamkan bibit harapan yang tersisa — semua angkara kegetiran hidup yang cukup menguji; kehilangan. Kehilangan-kehilangan yang tidak bisa mereka raih kembali.
Namun di sebalik kegetiran itu, ada satu hal lain yang mereka kongsi. Sesuatu yang tidak hanya dapat menggemakan jiwa dan menggetarkan halwa, bahkan ia turut berupaya membangkitkan pengharapan serta mempersatukan perasaan biarpun tidak pernah sekali pun diungkapkan; muzik.
"Music is a language that doesn't speak in particular words. It speaks in emotions, and if it's in the bones, it's in the bones," kata Keith Richards. Muzik; biarpun tidak terkandung abjad dan perkataan, ia adalah bahasanya yang tersendiri — termuat cerita dan makna yang bisa dimengerti.
Ketelitian penulis dalam membawa elemen muzik; khususnya muzik-muzik klasik dalam novel ini merupakan kesungguhan yang harus dipuji. Mana tidaknya, penulis turut memuatkan nota serta sumber-sumber yang dirujuk bagi melengkapkan karyanya. Nadir dan jarang sekali novel fiksyen disertakan sumber rujukan!
Apa yang paling mengujakan daripada karya-karya Rozanna (saya juga sempat membaca 'May: Terpasung di Lorong Waktu') ialah; di samping kemampuan beliau dalam penyusunan cerita dan pembinaan watak yang sangat baik, penulis juga berjaya mengadunkan keseluruhan fiksyen dengan perbendaharaan-perbendaharaan kata yang tidak terkira banyaknya.
Walaupun kedua karya fiksyen beliau yang telah diterbitkan mempunyai latar cerita, ruang dan waktu yang berbeza; penulisannya sangat teratur dan jelas sekali, melankolik. Menurut saya, penulis punya keunikan dan kepujanggaannya yang tersendiri.
Dalam karya ini, pembaca akan dibawa menyelam ke dalam dunia watak-watak penting penggemar muzik klasik.
Saranan saya, novel ini sangat cocok bagi pembaca yang ingin mencuba mengenali gaya penulisan Rozanna, khususnya yang sudah membaca 'May'. Apatah lagi jika anda adalah penggemar muzik; khususnya muzik klasik seperti karya-karya Vivaldi, Handel, Bach, Beethoven dan lain-lain.
Lagi-lagi kalau anda membaca karya ini diiringi skor-skor muzik klasik yang 'berlegar' dalam cerita ini. Pasti asyik!
Saya kepilkan pautan playlist Spotify yang memuatkan sebahagian besar skor muzik yang penulis sertakan dalam novel ini: https://shorturl.at/piZB2. Thanks me later!
Jangan risau, elemen-elemen muzik di dalam novel ini hanya bermain pada latar-latar yang mewarnai cerita dan watak-watak yang ada. Mesejnya tetap mendasar kepada hal-hal kehidupan yang kita kongsi; "hiraeth" — jejak rasa yang selama ini kita pendam tak terluahkan.
Fared - seorang genius muzik yang juga pelarian dari Syria yang telah menempuh pelbagai keperitan hidup sebelum datang ke Jerman. Zahra - seorang pelajar PhD di sebuah universiti di Jerman, yang menangguhkan pengajian demi mengejar minat di dalam bidang muzik klasik setelah dikhabarkan berita paling sedih - dia menghidap kanser glioblastoma.
Takdir menemukan mereka dalam pembentukan kumpulan untuk pertandingan muzik klasik. Dapatkah mereka selam ke dalam jiwa masing-masing yang penuh lautan duka? Sempatkah Zahra menggapai impiannya sebagai gitaris dalam tempoh hayatnya yang tinggal sebentar cuma?
Elemen muzik klasik yang dimasukkan dalam cerita ini begitu kemas tersimpul. Terasa lancar dengan cerita-cerita berkaitan muzik klasik yang ada di dalamnya, termasuk instrumen yang dijelaskan. Gambar beberapa instrumen yang diletakkan dalam novel ini benar-benar membantu pembaca untuk memahami serta membezakan sedikit sebanyak antara instrumen tersebut. Saya turut membaca sambil mendengar beberapa muzik klasik yang dinyatakan tajuknya dalam novel. Perasaan yang bersatu dengan kisah sedih dan inspirasi dari watak dalam novel beserta muzik yang saya dengari, membawa suatu perasaan syahdu dan sukar digambarkan dengan kata-kata. (Pada halaman awal, saya mendapati ada konsultasi muzik untuk novel ini, KUDOS pada usaha itu.)
Latar tempat yang dibawa dalam novel ini - Gottingen serta beberapa tempat lagi, diceritakan dengan terperinci. Saya mengagumi attention-to-detail penulis dalam karyanya. Sebagai seorang yang pernah belajar bahasa Jerman dan teringin ke sana, saya sangat menyukai latar dan suasana yang digambarkan.
Penceritaan tentang pelarian dari Syria ke bumi Jerman melalui kaca mata Zahra sebagai seorang sukarelawan membuka mata dan fikiran saya akan hal itu. Banyak babak yang melibatkan watak-watak pelarian perang dari Syria seperti Fared, Bashir, Qaleeda dan Imran begitu menggugah jiwa dan meremukkan hati saya ketika membaca mengenai mereka. Selain itu, ia mengajar saya untuk tidak cepat menghakimi seseorang.
Novel ini tidak dapat lari dari sedih, perit dan duka. Setiap emosi itu sampai ke hati sehinggakan ada beberapa babak yang begitu pilu (baca: sampai menangis).
Penggunaan bahasa Jerman secara wajar, menambahkan suasana di Jerman dalam novel ini, selain pembaca juga dapat belajar sesuatu tentang bahasa asing. Pengenalan watak-watak yang terkait antara satu sama lain bagai terjahit rapi, tersusun dengan kemas sehingga ke akhirnya.
Menuju ke pengakhiran, saya kira ada satu babak tersebut yang agak rush sedikit. Namun ia tidaklah sehingga mengganggu jalan cerita. Pengakhiran kisah Fared dan Zahra, bagi saya, diletakkan dengan wajar oleh penulis. Tentang impian mereka. Itu yang lebih utama.
Epilog yang WOW. Mengejutkan! Saya begitu menyukainya. Mungkin akan ada yang akan menganggap pelik dan tidak suka, tetapi tidak bagi saya.
Tak sabar menanti novel seterusnya dari Rozanna. ✨
Saya fikir, penulis mungkin nak buat 'Universe May' untuk beberapa novel beliau akan datang. Menarik juga untuk diikuti secara santai.
Pengenalan watak juga disampaikan dengan baik cuma kena baca dengan gaya marathon sebab dari awal cerita sampai habis dijamu dengan peristiwa duka dan suka yang jadi 'tulang belakang' novel.
Novel ni punca diri cuba cari 1 atau 2 buah buku berkaitan sejarah muzik, satu benda yang baru untuk ditambah pengetahuan lagi pula hanya kenal sebatas Mozart dan Beethoven.
Staf penerbit khabar boleh menangis disebabkan jalan ceritanya berakhir dengan tragedi tapi mungkin hati dah terlalu kering, tak mengalir ayaq mata atau sebak waktu baca..haha
Apakah ia novel sambungan dari May?tidak sama sekali tapi berbalik pada perenggan awal, ia mungkin jadi 'Universe May' bila ada peristiwa terkait satu sama lain.
1. Terlalu banyak aspek muzik yang teknikal. Adakah buku ini dikhaskan untuk yang celik muzik sahaja?
2. Bahasa yang digunakan pun pelbagai dan bercampur-campur. Mula-mula baca rasa ok lagi, sebab penulis ada bagi disclaimer, tapi bila dah banyak sangat campur-campur dengan ada yang takde maksud, jadi kurang sedap membaca.
3. Hanya tiga watak yang ada perkembangan karakter (Zahra, Bern dan Fared). Yang lain, aku hanya tahu nama sahaja. Kawan2 serumah Zahra tu tiada pekembangan watak. Kalau penulis tertukar nama pun aku tak perasan.
4. Masa membaca, rasa macam tengah baca buku yang diterjemah dari bahasa lain. Susunan ayat macam dirangka dari ayat bahasa Inggeris dan diterjemah ke BM. Susunan ayatnya agak janggal dibaca.
5. Settingnya di Jerman, sebenarnya watak2 cakap sesama mereka tu bahasa Jerman ke English ke...? Ada dialog yang macam dialog Melayu native speaker tapi dia tengah bercakap dengan English speaker from America (contoh).
6. Kata sandang kegemaran penulis ialah "sang". Tiada masalah menggunakannya tapi aku perasan sangat kerap digunakan.
7. Plot menarik tapi sangat perlahan penceritaannya. Rasa macam kena paksa diri nak habiskan.
8. Rupanya ada sangkut paut dengan novel May. Ada sambungan la ni? Kalau ada, aku nantikan sambungannya sebab novel May best.
This entire review has been hidden because of spoilers.
5 bintang sebab ayat-ayat penulis indah. Sedap je nak baca. Masa awal-awal je highlight perkataan-perkataan bahasa melayu yang baru dijumpai, akhirnya lebih suka tanda bahagian-bahagian yang comel dan lawak (friendship Zahra,Hanum,Fatima) dan bahagian-bahagian lain yang menarik.
Buku kedua saya dari penulis Rozanna, selepas buku May dan ternyata tidak mengecewakan malah ia memberi pengalaman membaca yang berbeza sekali walaupun elemen cinta merupakan tunjang utama cerita tetapi tidak lah seperti kebanyakan novel cinta yang klise kisahnya. Gaya penulisannya tetap tersusun, jelas, dengan perbendaharaan kata yang begitu luas.
Berlatar belakangkan bumi Jerman, secara khususnya di Gottingen, ia menjadi tarikan untuk membaca mengetahui sedikit sebanyak kehidupan disana, apatah lagi diceritakan secara terperinci sekali. Saya pernah singgah sehari saja di Cologne sewaktu bercuti ke Amsterdam bertahun yang lalu, ia tempat yang gah dengan “cathedral”.
Selain kelainan tempat, buku ini juga membawa tema muzik sebagai penggerak cerita & motivasi Zahra untuk terus cekal & bersungguh mencapai impiannya. Maka, pembaca disajikan dengan info pelbagai jenis muzik & pemuzik yang saya tidak tahu & kenal, serta teknik memainkan gitar klasik. Mungkin hanya satu atau dua yang pernah didengar tetapi tidaklah tahu secara terperinci. Saya memang suka buku yang memberi ilmu tambahan,walaupun saya tahu tidak semuanya akan saya ingat atau praktikkan, proses membacanya sendiri sudah terasa berfaedah dan membuka minda.
Watak-watak yang ada pula punya peranan tersendiri dan memberi makna dalam cerita, tidaklah hanya sekadar “filler”. Seperti Bernard yang pada awalnya seorang yang begitu menentang Islam namun akhirnya mula suka untuk mengenali Islam selepas dihadiahkan Quran oleh Zahra. Seperti Claudia & suaminya yang menjaga Fared si pelarian Syria dengan baik, walaupun dia hanyalah pekerja kedai serbaneka. Seperti Hanum, Fatimah, Damia, sahabat-sahabat yang sentiasa disisi Zahra.
Buku ini sarat emosi & sampai ke hati. Nada pembacaan semestinya melankolik kerana Zahra menunggu ajal menjemput tetapi Zahra tidaklah berfikiran negatif sentiasa, dia tetap tabah dengan dugaan hidupnya. Selain kesan trauma yang dihadapi Fared akibat perang di Syria, adanya rasa sedih & benci dengan hidup dijalani. Termasuklah rasa dendam Bernard kerana perkara lampau. Begitu pun, ada juga detik-detik mencuit hati sesama watak.
Jalan ceritanya pula lebih fokus pada misi Zahra untuk mencari ahli kuartetnya untuk menyempurnakan impiannya pada muzik. Selepas beberapa kejadian barulah Zahra & Fared bertemu. Bagi saya, chemistry antara Zahra & Bernard lebih kuat berbanding Zahra & Fared. Saya dapat merasakan Zahra sendiri keliru dengan perasaannya. Namun tidak terluah kerana tahu dia akan pergi.
Pengakhirannya, walaupun dijangka & sememangnya realistik, tetaplah menusuk hati, ada juga sisi kebahagian untuk Fared selepas dibelenggu rasa tekanan kehilangan insan-insan tersayang. Mungkin agak sedikit tergesa di bahagian akhir tetapi tidak merencatkan rasa puas hati membacanya. Apatah lagi bila Epilog cerita memunculkan watak Dr May & Robert, insan penting dalam hidup Adli / Bujang dalam novel sebelumnya. Seolah-olah Hiraeth dan May wujud dalam satu dunia, “May Universe” versi Rozanna. Dan ya, saya menantikan buku ketiga.
Saya tertarik dengan novel Hiraeth kerana gaya penulisan Rozanna agak berbeza dengan gaya penulisan novel May. Hiraeth lebih santai, kerana latar masanya adalah pada zaman moden dan karakternya juga ada humor sarkastik.
Zahra yang pernah sembuh daripada kanser glioblastoma terpaksa berdepan mimpi ngeri sekali lagi apabila dia menghadapi relapse. Dalam sisa waktu yang berbaki, dia cuba mengejar impiannya;bukanlah menghabiskan PhD namun menyertai pertandingan gitar klasik. Sementara itu, kita juga dapat berkenalan dengan watak Fared, pelarian dari Syria yang berdepan dengan masa lampau yang perit dan mencuba untuk hidup.
Antara topik yang diketengahkan dalam novel ini ialah realiti hidup pelarian perang.Hidup dalam keadaan ketakutan, berdepan dengan kematian setiap hari, masa depan yang entah cerah entah gelap.. Saya suka perbincangan tentang topik kemanusiaan dan saya ingin puji usaha penulis yang cuba ketengahkan topik yang jarang dibualkan ini. Cumanya, topik ini kurang berhasil untuk dikupas agar isinya sampai.
Mungkin disebabkan novel ini fast paced. Events dalam hidup Zahra dan Fared cuma diceritakan briefly sebelum babak seterusnya 'jump' ke event lain pula. Mungkin itu yang menyebabkan isu berat berkenaan pelarian jadi kurang sampai.
Bagi saya, karakter Zahra itu nampak realistik. Dia menjadi dirinya sendiri dan itu saya suka tentangnya. Thoughts Zahra pun bersahaja dan kelakar.
Walaupun ada banyak term muzik yang saya tak faham, saya suka dengan cara penulis mengarang sebab pengalaman membaca yang saya perolehi masih 'enjoyable'.
Dan buat penulis, terima kasih kerana menulis naskhah ini. Saya rasa karakter Zahra dan Fared sungguh dekat di hati saya. Terima kasih untuk ayat "Yang membataskan langkahmu hanyalah ketakutan seorang dewasa".
Akhir sekali,pengakhiran Hiraeth;meskipun sedih namun saya puas hati. Zahra sudah mencapai impiannya dan Fared dapat keluar dari kepompong kegelapan itu. Cliffhanging pun ada juga! Tak menyangka yang Dr May akan buat kemunculan pada novel ini. Saya masih cuba merungkaikan sifat sebenar May namun mustahil pula untuk saya tafsirkan hanya sekadar berpandukan epilog Hiraeth kan? Oleh itu, seperti pembaca lain, mungkin novel ini tergolong dalam May universe? Siapa yang tahu kan?
Novel kedua daripada penulis baru kegemaranku, Rozanna ✅
Cuma… rasa macam tak berapa sampai 🥺 Kalau diikutkan, isu dalam buku ini lebih berat (pasal pelarian, peperangan, kanser) tapi disebabkan tema utamanya pasal muzik, jadi sedikit mengganggu untuk kita yang ada 0 knowledge tentang classical music. Dengan not, kord, jenis alat muzik yang superior, istilah-istilahnya lagi—membuatkan aku tak boleh baca dengan laju. I’m the type who will appreciate new knowledge and love to learn it from fictional book tapi untuk buku ni, I surrender.
But still, 4/5 ⭐️ (penggunaan bahasa yang puitis dan tragic ending menyelamatkan keadaan). Cuma itulah, rasa novel pertama is much better.
high expectations dari penulis sebenarnya selepas baca novel debut dia . Hiraeth......agak pening masa mula mula membaca dengan watak & latar yang sering berubah dan plot agak lambat. bila Zahra & Fared bentuk kumpulan barulah plot menarik tetapi klimaks dia kejap dan terus berakhir dengan cepat, tak puas.
Di awal chepter agak lucu. Topik dia agak berat juga pada pertengahan hingga ke akhir cerita tapi rasa sedih tu tak berapa nak sampai. Sedih tapi tak la sampai mengalirkan air mata. Aku lagi suka novel May. Bagi yang sukakan gaya bahasa penulisan Rozanna wajib baca naskah ni.