Saya tidak mempunyai masalah dengan kebanyakan isi yang dikarang dalam buku ini. Tetapi untuk menjawab krisis dan tragedi – meminjam perkataan Prof. SN Al-Attas – yang berlaku dalam dunia Barat tidak cukup sekadar melontarkan secara superfisial masalah keruhanian yang melanda mereka. Bahkan usaha yang setaraf malah lebih daripada hasil yang dijana oleh intelektual Barat perlu dijawab satu persatu dengan kualiti hujah dan fakta yang memberansangkan seperti yang terpancar dalam buku Wajah Peradaban Barat karangan Dr. Adian Husaini dan Traditional Islam in The Modern World karangan SH Nasr (sekadar menyebut beberapa nama).
Bagi perbahasan mengenai pandangan alam/worldview/weltanschauung, kerangka yang ditawarkan oleh Prof. SN Al-Attas ternyata lebih memuaskan. Lihat sahaja karya-karya agungnya dan pemanjangan yang diperincikan oleh anak muridnya di serata dunia. Ya, buku ini ingin menawarkan idea mengenai pandangan hidup dan bukannya pandangan alam. Tetapi dalam banyak keadaan, ia amat berkait rapat.
Jika kita tekuni jenis-jenis penulisan yang dihasilkan oleh HAMKA, penulisannya boleh dikategorikan kepada empat jenis; 1) Karya muhasabah yang bersifat umum (seperti buku Falsafah Hidup, Tasawuf Moden & buku ini), 2) Fiksyen (seperti Tenggelamnya Kapal van der Wijck & Di Bawah Lindungan Kaabah), 3) Sejarah (seperti Sejarah Islam di Sumatera & Dari Perbendaharaan Lama yang mempamerkan kekuatan sebenar HAMKA), 4) Lain-lain (seperti Tafsir Al-Azhar & kertas kerja yang dibentangkan di mana-mana seminar).
Buku ini mungkin baik untuk dibaca oleh kebanyakan pembaca umum dengan gaya bahasa penulis yang ringan dan menarik. Tetapi untuk mendapat kupasan yang lebih mendalam, saya lebih menyarankan buku-buku yang menjawab terus dengan hujah dan rujukan akademik seperti yang disebutkan di atas. Dan jika buku ini ditulis secara begini, sudah tentu ianya lebih mengujakan kerana gagasan tokoh-tokoh yang dipetik oleh HAMKA bukan calang-calang orangnya seperti Arnold Toynbee, H.G. Wells dsb.
Oh ya, saya membaca buku ini dalam versi pdf kerana kesukaran untuk mendapatkan sebahagian daripada naskhah asal tulisannya. Bagi sesiapa yang mempunyai masalah yang sama dan ingin bertukar-tukar beberapa bahan bacaan dalam bahasa Melayu, bolehlah utarakan di sini. Tulisan-tulisan HAMKA, SN Al-Attas, Syed Hussein Alatas, Dr. Adian Husaini, terjemahan dan beberapa ilmuan lain sebenarnya banyak bergentayangan di laman maya walaupun tidak dapat menandingi banjiran buku berbentuk pdf yang ada dalam versi bahasa Inggeris dan bahasa Arab.